RAYUSA
MENURUT laporan UN J.K mengenai tahanan arbitrari 18 Julai 2010, 1,535 orang mati di dalam penjara, pusat rehabilitasi dan tahanan di antara 2003 hingga 2007. Statistik PDRM pada 2012 pula mencatatkan 147 kematian di dalam lokapnya di antara 2000 hingga 2009.
Sementara itu, dalam jawapan Parlimen Sungai Siput, 23 Oktober 2012, 298 orang mati ditembak anggota PDRM di antara 2007 hingga 2012.
Dewan Perhimpunan Cina Selangor & Kuala Lumpur (KLSCAH) pula melaporkan terdapat 87 kes keganasan anggota PDRM semasa perhimpunan Bersih 3.0, 28 April 2012.
Antara kes besar yang tercatat dalam sejarah perundangan negara selain kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terkenal dengan insiden mata lebam termasuklah kematian A Kugan, Aminul Rasyid, Teoh Beng Hock, dan R Gunasegaran.
Sebagai usaha menghentikan semua keganasan agensi kerajaan seperti PDRM, SPRM, dan Jabatan Imigresen, Gerakan Hentikan Keganasan Kerajaan yang didukungi 30 NGO mengemukakan tujuh tuntutan, iaitu keadilan untuk semua mangsa keganasan dan penyalahgunaan kuasa PDRM, SPRM, Jabatan Imigresen dan lain-lain, menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), menubuhkan Sistem Ombudsman untuk menguatkuasakan amalan hak asasi manusia, mengkaji semula prosedur operasi piawai (SOP) PDRM untuk menggunakan senjata api, menyokong penubuhan sistem mahkamah koroner yang bebas dan berwibawa, menyokong penggubalan undangundang anti penyeksaan, dan menyokong Pendidikan Hak Asasi Manusia.
Sebagai satu lagi usaha yang diharap dapat membantu membanteras fenomena tersebut, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganjurkan kempen “Rakyat Tolak Hukum Tanpa Bicara”.
Pelancaran kempen tersebut telah diadakan di Dewan MCPA, KLSCAH, 8.30 malam, 19 September lalu.
Untuk menambah kebencian rakyat terhadap penahanan tanpa bicara, sebuah teater bertajuk Bilik Sulit turut dipentaskan sempena pelancaran kempen tersebut.
Selain itu, pada hari pelancaran kempen “Rakyat Tolak Hukum Tanpa Bicara”, teater anjuran Suaram dan GMI bersama kumpulan Teater Bukan Teater itu juga dipentaskan pada 20 dan 22 September lalu, mulai 8.30 malam.
Sebelum pementasan Bilik Sulit, penganjur memberi penghormatan kepada Adun Hulu Klang yang juga bekas tahanan ISA dan penulis buku Sengsara Kem Kamunting, Saari Sungib menyampaikan pidato pelancaran kempen.
Sasterawan Negara Dato’ A Samad Said kemudiannya mendeklamasikan puisi terbaharu beliau, “Mendaki Tabah”.
Bilik Sulit adalah usaha untuk berkongsi dengan rakyat mengenai implikasi undangundang penahanan tanpa bicara. Ia membawa kisah soal siasat terhadap tahanan ISA oleh pegawai PDRM berdasarkan kisah benar dan testimoni tahanan tersebut.
Banyak bekas mangsa ISA merekodkan pengalaman ngeri mereka sepanjang ditahan di bawah akta usang itu.
Tempoh 60 hari di dalam tahanan PDRM tanpa berpeluang dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan menjadi peristiwa hitam dalam hidup mereka. Akibat didera secara mental dan fizikal, banyak tahanan mengalami trauma dahsyat walaupun setelah dibebaskan.
Sehubungan itu, Suaram berhasrat membawa Bilik Sulit ke luar Lembah Klang bagi membolehkan mesejnya sampai lebih meluas. Khabarnya, ‘Bilik Sulit’ telah mendapat persetujuan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad untuk dipentaskan di Shah Alam pada 25 hingga 27 Oktober depan.
Suaram meletakkan tempoh dua bulan, iaitu sepanjang Oktober dan November 2013 untuk mementaskan teater arahan aktivis politik, pengarah filem yang juga bekas tahanan ISA, Hishamudin Rais bersama Teater Bukan Teater itu ke tempat-tempat yang bakal ditetapkan.
Walaupun pada pandangan saya dan mungkin juga penonton lain, persembahan dari segi lakonan kurang mantap, terutama pertuturan watak yang seperti membaca skrip dan kurang penghayatan, mesej Bilik Sulit tetap penting.
Antara dialog menarik dalam teater selama sejam itu ada butiran yang dituturkan isteri tahanan ISA, iaitu: “Saya tahu apa yang suami saya lakukan. Suami saya tahu apa yang dia lakukan. Polis tidak perlu putarbelitkan. Suami saya tak makan tipu.”
Harbeas Corpus, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ikut Suka Aku, Rompin, Bar Raba-Raba, Itu Seksaan Aku, Melayu, Islam, Mahathir, Razak Baginda, dan C4 adalah antara ungkapan menarik yang turut dituturkan watak dalam Bilik Sulit.
Menerusi prop ringkas dan tatacahaya sederhana, Bilik Sulit yang merupakan drama kata-kata (word play), menampilkan empat pegawai PDRM yang menyoal siasat dengan sesekali menyebut ayat lucah dan provokatif (seksaan mental) serta menyentuh tubuh seperti memukul, mencekik atau membogelkan (seksaan fizikal) tahanan ISA dan suara latar isteri tahanan tersebut dapat menggambarkan proses soal siasat PDRM terhadap tahanan ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan