"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berundur, rombak atau undi tak percaya?

Syahmi Minhad
Ini 3 isu politik yang hangat diperdebatkan orang ramai minggu ini. Tiga situasi ini sedang dihadapi Tun Dr Mahathir Mohamad, individu yang mengambil alih jawatan perdana menteri bermula 10 Mei 2018.

Minggu lepas bertiup kencang khabar angin mengenai pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH). Dikatakan wujud usaha melakukan undi tidak percaya oleh ahli Parlimen terhadap Dr Mahathir.

Khabar angin ini diperkuatkan lagi dengan pertemuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Dr Mahathir. Dalam pertemuan tersebut, PAS menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan perdana menteri.

Ditambah pula seruan Dr Mahathir supaya penjawat awam setia kepada negara, bukan kepada pemimpin atau parti politik. Seruan tersebut disampaikan beliau ketika berucap dalam perhimpunan bulanan penjawat awam di Putrajaya.

Ini juga memberi asas kukuh kepada khabar angin yang menyatakan kepimpinan kerajaan PH sedang bergolak.

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dibarisi 16 ahli dan diketuai Dr Mahathir sendiri, memperkukuhkan lagi dakwaan barisan Kabinet sedia ada tidak berfungsi dengan baik.

Walaupun sebahagian besar pemimpin atasan cuba menafikan dakwaan tersebut, namun kenyataan Tun Daim Zainuddin menjelaskan segala-galanya.

Dr Mahathir tidak akan mudah berundur kerana masih banyak perkara yang belum dilaksanakan sebaiknya. Jika berlaku usul undi tidak percaya, ini merupakan yang pertama dalam sejarah Malaysia. Namun, amat mustahil usul undi tidak percaya berlaku.

Pertama, jika berlaku usul undi tidak percaya, perdana menteri perlu berundur dan semua barisan menteri Kabinet sedia ada akan kehilangan jawatan masing-masing. Ini akan merugikan semua barisan menteri, baik dari PPBM, DAP, PKR mahupun Amanah.

Ke-2, jika berlaku undi tidak percaya, ia menampakkan kerajaan PH pakatan lemah dan seakan-akan memberi bonus kepada pembangkang untuk melakukan serangan.

Ke-3, PPBM hampir pasti meninggalkan PH, jika berlaku undi tidak percaya. Ini kerana, ketua mereka sudah tidak mendapat kepercayaan parti komponen lain. Jika PPBM keluar, PH perlu mencari pengganti untuk mendapatkan majoriti mudah di Parlimen.

Kemungkinan besar pilihan raya umum perlu diadakan kerana tiada parti yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen. Jika ini berlaku, ia amat merugikan kerajaan sedia ada dan menguntungkan pihak yang kalah.

Sebelum berdepan undi tidak percaya, perdana menteri harus bijak membaca pergerakan ahli dan membuat keputusan segera. Jika berlaku pembelotan dalam kalangan anggota Kabinet, perdana menteri perlu segera merombak Kabinet untuk mencari anggota lebih setia.

Dr Mahathir ialah ahli politik bijak kerana pengalamannya hampir 70 tahun membolehkannya merancang strategi untuk berdepan kawan mahupun lawan.

Mungkin desas-desus pembelotan dalam kalangan menteri hanya khabar angin yang sengaja direka pembangkang untuk melemahkan kerajaan PH. Tidak kira benar atau tidak, parti komponen PH perlu bijak menghadapi situasi ini.

Pas sekat kuliah Maghrib Ustaz Nik Omar?

ARIF ATAN
Tular dakwaan bahawa penyokong Pas telah menghalang dan mengarahkan agar sebuah masjid di Kota Bharu, Kelantan membatalkan kuliah Maghrib anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Terpampang pada poster hebahan, Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dirancang akan menyampaikan kuliah itu di Masjid Al-Hidayah, Kampung Seribong dekat Pasir Tumboh esok.

“Program kuliah Maghrib AlFadhil Ustaz Nik Omar bin Nik Abdul Aziz di Kampung Seribong terpaksa DIBATALKAN disebabkan tuan tanah (tapak masjid) tidak membenarkan kuliah,” dipetik daripada kenyataan ahli AMANAH Kelantan, Abdullah Zawawi Ibnu Wahab.

Terbaru!!! Sarawak Report dedah bukti baru Umno biaya kempen pilihan raya PAS

Paparan skrin yang didedahkan Sarawak Report berhubung pemindahan wang ke akaun PAS
FMT Reporters
PETALING JAYA: Sarawak Report hari ini menyiarkan apa yang didakwa bukti baru yang menunjukkan PAS menerima dana daripada Umno, 3 minggu sebelum Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi keterangan di mahkamah London bahawa partinya tidak bekerjasama dengan Umno.

Laman web pemberi maklumat itu menunjukkan paparan skrin pemindahan wang sebanyak RM2.5 juta daripada bekas pembantu menteri ke akaun PAS menerusi Bank Islam pada 21 Mac tahun lalu.

Dakwaan ini bercanggah dengan kenyataan Hadi, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kehakiman di London pada 12 April bahawa partinya tidak bergabung dengan Umno, dari segi politik atau lain-lain.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report berhubung laporan yang diterbitkan pada Ogos 2017 yang menyatakan pemimpin kanan PAS menerima RM90 juta daripada bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Kedua pihak bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah awal bulan ini.

Sarawak Report berkata Hadi mengesahkan PAS menerima RM2.5 juta itu sebelum kenyataan mahkamahnya tetapi menafikan wang itu daripada Umno.

Laman web itu juga mendakwa RM1 juta lagi diberi oleh Umno kepada PAS dalam masa yang sama.

FMT sedang berusaha mendapatkan respon
daripada menteri berkaitan mengenai laporan ini.

Terkini!! Peguam Umno, Mohd Hafarizam Harun didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
Mahkamah membenarkan Hafarizam diikat jamin RM500,000 bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram itu, lapor Bernama

SPRM tangkap peguam Umno

SPRM hari ini menangkap penasihat undang-undang Umno dan BN, menurut sumber.

Menurut sumber-sumber, peguam yang bergelar datuk itu ditangkap atas dakwaan terlibat dengan pengubahan wang haram melibatkan cek bernilai RM15 juta dari tahun 2014 hingga 2015.

Dia ditangkap selepas memberikan kenyataan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, lelaki 47 tahun itu akan berdepan dua pendakwaan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Selain mewakili Umno, dia turut menjadi peguam bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno Najib Razak.

September lalu, peguam terkenal Muhammad Shafee Abdullah turut dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram melibatkan wang RM9.5 juga.

Dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Dibebaskan dengan jaminan, Shafee mewakili Najib dalam beberapa pertuduhan terhadapnya.
-malaysiakini

'Husam telah serah bukti isu RM90 juta kepada SPRM'

N Faizal Ghazali

Selain memberi keterangan, Naib Presiden Amanah Husam Musa turut dikatakan memberikan bahan bukti ketika ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa ia bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyaluran RM90 juta oleh Umno kepada pemimpin PAS.

"Husam hadir untuk berikan keterangan dan menyerahkan bukti berkaitan isu penerimaan dana Umno oleh pemimpin PAS.

"Difahamkan bukti tersebut berbentuk dokumen dan rakaman percakapan," katanya yang enggan nama didedahkan.

Husam ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.25 malam semalam dan keluar kira-kira sejam 30 minit kemudian.

Sebelum ini media melaporkan Husam antara empat individu yang akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Siasatan SPRM susulan langkah Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan saman fitnahnya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung dakwaan itu, di luar mahkamah.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini mengakui suara dalam rakaman berhubung penerimaan wang Umno itu - yang tular Mac lalu dan dinafikannya ketika itu - memang miliknya.

Beliau dan bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkenaan perkara itu.

Umno-PAS perlu henti ‘tunggang’ Melayu demi agenda kuasa sendiri

Fakhrurrazi Rashid

Pendirian Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menolak calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bukan perkara asing.

Pelbagai NGO dan Umno-PAS cuba membawa pendekatan menggunakan isu kepentingan Melayu dalam PRK kali ini memandangkan undi Melayu terdiri daripada 68%. Ia satu petanda politik orang Melayu masih sama sejak 9 Mei 2018.

Kewujudan golongan Melayu veteran yang menunggang keistimewaan hak Melayu semakin meningkat saban hari. Mereka sanggup mengambil kesempatan tentang perpaduan Melayu di bawah payung Umno-PAS tanpa menghiraukan kemudaratan dibawakan pemimpin Melayu kedua-dua parti itu yang telah merosakkan urus tadbir Malaysia.

Adakah mereka fikir orang Melayu tidak kecewa dengan Umno-PAS dan pendirian lemah mereka?

Orang Melayu sebenarnya telah meluahkan kekecewaan itu pada 9 Mei lalu. Cuma, perubahan itu tidak memberi satu pengajaran kepada pemimpin Umno yang perlu kekal relevan berdepan kekalahan pertama dalam pilhan raya umum.

Mereka seharusnya mengambil pendekatan lebih matang dengan idea dan cadangan. Namun, mereka memilih untuk memainkan isu politik, agama dan bangsa.

Pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan pemimpin Umno-PAS gagal menjadi pembangkang berwibawa. Mereka menganggap memainkan isu perkauman dan saling menuduh itu tanggungjawab pembangkang. Mereka menuduh pihak lain seperti DAP menggugat hak Melayu.

Tetapi, mereka tidak sedar yang bertanding itu majoriti calon Melayu, ada calon bebas bukan Melayu dan DAP tidak meletakkan calon mewakili PH. Namun, mereka tetap menggunakan sentimen lama dalam meraih sokongan.

Malangnya, pemimpin Melayu Umno-PAS masih sukar menilai hukum “berbohong” yang dibuat ahli parti sendiri. Apakah pendirian Perkasa dalam hal ini? Adakah orang Melayu perlu mengundi parti yang mengatakan “berbohong” itu biasa, walaupun dalam PRK Semenyih?

Sebenarnya, orang Melayu telah hilang pemimpin jujur dalam menegur nasib mereka sendiri. Datuk Onn Jaafar berjaya menyatukan Melayu untuk menjatuhkan penjajah, tetapi pada masa sama, sedar akan nasib bangsanya yang ketinggalan, sehingga idea untuk membuka keahlian kepada pelbagai kaum disisih dan dipandang rendah pemimpin Umno.

Hari ini, pemimpin Melayu Umno-PAS mahu menyatukan orang Melayu untuk melawan rakan sebangsa kerana perbezaan parti, dan mereka sanggup mempertahankan pemimpin Melayu “berbohong” serta menyalahgunakan wang rakyat ketika memerintah.

Mereka terpaksa “menunggang” orang Melayu sendiri untuk meneruskan agenda kuasa mereka.

Kalau dahulu, dunia mengenali orang Melayu sebagai pakar pelayaran, hari ini dunia mengenali pemimpin Melayu Umno yang mencuri wang rakyat dan hati orang Melayu yang mudah ditunggang untuk kekal berkuasa.

Orang Umno sendiri tidak dapat mengubah nasib mereka dalam parti. Pemilihan Umno selepas kekalahan PRU14 membuktikan politik Melayu tidak berubah, masih mengekalkan “tuan” lama dan status quo elit Melayu menerajui Umno.

Usaha mengubah Umno kini satu tindakan sia-sia kerana mereka lebih gemar mencari kelemahan orang Melayu untuk menguatkan diri.

Bagaimana Perkasa dan Umno-PAS dapat mengubah nasib Melayu sedangkan mereka tidak berubah?

Orang Melayu sebenarnya berdaya saing dan berkebolehan. Mereka harus lenyapkan mitos palsu yang mengarahkan orang Melayu percaya mereka mangsa penindasan ekonomi di tanah air sendiri. Orang Melayu, terutamanya golongan muda perlu mencari kekuatan dalam aspek ekonomi dan pengetahuan.

Matlamat utama penguasaan ekonomi ini tidak menjadikan orang Melayu jutawan, tetapi bagi memastikan orang Melayu hidup dalam keadaan sihat, sejahtera dan sederhana.

Apa kaitan ekonomi Melayu dan kehidupan sejahtera?

Jika orang Melayu percaya kepada peluang dan kekuatan ekonomi, mereka mampu melihat pelbagai peluang dan ruang dalam meningkatkan kualiti hidup.

Kestabilan kewangan akan memberi orang Melayu kelebihan untuk bersikap bertanggungjawab, positif dan berintegriti. Maka, mereka mempunyai kuasa membuat keputusan dalam memilih urusan politik sebagai semak dan imbang kepada pemimpin Melayu yang sering mendakwa kaum sendiri tertindas dalam ekonomi.

PRK DUN Semenyih tidak seharusnya menjadi medan penyebaran ketakutan buat pengundi Melayu untuk bebas membuat keputusan sendiri. Sebaliknya, pengundi Melayu di Semenyih perlu diberikan peluang memilih calon yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi mereka di peringkat setempat dan negeri.

Kepada pemimpin Perkasa dan Umno-PAS, lebih baik mencari kekuatan sendiri tanpa menakutkan orang Melayu.

Beri orang Melayu ruang untuk memilih dengan matang dalam PRK Semenyih. Berilah orang Melayu peluang menentukan nasib sendiri dengan bebas tanpa rasa takut yang selama ini ditanam Umno-PAS demi mendapatkan sokongan Melayu.

Lelaki hina nabi ditahan polis

.Bernama
KUANTAN: Polis menahan seorang warga emas berusia 68 tahun bagi membantu siasatan dakwaan menghina Nabi Muhammad di laman sosial Facebook miliknya.

Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zuhdin Mahmud berkata lelaki itu ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh, pada 11.30 pagi ini.

“Suspek akan dihantar ke Johor memandangkan laporan polis dibuat di Batu Pahat,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Semalam, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Aisyah.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.

Sementara itu Persatuan Kebajikan Ukhwan dan Silaturrahim Pahang (Ukhwah) turut membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat satu lagi akaun Facebook yang menggunakan nama Sarkar Tanesan selain Foo Sing Wai, berkaitan isu ini.

“Kita minta pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik kedua-dua akaun ini kerana ia menggugat keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini.

“Laporan polis hari ini juga diharap dapat membuka mata pihak kerajaan untuk mengetatkan undang-undang berkaitan penghinaan. Sampai bila kita mahu membuat laporan kepada pihak polis apabila berulang kali timbul isu-isu seperti ini,” katanya yang ditemani hampir 50 ahli persatuan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Patriot gesa beku akaun, sekat dalang skandal tanah Kementah ke luar negara

FMT Reporters
PETALING JAYA: Kumpulan veteran tentera hari ini menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap dalang projek pertukaran tanah Kementerian Pertahanan (Kementah), susulan laporan akhir siasatan menunjukkan kehilangan ratusan juta ringgit akibat campur tangan politik dalam projek membabitkan tanah kerajaan.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam tidak menjawab banyak persoalan, termasuk identiti ahli politik terbabit dan jika ada pegawai tertinggi tentera terbabit dalam skandal itu.

“Akaun bank orang disyaki perlu dibekukan dan mereka perlu dilarang daripada meninggalkan negara.

“Jika pegawai tinggi tentera terbabit, walaupun mereka sudah bersara, tindakan perlu diambil terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu pertukaran tanah Kementah timbul selepas bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz menerusi satu surat terbuka kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 April 2018 mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah Kementah dipindahkan kepada sebuah syarikat milik 3 individu tanpa tender terbuka, di bawah rancangan yang dibentangkan Najib pada 2008.

Beliau mendakwa semua tanah itu dipajakkan 40 tahun kepada syarikat terbabit untuk dibangunkan pelbagai projek komersial.

Bagaimanapun, Kementah menafikan pemindahan tanah persekutuan itu kepada syarikat terbabit.

Katanya, setiap projek pembangunan membabitkan aset tentera dilaksanakan syarikat berlainan dan tiada kaitan antara satu sama lain.

Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, laporan akhir siasatan ke atas dakwaan salah laku di Kementah mendapati wujud campur tangan politik dan tiada tindakan wajar dalam 16 projek pertukaran tanah yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta.

Katanya, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang mendapati, terdapat 16 projek pertukaran tanah melibatkan 2,923 ekar tanah milik Kementah bernilai RM4.756 bilion dengan keseluruhan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.

Mohamad berkata, kementeriannya akan membuat laporan polis dan SPRM untuk tindakan lanjut.

Dua bekas aktivis Pas Perlis terima sijil keahlian AMANAH

MOHD ALI HASHIM
Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir menzahirkan rasa kegembiraan setelah dua aktivis Pas Perlis menyertai AMANAH dalam satu majlis ramah mesra yang telah diadakan di Kayang, Perlis semalam.

Dalam majlis yang sama Anuar turut menyerahkan sijil keahlian AMANAH kepada bekas Ketua Pemuda Pas Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman dan bekas Setiausaha Pas Kawasan Arau, Ramlee Ahmad.

Jelas beliau lagi, penyertaan kedua-dua aktivis Pas tersebut membuktikan AMANAH adalah salah sebuah parti pilihan yang mampu untuk meneruskan perjuangan sedia ada.

Malah ujarnya, AMANAH kini semakin diyakini dan mampu untuk membela nasib semua golongan masyarakat.

“Kedua-dua bekas aktivis Pas tersebut adalah mereka yang komited semasa berada dalam parti lama.

“Dengan penyertaan mereka ia dapat mengukuhkan lagi dan mencambah sokongan kepada AMANAH.

“Adalah diharapkan dengan penubuhan cawangan baru, AMANAH cawangan Kampung Peladang Tok Kaya, Kayang akan melebar dengan lebih luas selepas ini, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu tambahnya, AMANAH akan terus berusaha bagi meningkatkan lagi jumlah keahlian dan sokongan yang mampu diraih tidak lama lagi.

Turut hadir ialah Ketua AMANAH Negeri Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim.

Husam dipanggil SPRM

N Faizal Ghazali

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Husam Musa dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di Kota Bharu, malam ini.

Menurut sumber Amanah Kelantan, bekas anggota dewan undangan negeri (Adun) Salor itu akan ke Ibu Pejabat SPRM Kelantan, jam 9 malam.

"Ya betul, 9 malam ini, kami pun baru (tahu)," kata sumber yang enggan namanya disiarkan kepada Malaysiakini.

Difahamkan, Husam dipanggil bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan dana Umno oleh beberapa pimpinan PAS yang kini sedang disiasat SPRM.

SPRM sedang menyiasat dakwaan penerimaan dana Umno oleh pemimpin PAS yang dikatakan diakui AJK PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam suatu rakaman audio kontroversi.

Minggu lalu, dalam pengakuannya, Nik Abduh berkata penafiannya mengenai rakaman audio itu sebelum ini dibuat atas gesaan pemimpin PAS dan selepas mendapat restu presiden parti, Abdul Hadi Awang.

Susulan pengakuan itu, beberapa pemimpin PAS turut tampil mempertahankan tindakan Nik Abduh dan menyifatkan ia sebagai strategi parti mereka berdepan PH semasa pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ketika diminta mengulas isu berkenaan baru-baru ini, Abdul Hadi pula menyifatkan adalah "wajib" seseorang itu berbohong demi menjaga maslahat.
-malaysiakini

SPRM siasat akaun peribadi "ahli perniagaan dan tokoh" yang kerap menyumbangkan wang kepada PAS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sedang menyiasat penderma tetap dan kroni PAS berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno dan dikatakan berkaitan dengan 1MDB.

Laporan The Malaysian Insight memetik sumber dalaman SPRM yang berkata, antara yang disiasat adalah akaun peribadi "ahli perniagaan dan tokoh" yang kerap menyumbangkan wang kepada PAS.

"Ada kemungkinan wang disalurkan ke parti daripada akaun peribadi mereka yang disiasat.

"Ini merupakan tumpuan siasatan pada masa ini," kata sumber itu seperti dipetik.

Terdahulu, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya tidak menemui sebarang dana berkaitan 1MDB disalurkan ke akaun rasmi PAS, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada akaun peribadi pemimpin parti yang dikaitkan dengan isu itu sudah diteliti.

Sejak siasatan bermula 6 Februari lalu, SPRM telah mengambil keterangan anggota jawatankuasa pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa.

Badan itu juga mengambil keterangan peguam Ambiga Sreenevasan, yang dinamakan sebagai sumber kepada artikel berkenaan perkara itu yang disiarkan laman Sarawak Report pada April 2016.

Siasatan dimulakan susulan laporan terhadap SPRM, selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan samannya terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.
-malaysiakini

Nik Abduh di bawah radar Cawangan Khas

Rakaman audio Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz kini turut menarik perhatian bahagian Cawangan Khas susulan dakwaan pemimpin PAS itu mempunyai hubungan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Sumber polis yang dipetik media berkata, Cawangan Khas Bukit Aman menyiasat rakaman audio itu bagi memastikan keselamatan negara terpelihara.

"Cawangan Khas sedang meneliti dan memantau rakaman audio pemimpin PAS itu kerana kaitan dengan CIA tidak boleh dipandang remeh.

“CIA sama fungsi dengan Cawangan Khas di negara kita. Jadi perlu siasat apa tujuan dan kaitan pemimpin itu dengan agensi risikan negara asing bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara tidak terjejas,” kata sumber seperti dilapor The Malaysian Insight.

Sumber itu juga mengesahkan bahawa beberapa laporan polis dibuat oleh parti politik dan NGO berhubung rakaman audio itu.

Kata sumber, laporan itu turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang sedang menyiasat dakwaan penerimaan dana Umno oleh pemimpin PAS yang dikatakan diakui Nik Abduh dalam rakaman audio berkenaan.

Dalam rakaman audio kontroversi yang tular seawal Mac tahun lalu, selain didakwa mengandungi pengakuan berhubung penerimaan dana Umno, Nik Abduh turut didengar mengaku mempunyai hubungan dengan CIA.

"Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA Amerika tu, yang sentiasa berhubung dengan ana," kata Nik Abduh dalam rakaman audio itu.

Minggu lalu, dalam pengakuannya, Nik Abduh berkata, dia menafikan rakaman audio itu sebelum ini atas gesaan pemimpin PAS dan restu presiden partinya, Abdul Hadi Awang.

Susulan pengakuan itu, beberapa pemimpin PAS turut tampil mempertahankan tindakan Nik Abduh dan menyifatkan ia sebagai strategi parti mereka berdepan PH semasa pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ketika diminta mengulas isu berkenaan baru-baru ini, Abdul Hadi pula menyifatkan adalah "wajib" seseorang itu berbohong untuk selamatkan orang.
-malaysiakini

Menjawab fitnah kononnya Nabi Ibrahim berbohong

Wan Ji Wan Hussin

ULASAN | Perkara utama yang perlu disedari ialah para nabi tidak pernah melakukan tindakan terkeji sehingga mencacatkan status mereka sebagai penyampai risalah dan wahyu.

Maka dengan sebab itu ciri-ciri nabi yang disepakati ulama ialah siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

Berbohong pula salah satu sifat tercela. Justeru, mustahil para nabi mempunyai sifat tercela. Apatah lagi sifat tercela itu menjadikan risalah kenabian akan diragui manusia.

Dengan sebab itu, menuduh nabi berbohong adalah cara untuk menyebarkan keraguan manusia terhadap risalah yang disampaikan oleh baginda.

Dalam al-Quran terdapat ayat yang menyatakan laknat terhadap orang yang berbohong.

Antaranya firman Allah:

* “Laknat Allah terhadap orang-orang yang berbohong” - (ayat 61, ali-Imran)

* “Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pembohong” - (ayat 28 surah al-Ghafir)

Dalam hadis pula, Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa amalan pembohongan membawa kepada kejahatan.

"Sesungguhnya kejahatan itu membawa kepada neraka. Sesungguhnya seorang lelaki yang berbohong pasti akan tercatat sebagai pembohong (al-Bukhari, hadis 6094)

Dalam hadis lain juga ada menyatakan bahawa antara ciri-ciri orang munafik adalah berbohong (Muslim, hadis 59).

Fahami hadis dengan betul

Justeru amat jelas bahawa amalan berbohong boleh membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu menyebabkan pelakunya dimasukkan ke neraka.

Amaran itu dinyatakan secara jelas melalui al-Quran dan hadis.

Dengan sebab itu, amat mustahil sifat berkenaan wujud pada diri nabi – termasuk Nabi Ibrahim AS. Mendakwa Ibrahim berbohong, sama seperti mengatakan baginda melakukan kejahatan, melakukan amalan membawa ke neraka, melakukan amalan munafik dan sebagainya.

Semua itu adalah mustahil bagi sifat para nabi.

Apatah lagi dalam al-Quran ada ayat yang secara terang-terangan mengatakan Ibrahim ialah seorang nabi yang sangat benar (Surah Maryam, ayat 41).

Pada zaman dahulu, golongan Khawarij berkali-kali berhujah menggunakan hadis dengan pendekatan salah. Contohnya, hadis bahawa Nabi Muhammad ada berkata: “Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka jangan dia sakiti jiran tetangganya. Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya” (al-Bukhari, hadis 6018).

Memandangkan Khawarij adalah kalangan takfiri - iaitu menghukum kafir kepada pihak yang berbeza dengan mereka - justeru hadis di atas ditafsirkan tanpa mengikut metode dan manhaj yang betul.

Maka dengan itu, berdasarkan hadis tadi mereka terus menyimpulkan bahawa:

a. Tidak hormat tetamu dan menyakiti jiran adalah amalan dosa besar

b. Pelakukan dosa besar menyebabkan seseorang menjadi kafir, kerana hadis ini menyatakan "barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat", bermakna kalau tidak hormat tetamu dan sakiti jiran (dosa besar) adalah tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat (kufur).

Helah dan sindiran

Kesalahan itu bukan terletak pada hadis, tetapi pada cara pemahaman Khawarij. Ia berlaku kerana mereka literal untuk memahami hadis tersebut tanpa menggunakan metode yang betul.

Demikian juga dalam hadis berkaitan perbuatan Ibrahim yang didakwa berbohong. Cara pemahaman yang salah melahirkan fitnah terhadap baginda.

Ini sudah pasti bercanggah dengan prinsip dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Berbohong merujuk kepada usaha seseorang pelakunya memperdaya agar orang yang mendengar itu tidak mengetahui hakikat sesuatu perkara.

Dengan sebab itu, helah dan sindiran tidak boleh dikatakan sebagai bohong. Ini kerana, helah (hiyal dalam bahasa Arab) ialah perlakuan yang tepat dengan hakikat sebenar, sedangkan sindiran (ta’ridh) pula melibatkan maklumat yang sudah berada dalam pengetahuan si pendengar.

Maka tindakan Ibrahim yang berkata kepada Namrud bahawa segala patung yang runtuh itu dilakukan oleh patung yang besar tidak boleh dikatakan pembohongan.

Sebaliknya ia boleh dianggap sindiran. Ini kerana, hal keadaan patung-patung itu memang tidak dapat berbuat apa-apa sudah dimaklumi kelemahannya oleh Namrud (tafsir Jalalain, halaman 426).

Contoh helah (hiyal) pula seperti Ibrahim mahu mengelak isteri baginda - Siti Sarah yang cantik - daripada direbut raja yang zalim. Andai raja itu tahu bahawa wanita itu ialah isteri Ibrahim, sudah pasti baginda akan dibunuh.

Tak mahu ahli tahu

Justeru Ibrahim pun mengajar cara untuk berhelah, iaitu dengan mengajar Siti Sarah, andai ada sesiapa mengenai siapa dia, hendaklah diberitahu bahawa dia adalah saudara Ibrahim.

Dalam hadis terbabit, terang-terang dinyatakan bahawa itu bukan bohong, tetapi helah, kerana Ibrahim berkata Siti Sarah memang saudarinya.

Siti Sarah ialah saudara seagama (Islam).

Ibrahim juga berkata bahawa baginda tidak tahu di atas bumi ini ada orang lain yang beragama Islam selain mereka berdua sahaja. (Muslim, hadis 2371)

Justeru, jika daripada hadis itu dijadikan hujah untuk mengatakan bahawa Ibrahim berbohong, pasti ia bukan sekadar fitnah, malah kelihatan seperti mahu menyebabkan manusia ragu kepada kenabian baginda.

PENUTUP

Nik Abduh ambil 'dedak' Umno. Itu cerita sebenarnya. Memandangkan sebelum ini Nik Abduh mahu mengelak hal itu daripada ketahui ahli PAS dan rakyat Malaysia, maka dia berbohong.

Bermakna, Nik Abduh berbohong sebab makan duit Umno.

Dalam kes Ibrahim, baginda tidak pernah makan 'dedak' Namrud. Justeru, menyandarkan pembohongan Nik Abduh kepada agama dengan menggunakan hujah kisah Ibrahim adalah kejahatan yang tidak boleh dimaafkan.

WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Tulisan asal rencana ini disiarkan di media sosialnya.

Dakwaan serang Syed Saddiq, polis tahan Papagomo

Bernama
KUALA LUMPUR: Penulis blog kontroversi Papagomo ditahan di sekitar Wangsa Maju hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau dikasari dan diugut blogger berkenaan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Beliau berkata, Papagomo ditahan pada 3 petang tadi dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Semalam, 2 laporan polis berkaitan insiden melibatkan ahli Parlimen Muar berkenaan dibuat setelah berlangsung penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih dan disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff semalam, polis menerima 2 laporan mengenai insiden itu daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

Berikutan insiden itu, Syed Saddiq membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini, semalam.

Klip video di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih, tular semalam.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.

Mahkamah Persekutuan arah pilihan raya di kerusi DUN Rantau

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden, Mohamad Hassan berhubung rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya.

Mahkamah Pilihan Raya itu sebelum ini memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum berkata calon PKR Dr S Streram mempunyai lokus standii untuk memfailkan petisyen itu.

Beliau juga berkata bahawa Stream telah menyatakan dengan jelas kesalahan pilihan raya.

Hakim Malanjum juga memerintahkan SPR dan Mohamad untuk masing-masing membayar kos RM10,0000.
-malaysiakini

Geram 'lebai rebah' Mat Sabu hempas kopiah

N Faizal Ghazali

Terdedah dengan pelagai laporan mengenai parti lamanya, semalam Mohamad Sabu menyatakan rasa kesal apabila PAS tidak lagi menjadi sebuah gerakan yang dihormati.

Mohamad yang kini mengetuai Amanah berkata sejak lama dulu PAS sentiasa mendahului dalam langkah politik berbanding parti lain.

Katanya hal itu berlaku apabila wujud perbincangan di peringkat kepimpinan bagi menentukan sesuatu keputusan, termasuk menjalin kerjasama dengan pihak lain seperti BN, Semangat 46, PKR dan DAP sebelum ini.

Kata Mohamad beliau sangat bimbang dengan langkah diambil PAS sejak beberapa tahun lalu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada Islam.

"Saya tak bimbang orang tak percaya kepada Amanah, saya tak bimbang orang tak percaya kepada PAS.

"Saya bimbang kalau orang tak percaya kepada Islam," ujarnya, merujuk kepada nama rasmi PAS iaitu Parti Islam Semalaysia.

Beliau yang kini menjadi menteri pertahanan dalam kabinet PH berkata perkembangan yang berlaku pada PAS bukanlah isu kecil, sebaliknya menjurus ke arah kemusnahan sebuah parti Islam yang dibina bersama-sama.

Katanya dulu-dulu - semasa era kerajaan BN - PAS menjadi semakin kuat apabila ditekan atau ada pemimpinya ditangkap pihak berkuasa.

Kutip derma daripada ahli

Antaranya kata anggota parlimen Kota Raja itu, ialah Peristiwa Memali, yang mengorbankan ramai penyokong PAS.

Selepas kejadian itu kata Mohamad PAS bangkit dengan menjadi lebih kuat dan berpengaruh.

"Penangkapan di Kelantan, ada yang dibuang daerah, di buang negeri, tapi PAS semakin kuat.

"Tapi (sekarang) dengan duit, lebai pun rebah," katanya dengan nada geram sambil menghempas kopiah yang dipakai ke meja.

Mohamad berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pejabat Amanah Pasir Mas di Kampung Jias, petang semalam.

Terdahulu beliau yang pernah menjadi timbalan presiden PAS bercakap mengenai isu audio anggota parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz serta hubungan parti itu dengan Umno.

Mohamad yang sebelum ini diingati kerana membaling mikrofon kerana marah berkata, pemimpin PAS merahsiakan perbincangan dan hubungan mereka dengan Umno kerana ia melibatkan wang.

"Kemudian berlakulah tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah.

"Sekarang Nik Abduh sendiri mengaku terima duit daripada Umno. Kemudian nak bayar peguam (dalam kes saman ke atas Sarawak Report), kutip derma daripada ahli. Lepas itu dia (Nik Abduh) kata ayahnya membohong, masya-Allah," katanya yang pernah berada bersama PAS selama 38 tahun.

Pas tak sokong BN di Semenyih: Siapa berbohong, Tun M, Hadi atau TITM?

MAHFUZ OMAR
ULASAN: Pengerusi Pakatan Harapan, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya hari ini mendakwa Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri itu telah menyatakan bahawa Pas tidak akan menyokong Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih. Sekiranya benar kenyataan Tun M itu, ia adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.

Perakuan tersebut dikatakan dibuat di hadapan Tun M sehari sebelum penamaan calon PRK Semenyih, ia menimbulkan persoalan apakah perakuan Abdul Hadi itu benar atau bohong?. Ini berdasarkan kepada isu pengakuan Pas terima duit Umno di dalam audio ucapan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh yang mana Pas telah mengesahkan kesahihan audio tersebut biarpun Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya sebelum ini. Nik Abduh mengatakan Presiden Pas telah merestui tindakannya berbohong kerana katanya tak salah berbohong kerana menjaga kepentingan Pas.

Timbul persoalan, apa muslihat Presiden Pas membuat perakuan tersebut di hadapan Tun M sedangkan Pas sudah menyatakan dari awal lagi akan menyokong Umno-BN untuk menguatkan pembangkang. Pesuruhjaya Pas Selangor dari awal lagi menyatakan Pas akan memastikan lebih enam ribu undi yang diperolehi Pas pada PRU14 yang lalu akan diberikan (lelongan undi) kepada Umno-BN pada PRK kali ini. Adakah ini sekali lagi kaedah pembohongan syarie dibuat oleh Pas demi kepentingan tertentu?

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man juga dalam kenyataannya tiga hari yang lalu di Kota Bharu ketika sidang media selepas program Forum Murabbi Ummah menyatakan Pas akan mengerahkan seluruh jenteranya untuk membantu kemenangan calon BN di PRK Semenyih. Pada hari penamaan calon pula, Naib Presiden Pas bersama pimpinan yang lain telah mengetuai jentera Pas bersama-sama pimpinan Umno-BN mengiringi calon BN.

Persoalannya, mana satu yang benar dan mana satu yang bohong?. Apakah perakuan Abdul Hadi pada Tun M semalam dibantah oleh pimpinan Pas dan menjadikan perakuan Abdul Hadi satu pembohongan kepada Tun M. Atau Pas sedang berbohong pada Umno/BN menjadikan Umno-Bn sebagai mangsa kedua pembohongan selepas ahli dan pengundi Pas menjadi mangsa pertama.

Jadi, siapa yang sebenarnya berbohong? Tak mungkin Tun M yang berbohong. Sedangkan Presiden Pas dalam kenyataannya ketika media semasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Terengganu menyatakan yang beliau mahu melihat Melayu lebih kuat dalam kerajaan. Kalau mahu kedudukan orang Melayu kuat dalam kerajaan, sudah tentu tidak boleh bantu Umno-BN di Semenyih dan perlu menangkan calon Pakatan Harapan. Jadi, ada kebenaran kenyataan Tun M yang Presiden Pas menyatakan Pas tak akan sokong dan bantu Umno-BN di Semenyih.

Tindakan dan pendirian pimpinan Pas ketika ini seolah-olah flip-flop dan tidak konsisten, sesama mereka tidak menzahirkan pendirian yang sama. Tindak tanduk Pas ini telah menimbulkan persoalan siapa sebenarnya yang berbohong dalam kalangan pimpinan Pas. Adakah pimpinan Pas sedang pakat-pakat berbohong secara berjemaah. Sungguh kasihan kepada ahli Pas yang sangat terkeliru dengan tindak tanduk pimpinannya.

* Mahfuz Omar merupakan Naib Presiden AMANAH

PAS minta jawatan agensi k'jaan negeri, jelas PM

Alyaa Alhadjri

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Presiden PAS Abdul hadi Awang pada pertemuan mereka Jumaat lalu meminta supaya wakil daripada partinya diberikan jawatan dalam berbagai agensi kerajaan negeri.

"Adalah sikit," katanya pada sidang akhbar hari ini selepas melancarkan Dasar Komuniti Negara di Puchong, Selangor.

Bagaimanapun, Mahathir tidak menjelaskan butiran terperinci perihal jawatan yang diminta itu tetapi memberi contoh proses berkenaan sebagaimana penglibatan wakil PH di negeri Kelantan dan Terengganu yang dikuasai PAS.

"Kita ada negeri-negeri tertentu yang mana kita tak ada wakil dari Pakatan Harapan, kita minta supaya mereka diberi tempat. Sebaliknya mereka (PAS) juga minta badan kerajaan negeri Pakatan Harapan beri tempat pada mereka," katanya lagi.

Mahathir yang juga pengerusi PH berkata demikian ketika ditanya jika pemimpian PAS yang bertemunya pada Jumaat lalu membuat sebarang permintaan.

Dalam pertemuan itu juga, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berjanji untuk tidak menyokong Umno pada PRK Semenyih akan datang ini.

PM: Hadi janji PAS tak sokong Umno di Semenyih

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai kemungkinan partinya Bersatu akan menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan PAS, Mahathir berkata: "Tak ada bincang hal itu."

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini memberitahu Malaysiakini Mahathir bertemu Hadi sekitar jam 9 pagi dan mesyuarat itu berlangsung selama 45 minit.

Malaysiakini difahamkan pertemuan itu, yang kedua setakat ini diadakan atas permintaan presiden PAS.

Pertemuan pertama berlangsung pada 4 Jun tahun lalu di Yayasan Kepimpinan Perdanan di Putrajaya

Pada mesyuarat pertama, Mahathir menerima rombongan pemimpin PAS termasuklah Hadi, Samsuri dan penasihat PAS Mustafa Ali.

Orang muda bakal bersara dalam keadaan ‘terseksa’, kata pakar

Nur Hasliza

PETALING JAYA: Sekiranya golongan muda tidak mengurus perbelanjaan dengan bijak, mereka akan berdepan risiko bersara dalam keadaan “terseksa”, kata pakar kewangan.

Perunding kewangan kanan di Infaq Consultancy Sdn Bhd, Afyan Mat Rawi berkata, jika diteruskan, tabiat itu akan memberikan kesan buruk kepada generasi muda di negara ini.

“Hendak bersara tetapi wang tidak cukup dan hutang masih tinggi. Mahu bekerja pula, sudah tiada kudrat. Habis tu, macam mana?” katanya ketika ditemui FMT.

Afyan berkata, golongan muda perlu tahu pembahagian belanjawan peribadi dan peruntukan di bawah bahagian tersebut.

Katanya, terdapat 5 pembahagian di bawah perbelanjaan individu iaitu perbelanjaan isi rumah, pembayaran hutang, lebihan, pemberian dan lain-lain perkara.

“Perbelanjaan isi rumah seperti sewa rumah, tambang, petrol, peruntukan untuk makan dan minum.

“Pembayaran hutang pula seperti hutang rumah, kereta, pinjaman peribadi dan pinjaman pendidikan. Kedua-dua pembahagian ini (perbelanjaan isi rumah dan hutang) boleh digabungkan,” katanya.

Namun, katanya, jumlah gabungan itu tidak boleh melebihi 60% kerana 30% lebihan akan terjejas.

“Lebihan adalah 10% untuk wang simpanan, 10% pelindungan iaitu takaful dan insurans serta 10% lagi pelaburan. Jika gabungan tadi melebihi 60%, salah satu pembahagian di bawah lebihan akan terjejas dan berkurang peratusannya,” kata Afyan.

Apabila ditanya, apakah kemelut lain yang melanda golongan itu selepas pengurusan wang yang tidak baik, katanya, hasil pemerhatian mendapati bilangan golongan muda muflis semakin bertambah.

“Golongan yang muflis dan bankrup di bawah usia 30 tahun adalah tinggi,” katanya.

Sebelum ini, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dilaporkan berkata, golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai terbabit dalam kebankrapan iaitu 34.4%.

Tambah Afyan, perkara itu tidak menghairankan kerana sikap golongan muda yang gemar berbelanja melebihi dari kemampuan dan terlalu memenuhi gaya hidup.

“Mereka lebih rela keluarkan duit untuk beli telefon pintar yang mahal, aksesori yang berjenama dan makan di restoran mewah dan mengikut trend semasa, selepas itu, tayang ke media sosial,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua golongan muda mempunyai sikap sedemikian, tetapi bilangan mereka yang cakna dengan pengurusan wang masih rendah.

Sementara itu, FMT meninjau tabiat golongan muda berbelanja di salah sebuah pusat membeli belah di Putrajaya.

Seorang graduan kejuruteraan yang kini menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa, berkata beliau menghabiskan lebih RM1,000 hanya untuk membayar ansurans kereta dan penyelenggaraannya.

“Kereta 900 sebulan, termasuk petrol, tol dan upah cuci kereta, lebih kurang RM1,000 digunakan setiap bulan,” katanya yang mahu dikenali sebagai Mikhail.

Apabila ditanya, adakah beliau berdepan kesukaran dengan komitmen tersebut, beliau menafikannya.

“Sekarang mampu, sebab masih belum ada keluarga. Tidak perlu fikir tentang belanja anak dan isteri,” katanya.

Berbeza pula dengan perbelanjaan guru sekolah menengah yang mendisiplinkan diri dengan menyimpan sebanyak 30% daripada gajinya sebulan.

“Saya tidak akan usik 30% daripada gaji itu. Saya akan simpan untuk kegunaan kecemasan atau simpanan peribadi saya. Mungkin duit itu boleh digunakan untuk membayar deposit kereta atau rumah, jika saya mahu membelinya suatu hari nanti,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Anna.

Artikel Harakah Daily: Mujahid desak Presiden PAS mohon maaf

BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa telah mengeluarkan surat meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan bertajuk ‘Ijazahnya ada, akalnya kerdil’.

Mujahid berkata kenyataan yang turut disiarkan oleh Harakah Daily itu walaupun ditulis secara kiasan tetapi beliau percaya merujuk kepada dirinya.

“Berpandukan kenyataan diuar-uarkan dan tular kononnya saya kata Rasullah SAW tidak masuk universiti, tiada ijazah, walhal saya tak kata.

“Tapi yang saya tak kata itulah Presiden PAS buat artikel bertajuk ‘Ada ijazah, akalnya kecil’ dan jelas ia secara berkias (kepada) seorang menteri, pastinya itu saya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia daerah Kerian di sini hari ini.

Menurut Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar, penerbitan artikel tersebut telah menjejaskan imej beliau selain meluaskan lagi kepalsuan.

Bagaimanapun, Mujahid tidak pasti jika surat tersebut telah dihantar atau sebaliknya oleh pegawai beliau.

“Saya telah keluarkan surat untuk tarik balik (kenyataan) dan mohon maaf sebab tak mungkin orang buat artikel tapi orang itu tak kata,” katanya sambil menambah langkah susulan akan diambil berdasarkan tindakan Hadi.
—BERNAMA