"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyingkiran Khairuddin sebagai AJK PAS tiada kaitan Majlis Syura

Haspaizi Zain

Pemecatan Khairudin Aman Razali selaku ahli jawatankuasa (AJK) PAS pusat tiada kaitan dengan Majlis Syura Ulama, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Bagaimanapun katanya, ahli parlimen Kuala Nerus masih kekal sebagai ahli Majlis Syura dan pemecatannya juga tiada kaitan dengan Muafakat Nasional (MN).

"Itu saya tak boleh nak bagi jawapan (alasan pemecatan) sebab pihak presiden yang membawa kepada jawatankuasa pusat untuk memecatnya.

"Jadi, dia tak ada kena mengena dengan Majlis Syura.

"Jadi, oleh kerana penjelasan dibuat oleh presiden bahawa (ia melibatkan) disiplin parti maka presiden punya hujah dia dan dia sendiri pun tidak menjelaskan. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata sebahagian besar daripada akar umbi parti itu berpuas hati isu dengan pengguguran Khairuddin sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

"Saya mendapat maklumat daripada akar umbi (bahawa) 99.9 peratus berpuas hati (setuju dengan pengguguran itu)," katanya yang dipetik portal Berita Harian selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Marang.

Hadi juga dilaporkan berkata pengguguran Mohd Khairuddin berkaitan masalah disiplin dan tidak perlu diperjelaskan kepada umum apabila ditanya jika ia berkaitan dengan MN.

“(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja,” katanya sambil menambah tindakan diambil itu hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

Dalam pada itu, Hashim berkata presiden parti berhak untuk tidak memberi penjelasan mengenai pemecatan bekas menteri itu daripada jawatankuasa PAS pusat.

"Itu (pemecatan) tidak ada kena mengena dengan MN atau benda-benda lain.

"Tak perlu (jelaskan). Dia perlu hurai kepada jawatankuasa. Khairuddin juga dimaklumkan atas alasan apa dia dipecat," katanya.

Sultan Ibrahim perkenan bubar DUN Johor

Malaysiakini 

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekaligus membuka laluan untuk PRN diadakan.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN," menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Besar Hasni Mohammad pada jam lima petang tadi di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Pertemuan turut disertai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani, yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor, menurut kenyataan itu lagi.

Spekulasi mengenai PRN Johor mula tersebar minggu lalu dengan kerajaan yang dipimpin BN hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

Ia berikutan kematian Adun Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Terdahulu hari ini Umno Johor bermesyuarat bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi PRN Johor.

Selepas mesyuarat Hasni yang juga Pengerusi Umno negeri memaklumkan ia mendapat persetujuan Umno negeri bagi menghadap Sultan Johor untuk memohon perkenan pembubaran DUN.

Dalam pada itu, kenyataan rasmi Sultan Johor berkata pembubaran DUN Johor berkuatkuasa secara rasmi hari ini berdasarkan undang-undang tubuh negeri.

"Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022," kata kenyataan itu.

Pejabat Dr M sahkan bekas PM di Unit Penjagaan Koronari IJN

Alyaa Alhadjri

Jurucakap pejabat Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bekas perdana menteri itu kini dirawat di Unit Penjagaan Jantung Institut Jantung Negara (IJN).

Hampir jam 4 petang tadi, jurucakap itu menjawab pertanyaan media, berkata: "Ya, Tun Mahathir ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU)."

Terdahulu, pembantu Dr Mahathir berjanji akan mengeluarkan penjelasan tidak lama lagi di tengah-tengah desas-desus bekas perdana menteri itu telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk kali ketiga dalam sebulan.

Pihak media telah meminta penjelasan daripada pejabat Dr Mahathir tetapi ketua komunikasinya, Sufi Yusof, memetik sensitiviti berkenaan isu itu dan berkata kenyataan akan dikeluarkan apabila keadaan mengizinkan.

"Terima kasih kerana memahami. Dan saya rasa kita semua telah bekerja dengan baik untuk memahami antara satu sama lain," kata Sufi kepada pemberita dalam kumpulan akhbar Mahathir di WhatsApp.

"Bagi pihak kami buat masa ini kami dikawal oleh sensitiviti serta isu persetujuan dan bidang kuasa.

"Saya melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu itu supaya kita dapat memberikan gambaran yang jelas dan tepat mengenai situasi tersebut," kata Sufi.

"Jadi bersabarlah sebentar sehingga kami dapat menyelesaikannya. Apa sahaja yang berada dalam bidang kuasa saya, saya akan membalas secepat yang saya mampu," katanya.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan sekumpulan petugas media berkumpul di IJN untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Dr Mahathir.

IJN dijangka mengeluarkan kenyataan lewat hari ini, menurut pejabat Mahathir.

Ahli parlimen Langkawi itu dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan penuh dan pemerhatian lanjut pada 16 Dis lalu dan menghabiskan masa seminggu sebelum dibenarkan keluar pada 23 Dis.

Dia kemudiannya dimasukkan ke IJN untuk prosedur elektif pada 7 Jan dan keluar pada 13 Jan.

Nik Abduh tanya Takiyuddin: Mana adab berjemaah, berkawan?

Malaysiakini

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini mempersoal "adab berjemaah" dan "adab berkawan" Takiyuddin Hassan ketika Setiausaha Agung PAS itu menguruskan pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurut Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dia menuliskan pandangannya di media sosial beberapa hari selepas Takiyuddin mencabar Khairuddin secara terbuka dalam sidang medianya di Kota Bharu.

Katanya dia hanya mahukan penjelasan pimpinan parti mengenai pengguguran Khairuddin daripada jawatan sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat kerana penerangan diberi Takiyuddin tidak memuaskan.

Kata bekas ketua Pemuda PAS itu lagi, Khairuddin sebenarnya sedang sedih kerana dilanda musibah.

Dalam keadaan begitu katanya Takiyuddin seolah-olah meletakkan garam pada luka dialami bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi tersebut.

"Mana adab berjemaah dan adab berkawan? Jangan ajar saya bab adab kalau kita lebih tak beradab,” kata Nik Abduh yang dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Khairuddin merupakan salah seorang pemimpin PAS yang selalu terkedepan dalam pelbagai isu serta keranggiannya menyampaikan pandangan.

Itu baru adil

Bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat itu bagaimanapun kalah mengejut dalam pemilihan parti yang diadakan di Kuala Terengganu pada awal Nov tahun lalu.

Turut gagal mendapat undi mencukupi bagi mengisi jawatan AJK PAS Pusat ialah Nik Abduh sendiri. PAS kemudian melantik kedua-dua mereka - selain Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air, Mohd Zuhdi Marsuki - menyertai badan utama parti terbabit.

Bagaimanapun pada 12 Jan lalu mesyuarat yang diadakan PAS membuat keputusan memecat Khairuddin daripada jawatan lantikan tersebut.

Hari ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa pemecatan tersebut dibuat atas alasan disiplin dan parti terbabit tidak bercadang untuk menjelaskan hal tersebut lebih lanjut kepada orang ramai.

Abdul Hadi juga mendakwa 99.9 peratus ahli PAS bersetuju dengan pemecatan berkenaan. 

Nik Abduh berkata dia tidak marah atau kecewa apabila ada orang lain yang berasa tidak senang dengan pandangan yang dilontarkannya melalui media sosial berhubung isu pemecatan Khairuddin.

Pun begitu, anak bekas menteri besar Kelantan itu meminta orang ramai agar bersikap adil kepadanya.

“Saya tak pernah marah ahli PAS yang marahkan saya kerana tulisan itu atau mana-mana tulisan saya sebelum ini berkaitan parti. Itu tanda mereka sayang parti dan jamaah.

“Mereka dapat pahala (kerana teguran tersebut), cuma (kalau) nak marah saya sekali, kena marah juga setiausaha agung dua kali.

"Kalau (marah saya) 10 kali, dia mesti kena 20 kali, (sebaba) dia mula dulu, itu baru adil,” katanya.

Nik Abduh juga mendakwa bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah menasihatkan Takiyuddin agar membuang egonya namun tidak pasti adakah ia dipatuhi atau sebaliknya.

“Saya kenal dia (Takiyuddin) sejak zaman almarhum ayah saya lagi dan kami amat rapat. Dia kena belajar buang ego diri apabila menjadi orang besar. Itu nasihat ayah saya kepada dia.

"Tak tahulah kalau dia tak tahu nasihat ayah ini,” katanya.

Anwar perlu letakkan pasukan muda hadapi PRU 15 jika mahu menang

MALAYSIA DATELINE

Presiden Keadilan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta meletakkan pasukan muda yang kuat dan boleh dipercayai sekiranya mahu parti itu dan PH mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Ahli Parlimen parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam tulisannya berkata, ini kerana kebanyakan pengundi yang akan mengundi dalam PRU-15 nanti lahir di era selepas Reformasi dan tidak faham dengan perjuangan itu.

“Apa yang saya perkatakan tentang keinginan generasi muda mampu dicapai sekiranya Presiden Keadilan, Anwar Ibrahim mampu meletakkan pasukan muda yang kuat dan boleh dipercayai,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa dalam tulisan itu.

Katanya, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk PH dan PKR memenangi pilihan raya umum yang seterusnya.

“Kita perlu bersedia dengan permainan yang akan dilakar oleh Umno,” kata beliau.

Katanya, PKR dan PH telah menghadapi fasa-fasa yang sukar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika rakyat mengharapkan prestasi mereka berada di tahap yang tertinggi untuk membantu mereka.

“Rakyat mahukan reformasi – pada sektor kesihatan, ekonomi dan perubahan iklim.

Hanya dengan matlamat dan azam yang betul kita akan dapat mengembalikan keyakinan kepada rakyat. Proses mendapatkan kepercayaan rakyat harus segera kita mulakan,” katanya.

Katanya, demografi pengundi Malaysia setelah Undi18 dilaksanakan akan menyaksikan penambahan 5.8 juta pengundi dengan 1.2 juta pengundi berumur di antara 18 sehingga 21 tahun.

“Sekiranya PRU15 diadakan pada tahun ini, pengundi termuda lahir pada tahun 2004 – selepas tercetusnya Reformasi.

“Kita harus tetap berbangga dengan sejarah yang dimiliki oleh Keadilan, namun kita harus mencari jalan untuk menjadi relevan dalam kalangan pengundi-pengundi muda,” katanya.

Sebagai contoh yang mudah, katanya, mereka harus membiasakan diri dengan aplikasi yang terkenal dengan demografi anak muda – seperti TikTok.

“Kita harus menggunakan platform seperti ini untuk menyampaikan mesej tentang apa yang kita perjuangkan.

“Kita tidak boleh berada pada takuk yang lama – masih lagi menggunakan isu-isu ketika PRU14 sebagai modal.

“Saya yakin pengundi-pengundi sudah mula muak dengan isu-isu yang sama berulang kali,” kata beliau.

Katanya, PH dan PKR sudah pernah menjadi kerajaan Persekutuan. Mereka juga memiliki kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.

“Rakyat akan menilai kita ketika kita sedang berkuasa,” katanya.

Ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan, selain daripada Undi18, PH juga cuba mengembalikan hak keistimewaan untuk Sabah dan Sarawak yang akhirnya gagal kerana permainan politik Umno, Pas, dan GPS!

“Kita juga mendesak supaya gaji minimum dinaikkan, dan menjadikan sekolah mudah diakses untuk semua. Kerajaan ketika itu juga lebih terbuka kepada media.

“Cuma tempoh 22 bulan ini juga ada cacat dan kelemahannya. Ia adalah masa yang sesuai untuk kita semua jalan ke hadapan dan fokus membantu rakyat,” katanya.

Macam mana Ahmad Dusuki boleh kuliah di Masjid Al Ikhlas Shah Alam?

MALAYSIA DATELINE

Susulan arahan Majlis Agama Islam Selagor (Mais) menarik balik tauliah mengajar dalam kalangan aktivis politik, hari ini netizen mempersoalkan bekas AJK Ulamak Pas Pusat Ahmad Dusuki Abdul Rani mengadakan kuliah di Masjid Al Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam.

Ahmad Dusuki dikatakan dijemput oleh pihak masjid berkenaan pada 19 Januari lalu dengan tajuk  ‘Kematian’ mengalu-alukan netizen untuk mengikuti kuliah maghrib yang juga dibuat secara langsung di Facebook Masjid Al Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam.

Bagaimanapun, netizen mempersoalkan kehadiran aktivis politik Pas itu ketika Sultan Selangor menitahkan tauliah mengajar ditarik balik.

Titah Sultan agar tidak membenarkan Islam dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak khususnya di masjid dan surau.

Pengguna Facebook Jamzuri Ardani berasa hairan macam mana ustaz yang cukup sinonim dengan ‘azab kubur’ boleh melanggar titah Tuanku Sultan.

“Aikkkk …. Macam mana dia ni boleh langgar titah Tuanku agar orang politik tidak lagi dibenarkan berkuliah di surau dan masjid?

“Ada double standard ke?

“ADUN dan MP dari PH di Selangor pun tak boleh kuliah, tetiba mamat ni selamba je langgar titah Tuanku.

Apa sudah jadi?” soal beliau.

Statusnya ini turut dikomen netizen yang mana meminta satu laporan polis dibuat terhadap ustaz tersebut.

“Power dia nie.. Setakat sultan apa kisah sgt… Petir pon terperlanting aje,” balas Sun Jun.

“Biar dulu, masa tgh perform tu cekup terus dgn ajk sekali. Ingkar arahan Sultan,” tulis Mohd Zakie.

Hasil tinjauan di Facebook Masjid Al Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam petadbir akaun Facebook ini telah membuat dua kali posting berkenaan kuliah daripada ustaz terbabit termasuk siaran langsung.

“Mohon jasa baik utk SHARE & TAG sahabat2 kita yg lain agar kita semua sama2 dapat mengambil manfaat drpdnya. Insha Allah,” tulis pentadbir Facebook masjid.

Namun ada juga netizen bertanya apakah AJK masjid melanggar titah Sultan.

“Langgar titah sultan ker ajk masjid,” tulis Yusdi Yahaya Mohd.

Mulai 1 Januari semua tauliah mengajar yang sebelum ini diberikan aktivis politik di Selangor terbatal dan akan ditarik balik dan tauliah untuk mengajar agama kepada individu yang terlibat aktif dalam politik juga tidak akan dikeluarkan lagi.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof seseorang yang mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Jika disabit bersalah, katanya, seseorang itu boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bolehkah Muhyiddin bertahan dalam PRN Johor?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin berdepan situasi dan pilihan sukar jika pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan, menurut pakar.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berkata, Umno mendesak PRN Johor diadakan ketika ini untuk menguji kekuatan dan sokongan Muhyiddin.

“Salah satu sebab utama adalah untuk menamatkan riwayat Bersatu dan meletakkan Muhyiddin dalam kedudukan yang janggal ketika PRU15.

“Sebab itu Umno mendesak pilihan raya negeri diadakan,” katanya kepada FMT.

Azmi yang meramalkan bahawa PRN Johor boleh diadakan sejurus selepas Tahun Baharu Cina berkata, ia akan menguji sokongan akar umbi Muhyiddin di negeri paling selatan itu.

“PRN Johor sama ada akan menenggelamkan atau memberi rangsangan politik kepada Muhyiddin. Kerjaya politiknya bergantung kepada PRN ini,” tambahnya.

Muhyiddin, 75, adalah Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Pada 2008, Ahli Parlimen Pagoh itu bertanding dan memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno dan pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Najib Razak.

Namun, beliau digugurkan daripada jawatan itu pada 2015 kerana lantang dan kritis terhadap kerajaan serta partinya berhubung skandal 1MDB.

Pada 2016, beliau bersama beberapa pemimpin lain menubuhkan Bersatu yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH). Ketika itu PH menguasai kerajaan selepas menang dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Beliau menjadi Perdana Menteri selepas PH tumbang pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton, tetapi disingkirkan 17 bulan kemudian selepas hilang sokongan, sekali gus menjadikan beliau Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara.

Bulan lalu, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengadakan PRN selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai Barisan Nasional hanya berkelebihan satu kerusi selepas kematian ADUN Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian.

Penganalisis Kenneth Cheng berkata, Umno mungkin merancang langkah taktikal untuk memusnahkan Bersatu di Johor. “Langkah Umno mungkin mahu mengaibkan Bersatu sebelum PRU15 diadakan,” katanya kepada FMT.

Semasa PRU14, beliau berkata, PH mahu Bersatu bertanding seberapa banyak kerusi Parlimen dan DUN bagi mengukuhkan parti baharu itu kerana gabungan itu percaya pembangkang mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenangi kubu kuat Umno.

Tetapi kini katanya, Umno yakin dapat memenangi semula beberapa kerusi DUN yang dimenangi Bersatu.

“Muhyiddin kini dalam dilema,” kata Cheng. “Beliau akan dicemuh jika memilih untuk tidak bertanding dan berdepan dengan keadaan memalukan jika Bersatu tidak beraksi dengan baik kerana negeri itu dilihat sebagai kubu kuat beliau,” katanya.

Disebabkan itu beliau berkata, walaupun BN Johor masih boleh mentadbir negeri itu dengan majoriti satu kerusi, namun ia mahu “merosakkan” Bersatu sebanyak yang boleh sebelum PRU diadakan.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pertaruhan bagi BN dan Bersatu adalah tinggi dan kedua-duanya mungkin cuba menjatuhkan satu sama lain “seboleh-bolehnya”.

Akan tetapi sebelum pilihan raya beliau berkata, akan ada beberapa pemimpin daripada PAS dan Bersatu akan cuba mendapatkan semula kerjasama Umno.

Tambah Sivamurugan, PRN Johor akan menjadi “ujian pengaruh” untuk kerusi DUN Gambir yang dimenangi Muhyiddin.

“Ia (Gambir) menjadi kubu kuatnya dan jika PRN diadakan, ia akan mendedahkan sama ada beliau masih mendapat sokongan tempatan,” tambahnya.

Wanita Islam dihukum mati kerana hina agama, sebar karikatur Nabi Muhammad

ISLAMABAD: Seorang wanita beragama Islam dihukum mati oleh mahkamah Pakistan kerana didapati bersalah menghantar teks berunsur penghinaan dan karikatur Nabi Muhammad menerusi aplikasi WhatsApp.

Menghina agama merupakan kesalahan serius di Pakistan yang majoritinya penduduk beragama Islam, dengan undang-undang menetapkan hukuman mati kepada pesalah.

Namun, hukuman mati melibatkan kesalahan menghina agama belum pernah dilaksanakan di negara ini.

Aneeqa Ateeq, 26, ditahan pada Mei 2020 selepas didakwa memuat turun ‘bahan berunsur penghinaan terhadap agama’ sebagai status WhatsApp.

Seorang rakannya meminta wanita itu menukarnya, namun dia menghantar bahan berkenaan kepadanya.

Menghasilkan dan menyebarkan karikatur Nabi Muhammad dilarang sama sekali dalam agama Islam dan disebabkan kesalahan itu, mahkamah di Rawalpindi mengenakan hukuman mati terhadap Aneeqa, selain penjara 20 tahun.

Hampir 80 peratus individu dipenjara di pakistan kerana menghina agama dengan separuh daripadanya menjalani hukuman penjara seumur hidup. – AFP

PAS TINGGALKAN BERSATU SELEPAS PRN JOHOR?

Shahbudin Husin 

Kemungkinan PRN Johor diadakan dalam waktu terdekat ini seperti sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Selain UMNO sendiri begitu mahukan PRN tersebut diadakan kerana yakin mandat lebih meyakinkan boleh diperolehi, kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang menyerahkan kepada kepimpinan kerajaan negeri Johor untuk memutuskannya, seterusnya mengadap Sultan Johor untuk mendapatkan perkenan, adalah gambaran semuanya hanya menunggu detik dan ketika saja untuk dijadikan kenyataan.

Pimpinan UMNO juga difahamkan amat positif terhadap keperluan mengadakan PRN di negeri itu kerana selepas kejayaan cemerlang di Melaka, kejayaan yang sama juga mampu dicipta di Johor.

Sementara banyak pihak daripada pelbagai aliran politik rata-ratanya yakin arus kemenangan ternampak lebih memihak kepada BN, persoalan lain ialah apakah nasib Bersatu dan Mahiaddin Md Yasin selepas PRN itu nanti?

Johor bukan saja tapak politik Mahiaddin di mana beliau adalah Ahli Parlimen Pagoh dan Adun Gambir sekarang ini, malah bekas Perdana Menteri itu juga ialah Pengerusi Bersatu negeri berkenaan.

Untuk itu, jika PRN diadakan, sama ada Mahiaddin berani mempertahankan kerusinya atau tidak bukan lagi persoalan utama lantaran yang lebih penting ialah sejauh mana Bersatu mampu mempertahankankan 11 kerusi yang sedang dimilikinya sekarang?

Seterusnya, jika gagal mempertahankan kemenangan sedia ada, lebih buruk andai hilang semua 11 kerusi itu, apakah pula nasib politik Mahiaddin dan Bersatu dalam PRU15 akan datang?

Semua itu akan menjadi perhatian utama, malah adalah benar bahawa PRN Johor diadakan, selain untuk mendapatkan mandat rakyat yang lebih jelas, lebih penting lagi matlamatnya ialah untuk membunuh masa depan Bersatu.

Kiranya Bersatu kalah teruk, ditambah jika Mahiaddin sendiri kalau berani bertanding, turut kecundang di DUN Gambir, tentulah ia memberi gambaran yang gelap buat PN dalam PRU15 akan datang.

Makna kata, PRN Johor itu nanti bakal menunjukkan laluan ke kuburan yang lebih awal buat Bersatu, Mahiaddin dan PN.

Dalam konteks berkaitan, tidak mustahil kekalahan PN dalam PRN Johor nanti akan turut membuatkan Pas meninggalkan gabungan tersebut sebelum tibanya tarikh PRU15 diadakan.

Atau setidak-tidaknya Pas akan bertanding sendirian dengan menggunakan logo bulannya dalam PRU15 akan datang dan tidak lagi memakai lambang Perikatan Nasional sebagai suatu perkongsian sedia adanya dengan Bersatu.

Maka itu, daripada satu sudut untuk melihat Bersatu yang di dalamnya penuh dengan watak-watak pengkhianat dapat ditunjukkan jalan mati yang lebih cepat iaitu sebelum PRU15 lagi, kebaikan perlunya PRN Johor diadakan lebih awal tidaklah harus ditolak begitu saja. – ShahbudinHusin 21/01/2022.

Mat Sabu: Kenapa tak letupkan pam air rosak untuk keluarkan banjir di Sri Muda?

Nora Mahpar

Mohamad Sabu berkata, pam air rosak yang mengakibatkan air banjir terperangkap boleh dibom dan digantikan dengan pam baharu selepas mengambil kira kemampuan negara membayar faedah hutang 1MDB berjumlah berbilion ringgit.

KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) menuntut penjelasan mengapa tentera tidak meletupkan pam air yang rosak di Sungai Muda bagi mengeluarkan air banjir yang terperangkap dalam kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam, pada 18 Dis lalu.

Ketika membahaskan usul mengenai bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, Presiden Amanah itu berkongsi pengalamannya menyertai operasi membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda selepas beliau menyaksikan sendiri air sungai lebih rendah daripada paras banjir.

“Ketika itu saya pergi ke tebing (Sungai Muda), ramai tentera di situ. Masa itu air sungai sudah rendah daripada paras banjir. Saya tanya kenapa air banjir lambat surut, mereka kata pam tiada elektrik, jadi terpaksa cari pam untuk keluarkan air.

“Air banjir nak dipam keluar. Bayangkanlah.. saya tahu saya bukan menteri lagi, tetapi saya bercakap dengan jeneral tentera di situ tidak bolehkah bom (letupkan) pam yang rosak supaya air dapat keluar dengan cepat. Pam dibom kemudian kita buat baru, kita boleh bayar faedah hutang 1MDB berbilion-bilion apa salahnya kita buat ban baru,” katanya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, pasukan keselamatan tidak boleh dipersalahkan berhubung kelemahan sistem pengurusan itu kerana tiada arahan awal diberikan.

“Pasukan keselamatan kita sudah bersedia, FRU pun sudah bersedia dari awal, tapi kita tahu mereka bertindak mengikut loceng (kecemasan). Ertinya loceng itu tidak dibunyikan, loceng itu daripada siapa? Perdana Menteri, menteri?” soal beliau.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, dalam keadaan kecemasan seperti bencana besar, Malaysia seharusnya tidak harus malu untuk meminta bantuan daripada negara jiran khususnya yang mempunyai perjanjian bencana dengan Malaysia.

“Kita bantu Laos ketika negara itu dilanda banjir besar pada 2020 dan gempa bumi di Indonesia. Malaysia dalam keadaan cemas begini jangan malu untuk minta bantuan daripada negara yang ada perjanjian bencana dengan kita. Jangan kata kita boleh buat tetapi (sebenarnya) tak mampu,” katanya.

Jangan heret saya jadi kurang ajar, ‘kata dua’ ahli Pas kepada Nik Abduh

FAZLI RADZI

Perpecahan dalaman Pas ketika parti itu menjadi kerajaan dilihat semakin memuncak apabila ada ahli parti tersebut bersuara secara terbuka ‘menyekolahkan’ Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Penyokong tegar Pas, Ahmad Fahmi Mokhtar mempersoalkan kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Bachok itu berhubung kontroversi pengguguran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ahmad Fahmi berkata, Nik Abduh tidak wajar membangkitkan keputusan mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur minggu lalu itu di khalayak umum sebaliknya perlu diketengahkan dalam mesyuarat peringkat dalaman.

Dia bahkan mengakui sakit hati apabila membaca tulisan Nik Abduh yang mempersoal kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menolak alasan pengguguran Khairuddin daripada AJK Pas Pusat atas faktor perselisihan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Fahmi yang memberitahu pernah mengundi Nik Abduh di Parlimen Pasir Mas menegaskan dia tidak hairan jika tulisan tersebut datang daripada ahli biasa Pas.

“Namun, apabila ianya datang daripada AJK Pas Pusat dan ahli Parlimen Pas, ianya agak menyakitkan hati saya sebagai ahli Pas yang diajar dengan adab dan akhlak jemaah.

“Apakah YB Ustaz Nik Abduh terlupa yang beliau merupakan AJK Pas Pusat yang dilantik kembali setelah tewas dalam pemilihan Muktamar yang lalu?

“Jika YB Ustaz Nik Abduh tidak dilantik pun, beliau masih ahli parlimen Pas yang tak wajar menulis sedemikian,” katanya kelmarin dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Nik Abduh menegaskan Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi adalah pemimpin Pas yang amat kuat menyokong usaha-usaha bagi memulihkan hubungan Pas dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN)yang, katanya, “semakin suram cahayanya.”

Nik Abduh berkata, pengguguran Khairuddin mesti bersebab dan penjelasan harus diberikan kepada umum bukan hanya kepada ahli parti sahaja.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi dalam tulisannya bertajuk, “Teguran Murni Buat YB Ustaz Nik Abduh” itu berkata, dia juga ingin menegur Nik Abduh dalam lapangan awam memandangkan anak Almarhum Nik Aziz itu telah terlebih dahulu berbuat demikian.

“Sebagai AJK Pas Pusat Lantikan dan Ahli Parlimen Pas sewajarnya saranan yang dibuat YB perlulah dibawa dalam mesyuarat dalaman. Buat desakan dalam mesyuarat tersebut.

“Jika boleh saya cadangan, YB Ustaz Nik Abduh bolehlah menyatakan sebegini, “Saya mendesak YB Tan Sri Presiden atau YB Dato Seri SUA mengemukakan alasan kepada awam berkenaan pengguguran YB At-Takiri”.

“Kalian bincanglah dalam mesyuarat perkara ini. Jika keputusan menerima maka buatlah, jika keputusan kata tidak, maka terimalah. Inilah ajaran syura, ‘kan?” bidasnya.

Kurang ajar

Dalam masa sama, Ahmad Fahmi turut menyifatkan Nik Abduh seolah-olah ingin memanaskan lagi isu pengguguran Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu.

“Ingat kami kisah sangat, yang lebih utama bagi kami adalah keteguhan parti dan keputusan parti yang mesti dipatuhi.

“Saya tiada masalah dengan semua pimpinan malah saya hormati semuanya sama ada YB (Nik Abduh) sendiri, mahupun YB At-Takiri ataupun YB Taki sebagai pimpinan saya.

“Namun, apabila YB Ustaz Nik Abduh menunjukkan akhlak sebegini, amatlah mendukacitakan saya. Jangan heret saya menjadi kurang ajar kepada orang yang saya hormati. Tolonglah YB,” tegasnya lagi.

Nik Abduh yang dalam tulisannya kelmarin juga mengaku sebagai sahabat rapat Khairuddin.

Menurutnya, penjelasan rasmi berhubung sebab pengguguran Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu harus diberikan segera bagi membina persepsi yang baik kepada Pas.

“Apabila seorang orang besar parti mencabar beliau (Khairuddin) agar menyatakan alasan pengguguran, maka ia adalah buruk dan teruk. Macam tercabar, lalu marah dan tunjuk ‘bekeng’.

“Logiknya Dato Khairuddinlah yang patut mencabar sebab beliaulah yang patut rasa tercabar atau marah kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin jamaah yang masih belum diketahuinya secara rasmi sebagaimana telah dijelaskan dalam mesyuarat Pas Pusat,” hujah Nik Abduh lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi yang difahamkan penyokong kem Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap isu tersebut dapat ditangani.

“Semoga kekeruhan yang nipis ini dapat diharmonikan dalam mesyuarat nanti agar saya sebagai ahli tidak serabut perut dengan akhlak sebegini,” tambah Ahmad Fahmi lagi.

Menteri PAS tersinggung dikatakan pentingkan soal umrah ketika banjir

MALAYSIA DATELINE

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti tersinggung apabila beberapa Ahli Parlimen Pembangkang mempersoalkan ketiadaan beliau ketika banjir besar melanda negara 18 Disember lalu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu terus bangun apabila Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu mempersoalkan menteri berkenaan yang mementingkan soal umrah daripada nyawa rakyat ketika banjir.

“Patut pecat menteri macam ini,” kata Kota Raja ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Port Dickson.

Ekoran itu, Menteri Kasa terus bangun dan memberitahu beliau akan menjelaskan persoalan yang dibangkitkan itu dalam masa yang sama turut membidas ada Ahli Parlimen ke luar negara bermain salji.

“Saya akan jawab, tapi mana lebih baik, ada yang pergi bermain ski,” celah Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Anwar dalam sesi perbahasannya tidak menafikan ramai menteri hilang termasuklah pergi umrah ketika banjir melanda di Lembah Klang.

“Ya PM ada tetapi menteri hilang selepes sidang parlimen, ada yang buat umrah ketika rakyat mati rumah hanyut.

“Kalau pergi balik segera, ini tidak orang hanyut mati kita duduk ‘labaikallah’. Saya tidak remehkan umrah tetapi keutamaan.

“Sepatutnya PM tak perlu arahkan menteri pulang, kalau menteri tahu tanggungjawab segera pulang,” katanya.

Justeru Anwar meminta kerajaan memperbetulkan perkara ini dan memberi penjelasan kepada rakyat supaya ianya tidak berulang.

Houthi mengganas di UAE

ATRIZA UMAR

Puak Houthi telah melancarkan serangan dron ke atas ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi pada Isnin lalu yang menyebabkan tiga orang maut selain lapan cedera akibat letupan tangki minyak.

Serangan tersebut dilakukan di kawasan Musaffah dan kawasan dalam pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar Mesir berkata bahawa Kementerian Luar UAE memaklumkan bahawa dua warga Mesir adalah antara yang cedera dalam kemalangan itu.

Duta Mesir, Sherif El-Badawi merancang untuk bertemu dengan mereka yang menjadi mangsa serangan Houthi itu.

Kementerian Luar UAE berkata bahawa penyerang tersebut tidak akan terlepas daripada hukuman kerana mensasarkan ibu kota Abu Dhabi.

“Kami berhak untuk bertindak balas terhadap serangan ini,” tegasnya.

Kecaman masyarakat antarabangsa

“Kami mengecam tindakan pengganas Houthi yang mensasarkan kawasan dan kemudahan awam di bumi UAE ini. Mereka yang melakukan kekejaman itu tidak akan terlepas daripada hukuman.

Menyifatkan serangan itu adalah satu jenayah yang kejam, Kementerian Luar UAE menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengutuk dan menolak sepenuhnya tindakan pengganas ini yang mensasarkan orang awam serta fasiliti awam.

Dalam satu kenyataan, Syarikat Minyak Kebangsaan Abu Dhabi (ADNOC) mengesahkan kematian tiga pekerja dalam kebakaran yang disebabkan oleh insiden di sebuah depoh bahan api di Abu Dhabi.

“Tiga orang awam yang terbunuh itu ialah seorang warga Pakistan serta dua warga India, dalam serangan yang dilakukan oleh dron terhadap kemudahan minyak di kawasan Mussafah dan kawasan dalam pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi yang baharu,” kata Polis Abu Dhabi.

Sidang tergempar

Pada Selasa, UAE menggesa agar diadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB berhubung serangan Houthi itu.

“Kami menyerahkan surat kepada Norway, sebagai Presiden Majlis Keselamatan bagi bulan Januari, meminta satu mesyuarat Majlis untuk menangani serangan Houthi di Abu Dhabi pada Isnin lalu,” kata Wakil Tetap UAE ke PBB, Lana Nusseibeh.

UAE yang juga anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB menggesa badan itu mengutuk tanpa berbelah bahagi serangan puak Houthi tersebut.

“Tindakan haram dan membimbangkan ini merupakan satu lagi langkah dalam usaha Houthi untuk menyebarkan keganasan dan huru-hara di rantau kita,” kata Lana.

Menurutnya, ini adalah percubaan lain oleh Houthi menggunakan keupayaan yang mereka perolehi secara haram untuk menentang sekatan PBB bagi mengancam keamanan dan keselamatan.

Sebelum ini, Houthi yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu mendapat kecaman meluas di rantau Arab dan antarabangsa.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata dalam satu kenyataan:

“Peluru berpandu yang digunakan dalam operasi Taufan Yaman ialah peluru berpandu bersayap Quds 2 yang mensasarkan kilang minyak di Mussafah dan Lapangan Terbang Abu Dhabi dengan empat peluru berpandu.”

Saree berkata, Lapangan Terbang Abu Dhabi disasarkan oleh peluru berpandu balistik Zulfiqar dan pada masa yang sama, dron mensasarkan beberapa sasaran sensitif dan penting sebagai tambahan kepada sasaran sebelumnya dengan dron Sammad 3.

Akan bertindak balas

Berikutan tragedi itu, kerajaan Arab Saudi telah mengesahkan bahawa ia akan bertindak balas dengan semua kekuatan yang ada terhadap tindakan pengecut yang dilakukan oleh pengganas Houthi yang disokong Iran.

“Pengganas tersebut mensasarkan orang yang tidak bersalah dan kemudahan-kemudahan awam serta mengancam keamanan serantau dan antarabangsa.”

“Kerajaan telah mengalami banyak serangan oleh pengganas Houthi,” kata Kementerian Luar Arab Saudi.

Ia menyatakan bahawa kerajaan itu terdedah kepada “serangan oleh lapan dron yang terperangkap samar yang mensasarkan orang awam dan objek awam dengan cara yang sengaja dan sistematik, dan pasukan pakatan berjaya bertindak balas kepada mereka.”

Kerajaan itu turut menekankan bantahan dan kecamannya terhadap semua serangan pengganas yang agresif terhadap kerajaan dan UAE, yang dilakukan oleh kuasa jahat dan keganasan yang telah mendatangkan malapetaka di Yaman, membunuh rakyat Yaman dan terus menyebarkan keganasan serta bertindak dengan tujuan menggugat keselamatan dan kestabilan rantau Arab.

“Kerajaan menegaskan bahawa ia telah membentangkan banyak inisiatif politik untuk mencapai penyelesaian politik yang komprehensif bagi menyatukan semua pihak di Yaman.”

“Tetapi puak Houthi meneruskan keberanian untuk melakukan serangan ke atas wilayah kerajaan UAE, mensasarkan lorong perkapalan antarabangsa, mengganggu bantuan kemanusiaan, meneruskan pelanggaran terang-terangannya terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa.”

Dapat duit Umno pun jadi luas juga, netizen sindir pemimpin Pas

FAZLI RADZI

“Dengan mengenali Allah, kehidupan ini menjadi luas.”

Itu hantaran ringkas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Nik Aziz sebentar tadi di Facebook.

Walau bagaimanapun dalam tempoh hanya sejam, warganet membanjiri ruangan komenar dengan rata-ratanya menyindir Ahli Parlimen Bachok itu.

“Dapat duit Umno pun jadi luas juga,” sinis Ajimae Kemaye manakala Muhammad Vairun berkata, “Dengan mengenali Umno, kehidupan ini menjadi buas”.

Dakwaan rakaman suara yang dipercayai milik Nik Abduh mengatakan “boleh bercakap” dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang tular beberapa tahun lalu juga masih diingati warganet.

“Kalau kenal CIA jadi luas ko dok?,” tanya Najmuddin Yusoff.

Reaksi paling banyak dilihat mengaitkan situasi pemusnahan hutan di Kelantan dalam skala yang besar seperti saujana mata memandang.

“Luas… seluas bumi Kelantan,” komen Muhamad Zaha. Sementara itu, Ezu Den pula berkata, “Luas sangat tu sampai lupa hutan-hutan ini ada had keluasan.”

Bunuh remaja, buang depan balai polis

Hmetro 

New Delhi: Seorang penjenayah bertindak kejam apabila membunuh seorang remaja berusia 19 tahun sebelum membuang mangsa di depan balai polis di Kerala.

Jomon K Jose, 40, yang dimasukkan dalam senarai penjenayah dikehendaki polis dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Shan Babu, kelmarin.

Babu didera dan dibunuh Jose pada malam sebelum mayatnya dicampak di depan balai polis berkenaan.

Jose cuba meloloskan diri selepas membuang mayat mangsa di depan balai polis yang terletak berhampiran pejabat daerah dan penguasa polis.

Bagaimanapun, polis berjaya menjejaki Jose.

Ketika ditahan, lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

Selepas dibuang di depan balai polis, Babu dikejarkan ke hospital namun remaja itu disahkan sudah meninggal dunia.

Ibu Babu berkata, dia sudah membuat laporan polis selepas anaknya didakwa diculik oleh Jose.

Tetapi polis dikatakan gagal bertindak lebih awal walaupun wanita itu sudah memberikan semua maklumat berkaitan penculikan itu.

Polis berkata, Akta Pencegahan Aktiviti Antisosial Kerala sudah dikenakan terhadap Jose atas beberapa siri jenayah yang dilakukannya beberapa bulan lalu.

PAS DAN PERPECAHAN DALAMAN YANG TERSEMBUNYI

1. Kenyataan SUA PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa tindakan pemecatan Khairudin Aman Razali @ Khairuddin Takiri semata mata sebab disiplin adalah tidak tepat tetapi sebaliknya ia berpunca dari perpecahan politik dalaman.

2. Khairuddin pernah melanggar SOP ketika menjadi Menteri sebelum ini apabila tidak kuarantin setelah pulang dari Istanbul tetapi PAS tidak komen sepatah pun dan ada pihak yg cuba membela insiden tersebut walaupun ini insiden menjadi tumpuan negara dan juga media antarabangsa. Imej Pas juga turut tercalar kerana tindakan itu. Jika benar PAS meletak disiplin didepan, ketika itu lagi Khairuddin dipecat.

3. Kalau disiplin juga menjadi pertimbangan utama PAS kenapa isu rasuah berleluasa dan masalah besar SPRM tidak pernah disentuh PAS? Adakah kepentingan tertentu perlu dijaga ?

4. Bukankah sebagai sebuah parti pemerintah kerajaan hari ini, PAS juga perlu ambil berat isu disipilin membendung rasuah juga. 

5. Di Terengganu, begitu banyak poster di gantung untuk JAUHI ZINA tetapi kenapa tidak pernah kelihatan poster “JAUHI RASUAH” yang juga masalah amat besar?

6. PAS bercakap tentang disiplin secara “terpilih” dan bukan menyeluruh secara serius.

7. Tetapi kerana perbezaan politik dalaman PAS Khairuddin Takiri telah digugurkan dari AJK PAS Pusat kerana menyatakan sesuatu yg berbeza dari pandangan pimpinan utama PAS.

8. Ini jelas menunjukkan budaya wala’ yang tebal wujud dan dikuatkuasakan dalam PAS. Pandangan dan pendapat berbeza tidak digalakkan malahan dikawal dengan ketat.

9. Semasa (bekas) ahli PAS yg kini bersama AMANAH hari ini memberi pandangan berbeza sedikit mereka dilabel puak liberal, pro LBGT dan Anwarinas.

10. Kemudiannya berlaku gerakan besar besaran secara cai untuk menyingkir mereka di muktamar 2015.

11. Bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw, perbezaan pendapat bukan suatu yang diraikan dalam PAS, malahan dibendung dan dihukum.

12. Kerana itu istilah wala’ sangat sinonim dengan PAS dan tidak dalam parti parti lain.

13. Sedang wujud hari ini beberapa kumpulan dalam PAS yang berbeza pendapat dan PAS menghadapi bibik perpecahan dalaman yang sukar dibaiki kerana dengan konsep wala’ dalam PAS hari ini, perbezaan pendapat dan kompromi tidak diamalkan dengan sihat.

14. Saya sendiri mengalami kejutan semasa masih menjadi ahli PAS dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu apabila saya menulis rencana tentang jasa dan ketokohan almarhum Tuan Guru Nik Aziz seminggu selepas Tok Guru meninggal.

15. Saya dipanggil oleh ketua kawasan Pas Kuala Terengganu di rumah seorang AJK kawasan selepas solat Jumaat dan “di soal” kenapa saya menulis artikel tersebut tentang jasa dan pendekatan almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang semua orang tahu begitu lembut dan bijaksana penuh berhemah.

16. Pendekatan almarhum Tuan Guru Nik Aziz tidak lagi menjadi “cara” atau budaya PAS dan hanya cara pimpinan sekarang sahaja boleh dipakai .

17. Inilah buktinya perbezaan pendapat tidak diraikan atau diterima dalam PAS hari ini.

18. Isu “disiplin” disebut oleh SUA PAS sebenarnya adalah kerana pihak lain memilih untuk memiliki pandangan berbeza. Sedangkan wala’ adalah satu satunya cara yang dibenarkan dalam PAS hari ini.

19. Bukan hanya pimpinan tinggi seperti Khairuddin Takiri menjadi mangsa, ahli ahli dibawah juga terpaksa “menelan” apa saja budaya tidak sihat PAS hari ini dan mereka tidak berani bersuara.

20. Ramai ahli dan penyokong PAS hari ini amat kecewa dengan perubahan besar sikap serta budaya “Tuan Besar” pimpinan atasan PAS hari ini tetapi mereka terpaksa menelan pahitnya dengan tangisan di belakang tabir.

21. Perpecahan dalaman PAS memang berlaku dengan cara tersembunyi hari ini.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Pengerusi AMANAH Terengganu

17 Januari 2022.

‘Berkawan lama dengan ulama parti ana pun tak berjaya ubah apa-apa’

FAZLI RADZI

Kehadiran Najib Razak di Batu Caves sempena Thaipusam semalam dilihat mengundang reaksi orang ramai dengan rata-ratanya menganggap bekas Perdana Menteri tidak wajar berbuat demikian.

Dalam masa sama, terdapat juga penyokong Najib yang beragama Islam menyebelahi tindakan Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib dalam hantaran di Facebook rasminya memberitahu beliau akan cuba memenuhi undangan komuniti beragama Hindu itu setiap kali sambutan Thaipusam.

“Setiap tahun saya akan cuba meluangkan sedikit masa ke Batu Caves, memenuhi jemputan pemimpin-pemimpin masyarakat India,” katanya.

Walau bagaimanapun, ramai warganet tidak bersetuju bahkan sedih melihat tindakan Najib yang telah melakukan hal sama sejak beberapa tahun lalu.

“Amat sedih apabila melihat pemimpin Islam menyambut hari keagamaan kaum lain. Cukuplah wakilkan pada MIC ataupun apa-apa parti yang berkaitan dengan kaum India.

“Tidak perlu pun DSN (Datuk Seri Najib) terlibat didalamnya. Allahul mustaan (Hanya Allah yang dimohon pertolongan-Nya),” luah Huzaifah Hadis.

Pendapat sama turut dibangkitkan Nour Al-Haq Shahrir yang berkata, “Akidah tidak boleh digadai untuk meraih populariti. Sekadar teguran ikhlas daripada saya.”

Malah, ada pengguna Facebook yang berpendapat tiada hasil pun berbaik dengan Pas selain menganggap kecaman tentunya lebih dahsyat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang berbuat demikian.

“Berkawan lama dengan ulama parti ana pun tak berjaya ubah apa-apa,” sindir Ana Tahu manakala Mohd Shairul Arif pula menulis, “Kalau DSAI pakai macam ini dah berbakul-bakul kena maki.”

‘Hairan bagaimana UPM anugerah hampir 400 PhD tahun ini’

Shasmsul Iskandar Mohd Akin

Berhubung berita Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 hingga 13 Januari lalu terdapat fakta yang perlu diberi pencerahan oleh universiti berkenaan, terutama penganugerahan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Saya tertanya tanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahi PhD di UPM sedangkan universiti universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.

Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan? Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?

Sedangkan 10 universiti terbaik dunia, jika diteliti graduan PhD yang dihasilkan tidak lebih 20 orang setahun. Misalnya universiti terulung dunia seperti Universiti Cambridge hanya melahirkan di bawah sepuluh oleh pelajar PhD setahun dalam 5 tahun terakhir ini.

Adakah PhD yang dihasilkan oleh UPM ini setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan? Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia, dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka apakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?

Penganugerahan PhD bukan perkara kecil. Seseorang yang memiliki PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja kerja yang sesuai dengan kepakarannya. Sekiranya kualiti PhD itu dikompromi maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka.

Saya mendesak Kementerian Pengajian Tinggi agar memantau universiti universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam setahun dan meneliti kaedah penghasilan PhD mereka, sebelum ranking universiti Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN adalah ahli parlimen Hang Tuah Jaya dan ketua penerangan PKR.

Bukan ahli Pas saja perlu tahu sebab Khairuddin digugur, kata Nik Abduh

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pagi ini tampil bersuara mengenai sahabat rapatnya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang digugurkan sebagai ahli jawatankuasa parti.

Ahli Parlimen Bachok berkenaan menegaskan penjelasan kepada umum perlu dilakukan bukan sekadar kepada ahli parti.

“Buah gugur bila sudah cukup masak atau ditiup angin kuat. Buah juga boleh gugur kerana dipotong atau dibedal dengan galah oleh budak-budak. Gugur mesti bersebab.

“Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada umum, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan parti Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

CEO TH pun nak buat Great Reset ke?

Idris Ahmad sudah hubungi CEO TH isu tak benarkan petugas pakai songkok, kopiah

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pada semalam, tular satu memorandum dari pihak Tabung Haji (TH) yang mengarahkan semua kakitangan TH Hotel Kelana Jaya untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, beliau telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Beliau telah meminta agar pihak TH segera menyelesaikan isu tidak membenarkan petugasnya memakai songkok atau kopiah ketika bertugas.

“Lepas balik daripada solat Isyak, dapat maklumat mengenai memorandum TH Hotel Kelana Jaya. Terus hubungi CEO TH Datuk Seri Amrin. Ini respon daripada CEO kepada saya.

“Memo dikeluarkan oleh pengurus hotel tanpa maklum balas. Tiada masalah sebenarnya asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam.

“Saya minta CEO segera selesaikan isu ini,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

terdahulu, dalam memo ditulis Pengurus Hotel TH Kelana Jaya, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin, songkok dan kopiah hanya boleh dipakai apabila ingin menunaikan solat sahaja.

Anggota juga diminta untuk berpakaian kemas termasuk pemakaian kasut yang bertutup dan menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas.

Husam Musa: Kelantan macam ‘lembu kenyang’ setiap kali terima royalti Petroleum

FAZLI RADZI

Ketua AMANAH Bahagian Kota Bharu, Datuk Husam Musa menempelak sikap kerajaan negeri Kelantan yang dilihat hanya berdiam diri selepas menerima hasil petroleum daripada Putrajaya sebanyak RM400 juta.

Bekas Naib Presiden AMANAH itu berkata, kerajaan negeri Kelantan sepatutnya menghebahkan perbelanjaan wang royalti petroleum dan berkongsi hasil galian itu kepada rakyat.

Sehubungan itu, Husam mengingatkan supaya wang royalti petroleum merupakan milik rakyat dan tidak harus disalahgunakan dengan bermewah-mewahan tanpa menyumbang kepada rakyat.

“Setiap kali terima – kerajaan negeri tak maklum pada rakyat Kelantan. Membisu saja. ‘Lembu kenyang’ – katakan.

“Aturlah program biar rakyat jelata dapat mengecapi hasil bumi Kelantan seperti hasrat Bapa Pejuang Royalti – Tok Guru Nik Aziz.

“Jangan dibazirkan. Jangan pemimpin guna untuk bermewah,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Reaksi Husam itu susulan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Kerajaan Pusat telah menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh dua tahun iaitu pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, peruntukan secara langsung dan seratus peratus disalurkan kepada Kelantan berjumlah RM400 juta itu adalah hasil lima peratus daripada pengeluaran medan berdekatan Kelantan.

Mengulas lanjut, Husam juga mengingatkan banyak golongan asnaf yang masih memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri dan wajar diberikan perhatian.

“Sedikit sama dikecapi, banyak sama dilapah.

“Ingat rakyat miskin mengharap, faqir melarat, anak yatim, pelajar dan guru pondok, anak muda inovatif dan kreatif, armalah, warga emas, peniaga kecil, usahawan, peluang niaga dan pembinaan generasi di era digital dan teknologi – antara lain.

“Tiada lagi belanja duit royalti petroleum tanpa ketelusan,” tegas Husam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor ketika bersama Pas.

Kejam! Lelaki penggal kepala ibu

Amirul Aiman Hamsuddin

am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup memenggal kepala ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 5.45 petang yang memaklumkan kejadian seorang wanita dicederakan anaknya.

"Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 56 tahun ditemukan di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan.

"Siasatan lanjut sudah dijalankan bersama pasukan forensik," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek berusia 28 tahun merupakan seorang penganggur yang tinggal bersama mangsa dan suaminya.

Katanya, anak-anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

"Siasatan lanjut mendapati kejadian disedari salah seorang anak mangsa yang gagal menghubungi ibunya sebelum pergi ke rumah melakukan pemeriksaan.

"Tiba di lokasi, anak mangsa nampak keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri di belukar belakang rumah.

"Polis dengan bantuan penduduk kampung berjaya menangkap suspek yang bersembunyi dalam belukar berhampiran dengan rumah mangsa," katanya.

Rumah mangsa yang maut selepas kepala dipenggal anak kandung sendiri. FOTO  Amirul Aiman Hamsuddin

Rumah mangsa yang maut selepas kepala dipenggal anak kandung sendiri. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Menurutnya, polis turut merampas parang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa yang ditemui dalam tandas rumah itu.

"Ujian air kencing dibuat ke atas suspek di Hospital Tanjong Karang (HTK). Hasil laporan awal adalah positif Methamphetamine dan Amphetamine.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Tantawi: Pemecatan Takiri akan teruskan akrab kami

MALAYSIA DATELINE

Rakan rapat Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali berkata, pemecatan beliau dari Jawatankuasa Pas Pusat tidak menjejaskan persabahatan mereka bahkan terus akrab.

AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam tulisan panjang di facebook beliau juga berkata, sebagaimana Khairudin, beliau akan terus mempertahankan kerjasama Pas dengan Umno demi perpaduan ummah, isu yang dipercayai menjadi punca pemecatan Khairudin dan perselisihan dalam Pas sekarang.

“…keputusan Pas Pusat itu satu hal. Persahabatan saya dengan Takiri suatu hal yang lain. Bukan sahaja tidak terjejas bahkan persahabatan kami terus akrab dan baik seperti biasa,” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim), seorang agensi milik kerajaan itu.

Takiri adalah nama timangan untuk Khairudin bagi pemimpin Pas. Ia diambil dari nama kampung beliau, Seberang Takir.

Menurut Tantawi, nama timangan untuk Nasrudin, Takiri sedang dilanda pelbagai fitnah terutama selepas dipecat dari AJK Pas Pusat.

“Malam ini pun masih bertiup angin fitnah pada Takiri kononnya beliau ditawarkan untuk menyertai Umno, Agent Umno, proksi Zahid Hamidi, Takiri nak langgar presiden dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga mendakwa, musuh-musuh Takiri sangat gembira dengan pemecatan beliau itu.

“Gembira sungguh mereka dengan penguguran Takiri dari AJK PAS Pusat. Tidak mengapa, ambillah masa untuk bergembira,” katanya.

Bagi beliau, Takiri boleh terus berperanan dalam Pas bahkan jawatan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura sangat besar kuasanya.

“Takiri masih boleh berperanan besar di dalam PAS sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak (MSU). Boleh sahaja kita rujuk perlembagaan PAS bagaimana bidang kuasa MSU dan juga setiausahanya.

“Selain itu, Takiri juga seorang Ahli Parlimen yang baik serta aktif dan berperanan mewakili PAS, bukan sahaja di Parlimen bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Takiri dipecat sebagai AJK Pas Pusat.

Ia dimaklumkan Hadi kepada wartawan selepas kuliah Jumaat beliau di Masjid Rusila, Marang kelmarin.

Takiyuddin cabar Khairuddin buat dakwaan dipecat kerana MN, PN

N Faizal Ghazali

Timbul tanda tanya kini mengapa Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Di sebalik tanggapan umum bahawa dia digugurkan kerana pendiriannya terhadap Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), hari ini seorang pemimpin kanan PAS menegaskan sebaliknya.

Malah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mencabar Khairuddin - atau mana-mana pemimpin - untuk menyatakan bahawa isu MN dan PN - adalah punca pemecatan tersebut.

"Adakah dia (Khairuddin) berani mengatakan bahawa soal ini (pendirian MN dan PN)?

"Kalau dia berani, dia buat kenyataanlah: 'Saya dipecat kerana ini (MN dan PN). Kalau berani, silakan," katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

Menurut Takiyuddin dia tahu benar apa yang berlaku dalam mesyuarat yang memutuskan pemecatan tersebut kerana menjadi sebahagian daripada anggota pertemuan berkenaan.

Sebelum itu Ahli Parlimen Kota Bharu itu ditanya mengenai punca pengguguran Khairuddin daripada badan atasan PAS itu digambarkan kerana pendiriannya terhadap MN - yang dimeterai bersama Umno.

Kerana masalah pentadbiran

Takiyuddin malah berkali-kali menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak ada kena-mengena langsung dengan isu MN dan PN.

"Not at all (tidak sama sekali), walaupun saya tak nak menghuraikan puncanya, tapi sama sekali tak ada kaitan dengan MN atau PN," katanya.

Keputusan PAS mengetepikan Khairuddin - yang merupakan salah seorang pemuka utama PAS sebelum ini - daripada jawatankuasa pusat PAS mengejutkan ramai orang.

Ia berlaku tidak lama selepas dia menganggotai badan berkenaan secara lantikan ekoran kalah dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Perkembangan itu menyusul selepas dia digugurkan daripada jawatan menteri apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Kelmarin Khairuddin membuat kenyataan pertama selepas pemecatannya dengan menegaskan bahawa "wajib" untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno. 

Takiyuddin berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang membuat kenyataan bahawa pemecatan Khairuddin berpunca daripada isu MN dan PN.

Katanya PAS serius dengan pendirian tersebut.

Kata Takiyuddin isu perbezaan pandangan dalam PAS adalah perkara biasa termasuk mengenai sikap parti terhadap MN dan PN. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu menambah, perbezaan berkenaan sentiasa diraikan dalam PAS, justeru tidak menjadi sebab untuk parti mengetepikan Khairuddin.

Takiyuddin berkata, Khairuddin dipecat atas sebab yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. 

"Ini purely (kerana) masalah pentadbiran dan pengurusan parti," katanya.

Nik Aziz dan Hadi pernah perang dingin kerana kerajaan perpaduan, kata Tantawi

MALAYSIA DATELINE

Buat pertama kalinya secara rasmi, seorang pemimpin kanan Pas mengesahkan bekas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menentang kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga menimbulkan ‘Pertembungan Dingin’.

“Krisis ini mewujudkan pertembungan dingin antara Tok Guru Hj Hadi (Ayah Chik) selaku Presiden Pas dengan Tok Guru Nik Aziz (Ayah Zik) selaku Mursyidul Am PAS pada masa itu.

“Selanjutnya Ayah Chik dituduh nak bawa Pas masuk Umno,” kata bekas Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan yang lebih dikenali sebagai Tantawi (pernah belajar di Tantar, Mesir).

Tantawi berkata demikian ketika menulis panjang (41 perkara) menerusi facebook beliau dalam kolum “Sekali serban dililit” semalam.

Menurut Tantawi, ketika itu, beliau mengambil sikap mempertahankan Hadi yang dipanggil sebagai “Ayah Chik” dalam Pas.

“Saya bermati-matian mempertahankan Ayah Chik. Saya tahu Ayah Chik benar. Kerana saya selalu ke Rusila untuk mendapatkan first hand maklumat dari Ayah Chik,” kata Tantawi.

Beliau menulis artikel panjang juga mengenai kerajaan perpaduan bagi menjelaskan apa maksud kerajaan perpaduan yang digagaskan oleh Ayah Chik.

Dalam masa yang sama, katanya, “tidak sedikit pun hilang hormat dan kasih sayang saya pada Ayah Zik (Tok Guru Nik Aziz).

“Kerana saya juga anak murid Ayah Zik. Saya menadah kitab di Pondok Pasir Tumbuh dan saya juga menadah kitab di Dewan Zul Kota Bharu pada zaman remaja. (Sebelum masuk pondok, saya menadah kitab di masjid Rusila terlebih dahulu dengan Ayah Chik),” kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyyah (Yadim) itu.

Bagi Tantawi, sikap yang diambil oleh Nik Aziz menolak kerajaan perpaduan itu bukan pendiriannya sendiri tetapi dipengaruhi oleh pegawai di sekeliling beliau.

Beliau mengaku, Nik Aziz juga marah dengan anaknya Nik Mohamad Abduh (ahli Parlimen Pengkalan Chepa sekarang) ketika itu di samping Abdul Hadi.

“Saya sering ke Pulau Melaka mengunjungi Ayah Zik bagi mendamaikan keadaan.

“Tidak memadai bercakap, saya mengutus surat buat tatapan Ayah Zik bagi memurnikan persepsi Ayah Zik pada Ayah Chik dan juga pada sahabat saya seorang lagi, iaitu anaknya sendiri Ust Nik Abduh.

“Kerana pada waktu itu, saya dapat maklum bahawa Ayah Zik sedikit marah dan gusar dengan Ust Nik Abduh selepas Ust Nik Abduh menulis satu artikel panas yang bertajuk “KERJA-KERJA BODOH DALAM PAS”

“Artikel itu membidas “orang yang rapat” dengan Ayah Zik. Melalui surat itu saya menjelaskan kepada Ayah Zik perkara yang berlaku dengan cara dan gaya saya sendiri bagi memurnikan keadaan.

“Walaupun terpaksa berdepan dengan ayah sendiri, Ust. Nik Abduh turut bersama saya mempertahankan Ayah Chik dan aspirasi perjuangannya,” katanya.

PAS DAN UMNO JANGAN PISAHKAN

Tantawi mengaku, beliau dan Nik Abduh benar-benar mendukung agenda kerajaan perpaduan yang yang dibawa Hadi “bahkan sehingga kini kami terus konsisten dengan semangat perpaduan tersebut agar Pas dan Umno jangan dipisahkan dan kami sedia mendepani agent-agent pemecah perpaduan melayu Islam dalam negara ini.”

Menurut Tantawi, beliau bukan menentang Nik Aziz tetapi orang rapat Nik Aziz.

“Tentu sahaja perkara ini tidak mudah. Bukan sahaja mendepani “orang rapat” Ayah Zik pada waktu itu, termasuklah usaha memahamkan sebahagian ahli-ahli PAS yang melihat kami menentang Ayah Zik selaku Mursyid Am.

“Walhal pada waktu itu, kami bukan menentang Ayah Zik, bahkan kami menentang mereka yang “bergayut dijubah” Ayah Zik (Mursyid Am.)” kata Tantawi.

Katanya, “orang rapat” Ayah Zik tersebut mula merencana untuk bertanding Timbalan Presiden PAS dengan alasan PAS dibawah kepimpinan Ayah Chik sebagai presiden tiada hala tuju.

“Panjanglah kalau saya nak cerita satu persatu. Ringkasnya sampai lah Allah tunjuk kebenarannya dengan peristiwa 2015 apabila mereka secara team block masuk pemilihan muktamar untuk mengambil alih kepimpinan PAS.

“Akhirnya keseluruhan mereka tewas dan mereka semua keluar daripada Pas,” yang dipercayai ditujukan kepada peristiwa perpecahan dalam Pas sehingga tertubuhnya AMANAH selepas Muktamar Pas 2015.