"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Shamsul Iskandar disoal siasat polis hampir 5 jam

Timbalan Menteri Perusahaan Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin menghabiskan masa hampir lima jam memberi keterangan kepada polis mengenai siasatan kes video lucah membabitkan salah seorang setiausahanya.

Dalam satu kenyataan Shamsul Iskandar beliau memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira jam 7 petang semalam.

Katanya beliau dihubungi polis pada 13 Jun bagi membantu siasatan ke atas dakwaan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa terlibat dengan aksi seks sejenis.

Haziq ialah setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar. Dalam kenyataannya beberapa hari lalu Haziq mendakwa dia terlibat dalam hubungan cinta sejenis dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Kata Ketua Pemuda PKR Santubong itu kejadian tersebut berlaku pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Kata Shamsul Iskandar polis memberikan layanan baik dan tempat yang selesa sepanjang proses berkenaan.

"Segala penjelasan dan maklumat yang diperlukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia telahpun saya berikan," katanya.

Beliau yang juga ketua penerangan PKR mengajar orang ramai agar kembali memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih utama berbanding isu skandal seks berkenaan.

Haziq ditahan di KLIA

Faisal Asyraf

Polis telah menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai individu dalam video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan bahawa Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan di mana ketua pemuda PKR Santubong itu ditahan atau menjelaskan penahanan tersebut dibuat berdasarkan seksyen apa.

"Kenyataan media akan dikeluarkan kemudian," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam video pengakuannya, Haziq juga mendakwa seorang lagi individu dalam video itu ialah Azmin dan rakaman itu dibuat tanpa kebenarannya di sebuah hotel di Sandakan, 11 Mei lalu.

Azmin menyifatkan dakwaan itu sebagai percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara itu peguam Haziq, Ramesh Kumar berkata beliau tidak tahu lokasi anak guamnya pada masa ini.

"Ketika kami sampai, orang KLIA (polis) berkata Bukit Aman sudah bawanya pergi. Apabila kami tanya siapa yang membawanya, mereka berkata ia hal berprofil tinggi dan tidak memberikan sebarang maklumat.

"Jadi saya telah meminta orang yang mengambil saya (untuk menjadi peguam Haziq) untuk membuat laporan polis berkenaan orang hilang kerana tiada maklumat," katanya kepada Malaysiakini.

Ramesh berkata beliau sedang dalam perjalanan ke Bukit Aman untuk memastikan sama ada Haziq ada di sana.

"Kami perlu tahu di mana dia akan direman esok," katanya lagi.

'Lelaki dalam klip video seks itu bukan anak saya'

Ayah kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz tidak percaya anaknya merupakan salah seorang lelaki dalam klip video lucah yang didakwa turut memaparkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

"Saya sudah tengok klip video pengakuan dan video lucah itu. Video lucah itu nampak meragukan, saya tak rasa itu anak saya," kata Abdul Aziz Ibrahim seperti dipetik The Sun.

"Bagaimanapun, saya tengok video pengakuan itu berapa kali, kerana saya yakin itu bukan anak saya. Saya menganalisis klip video itu, teliti postur badannya, gerak dan suaranya, dengan harapan ia palsu," kata Abdul Aziz, 53.

Abdul Aziz juga dipetik berkata bahawa anaknya adalah seorang heteroseksual.

Laporan itu juga memetik bahawa Abdul Aziz berhubung dengan Haziq semalam, namun tidak menyatakan perbualan berkenaan.

Haziq menjadi tumpuan selepas membuat pengakuan bahawa dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video yang disebarkan oleh individu yang tidak dikenali.

Haziq turut mendakwa individu yang bersamanya di atas katil dalam klip video itu adalah Azmin.

Azmin sudah menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia percubaan untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

Haziq, 27, yang juga merupakan ketua Pemuda PKR Santubong semalam membuat laporan polis di Kelana Jaya dan mendakwa dia bimbang dengan keselamatan dirinya.

Haziq sudah digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

Video lucah: Lokman Adam ditahan polis

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis malam ini susulan menghalang tugas polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sekitar 6.45 petang pegawai dan anggota daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Forensik PDRM Bukit Aman sedang menjalankan siasatan bersabit kes Seksyen 504 Kanun Keseksaan di rumah Lokman di Kajang Hillpark di sini.

Menurutnya, semasa siasatan dijalankan polis mengarahkan Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat untuk menyerahkan telefon bimbit bagi diperiksa namun beliau enggan memberikan kerjasama dan telah menjerit serta memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugasnya.

"Turut bersama Lokman ketika itu adalah seorang lelaki yang juga telah menghalang tugas polis dan mengherdik polis serta melakukan beberapa provokasi lain.

"Susulan itu, kedua-dua mereka ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata kata kesat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Fadzil berkata, kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, individu yang ditahan bersama Lokman ialah bekas Naib Presiden PKR, N Gobalakrishnan.

Petang semalam Lokman hadir ke IPD Kajang bagi memberi keterangan kepada polis berhubung klip video seks didakwa membabitkan seorang menteri Kabinet.

6 helikopter bernilai RM300 juta tidak diterima, kementerian buat laporan SPRM

Nur Hasliza Mohd Salleh
PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan hari ini membuat satu laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian helikopter tentera bernilai lebih RM300 juta semasa pentadbiran lepas yang sehingga kini belum dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumber yang rapat dengan penyiasatan itu ketika ditemui di luar pintu masuk SPRM memberitahu, laporan tersebut dibuat disebabkan perjanjian rundingan yang dimeterai tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Jelas sumber, pembelian menerusi rundingan terus itu mengandungi banyak terma kontrak yang merugikan kementerian sejak peringkat awal lagi.

“Kalau orang baca terma perjanjian, mereka akan tahu ia akan jadi macam ini.

“Antaranya kelulusan yang tidak mempunyai spesifikasi ketenteraan.

“Benda itu satu benda yang wajib dalam urusan ketenteraan,” kata sumber yang enggan dikenali.

Sebelum ini, FMT melaporkan sebanyak 6 buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas dipesan oleh Kementerian Pertahanan yang dipimpin oleh Hishammuddin Hussein ketika itu.

Helikopter berkenaan, yang lebih dikenali dengan panggilan “Little Birds”, dilaporkan menarik minat pegawai kementerian dalam satu demonstrasi sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015.

Bagaimanapun penyiasatan ke atas urus niaga itu mendedahkan maklumat mengejutkan mengenai pembelian tersebut, selain hakikat bahawa ATM tidak menerima helikopter berkenaan.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, syarikat di Malaysia yang menjadi ejen rundingan tersebut sudah pun ditamatkan kontrak sebagai ejen rasmi oleh McDonnel Douglas di AS.

“Dimaklumkan, syarikat itu kepunyaan bekas pegawai kanan kepada Hishamuddin ketika beliau menerajui kementerian,” katanya.

Sehingga kini, sumber itu memaklumkan, kerajaan sudah pun membuat bayaran sebanyak 35% harga pembelian helikopter tersebut bersamaan dengan RM112 juta.

Namun hingga saat ini, tiada helikopter tentera yang dihantar ke negara ini.

“Penghantaran sepatutnya mengikut 2 fasa. Pertama, pada Julai 2017 iaitu 2 buah, dan fasa ke-2 pada Disember 2018 untuk penghantaran baki 4 helikopter.

“Tapi sampai sekarang, sebuah pun tak ada,” katanya.

FMT cuba mendapatkan respons Hishammuddin.

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti

ARIF ATAN

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan perbuatan mendedahkan maksiat peribadi bukanlah suruhan agama.

Menurutnya, maksiat peribadi berbeza dengan maksiat yang mengancam keselamatan awam ataupun berbahaya kepada sesuatu pihak.

Sehubungan itu, katanya, maksiat peribadi hendaklah diberi amaran agar orang ramai, ataupun pihak yang terlibat selamat dari ancaman.

“Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan.

“Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri,” tegasnya.

Dr Mohd Asri memuatkan kembali penjelasannya di Facebook DrMAZA.com berhubung persoalan maksiat peribadi pada lapan tahun lalu yang katanya boleh turut dirujuk dalam buku beliau, Menjawab Persoalan Menjelaskan Kekeliruan.

“Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing,” ujarnya.

Beliau menjelaskan dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya.

“Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya, praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

“Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain,” katanya.

Dr Mohd Asri menyifatkan mereka terbabit melanggar pantang larang agama dalam berpolitik dan wabak inilah, tegasnya, sedang memakan diri mereka sendiri.

“Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.

“Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.

“Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian,” tambahnya lagi.

Azwan dakwa pernah diajak berkomplot jatuhkan Azmin

Nadia Azam

Selebriti Azwan Ali - atau juga dikenali dengan nama Diva AA - mendakwa dia pernah diajak beberapa kali untuk berkomplot menjatuhkan abangnya.

Kata Azwan, dalam pertemuan itu yang berlangsung sebelum pilihan raya umum lalu, pihak itu juga pernah bersumpah untuk menjatuhkan Azmin "pada bila-bila masa".

"Dia mendakwa berkawan baik dengan Azmin dan bersumpah pada saya untuk jatuhkan abang saya pada bila-bila masa.

"Akhirnya ia benar-benar berlaku. Nampak tak perancangan mereka?" katanya yang dihubungi Malaysiakini semalam.

Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan melalui rakaman video bahawa dia adalah orang yang sedang bercumbu dengan lelaki lain - didakwanya Azmin - dalam sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Kata Haziq, kejadian itu dirakam tanpa pengetahuannya.

Kenal hati budi abang

Setakat ini dia berkhidmat sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin, yang juga ketua penerangan PKR.

Petang semalam Azmin mendakwa pendedahan itu sebagai fitnah bersifat jahat dan kejam, bertujuan untuk mencemar reputasinya.

Beliau yang juga menteri hal ehwal ekonomi menambah, peguam sudah diberi arahan untuk meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas pihak yang membuat tuduhan ke atasnya.

Azwan berkata turut datang bersama ialah seorang individu lain yang mendakwa bekerja sebagai pembantu peribadi abangnya.

“Bagi mereka Azmin tak layak duduk di atas," katanya.

Azwan semasa menjadi calon bebas dalam PRU ke-14 lalu
Azwan yang beberapa kali pernah mencetuskan kontroversi serta bertanding menentang Azmin di Bukit Antarabangsa dalam PRU lalu bagaimanapun 'lega' dengan dakwaan Haziq itu.

“Baguslah mereka buat perkara begini untuk buka mata rakyat yang buta ni, well done, dan saya tak rasa video itu palsu,” katanya.

Menurut Azwan ada sebab-sebab tertentu mengapa dia tidak menyertai komplot berkenaan.

Dia yang mengaku cukup "mengenali hati budi" Azmin berkata, anggota parlimen Gombak itu tidak perlu berdolak-dalih menafikan perkara tersebut.

Azwan, 53, juga menggesa Azmin supaya bertanggungjawab untuk tampil membersihkan nama keluarga dan adik-beradik mereka.

Menganggap apa yang menimpa Azmin sebagai kifarah, Azwan berkata, Azmin perlu bermuhasabah akibat perbuatannya yang didakwa memfitnah dirinya di depan ibu mereka, Che Tom Yahaya.

"Ini karma Tuhan bayar tunai sebab hina saya depan Mak Tom, ia juga jadi punca saya tak lawat mak waktu mak sakit sampai dicap anak derhaka," katanya.

Che Tom meninggal dunia pada 18 Februari, 2017 pada usia 82 tahun selepas diserang angin ahmar.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak yang didakwa membuat tawaran itu kepada Azwan dan mendapatkan penjelasannya.

Selepas penafian Azmin, 'bahagian 2' klip video seks disebar

Pihak yang tidak dikenali menyebarkan satu lagi klip video skandal seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, petang tadi.

Klip yang sepanjang kira-kira 90 saat itu kelihatan dirakam dalam bilik sama dan memaparkan dua lelaki sama seperti dalam tiga video lebih awal dan ditularkan sejak petang Selasa.

Penyebaran video terbaru itu juga menggunakan modus operasin sama, iaitu pihak yang berkenaan membuat kumpulan WhatsApp dan menjemput wartawan serta pemimpin tertentu PKR.

Sesetengah kumpulan tersebut dipercayai menggunakan nama samaran untuk melindungi identiti mereka, dan memilih nama seperti Najib Razak sebagai pengasasnya.

Bekas perdana menteri, Najib, yang ditanya mengenai hal itu menafikan terlibat atau ada sebarang peranan di sebalik kumpulan tersebut.

Secara keseluruhan Malaysiakini mendapat ada sekurang-kurangnya lima kumpulan WhatsApp seumpama itu dibuka dengan nombor berbeza, tetapi semuanya bermula dengan "011".

Ia juga dipercayai wujud serentak kira-kira jam 6.55 petang tadi.

Dakwa tak layak jadi pemimpin

Klip video berkenaan berakhir dengan paparak teks mendakwa kejadian itu berlaku di Hotel Four Point, Sandakan di antara jam 1 pagi dan 2 pagi pada 11 Mei lalu.

Kumpulan WhatsApp dinamakan "Azmin Ali Part 2/4," membayangkan pihak yang terbabit sedang merancang untuk menyebarkan lebih banyak video mengenai kejadian itu.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR petang tadi menafikan sekeras-kerasnya dia adalah orang yang dirakam bercumbu di bilik hotel tersebut.

Menurut Azmin pendedahan itu adalah komplot yang dirancang untuk merosakkan reputasi serta kerjaya politiknya.

Awal pagi tadi Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, membuat pengakuan bersumpah bahawa dia adalah lelaki yang dirakam dalam klip video berkenaan.

Ketua Pemuda PKR Santubong itu juga mendakwa seorang lagi lelaki yang ada dalam rakaman tersebut ialah Azmin.

Mendakwa Azmin bukan orang yang layak menjadi pemimpin, Haziq kemudian mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas menteri berkenaan.

Isu video seks: Bagaimana wanita MIC boleh tahu awal, soal pemimpin PKR

ARIF ATAN
Isu video seks: Bagaimana wanita MIC boleh tahu awal, soal pemimpin PKR

Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mempersoal bagaimana seorang pemimpin Wanita MIC mengetahui lebih awal video berkenaan hubungan intim seorang lelaki dengan individu mirip menteri Kabinet.

“Pagi ini kita dikejutkan dengan satu video lagi. Tapi malam semalam wanita MIC ini telah memberi bayangan.

AminAhmad
“Bagaimana dia boleh tahu lebih awal?” soal Ahli Parlimen Kangar itu dipetik dari Facebook beliau bersama tangkap layar kenyataan Ketua Wanita MIC Kepong, Sujita Soorian itu.

Amin juga berkongsikan foto Sujita berswafoto dengan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang mulanya dimuat naik di media sosial wanita itu, 24 Mei lalu.

Kira-kira jam 3 pagi tadi, lelaki muda yang mengaku namanya sebagai Haziq Aziz mendakwa video intim itu dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Bagaimanapun, dua jam sebelum itu Sujita telah terlebih awal menulis butiran berikut di media sosialnya diikuti tanda pagar #TakFahamTakpe:

Nama Movie : Wayang Kunyit
Lokasi : Four Points by Sheraton Sandakan
Tarikh Penggambaran : 10 Mei 2019
Actors : PM Wannabe by Atuk & Haziq

Pengakuan bersumpah Haziq dalam rakaman video berdurasi 35 saat di Facebook menggemparkan negara apabila turut memberitahu nama menteri terbabit.

Dia berkata, video yang telah diambil tanpa kebenarannya telah dirakam di bilik individu mirip menteri tersebut di Hotel Four Points, Sandakan.

Haziq turut berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat menteri terbabit.

“Dia bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin,” katanya lagi.

Sementara itu, pengakuan lelaki bercermin mata berkenaan setakat jam 1 petang ini mendapat lebih 4,900 komen dan 2,700 perkongsian hanya dalam tempoh 11 jam.

Siapa Haziq Aziz?

Fokus tertumpu kepada Muhammad Haziq Abdul Aziz, selepas jejaka berusia 27 tahun itu membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks dalam rakaman sebuah video yang didakwa bersama seorang menteri kabinet.

Haziq Abdullah juga adalah setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin. Dia dilantik pada 19 Januari lalu.

Dia juga mempunyai sejarah yang lama dengan PKR. Ketika di Universiti Malaysa, Haziq menjadi pengasas dan presiden sayap pelajar PKR, Mahasiswa Keadlian, pada tahun 2012 dan masih memegang jawatan itu. Dia juga menyertai Program Mahasiswa Antarabangsa Fulbright.

Walau bagaimanapun, tidak banyak yang diketaui mengenai kegiatannya antara 2014 dan 2018.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Haziq pada 2016 telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan PKR.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, walau bagaimanapun, berkata parti itu tidak pernah menerima surat daripada Haziq memohon atau memaklumkan untuk meninggalkan parti itu.

"Tidak ada rekod dia hantar surat letak jawatan ... jadi namanya kekal dalam (senarai) keahlian parti, " kata Saifuddin ketika dihubungi.

Haziq kemudiannya menjadi pelatih menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. Satu sumber yang rapat dengannya berkata beliau menyertai Nancy pada tahun 2017.

Dia juga menjadi sebagai sebahagian daripada anggota kempen pilihan raya Nancy. Ciapan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong pada 1 Mei, menunjukkan Haziq memakai baju "Kamek Milih Nancy" (Saya pilih Nancy), yang juga tertera kata-kata #teamnancyshukri.






Saifuddin berkata tiada ahli PKR membuat aduan kepada parti berkenaan aktiviti Haziq yang menyertai Nancy, justeru tiada tindakan diambil terhadapnya.

Haziq kembali bersama PKR selepas pilihan raya umum ke-14, dan kemudian dipilih ketua pemuda bahagian Santubong.

Semasa pemilihan parti, beliau menyokong Najwan Halimi sebagai ketua AMK Sarawak.

Haziq memuat naik pengakuannya berhubung video seks atas ranjang itu di Facebook awal pagi ini.

Dalam pengakuannya, beliau juga menggesa SPRM supaya menyiasat pemimpin kanan PKR itu yang didakwanya juga terlibat dengan gejala rasuah dan tidak layak menjadi pemimpin.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama menteri yang didakwa terlibat itu dan sedang cuba menghubunginya untuk mendapatkan komen.

Semalam Malaysiakini melaporkan satu rakaman video intim membabitkan dua lelaki ditularkan secara sistematik kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik.

Beberapa wartawan Malaysiakini dipelawa menyertai dua kumpulan WhatsApp yang dinamakan sebagai “Jemputan Hari Raya ###” dan klip video tersebut dikongsikan di situ.

Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Saya di atas ranjang bersama menteri itu, kata Haziq

Lelaki yang dikaitkan dengan video intim bersama seorang lagi lelaki didakwa sebagai menteri kabinet membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi tersebut.

Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Shamsul Iskandar ialah anggota parlimen Hang Tuah Jaya yang dilantik menjadi timbalan menteri di Kementerian Industri Utama selepas PH menawan Putrajaya pada 11 Mei tahun lalu.

"Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama [...] dalam video yang telah viral semalam.

"Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) [...] di Hotel Four Points," katanya melalui rakaman video yang dimuat naik di media sosial hari ini.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama menteri yang didakwa terlibat itu dan sedang cuba menghubunginya untuk mendapatkan komen.

Menurut Haziq, 27, yang juga lepasan jurusan undang-undang berkata dia berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat menteri terbabit.

"Saya menggesa SPRM untuk menyiasat [...] atas tuduhan korupsi.

"Dia bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin," katanya yang pernah menjadi aktivis kumpulan mahasiswa.

Malaysiakini juga sudah menghubungi Haziq untuk mendapatkan kenyataannya mengenai pengakuan tersebut.

Semalam Malaysiakini melaporkan satu rakaman video intim membabitkan dua lelaki ditularkan secara sistematik kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik.

Melalui video itu salah seorang lelaki terbabit didakwa menteri kabinet.

Beberapa wartawan Malaysiakini dipelawa menyertai dua kumpulan WhatsApp yang dinamakan sebagai “Jemputan Hari Raya ###” dan klip video tersebut dikongsikan di situ.

Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Ada konstabel minta 'duit kopi' dari IGP?

Seorang konstabel polis berhadapan dengan tindakan disiplin selepas cuba meminta rasuah daripada seorang pekebun yang kemudiannya menjadi ketua polis negara.

Selepas bersara pada 2016, Abdul Hamid Bador menjadi pekebun sayur di Rembau, Negeri Sembilan sebelum kembali menyertai pasukan keselamatan dan mengetuai Cawangan Khas serta setahun kemudian menjadi ketua polis negara.

"Suatu hari, saya dalam perjalanan ke pasar dengan trak pikap saya yang dipenuhi dengan timun, kacang panjang dan terung.

"Saya diberhentikan seorang anggota polis yang menaiki motosikal dan mendakwa trak saya lebih muatan. Saya katakan kepadanya saya tidak membawa muatan lebih kerana berat (sayuran) tidak melebihi 500kg.

"Dia kemudian bertanya sekiranya pembantu saya, yang juga di dalam trak itu seorang pendatang asing. Saya cakap kepadanya dia orang Bangladesh dengan permit kerja yang sah," katanya dalam wawancara bersama New Straits Times (NST).

Hamid berkata beliau tidak ada masalah untuk membelanja konstabel itu untuk minum tetapi meminta "duit kopi" merupakan suatu kesalahan.

"Sudah tentu, dia tidak tahu siapa saya," jelasnya yang kemudiannya melaporkan kejadian tersebut kepada ketua balai polis di kawasan itu.

Hamid berkata kisah itu menekankan supaya pasukan polis perlu menumpukan perhatian terhadap rondaan dan pencegahan jenayah dan bukannya memberhentikan pemandu kenderaan.

Beliau juga menegaskan keperluan untuk membanteras rasuah dalam pasukan polis.

Hamid memilih untuk bersara selepas beliau dipecat sebagai timbalan pengarah Cawangan Khas dan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau enggan menjalankan tugas barunya dan mendakwa penyingkirannya daripada pasukan polis berkait dengan skandal 1MDB.

Pertukaran tugas beliau berlaku di tengah-tengah tindakan keras terhadap di bawah perdana menteri itu, Najib Abdul Razak pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1MDB.

Najib kini dikenakan 42 pertuduhan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berikutan perubahan pertama kerajaan sejak pilihan raya umum tahun lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian memanggil semula Hamid kembali daripada persaraannya untuk memimpin Cawangan Khas dan kini menjadi ketua polis negara.

Abdul Hamid juga memberitahu NST, beliau terpaksa melupakan sebentar minatnya di kebun dan menyerahkan perniagaan ladangnya kepada rakan-rakannya.

Walau bagaimanapun, beliau bercadang untuk kembali semula ke bidang pertanian selepas kontrak dua tahun perkhidmatannya sebagai ketua polis negara berakhir.

Menteri jadi sasaran penyebaran klip video seks

Seorang menteri kabinet menjadi sasaran pihak tertentu bagi menggambarkan dirinya sebagai pelaku dalam tiga klip video seks yang tersebar sejak pagi tadi.

Sekitar 1.25 pagi tadi, beberapa wartawan Malaysiakini dijemput menyertai dua kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Hari Raya ###” di mana klip video tersebut dikongsikan.

Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di katil dalam keadaan bogel, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Salah satu kumpulan WhatsApp tersebut dimulakan oleh individu dengan nombor telefon +60 11-#### 9849 dan dikenali dengan nama “Faizal”.

Dia memasukkan kakitangan Malaysiakini dan beberapa pemimpin PKR Sabah yang terkenal dalam kumpulan sembang tersebut.

Satu lagi kumpulan WhatsApp dimulakan oleh seseorang dengan nombor telefon +60 11-#### 9037 dan dikenali dengan nama “Saifuddin Abdullah”. Kumpulan ini mempunyai ahli rata-ratanya merupakan wartawan yang bekerja di sekitar Lembah Klang.

Malaysiakini turut difahamkan satu lagi kumpulan Whatsapp dimulakan oleh seorang lagi individu dengan nombor telefon +60 11-#### 4375 dan menggunakan nama “Tian Chua”. Ahli-ahli kumpulan itu rata-ratanya anggota PKR dari Sarawak.

Tian Chua, yang merupakan Naib Presiden PKR kini sedang menghadiri persidangan di Geneva, memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa nombor telefon yang dimiliki oleh pengendali kumpulan Whatsapp itu bukanlah nombor miliknya.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, yang juga merupakan anggota PKR, turut menegaskan beliau bukan individu bertanggungjawab memulakan kumpulan Whatsapp tersebut.

“Orang itu menyamar di kumpulan-kumpulan Whatsapp, kita biar pihak berkuasa siasat perkara ini,” katanya apabila dihubungi.

Malaysiakini turut difahamkan terdapat sekurang-kurangnya dua lagi kumpulan Whatsapp lain seumpamanya. Salah satu kumpulan tersebut mempunyai pengendali dengan nama “Zuraidah”.

Ketika ditanya tentang klip video memaparkan seseorang yang mirip menteri kabinetnya di Putrajaya pagi tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjawab ‘tidak tahu’.

"Saya tidak tahu apa pun, saya baru dengar, saya kena bacalah dulu.

"Kalau you (awak) boleh bagi briefing (taklimat), baguslah juga," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berkata dia akan membuat satu laporan polis terhadap klip-klip video tersebut.

“Laporan ini saya buat bagi menyiasat kesahihan vedo tersebut dan meminta pihak polis mengambil tindakan undang-undng kepada individu yang menyebarkan, yang berlakon dan menghasilkan video tersebut,” kata Lokman.

Pemimpin Umno itu turut membuat satu laporan SPRM berhubung tuduhan bahawa menteri tersebut menerima AS$741,440 daripada satu konglomerat pada Disember 2017.

Jumlah itu dikatakan dipindahkan ke sebuah bank tempatan dari sebuah bank di Jerman.

Tuduhan rasuah itu disebarkan bersama video lucah berkenaan.

Dr M banding status Zakir Naik dengan permohonan ekstradisi Sirul Geraldine Tong 6:41 petang (Dikemaskini 8:43 malam) A A Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membandingkan status Zakir Naik dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar, yang disabit atas kesalahan bunuh. "Sebelum kita terima (permohonan) ekstradisi (dari India), kita perlu tahu apa yang akan berlaku kepada (individu) yang diekstradisi. "Umpamanya kita mempunyai seorang banduan (Sirul) yang lari ke Australia. Kita minta Australia hantar balik tetapi Australia kata kalau (Sirul) dihantar balik, dia akan kena gantung. Sampai sekarang Australia tak setuju (untuk ekstradisi Sirul). "Kita juga berhak untuk menentukan orang yang kita hantar balik itu mendapat kehakiman yang adil," katanya kepada pemberita, di Melaka hari ini. Sirul yang kini berada di pusat tahanan imigresen di Melbourne, melarikan diri selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya pada 2013. Mahkamah Persekutuan kemudian membatalkan keputusan itu dan mengekalkan sabitan terhadap Sirul dan Azilah Hadri. Kedua-duanya dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Mahathir berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan bahawa Direktorat Penguatkuasaan India (ED) akan mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar oleh mahkamah khas di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002. Menurut laporan itu, mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir ketika pendengaran seterusnya yang dijadual 19 Jun ini. ED kemudian akan memohon notis merah Interpol terhadap pendakwah kontroversi itu, serta ekstradisi oleh Malysia selepas mendapat waran tersebut. Zakir mendakwa tuduhan terhadapnya sebagai palsu dan kini berstatus penduduk tetap di Malaysia. Cari punca kematian di Kuala Koh Sementara itu, Mahathir turut mengulas kematian yang melanda di Kampung Kuala Koh di Gua Musang baru-baru ini, yang disyaki akibat penyakit. "Kita sedang mencari punca mengapa mereka meninggal dunia dengan ramai, mungkin ia kerana satu penyakit. "Tetapi kita perlu tahu jenis penyakit yang menyebabkan kematian mereka," katanya. Dilaporkan 14 Orang Asli suku Batek di situ meninggal dunia dalam masa sebulan. Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan perkampungan itu akan dikuarantin bagi mengelakkan penyakit berkaitan pernafasan - yang dipercayai sebagai punca kematian - daripada merebak. Siasatan awal Kementerian Kesihatan mendapati penduduk di situ dijangkiti bakteria dan mengalami jangkitan sekunder disebabkan virus. Bagaimanapun, menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti.

Geraldine Tong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membandingkan status Zakir Naik dengan permohonan Malaysia terhadap Australia berkenaan ekstradisi Sirul Azhar Umar, yang disabit atas kesalahan bunuh.

"Sebelum kita terima (permohonan) ekstradisi (dari India), kita perlu tahu apa yang akan berlaku kepada (individu) yang diekstradisi.

"Umpamanya kita mempunyai seorang banduan (Sirul) yang lari ke Australia. Kita minta Australia hantar balik tetapi Australia kata kalau (Sirul) dihantar balik, dia akan kena gantung. Sampai sekarang Australia tak setuju (untuk ekstradisi Sirul).

"Kita juga berhak untuk menentukan orang yang kita hantar balik itu mendapat kehakiman yang adil," katanya kepada pemberita, di Melaka hari ini.

Sirul yang kini berada di pusat tahanan imigresen di Melbourne, melarikan diri selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya pada 2013.

Mahkamah Persekutuan kemudian membatalkan keputusan itu dan mengekalkan sabitan terhadap Sirul dan Azilah Hadri.

Kedua-duanya dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan bahawa Direktorat Penguatkuasaan India (ED) akan mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar oleh mahkamah khas di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir ketika pendengaran seterusnya yang dijadual 19 Jun ini.

ED kemudian akan memohon notis merah Interpol terhadap pendakwah kontroversi itu, serta ekstradisi oleh Malysia selepas mendapat waran tersebut.

Zakir mendakwa tuduhan terhadapnya sebagai palsu dan kini berstatus penduduk tetap di Malaysia.

Cari punca kematian di Kuala Koh

Sementara itu, Mahathir turut mengulas kematian yang melanda di Kampung Kuala Koh di Gua Musang baru-baru ini, yang disyaki akibat penyakit.

"Kita sedang mencari punca mengapa mereka meninggal dunia dengan ramai, mungkin ia kerana satu penyakit.

"Tetapi kita perlu tahu jenis penyakit yang menyebabkan kematian mereka," katanya.

Dilaporkan 14 Orang Asli suku Batek di situ meninggal dunia dalam masa sebulan.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan perkampungan itu akan dikuarantin bagi mengelakkan penyakit berkaitan pernafasan - yang dipercayai sebagai punca kematian - daripada merebak.

Siasatan awal Kementerian Kesihatan mendapati penduduk di situ dijangkiti bakteria dan mengalami jangkitan sekunder disebabkan virus.

Bagaimanapun, menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti.

Nik Faisal jadi 'perantara' antara SRC dan Najib - kata saksi perbicaraan Ismee Ismail

KES NAJIB | Nik Faisal Ariff Kamil adalah "perantara" antara lembaga pengarah SRC International dengan bekas perdana menteri Najib Razak, kata saksi perbicaraan Ismee Ismail.

Ismee yang merupakan bekas pengerusi lembaga pengarah syarikat itu, berkata Najib menjadi "advisor emeritus" kepada SRC International dan pada tahap tertentu memiliki kuasa eksekutif.

"Bagi SRC, sebarang keputusan lembaga pengarah perlu mendapat nasihat daripada advisor emeritus, iaitu Najib.

"Jika terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian Najib, tindakan tersebut akan dilakukan oleh Nik Faisal sahaja kerana hanya dia akan bertindak sebagai 'link' antara lembaga pengarah dan Najib.

"Tindakan melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC akan dibuat oleh Nik Faisal sahaja kepada Najib," katanya dalam keterangan saksi yang dibaca di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Nik Faisal sentiasa membentangkan cadangan kepada lembaga pengarah untuk arahan selanjutnya, tetapi lembaga pengarah perlu mendapat nasihat Najib selaku advisor emeritus.

Dalam keterangannya, Ismee berkata dia meletakkan jawatan sebagai pengarah SRC International pada 6 Mei 2014 walaupun ia hanya berkuat kuasa pada 15 Ogos tahun itu.

Dia berkata tindakan tersebut kerana tidak setuju dengan cara Nik Faisal menguruskan syarikat terutama berkenaan akaun syarikat.

Apabila dia membangkitkan isu pentadbiran SRC International, katanya lagi, Nik Faisal sentiasa berkata hal seumpama itu telah dibincang dan diputuskan oleh "kerajaan".

"Saya difahamkan ini bermakna (Nik Faisal membincangkannya dengan) Najib," kata saksi ke-39 pendakwaan itu.

Menurut Ismee, dia sedar Najib mempunyai autoriti untuk mengambil atau memecat mana-mana ahli lembaga pengarah.

Sepanjang bersama SRC International, dia berkata tugasnya ialah untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah dan mengkaji cadangan berkaitan kewangan dan strategi syarikat.

Dia berkata Nik Faisal membentangkan cadangan untuk membuat pinjaman RM2 bilion daripada KWAP dengan jaminan kerajaan ketika mesyuarat lembaga pengarah pada 23 Ogos 2011. Pinjaman itu disalurkan enam hari kemudian.

Nik Faisal membentangkan satu lagi cadangan untuk meminjam RM2 bilion, juga daripada KWAP dan jaminan kerajaan, ketika mesyuarat lembaga pengarah pada 14 Februari 2012, kata Ismee. Pinjaman itu disalurkan pada 28 Mac 2012.

Menurut Ismee, RM40 juta daripada pinjaman itu digunakan untuk membeli (acquire) hartanah yang pada masa itu dijual kepada subsidiari SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

"Gandingan Mentari ditubuhkan dengan tujuan membeli hartanah di kawasan Bukit Jalil. Saya tidak tahu dengan hal ehwal syarikat itu kerana ia diuruskan Nik Faisal dan Suboh (Mohd Yasin)," katanya lagi.

'Zamihan fitnah Amanah kutip zakat'

Zulnazmi Zulkifli

Status Facebook Zamihan Mat Zin pada 7 Jun 2019 yang mendakwa Amanah mengutip duit zakat dengan meletakkan gambar resit dengan logo parti itu merupakan satu fitnah.

Walaupun status di Facebooknya itu meletakkan tanda soal kononnya bertanya mengenai kesahihan resit tersebut, namun beliau kemudian menulis kenyataan fitnah dan sengaja memburukkan imej Amanah dengan mendakwa agama Islam semakin rosak apabila dijadikan alat politik kepartian.

Berdasarkan gambar yang dipaparkan akaun Facebooknya, ternyata dalam resit itu tidak menyebut langsung tentang pembayaran zakat sebaliknya resit tersebut adalah pembayaran yuran ahli.



Justeru, saya mencabar Zamihan supaya meletak jawatan sebagai pegawai Jakim yang telah membuat fitnah dan melanggar integriti penjawat awam.

Beliau sepatutnya berhenti berselindung di sebalik kedudukan sebagai penjawat awam di Jakim dan turun ke gelanggang politik jika mahu berterusan membuat kenyataan palsu dan bersifat provokasi terhadap Pakatan Harapan.

Saya juga mendesak pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jakim mengambil tindakan segera terhadapnya yang jelas mencalar nama baik pendakwah dengan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

ZULNAZMI ZULKIFLI ialah exco Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.

Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat Umno Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mencemar duli menerima kunjungan pemimpin Umno Johor bersempena sambutan hari raya Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi, di Johor Bahru.

Sumber memberitahu Malaysiakini ini kali pertama Sultan Ibrahim mengundang jemputan hari raya hanya kepada rombongan Umno sahaja.

"Ini kali pertama (mendapat undangan berkunjung ke istana). Masa jadi kerajaan pun tak ada," kata sumber.

Satu lagi sumber berkata kunjungan bersempena sambutan lebaran itu berlangsung dalam suasana mesra kira-kira lebih satu jam setengah.

Antara yang dilihat bergambar dengan Sultan Ibrahim ialah Ketua Pembangkang DUN Johor Hasni Mohammed, bekas menteri Nur Jazlan Mohamed dan Razali Ibrahim serta bekas anggota parlimen Johor Bahru Shahrir Samad.

Pada hantaran di laman rasmi sultan, pejabat akhbar istana berkata kunjungan itu bersempena Aidilfitri bagi "mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama umat."

"Sempena sambutan Aidilfitri, Sultan Johor terus menerima kunjungan pelbagai pihak.

"Pada hari ini (8 Jun), Baginda Tuanku Sultan menerima salah satu kunjungan sempena Aidilfitri iaitu Badan Perhubungan Umno Johor.

"Sultan Johor bertitah, kunjungan pelbagai pihak sempena sambutan Aidlifitri mengeratkan lagi hubungan silaturahim," kata kenyataan itu.

Sumber PH pula memberitahu Malaysiakini tiada undangan ke majlis rumah terbuka Aidilfitri sedemikian kepada pihak mereka daripada istana buat masa ini.

Bagaimanapun, exco kerajaan Johor, termasuk Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal, hadir pada majlis rumah terbuka sambutan Hari Raya Aidilfitri rasmi Sultan Ibrahim di istana sama di Johor Bahru pada Khamis lalu.

Ini selepas Sultan Johor juga mencemar duli mengunjungi rumah terbuka menteri besar di Kediaaman Rasmi Saujana pada Rabu lalu.