"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas ketua polis disumbat semula ke penjara


Miguel Etchecolatz diarah kembali menjalani hukuman di penjara.
BUENOS AIRES - ARGENTINA. Sebuah mahkamah di Argentina semalam mengarahkan seorang bekas ketua polis yang disabit bersalah kerana membunuh dan penyeksaan kembali ke penjara, selepas perintah tahanan rumah ke atasnya mencetuskan protes besar-besaran.

Miguel Etchecolatz, 88, menjalani hukuman penjara seumur hidup bagi jenayah kemanusiaan yang dilakukan semasa era pemerintahan diktator negara Amerika Selatan itu dari tahun 1976 hingga 1983.

Sejak 27 Disember lalu, Etchecolatz yang merupakan bekas pesuruhjaya polis Buenos Aires telah tinggal di sebuah rumah di resort tepi pantai Mar del Plata.

Pada 1986, Etchecolatz disabit bersalah menyeksa dan membunuh 91 tahanan, beliau kemudian menerima pengampunan sebelum dibicarakan semula pada 2006.

Beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kira-kira 30,000 orang hilang, kemungkinan dibunuh sepanjang pemerintahan junta.

Menurut pendakwa raya Argentina, lebih 500 bekas pegawai junta telah dikenakan tahanan rumah hujung tahun lalu, di mana 450 orang lagi menjalani hukuman mereka di penjara. - AFP

Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur terbakar

Muzliza Mustafa
Jabatan Forensik HKL terbakar
Sumber berkata kebanyakan pesakit di bilik kecemasan telah dipindahkan. – Gambar The Malaysian Insight 17 Mac, 2018.

BANGUNAN jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur terbakar sekitar 11 pagi tadi.

Menurut sumber kebanyakan pesakit di bilik kecemasan telah dipindahkan.

Jumlah mangsa yang cedera masih belum dikenalpasti.

Stor IPFN  Hospital KL terbakar

Naratif cerita perpecahan dalam Pas sepadan dengan audio, dakwa Hanipa

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Sepang mendedahkan telah mendengar rakaman audio (bahagian ke-4) yang disifatkan ada kebenarannya rakaman percakapan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz.

Hanipa Maidin berkata, ‘suara’ yang didengarinya itu juga dulu yang pernah mengelarkan kumpulan yang tidak memihak kepada Pas sebagai ‘jebon’ kini jelas didengari di dalam rakan audio itu.

“Tadi saya dengar rakaman audio bahagian ke-4 yang dikatakan mengandungi suara seorang pemimpin parti suci.

“Dalam rakaman itu, ada sebut perkataan jebon dan RTI. Saya tak pasti RTI itu apa.

“Cuma mamat yang suara dalam audio itu kata dia sokong RTI dibubarkan sebab jika dulu RTI serang jebon dia khuatir kini RTI akan serang sesama sendiri pula,” ujarnya dalam tulisan di facebooknya semalam.

Hanipa dipercayai mengulas mengenai dakwaan terdapat rakaman audio empat bahagian itu yang mengaitkan suara Nik Abduh.

Rakaman audio yang mendakwa Pas menerima sogokan sejumlah wang dari Umno itu didedahkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa sehingga ia tular dimedia sosial.

Pada masa sama, bekas naib presiden Pas itu mencabar Nik Mohamed Abduh supaya menafikan suara dalam rakaman audio tersebut adalah miliknya dan bersedia disaman oleh wakil rakyat Pasir Mas itu sekiranya dakwaannya salah.

Bagaimanapun Nik Abduh dalam kenyataan di facebooknya menafikan dakwaan yang mengaitkan dengan suaranya yang menganggapnya ia sekadar sampah dikalangan pemfitnah yang merujuk kepada AMANAH.

Hanipa berkata, beliau beranggapan kandungan rakaman audio itu betul.

“Assuming kandungan audio itu betul, memang dulu kami yang dikalahkan dalam muktamar parti suci digelar dengan antaranya gelaran jebon. So naratif cerita dalam audio itu macam menyokong kesahihan video itu.

“Jika naratifnya betul memang dasyat lah kerja depa ni nak tolak kami dulu.

“Kami langsung tak terlintas pun nak buat perkara macam tu. Mungkin kami bukan muttaqin macam mereka,” ujarnya.

Hanipa sebelum ini dalam tulisannya turut menegur tindakan seorang rakan sejawatannya dari Pas yang membela dakwaan yang dilemparkan kepada AJK Pas Pusat itu tidak benar sekiranya hanya mendengar rakaman audio semata-mata.

Bagaimanapun Hanipa berkata, pihak yang kena tuduh harus memfailkan saman ke atas pihak yang mendedahkan rakaman audio itu.

Suspek bunuh bersembunyi di atas papan iklan

Seorang lelaki warga Myanmar ditahan kurang empat jam selepas dipercayai membunuh seorang wanita di sebuah hotel di Pekan Kajang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira 2.30 pagi tadi, ketika sedang bersembunyi di atas papan iklan yang terletak kira-kira 70 meter dari tingkap bilik mangsa ditemui maut.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan berhubung penemuan mayat wanita dalam keadaan terlentang di sebuah bilik hotel itu pada jam 10.55 malam kelmarin.

Katanya, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapati mayat wanita dipercayai warga asing berusia lingkungan 50-an itu dalam keadaan berlumuran darah.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka tikaman di bahagian perut dan dada selain kesan luka pada tangan kanan. Turut dijumpai berhampiran mangsa ialah pisau pemotong sayur dipercayai digunakan suspek," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati wanita berkenaan menginap di hotel itu sejak Selasa lepas dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

"Semasa pemeriksaan, anggota polis menjejaki kesan darah pada bahagian luar tingkap bangunan hotel berkenaan dan berjaya mengesan suspek yang sedang bersembunyi," kata Ahmad Dzaffir.

Melalui bantuan pihak bomba, suspek berjaya dibawa turun daripada tempat persembunyian tersebut, katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil memberi kerjasama, dan suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- Bernama

Dalam tren pun jadi (Gambar)


Seorang lelaki mengeringkan stokinnya di dalam tren yang dipenuhi penumpang.
BEIJING - CHINA. Pengotor... seorang lelaki telah dirakam mengeringkan stokinnya di dalam tren yang dipenuhi penumpang.

Dalam insiden itu, lelaki terbabit dengan selamba menanggalkan stokin lalu menggantungnya di bar pemegang tren tersebut.

Lelaki itu kemudian duduk dan meletakkan kakinya di palang tren, perbuatan tidak sopan tersebut mendatangkan ketidakselesaan kepada penumpang lain, namun tiada yang menegur.
Lelaki itu kemudian duduk dan meletakkan kakinya di palang tren
Apabila menyedari perbuatannya dirakam seorang penumpang, lelaki tersebut menutup mukanya dan pura-pura bermain telefon.

Perbuatan melampau lelaki itu mengundang rasa marah pengguna media sosial.

"Saya boleh mencium bau busuk kakinya melalui skrin komputer saya!"," kata 'yuantuxiaogege'.- Dailymail
-sinarharian

Kesusahan saya hanya Tuhan tahu' - Uji Rashid

Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
STATUS dikongsi Noh pada Facebook mengenai pertemuannya dengan Uji berhubung permohonan rumah PPR, pantas menjadi bualan netizen, sejak Rabu lalu. - Foto FB Tan Sri Noh Omar
rajamawar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: "Saya reda dengan ujian Allah."

Begitulah luahan bintang veteran, Uji Rashid yang mengaku hidupnya berdepan cabaran getir membabitkan kesihatan anak tunggal kesayangan, Cico Harahap dan bebanan kewangan hingga tidak lagi mampu menyewa rumah.

"Saya tiada pilihan selain terpaksa memohon bantuan rumah daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai tempat berteduh," katanya ketika dihubungi BH Online.

Sejak beberapa hari lalu, kisah Uji yang dikatakan diarah mengosongkan rumah di Taman Dagang, Ampang, selepas gagal membayar sewa, tular.

Isu itu menjadi topik hangat netizen apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkongsi status di Facebook mengenai pertemuannya dengan Uji yang ditemani Cico dan cucunya, Rindu Norfitrah, bagi meminta bantuan rumah PPR, kelmarin.

Uji berkata, dia sedih apabila beritanya diusir dari rumah sewa menjadi tular.

"Saya, anak dan cucu belum lagi kena usir. Tetapi dalam keadaan sekarang, saya merasakan tidak mampu menyewa rumah dengan bayaran tinggi. Saya berpijak di bumi nyata, saya harus mencari rumah yang mampu milik.

"Diakui sewa rumah pernah tertunggak ketika Cico jatuh sakit, tahun lalu. Namun, saya berusaha melunaskannya kerana tidak mahu kena halau.

"Duit simpanan banyak dikeluarkan untuk rawatan Cico. Jadi, kadang kala saya tidak cukup duit untuk membayar sewa," katanya.

Akuinya, keadaan Cico agak teruk dan memerlukan perhatian.

"Saya terpaksa menolak tawaran kerja untuk menumpukan perhatian pada satu-satunya zuriat saya. Kesusahan saya hanya Tuhan saja yang tahu. Tidak sampai hati meninggalkan anak yang menderita sakit.

"Saya masih berulang alik ke hospital menemani Cico menjalani pelbagai terapi dan rawatan setiap hari.

"Cico semakin sihat tetapi dia masih tidak boleh bercakap, menulis mahupun membaca. Saya terpaksa menjaganya seperti anak kecil," katanya menjelaskan masalah yang dihadapi anaknya itu.

Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid berkata, beliau bersyukur Noh membantu meluluskan permohonan rumah PPR dengan segera.

"Sebenarnya, saya sudah membuat permohonan rumah PPR sejak beberapa bulan lalu. Saya berusaha sendiri tanpa bantuan mana-mana persatuan.

"Saya turun naik pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali. Dengan bantuan seorang rakan yang juga kenalan baik Noh, permohonan saya diluluskan segera. Usaha saya mendapatkan rumah tidak melalui mana-mana persatuan.

"Saya mahu berpindah segera kerana tidak mampu lagi membayar sewa rumah dengan harga tinggi. Insya-Allah saya akan berpindah ke rumah PPR dalam masa yang terdekat.

"Noh memberi pilihan beberapa kawasan sekitar Puchong dan Jinjang. Beliau juga meminta saya melihat lokasinya dulu sebelum membuat keputusan," katanya.

Mula aktif sejak era 1970-an, Uji dikenali sebagai artis versatil dengan bakat lakonan dan suara merdu. Uji banyak merakamkan lagu duet bersama Hail Amir dan Datuk DJ Dave. Filem lakonannya seperti Permintaan Terakhir, Menanti Hari Esok, Langit Tidak Selalu Cerah dan Yassin masih dikenang sebagai antara karya terbaik Uji.

Simpanan Kurang, Tetapi Harta Ahli Politik PH Banyak

Adam Abu Bakar


PETALING JAYA: Daripada bil mencecah RM8,000, rumah dihadiahkan orang tua sehinggalah karya lukisan bernilai RM12,000, perisytiharan aset baru-baru ini oleh ahli politik Pakatan Harapan (PH) memberi sedikit gambaran mengenai cara hidup mereka.


Perisytiharan harta ahli politik Amanah dan PKR di bawah program Invoke Malaysia, Selasa lalu, adalah siri ke-2 selepas November lalu. Maklumat perisytiharan aset itu menunjukkan pemimpin pembangkang tidak mempunyai banyak wang tunai berbanding hartanah mereka.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membelanjakan 50% daripada pendapatannya berjumlah RM16,000 untuk membayar bil telefon, internet, air dan elektrik setiap bulan.

Beliau memperoleh RM12,000 daripada khidmatnya sebagai adun Changkat Jering dan RM4,000 melalui pencen menteri besar.

Nizar mempunyai RM35,000 dalam akaun banknya dan aset berjumlah RM638,000 serta hutang sebanyak RM9,000.

Pengarah Strategi Amanah, Dzulkefly Ahmad mempunyai RM50,000 dalam akaun banknya dan aset bersih berjumlah RM1,984,050 dengan hutang sebanyak RM450,000.

Aset Dzulkefly termasuk sebidang tanah yang dibeli daripada bapa mertuanya bernilai RM2 juta, di mana beliau membina sebuah rumah bersama isterinya.

Aset lain termasuk tanah di Rembau dan Kuala Pilah, masing-masing bernilai RM100,000.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula mempunyai RM5,000 dalam akaun banknya, tetapi beliau memiliki aset keseluruhan sebanyak RM1,096,000 dan hutang berjumlah RM40,000 daripada pinjaman sebuah kereta dan kad kredit.

Beliau memiliki 2 hartanah yang dihadiahkan ibu bapa dan keluarganya pada 2005 serta 2006, iaitu sebuah pangsapuri di Ampang dan tanah di Trolak, Perak dengan nilai pasaran RM950,000.

Fahmi turut memiliki 3 karya lukisan yang dibelinya pada 2006 hingga 2008 pada harga RM12,000.

Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempunyai RM15,088 dalam akaun banknya dengan aset bersih berjumlah RM588,143.43.

Ia termasuk 4 hartanah dengan nilai pasaran RM520,000, iaitu 2 pangsapuri lelong di Sepang dan Puchong, tanah pertanian dan tanah yang diwarisi daripada bapanya.

Akmal juga mempunyai simpanan di Lembaga Tabung Haji berjumlah RM20,411.90 yang menunjukkan beliau tidak terpengaruh dengan tindakan 3,105 pendeposit Tabung Haji menutup akaun selepas hilang keyakinan ekoran pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Jumlah hutang yang ditanggung pengarah eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) itu ialah RM276,490 daripada pinjaman kenderaan, hartanah dan peribadi.

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada ahli Parlimen Kuala Langat, Datin Faizah Ariffin memiliki aset keseluruhan yang berjumlah RM1,426,000 dengan hutang sebanyak RM760,000.

Faizah turut memiliki 5 hartanah dengan nilai pasaran RM1,370,000, termasuk 2 daripada hartanah itu bernilai RM200,000 yang dibeli bersama bekas suaminya.

Tiga lagi hartanah itu ialah rumah dengan nilai pasaran RM1,370,000 yang dibelinya pada 2001, 2010 dan 2016.

Dr Mujahid sifatkan pensyarah pro-Pas tidak bermoral, putar belit rundingan

HUSIN MAHAT 
Dr Mujahid sifatkan pensyarah pro-Pas tidak bermoral, putar belit rundingan
Tindakan pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarulzaman Yusof memutarbelitkan rundingan penyelesaian luar mahkamah berhubung saman fitnah ahli parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengecewakan naib presiden AMANAH itu.

Malah Dr Mujahid menyifatkan pensyarah penyokong tegar Pas itu sebagai ‘suka memutarbelit fakta’ dan ‘tidak bermoral’.

Dalam satu kenyataan media, peguam beliau Mohd Fitri Asmuni berkata, mediasi (perbincangan luar mahkamah) antara Dr Mujahid dan Dr Kamarulzaman telah diadakan pada 14 Mac lalu dan antara butiran perbincangan adalah pensyarah tersebut perlu memohon maaf atas artikelnya yang telah menjatuhkan reputasi Dr Mujahid.

“Jika beliau bersedia untuk memohon maaf kepada Dr Mujahid, pihak kami bersedia tarik balik saman kepadanya.

“Dr Mujahid juga menuntut permohonan maaf dibuat dalam facebook (FB) sebagaimana beliau telah memfitnah Dr Mujahid dalam FB yang dibaca oleh orang awam.

“Pegawai mediasi memberi ruang kepada yang kena saman untuk menerima tawaran Dr Mujahid. Yang kena saman enggan dan pegawai mediasi tetap memberi tempoh sehingga awal April untuk Dr Kamarulzaman membuat keputusan memohon maaf kepada Dr Mujahid,” jelas Mohd Fitri.

Dr Kamarulzaman dalam postingnya di FB seusai proses mediasi itu ‘berbesar hati’ dengan ‘jiwa besar’ Dr Mujahid yang bersedia menarik balik saman RM5 juta terhadap beliau kerana mendakwa pemimpin AMANAH itu sebagai ‘kuda tunggangan DAP’.

Pensyarah penyokong tegar Pas itu tidak pula menyatakan syarat-syarat yang dikenakan Dr Mujahid bagi menarik balik saman beliau, malah belum membuat keputusan untuk memohon maaf.

Menurut Mohd Fitri, isu Dr Mujahid ‘berjiwa besar’ untuk menarik balik saman tersebut tidak timbul malah beban sebenar tertanggung ke atas Dr Kamarulzaman untuk memohon maaf.

“Kenyataan dalam posting Dr Kamarulzaman jelas telah ‘memutar’ hakikat sebenarnya.

“Bagi pihak Dr Mujahid, beliau berasa kesal atas sikap manusia yang suka memutarbelitkan fakta, tidak hairanlah tulisan datang dari manusia sebegini sangat tidak bermoral dan tidak bernilai,” bidas Mohd Fitri.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Kamarulzaman dalam posting balasnya menyifatkan bidasan Dr Mujahid itu telah ‘menutup ruang untuk perdamaian’.

“Kenyataan Datuk Dr Mujahid ini, dan tuduhan beliau bahawa posting saya ‘jelas telah memutar hakikat sebenarnya’, bahawa saya adalah ‘manusia yang suka memutarbelitkan fakta’ dan bahawa tulisan saya ‘sangat tidak bermoral dan tidak bernilai’ menunjukkan terma persetujuan telah tidak dihormati sekali gus menutup ruang untuk perdamaian,” katanya.

Pakatan hidu kejayaan, buka gelanggang di Tanjung Malim

Gan Pei Ling
‎TANJUNG Malim selama ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) namun perkembangan terkini menggambarkan bahawa pemimpin tinggi parti itu juga dapat menjangka persaingan lebih sengit akan berlaku di kawasan ini.

Perkara ini dilihat berdasarkan kunjungan Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalannnya Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini ke kawasan ini.

Pemimpin pembangkang pula menjangka, peralihan sokongan sebayak 5% sudah memadai untuk membolehkan mereka merampas kerusi tersebut.

Jadi pada malam ini, pemimpin tertinggi Pakatan Harapan termasuk Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu akan mengunjungi kawasan Felda di sini untuk memujuk pengundi untuk memilih pembangkang.

Kerusi ini dipegang oleh BN sejak sekian lama namun majoriti kemenangannya merosot teruk dari 14,693 undi pada 2004 kepada hanya 4,328 undi pada 2013.

Kali ini, ada petanda bahawa jumlah majoriti undi tersebut akan merosot lebih banyak.

Ahli Parlimen Tanjung Malim Ong Ka Chuan yang juga setiausaha agung MCA dan menteri persekutuan, menghadapi pelbagai cabaran dalam untuk mengekalkan kedudukannya di kerusi ini untuk penggal ketiga.

Dalam partinya, pemimpin akar umbi MCA melobi agar beliau digantikan dengan ahli exco yang juga satu-satunya wakil rakyat parti itu di kerusi negeri Perak, Dr Mah Hang Soon.

Di pihak seterunya, calon PKR Chang Lih Kang sudah mula mengatur gerakan sejak 2016, termasuk meraih sokongan di kawasan Felda yang meliputi sebahagian besar Tanjung Malim.

Undi Felda jadi rebutan

PKR berharap kepada kebimbangan peneroka Felda dalam isu kenaikan kos sara hidup dan juga pengaruh Dr Mahathir untuk merampas kawasan ini buat pertama kali.

“Kami cuma perlukan peralihan 5% dari pengundi Melayu untuk menang,” kata Chang kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat pada 2013 memenangi lebih satu pertiga daripada undi Melayu, tiga suku daripada undi Cina dan hampir separuh daripada undi India di Tanjung Malim.

Adun Teja selama dua penggal itu berkata, pengundi Felda juga kini semakin mesra dengan partinya.

“Sebelum ini peneroka sangat menentang, mereka akan menyekat kita daripada masuk (ke kawasan Felda) tetapi sekarang mereka lebih mesra. Orang akan ambil kalendar dan poster yang kita edarkan,” kata Chang.

Chang, 38, seorang bekas aktivis Suaram, menawarkan diri untuk bertanding di kubu kuat BN itu kerana komposisi pengundinya mencerminkan populasi Malaysia.

Setakat tahun 2017, seramai 68,634 pengundi Tanjung Malim terdiri daripada 55.5% orang Melayu, 25.6% Cina, 13% India dan 5.86% Orang Asli. Hampir separuh daripada pengundi Melayu merupakan peneroka Felda.

Tiga kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim adalah Slim, Behrang dan Sungkai.

Pada 2008, BN tewas kepada PKR di kerusi Berhrang dan Sungkai pula kepada DAP dengan majoriti kecil, kurang daripada 1,500 undi.

Ia berjaya merampas kerusi Behrang semula dengan majoriti 1,928 undi tetapi kehilangan kerusi Sungkai pula dengan majoriti lebih besar kepada DAP pada 2013.

Daripada tiga kerusi tersebut, hanya Slim yang tidak pernah terlepas dari tangan BN.

Pemimpin tertinggi PH akan mengadakan ceramah dan bertemu pengundi di Felda Gunung Besout, salah satu daripada daerah mengundi dalam kawasan Slim.

Anak peneroka pilih PH?

Ketua Cawangan Umno Gunung Bersout 1, Alias Salion memberitahu The Malaysian Insight, kehidupan di kawasan Felda itu baik saja.

“Kerajaan menyediakan segalanya kepada kami. Sebelum ini kami tiada apa-apa. Apa lagi yang (penyokong pembangkang) mahukan?

“Kami ada anak dari kalangan penerika Felda yang kini menjadi doktor, peguam, jurutera, malah menjadi hakim,” kata Alias.

Sebelum kedatangannya ke tanah rancangan inni, beliau menjalani kehidupan yang melarat di Bagan Serai tanpa sebarang harta.

Kini beliau bersyukur kerana menjalani kehidupan lebih baik yang disediakan oleh Felda untuk diri dan keluarganya.

Mengulas mengenai sentimen tersebut, Chang berkata peneroka Felda juga terbeban dengan kenaikan kos ekoran cukai barang dan perkhidmatan dan pemansuhan subsidi ke atas barang keperluan.

“Kami mendengar pelbagai rungutan dari peneroka. Mereka mengadu Felda lambat membayar untuk hasil tuaian. Sebelum ini, bayaran dibuat dua minggu sekali, sekarang sekali sebulan.

“Ada di antara mereka sanggup menjual buah (sawit) di luar dengan harga lebih rendah kerana dibayar secara tunai. Namun mereka akan didenda bila Felda dapat tahu,” katanya.

Ramai generasi pertama seperti Alias memilih untuk setia bersama BN, namun Chang percaya bahawa generasi lebih muda yang mendapat akses maklumat mengenai skandal membelit agensi Felda dan BN akan mengundi PH.

"Kami perlu meyakinkan mereka untuk balik mengundi,” katanya mengenai pengundi muda yang kebanyakannya bekerja di luar kawasan tersebut.

Bekas kakitangan PPIM dedah rahsia

HIDAYAH HAIROM
Empat bekas kakitangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada sidang media, hari ini.
KUALA LUMPUR - Empat bekas kakitangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan modus operandi dijalankan unit tindakan khas (UTK) persatuan itu yang didakwa menjana keuntungan hasil bayaran peminjam ah long.

Tindakan dianggap menganiaya pihak teraniaya itu disifatkan kejam apabila caj yang dikenakan kepada pengadu yang juga mangsa ah long, melebihi daripada jumlah sebenar bayaran dibuat kepada ah long.

Meskipun mengenakan caj 10 peratus daripada jumlah hutang, masih terdapat sejumlah caj lain yang didakwa melebihi daripada bayaran sepatutnya.

Wakil kumpulan itu, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa mendakwa, perkara itu diketahui menerusi fail sulit operasi unit berkenaan dalam menjalankan urusan mengendalikan kes-kes melibatkan mangsa ah long.

Syed Alwi mendedahkan bagaimana kes seorang wanita sebelum ini yang perlu membayar RM350,000 dan caj pentadbiran RM35,000 namun jumlah yang ditetapkan dengan ah long hanya RM160,000.

"Walhal pengadu itu telah membuat pembayaran berjumlah RM260,000 melibatkan seramai 64 ah long. Jika diikutkan bayaran kepada ah long sepatutnya telah dijelaskan tetapi tidak berlaku menyebabkan pengadu terus diganggu.

"Perkara ini yang menyebabkan pengadu tampil mempersoalkan kepada kepada UTK dan mohon cara baik mengembalikan wangnya tetapi tidak dapat.

"Akhirnya saya sendiri bongkarkan keadaan sebenar demi mengembalikan hak pengadu. Pada saya ini satu penindasan tersembunyi dan tidak boleh dibiarkan,"katanya.

Beliau bersama tiga kakitangan yang lain iaitu Muhammad Fadhrul Yusoff, Mohd. Aliff Muhammad Iberahim dan Sairil Tuah hadir pada sidang media untuk membersih nama selepas Pengarah UTK PPIM, Yusuf Azmi membuat laporan ke atas mereka pada Isnin lalu.

Dalam laporannya itu, individu-individu terbabit telah mencuri dokumen-dokumen penting berkaitan ah long dan peribadi di syarikat konsultan PPIM yang diketuai Yusuf dengan cara menceroboh pejabat tersebut.

Yusuf turut mendakwa menjadi mangsa fitnah empat orang kakitangannya yang dikatakan mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan imej dan maruahnya pada pandangan mata masyarakat.

Mengulas lanjut, Syed Alwi Al Hadad menafikan mereka membawa lari fail-fail pengadu sebaliknya fail tersebut masih ada di pejabat PPIM.

"Saya tidak dihantar untuk sabotaj siapa-siapa. Pada saya kezaliman ini perlu diperjuangkan dan saya akan terus menuntut hak melibatkan beberapa kes lain, ke peringkat yang sewajarnya.

"Saya akui dia pernah menolong saya dan keluarga yang kononnya berjumlah RM25,000 tetapi sebenarnya tidak sampai jumlah itu. Tapi ia bukan harga untuk saya bersubahat dengannya," katanya.

Sementara itu, Muhammad Fadhrul, berkata satu laporan polis telah dibuat kerana menerima ancaman dan ugutan selepas kes wanita itu terbongkar.

Ujarnya dia menafikan segala tuduhan dibuat terhadapnya berkaitan bayaran wang kepada ah long dan melarikan fail serta resit bayaran.

“Lapan bulan saya kerja dengan Yusuf dan saya ada bukti keuntungan hasil daripada bayaran pinjaman ah long. Saya yang 'locked' ah long untuk bayar berapa jumlah pinjaman, pengadu bayar pada saya atau Sairil kami serah pada bos. Tetapi tidak dibayar sepenuhnya.

"Ada kes saya 'locked' sehingga peminjam tidak perlu bayar pun dengan ah long tetapi peminjam didesak untuk bayar dan tidak termasuk caj pentadbiran. Saya sedia beri kerjasama kepada pihak polis kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Namun kes ini tiada kaitan dengan Datuk Nadzim Johan (Ketua Aktivis) dan PPIM Keramat,” katanya.

Minggu lalu, seorang menuntut PPIM membayar semula wang pinjaman ah long yang dibuat kepada persatuan itu berjumlah RM160,000.

Wanita berkenaan yang bekerja di sektor swasta mendakwa, sejak Disember tahun lalu dia sudah membuat empat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada PPIM yang menjadi orang tengah mengendalikan urusan pinjaman kepada ah long.

Bagaimanapun, pekerja sektor swasta itu mendakwa dia mula berasa musykil sejak Januari lalu selepas sukar mendapat resit pembayaran daripada PPIM.

Hasil siasatannya, dia menemui bukti transaksi PPIM kepada ah long hanya baru RM90,000.

PPIM dalam satu kenyataan menjelaskan kes aduan wanita yang mendakwa persatuan tidak telus menguruskan bayaran pinjamannya kepada ah long di bawah kendalian Risk Group Consultancy.

Jelasnya, konsultan itu diuruskan oleh Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi.

Umno Johor gusar dengan ‘tsunami Melayu’

AMNI JAGAT
Kenyataan menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan di negeri itu selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang menggambarkan kegusaran Umno-BN terhadap ‘tsunami Melayu’ di negeri tersebut.

Bekas Naib Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang Ahmad Daud berkata, bagi menolak hasil tinjauan Invoke Malaysia (Invoke) itu, Umno Johor telah melakukan tinjauan melalui Umno cawangan.

“(Setiap) cawangan (Umno) diberi RM1,000 untuk mendapatkan maklum balas daripada responden. Seorang ahli cawangan akan mendapatkan maklum balas daripada 30 orang,” ujar Ahmad.

Beliau bagaimanapun meragui dapatan tinjauan daripada Umno cawangan kerana besar kemungkinan pemimpin-pemimpin Umno cawangan akan memberikan maklumat kurang tepat bagi ‘menjaga hati’ pemimpin Umno negeri.

“Ahli Umno sendiri hari ini sudah ramai yang berpaling tadah menyokong PH. Penafian boleh dibuat oleh Khaled namun hakikatnya adalah pada PRU14 akan datang,” ujar Ahmad.

Menurut beliau, jika Khaled tidak yakin dengan faktor ‘tsunami Melayu’ seperti hasil kajian Invoke, mengapakah Umno-BN memberikan tumpuan kepada 20 parlimen majoriti Melayu dalam kajian mereka?

“Ini menggambarkan kajian yang dilakukan Invoke adalah jelas dan bukan dusta,” kata Ahmad dalam forum ‘Tsunami Politik Melayu Johor. Realiti @Fantasi’ anjuran Media Oren Johor.

Forum itu boleh diikuti secara langsung di Facebook AMANAH Negeri Johor.

Selain Ahmad, forum untuk turut menampilkan Naib Pengerusi AMANAH Johor Suhaizan Kaiat.

Suhaizan bercakap dalam forum dianjurkan Media Oren yang turut menampilkan Ahmad Daud (kanan).

Suhaizan dalam forum yang sama menjelaskan PH hanya perlu menang sepuluh lagi kerusi Dun dan mengekalkan kerusi Dun yang dimenangi pada PRU lalu untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Beliau turut meragui kredibiliti tinjauan yang dilakukan Umno-BN menerusi Umno cawangan kerana sudah pasti para pemimpin akar umbi Umno akan memberikan maklumat yang menyenangkan hati pemimpin negeri bagi menjaga kepentingan politik mereka.

“Mereka memikirkan peruntukan dan projek, akhirnya memberikan maklumat tidak benar kepada MB Johor.

“Dapatan kajian lapangan daripada cawangan Umno sangat diragui… Umno Johor sudah tidak lagi mampu menahan ‘tsunami politik’ orang Melayu Johor,” ujar Suhaizan.

Khaled yang juga pengerusi BN Johor 11 Mac lalu menganggap hasil kajian dijalankan Invoke sebagai tidak masuk akal kerana metodologi yang digunakan untuk mengukur sokongan pengundi di beberapa negeri didakwa tidak tepat.

Beliau berkata, BN Johor juga menjalankan kajian sikap sejak dua tahun kebelakangan ini dan percaya hasil yang diperoleh akan memberi kejutan kepada Pengasas Invoke, Rafizi Ramli, mengenai sokongan sebenar pengundi di negeri ini.

Beliau berkata, kaedah kajian sikap yang digunakan BN negeri ini lebih tepat dan terperinci yang mana soal selidik lebih menyeluruh dilakukan terhadap seorang responden bagi nisbah 30 penduduk.

“Metodologi Rafizi dalam kajian itu tidak tepat. BN khususnya Umno menjalankan kajian sikap menggunakan satu orang untuk kaji selidik 30 penduduk.

“Mereka diberikan soalan yang tepat dan jelas sama ada menyokong BN atau tidak dan bukan sekali tetapi tiga, empat kali dalam dua tahun kebelakangan ini kita sudah lakukan.

“Kita akan beri kejutan kepada Rafizi,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Pentadbiran Baru Daerah Kulai, 11 Mac lalu.

Sebelum ini, Rafizi mengumumkan hasil kajian Invoke bahawa PH mampu memenangi PRU14 di lima negeri termasuk Kedah, Perak dan Johor selain mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.

Malah, kaji selidik itu turut mendapati Pas gagal memenangi kerusi Parlimen pada PRU-14, selain Kelantan akan dimenangi BN.

Akhirnya Mahfuz umum sertai Amanah

Yasmin Ramlan

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata beliau kini bersedia untuk membawa perubahan bersama PH sebagai ahli Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018.

SELEPAS 45 hari keluar daripada PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar hari ini mengumumkan keputusannya untuk menyertai parti serpihan PAS iaitu Amanah.

Mahfuz yang pernah bersama PAS selama 34 tahun berkata penyertaannya yang berkuatkuasa hari ini berkata beliau sudah bersedia untuk membawa perubahan bersama Pakatan Harapan (PH).

"Saya kini mengumumkan tamatnya sebagai ahli politik bebas tanpa parti.

"Saya umumkan untuk sertai Parti Amanah Negara dan putuskan untuk bersama dengan rakan-rakan PH untuk bawa perubahan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika jamuan makan tengah hari bersama media dan pemimpin PH yang lain di bangunan Parlimen hari ini.

Pada 31 Disember lepas beliau mengumumkan keluar daripada PAS kerana dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

Turut mengikut jejak langkahnya hari ini ialah bekas AJK PAS Pusat Dr Rosli Yaakop yang juga pengurus bekas pengarah urusan akhbar lidah rasmi PAS, Harakah.

"Setelah meninggalkan PAS dalam menentukan politik kuasa, PAS ternyata jadi tongkat Umno-BN yang kekal berkuasa daripada kepimpinan PAS untuk jadi 'kingmaker' dan nak memerintah serta sasarkan 40 kerusi," katanya.

Beliau juga sebelum ini, secara terbuka melobi PAS untuk bekerjasama PH.

Antara pemimpin PH yang hadir di situ merupakan Mujahaid Yusof Rawa, Hatta Ramli, Mohamad Sabu, Salehuddin Ayob, Khalid Samad, Teresa Kok, Lim Lip Eng, Nurul Izzah Anwar, Johari Abdul Ghani dan Wong Chen.

Keputusan untuk keluar parti Islam itu dikatakan berikutan tekanan daripada penyokong akar umbinya, memandangkan dalam menyokong pakatan PAS-PH, beliau sering menentang pimpinan partinya, sehingga mencetuskan kemarahan pimpinan PAS yang mahukannya keluar.

Mahfuz dianggap sebagai antara yang terakhir dalam kalangan pemimpin PAS progresif dan ahli yang meninggalkan parti pada 2015 selepas berlaku pertikaian dalaman.

Mohamad yang juga bekas timbalan presiden PAS bersama ahli Parlimen lain meninggalkan parti itu pada 2015 dan menubuhkan Amanah.

Amanah ialah salah satu daripada parti dalam pakatan pembangkang termasuk PKR, DAP dan Bersatu.

Selepas muktamarnya tahun ini, PAS mengumumkan untuk menubuhkan pakatan pembangkang kedua yang dipanggil Gagasan Sejahtera Rakyat.

Pakatan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 menentang PH dan pakatan pemerintah Barisan Nasional.

Sejak penubuhan Bersatu pada 2016, tersebar khabar angin yang mengatakan Mahfuz akan menyertai parti Melayu yang juga sebahagian daripada PH itu.

Ini berikutan beliau dilihat kerap hadir pada majlis Bersatu dan secara terbuka menyokong timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Mahfuz turut menyokong Mukhriz ketika beliau digugurkan sebagai menteri besar Kedah di bawah kerajaan negeri sekarang pada 2014.

Pada November, seorang lagi pemimpin pro PH Kedah, Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu.

Amiruddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata, beliau memutuskan untuk meninggalkan PAS selepas parti itu berkata mustahil untuk bekerjasama dengan PH.

Tiga anggota polis digantung tugas selepas didapati bergambar dengan beberapa pelancong wanita yang tidak berbaju di sebuah pantai di Cancun, Mexico.
Beberapa gambar membabitkan tiga polis bersama dua wanita dipercayai warga asing, tular pada hujung minggu lalu.

Ketika kejadian, polis tempatan itu memakai perisai badan dan membawa senjata.

Aktiviti keganasan yang dikaitkan dengan pengedaran dadah meningkat di wilayah Quintana Roo sejak beberapa tahun lalu, sehingga merebak ke beberapa kawasan tumpuan pelancong seperti Cancun.

Pada Isnin, dilaporkan tiga polis berkenaan digantung tugas sementara siasatan tatatertib dilakukan. – Mirror UK
-kualalumpur.post

Pilih mana satu? Najib-Zahid atau Dr Mahathir-Wan Azizah?

Wan Saiful mengorak langkah di Parlimen Titiwangsa

Kow Gah Chie

Timbalan Pengarah Dasar dan Strategi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan semalam mengadakan tinjauan di pasar malam Kampung Pandan, di bawah kawasan Parlimen Titiwangsa.

Dia bersama 10 pemimpin pemuda Pakatan Harapan mengedarkan risalah yang menjelaskan manifesto parti itu.

Wan Saiful, yang menyertai parti serpihan Umno itu pada 1 Mac, tidak memperkenalkan dirinya kepada peniaga kecil dan pembeli yang ditemui beliau.

Dia hanya menyerahkan risalah tersebut dan berkata, "Ini adalah manifesto Harapan, janji-janji kami. Anda tahu kan nak undi siapa?"

Apabila penerima menunjukkan minat terhadap risalah itu, dia dan kumpulannya menghabiskan lebih banyak masa untuk menjelaskannya kepada mereka.

Bagaimanapun, ada sebilangan yang enggan menerima risalahnya.

Dekat pasar malam ini terletak Cawangan Umno Taman Maluri di mana banyak bendera BN berkibar di situ.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Saiful berkata keengganan menerima risalah itu adalah sesuatu yang biasa, dan dia menjangka ia akan berlaku.

Bagaimanapun, responnya menunjukkan bahawa rakyat terasa situasi ekonomi yang perlahan, katanya.

"Ada yang mengatakan bahawa mereka terkesan dengan keadaan itu. Seorang peniaga kecil yang menjual tudung terpaksa menjual sayur-sayuran sekarang, kerana kekurangan daya beli.

"Dan, orang ramai telah berkurangan berbanding dengan sebelum ini," katanya.

Wan Saiful dispekulasikan akan diletakkan bertanding di kerusi bandar, termasuk Titiwangsa, satu-satunya kerusi di Kuala Lumpur yang akan ditanding oleh BERSATU.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan desas-desus itu.

"Titiwangsa adalah tempat tumpuan BERSATU, oleh itu, adalah tanggungjawab kami untuk membantu dalam kempen ini tanpa mengira siapa calonnya," katanya.

BERSATU mempunyai senarai calon yang baik yang mampu membuat kejutan, katanya

Titiwangsa dimenangi oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani pada tahun 2013 dengan hanya 866 undi majoriti.

Forum Hindraf bersama Dr M terhenti selepas kekecohan

Sean Augustin

KUALA LUMPUR: Satu forum anjuran Hindraf bersama Tun Dr Mahathir Mohamad terhenti selepas keadaan bertukar tegang di sesi soal jawab.
Penganjur sebelum itu menetapkan semua soalan harus diserahkan sebelum acara bermula.

Keadaan bagaimanapun jadi tidak keruan selepas seorang peserta bangun bertanyakan kepada bekas perdana menteri itu mengapa dia tidak campurtangan dalam skandal Maika Holdings.

Soalan itu tidak diserahkan semasa diminta, menyebabkan seorang ahli Hindraf menegur peserta itu dan berkata forum malam ini bukan “forum peribadi”.

Teguran itu menyebabkan suara-suara ditinggikan dan gangguan lisan daripada hadirin. Penganjur terpaksa campurtangan dan berkata sesi soal jawab perlu ditamatkan.

Keputusan itu menyebabkan seorang lagi peserta membantah mengatakan tindakan itu tidak adil.

Dr Mahathir, yang memimpin negara selama 22 tahun, bagaimanapun mencelah dan berkata dia akan menjawab beberapa lagi soalan dan mengambil 3 lagi soalan tambahan sebelum penganjur menggulung acara.

Bekas perdana menteri itu, yang tampak tenang sepanjang kekecohan itu berkata: “Tidak apa. Saya sudah biasa.”

Bekas menteri dan presiden MIC Tun Samy Vellu menubuhkan Maika pada 1982 bagi membolehkan masyarakat India menyertai pertumbuhan ekonomi negara. Inisiatif itu bagaimanapun gagal memberi pulangan yang baik.

Pada 2000, syarikat gagal itu diambil alih oleh syarikat G Team Resources milik hartawan G Gnanalingam pada harga RM106 juta untuk membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit dan membayar pemegang saham.

Terdahulu, Dr Mahathir mengambil soalan daripada hadirin termasuk tentang rancangan Pakatan Harapan untuk masyarakat India.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran dan Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.

21 Pelajar Tahfiz Didakwa Diliwat, Dicabul Penyumbang

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemberi sumbangan didakwa mendera secara seksual dan fizikal 21 pelajar sebuah maahad tahfiz di Kuantan, lapor Sinar Harian.

Akhbar itu melaporkan seorang guru sekolah terbabit dalam laporan polisnya mendakwa pelajar berumur 14 hingga 17 tahun itu dipaksa melakukan hubungan seks sejenis, diliwat serta menghisap kemaluan lelaki tersebut.

Suspek turut didakwa memukul dan mengugut bunuh mangsa supaya tidak mendedahkan perbuatan itu.

Akhbar itu melaporkan Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan

Teknokrat dan aktivis yang sertai PH untuk bersama dengan angin perubahan

Syed Saddiq Abdul Rahman
SAYA teringat kisah Icarus, seorang remaja yang terbang terlalu hampir dengan matahari. Dalam kisah itu, terdapat seorang lagi watak yang menarik iaitu bapa remaja lelaki itu, Daedalus yang merupakan ketua pertukangan. Beliau enggan mengikut Icarus terbang lebih tinggi, lebih dekat dengan matahari.

Ia epilog tentang bagaimana golongan yang mengetahui kebenaran sentiasa berhati-hati untuk menerjah ke kawasan yang berbahaya melainkan mereka mempunyai fakta yang boleh dipercayai untuk mereka sandarkan.

Seminggu lalu, Pakatan Harapan (PH) diberkati dengan berita Wan Saiful Wan Jan menyertai Bersatu dan meninggalkan cetusan emasnya, Ideas di belakang.

Bagi seseorang yang selama ini kerjanya menilai fakta dan kajian memutuskan untuk meninggalkan dunianya di belakang, ia sesuatu yang besar, sesuatu yang berharga dan bernilai untuk diperjuangkan.

Isnin lepas, PH atau secara spesifiknya, Bersatu menerima Dr Maszlee Malik, juga felo Ideas dan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sekarang, PH dirahmati dengan kemasukan Maria Chin yang sanggup mengetepikan aktivisme sivil beliau untuk terjun ke dalam dunia politik. Maria, seorang veteran dalam reformasi pilihan raya percaya bahawa PH pasukan yang boleh membawa reformasi.

Persoalannya mengapa PH menjadi satu titik panas untuk semua teknokrat dan aktivis? Adakah mereka ini gila kuasa? Atau adakah mereka percaya PH jalan untuk perubahan?

Terus terang saya katakan apabila melihatkan media Barisan Nasional (BN) dengan yakin menyatakan sokongan terhadap mereka meningkat dua atau mungkin tiga kali ganda, mengapa tidak ada teknokrat-teknokrat atau aktivis-aktivis yang dikenali umum menyertai perjuangan mereka jika benar-benar mereka ini gila kuasa.

Sejak awal perjuangan lagi, teknokrat seperti Rafizi Ramli sanggup mengetepikan kerusi pejabat empuk beliau untuk berjuang, sanggup dipenjarakan untuk membuka mata rakyat kepada barah rasuah yang makin menebal di negara kita.

Sebuah perjuangan yang kini kita semua kongsi, satu takdir untuk membentuk negara ke arah yang lebih baik.

Rakyat sanggup pulang kembali ke Malaysia untuk sebuah perjuangan. Dr Radzi Jidin, seorang bekas pensyarah forensik perakaunan dari Universiti Tasmania, Australia sanggup menyertai PH, meninggalkan kerja bergaji besar beliau untuk meyakinkan rakyat Kelantan tentang betapa kleptokratiknya kerajaan kita kini.

Sejumlah besar teknokrat dan aktivis telah menyertai PH. Ia bukan satu kebetulan, ia signal harapan bahawa pakatan ini jalan untuk mengubah Malaysia. Satu risiko yang anda sanggup taruhkan walaupun anda punya peluang yang tipis.

Seperti Daedalus yang meninggalkan penjara di Kreta, beliau kekal dengan rancangan serta kepercayaannya dan tidak mengikut Icarus. Teknokrat adalah realis, bukan sang pemimpi. Mereka bukan di sini untuk mengubah pakatan. Mereka di sini untuk menjadi sebahagian daripada perubahan.

Jadi, rakyat Malaysia, teknokrat dan aktivis telah bersuara dan membuat perkiraan taruhan mereka, dengan harapan apabila hari mengundi tiba, anda juga akan membuat langkah yang bijak untuk kebaikan negara kita, Malaysia. 

* Syed Saddiq Abdul Rahman ialah ketua Pemuda Bersatu.

Bekas gitaris kumpulan rock terkenal 80-an direman kes bunuh


Alor Setar: Bekas gitaris kumpulan rock terkenal era 80-an direman seminggu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas di Taman Malaysia, Pumpong di sini, bulan lalu.

Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Nor Azah Idris.

Sebelum ini, suspek membuat pengakuan membunuh Kau Fu Eng, 71, yang ditemui mati dengan kesan jerutan dipercayai akibat pergelutan selepas ditahan di Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu berkaitan satu lagi kes pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar.

Susulan pengakuan itu, polis menemui semula barangan yang hilang dan siasatan lanjut mendapati dia mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan pecah rumah.

Mayat Fu Eng ditemui anak perempuannya pada jam 5.45 petang 25 Februari lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-Bernama