Shahbudin Husin
Walaupun Najib sudah disahkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan UMNO 2013 dan ini merupakan penggal keduanya selepas menang tanda ditandingi juga pada 2004 lalu, masa depan beliau sebenarnya masih lagi dilihat tidak selamat. Kerusi Presiden UMNO dan Perdana Menteri dilihat tidak sepanjang masa kukuh untuknya dan beliau seolah-olah bila-bila masa saja boleh tercampak daripadanya.
Jika di hati rakyat beliau tidak mendapat sokongan majoriti, di dalam UMNO juga popularitinya tidak berada ke kedudukan nombor satu sedangkan beliau sedang mengetahui parti dan kerajaan.
Dalam pilihanraya umum, meskipun BN kekal memerintah dengan kemenangan 133 kerusi berbanding PR yang hanya 89 kerusi, tetapi undi majoriti yang diperolehi BN hanyalah 47 peratus manakala PR meraih undi popular rakyat sebanyak 51 peratus.
Di dalam UMNO pula, kaji selidik terbaru yang dilakukan oleh Merdeka Center mendapati populariti Najib di kalangan ahli UMNO hanyalah sebanyak 69 peratus berbanding bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang mendapat 79 peratus undian.
Dengan kedudukan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri serta setiap hari berita dan gambarnya terpampang di akhbar dan tv, keberadaannya di kedudukan nombor dua di belakang Mahathir itu merupakan sesuatu yang malang dan memalukan. Ini menjadikan keadaannya adalah sama dengan kemenangan dalam pilihanraya umum lalu. BN yang dipimpinnya menang dalam pilihanraya tetapi kepimpinannya tiada dihati rakyat, di dalam UMNO pula beliau kekal sebagai Presiden UMNO tanpa ditandingi tetapi beliau tidak berada di hati ahli-ahli UMNO.
Tidak berada di hati rakyat dan tidak juga kukuh di hati ahli-ahli UMNO, ini menjadikan kedudukannya tidak selamat dan boleh dikuis pada bila-bila masa, selain perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan yang boleh menggugat kedudukannya.
Kepimpinan dan kewibawaan Mahathir ternyata masih kukuh melekat dalam jiwa ahli-ahli UMNO, tambahan pula dalam banyak aspek pencapaian sebagai Perdana Menteri, Najib bukan saja jauh berbeza dengan Mahathir, malah beliau juga dilihat lebih lemah berbanding Pak Lah.
Mengetahui bahawa kedudukannya lebih popular daripada Najib, Mahathir secara bergurau berkata, "Saya nak jadi PM lagi sekalilah."
Walau dengan nada bergurau, kata-kata Mahathir itu ternyata penuh sindiran. Ini kerana meskipun sudah lebih 10 tahun meninggalkan persada kuasa sebagai Perdana Menteri, Najib masih tidak mampu menandinginya.
Dan menjelang pemilihan UMNO 19 Oktober depan, kedudukan Najib tidak terlepas daripada pemerhatian banyak pihak. Dengan Mahathir dilihat mempunyai proksinya kali ini iaitu anaknya, Mukhriz yang bertanding jawatan Naib Presiden UMNO manakala Najib dipercayai masih mahu mengekalkan penyandang sedia ada iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal, pertembungan pengaruh antara keduanya tidak dapat dielakkan lagi.
Apatah lagi, seiring dengan mood dan kehendak majoriti perwakilan yang seolah-olah mahukan Mukhriz menduduki salah satu kerusi Naib Presiden UMNO, Mahathir juga terlihat turut sibuk untuk mengelakkan anaknya bakal kecundang. Saranan dan gesaannya berulangkali yang mahukan UMNO membuka pintu kepada pemimpin muda yang berbakat untuk mengelakkan parti itu daripada mati serta terus relevan adalah sebenarnya untuk menyediakan ruang yang lebih terbuka untuk anaknya itu.
Menyedari bahawa wujud pertembungan kepentingan dengan Najib ketika ini, Mahathir juga dilihat mulai kritikal terhadap beberapa dasar dan pendekatan Najib. Selain mengekalkan rasa tidak setujunya dengan pemberian tunai kepada rakyat melalui BR1M, semalam beliau mengkritik lagi rancangan Najib mahu memberi BR1M sebanyak dua kali setahun dengan menyifatkan tindakan itu menyebabkan rakyat menjadi lebih malas dan terlalu bergantung kepada kerajaan.
Najib pula dilihat amat bergantung kepada dasar pemberian tunai untuk meningkatkan sokongan terhadapnya. Kritikan Mahathir sedikit-sebanyak tentunya mengganggu pelan asal Najib mengenai BR1M, sama seperti terganggunya beliau dengan kehadiran Mukhriz dalam pertandingan Naib Presiden UMNO. Sama ada mengekalkan BR1M, lebih-lebih lagi menjadikannya dua kali setahun, ia pastinya akan menjadikan kritikan Mahthir lebih pedas lagi kerana pemberian tunai itu akan dikaitkan dengan peningkatan hutang negara yang kini sudah mencecah 51 peratus berbanding KDNK negara.
Sebelum itu juga, Mahathir melontarkan sindiran dengan mengatakan seseorang pemimpin tidak harus memegang jawatan terlalu lama dan mesti tahu bila harus berhenti bagi mengelakkan parti terus dikuasai oleh orang-orang bodoh. Perjanjian Trans Pasifik atau TPPA juga tidak terlepas daripada kritikan Mahathir manakala Najib pula begitu beria-ia mahukan ia ditandatangani dan bersikap pro Amerika.
Di sebalik semua perlakuan Mahathir itu, persoalan yang mula bermain di kepala ahli-ahli UMNO ialah sampai bilakah Najib mampu mempertahankan kedudukannya? Walaupun sebelum ini Mahathir menyokong Najib terus dikekalkan tetapi sejarah lampaunya juga menunjukkan beliau pernah memainkan peranan menjatuhkan orang yang dulu merupakan pilihannya sendiri.
Semasa berkuasa, beliau menyingkirkan Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim tetapi setelah tiada kuasa, beliau juga mampu menjatuhkan Pak Lah.
Bibit-bibit perbezaan antara Najib dan Mahathir sudah mulai dikesan sekarang ini dan semakin menjadi percakapan ramai, baik di dalam mahu pun di luar UMNO. Kritikan terbukanya mengenai UMNO dan beberapa dasar Najib makin lantang kebelakangan ini memperlihatkan kecenderungan orangramai untuk mempercayainya.
Walaupun menang tanpa bertanding dalam pemilihan UMNO, Najib dipercayai tidak akan kekal sehingga pilihanraya akan datang. Selepas pilihanraya lalu, tidak ada perubahan dalam kepimpinan Najib yang membolehkan sesiapa meyakininya mampu membawa kejayaan lebih cemerlang dalam PRU 14 nanti. Kritikan Mahathir mengenai UMNO dan dasar Najib adalah untuk membuktikan bahawa perubahan yang dijanjikan tidak berlaku sama-sekali sedangkan antara syarat beliau dikekalkan ialah untuk memberi peluang dan memastikannya berubah selepas keputusan terburuk BN dalam pilihanraya lalu.
Mahathir dipercayai sedang memantau dengan teliti semua keadaan yang berlaku dalam UMNO dan juga kerajaan dan keputusan pemilihan UMNO 19 Oktober depan akan menjadi titik-tolak kepada langkah beliau yang seterusnya. Dengan menjadi orang paling popular dalam UMNO, sementara Najib bukan saja tidak popular dalam UMNO tetapi juga tidak melekat dihati rakyat, usaha Mahathir itu tidaklah sesukar mana.
Kita akan melihat sama ada sejarah Pak Lah berulang kepada Najib ataupun beliau mampu mengelaknya tidak berada lama selepas pemilihan UMNO ini berakhir nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan