"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang bapa membonceng skuter dibawa oleh anak perempuan bawah umur tanpa topi keledar mendapat kecaman

Budak bawa skuter, bapa bonceng
KOSMO
Tangkap layar menunjukkan gadis itu menunggang skuter di tengah jalan sambil dibonceng oleh bapanya. - Instagram
NEW DELHI – Perbuatan seorang bapa di India membenarkan anak perempuannya menunggang skuter di jalan raya mengundang kecaman orang ramai, lapor stesen penyiaran NDTV. 

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @aurangabadinsider, budak perempuan  itu dilihat menunggang skuter sambil mengenakan seragam sekolah. 

Selain berusia di bawah umur, dia turut melanggar peraturan lalu lintas kerana tidak memakai topi keledar. 

Lebih mengejutkan apabila bapanya bertindak sebagai pembonceng. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 6.6 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.

“Ibu bapa harus bertanggungjawab dengan keselamatan anak mereka!” marah seorang netizen. 

“Inilah punca kenapa kemalangan jalan raya kerap berlaku,” sindir netizen lain. – AGENSI

Remaja tembak keluarga, cuba salahkan adik

KOSMO
Mark Humiston bersama isteri dan salah seorang anaknya yang terbunuh dalam kejadian tembakan di Washington. - Facebook
WASHINGTON – Seorang remaja berumur 15 tahun ditahan selepas membunuh ibu bapa dan tiga adik-beradiknya di rumah mereka di Fall City, Washington, lapor saluran berita Mail Online semalam. 

Remaja yang tidak didedahkan namanya itu mendakwa bahawa pembunuhan kejam tersebut dilakukan oleh adik lelakinya sebelum dia menamatkan riwayatnya sendiri. 

Polis tempatan berkata, mangsa bernama Mark Humiston, 43 dan isterinya, Sarah, 42, ditemui mati bersama tiga daripada lima anak mereka di sebuah rumah mewah bernilai AS$1.4 juta (RM6.08 juta). 

“Anak sulung mereka ditahan di tempat kejadian dan kini berdepan lima pertuduhan membunuh dengan niat dan satu pertuduhan cubaan membunuh.

“Suspek cuba menyalahkan adiknya, Benjamin, 13, dengan mendakwa dia menembak ahli keluarga sebelum membunuh diri, selepas ditangkap menonton video lucah,” jelas polis. 

Laporan polis mengesahkan bahawa suspek menembak mangsa menggunakan pistol Glock milik bapanya. 

“Adik perempuan tertuduh yang berumur 11 tahun berkata, abang sulungnya melepaskan dua das tembakan ke arahnya dan terkena pada leher dan lengan.

“Mangsa bagaimanapun terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai itu selepas melarikan diri ke rumah jiran.

“Humiston mengalami empat kesan tembakan manakala Sarah ditemui dengan dua kesan tembakan di bahagian kepala,” tambah polis. – AGENSI

Suami tembak isteri selepas dicabar dalam pertengkaran

KOSMO!
SEORANG suami ditangkap kerana menembak isterinya. - Foto Khaosod
BANGKOK  –  Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menembak isterinya yang menyebabkan mangsa berada dalam keadaan kritikal berikutan pertengkaran sengit antara mereka, lapor portal berita Thaiger hari ini. 

Kejadian itu berlaku di sebuah kediaman di Pak Phanang, wilayah Nakhon Si Thammarat selepas pasangan itu berbalas kata-kata kesat semalam.

Wanita itu dibawa ke Hospital Maharaj Nakhon Si Thammarat oleh pekerja penyelamat selepas polis menemuinya cedera di bahagian dada.

Suspek berusia 33 tahun melarikan diri dari tempat kejadian,  namun akhirnya ditahan di Bang Chak, Mueang Nakhon Si Thammarat.

Semasa soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah itu. 

Lelaki itu berkata, ketika kejadian,  dia  bertengkar dengan isterinya. Menurut suspek, dia berang kerana si isteri  menghina ibu bapanya dengan kata-kata kesat. 

Cercaan itu menyebabkan dia mengambil senapang patah dengan niat awal untuk mengugut mangsa.

Bagaimanapun, apabila isterinya mencabar untuk menembak, dia hilang kawalan dan memetik picu menyebabkan tembakan mengenai dada mangsa. Suspek kemudian menaiki sebuah trak pikap untuk melarikan diri. – AGENSI