"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bomba selamatkan kemaluan lelaki tersangkut zip

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan anggota-anggota bomba berusaha menyelamatkan kemaluan mangsa. - Instagram
JAKARTA – Seorang lelaki di Bogor, wilayah Jawa Barat menjadi tular selepas alat sulitnya tersangkut pada zip seluar dan terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota bomba, lapor portal berita Ceklis Satu semalam. 

Pegawai bomba tempatan dikenali sebagai Iskandar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah hari (waktu tempatan) ketika mangsa sedang bermain dengan telefon bimbitnya. 

“Semasa menutup zip seluar yang terbuka, kemaluan mangsa tersangkut tanpa disedari,” kata Iskandar. 

Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @funnel.media memaparkan mangsa dibantu oleh beberapa anggota bomba. 

Mereka turut menggunakan pelbagai peralatan dan lampu demi menyelamatkan kemaluan mangsa. 

Rakaman itu meraih lebih 9,000 tontonan dan menerima pelbagai reaksi netizen. 

“Sunat dua kali,” komen seorang netizen. 

“Dia nyaris kehilangan masa depan,” komen netizen lain. – AGENSI

2 kenderaan jatuh longkang akibat tanah runtuh

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
TANAH tebing sungai yang runtuh. FOTO Ihsan Bomba
TANAH tebing sungai yang runtuh. FOTO Ihsan Bomba
Ampang: Dua kenderaan jatuh ke dalam longkang selepas tanah di tebing sungai di Taman Lembah Maju, di sini, runtuh, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7.14 malam.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat tanah runtuh di tebing sungai yang ketinggian 10 meter.

"Kejadian itu menyebabkan dua kenderaan masing-masing sebuah kenderaan penunda serta sebuah kereta masuk ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.

Wanita dijatuhi hukuman 15 tahun penjara kerana campak bayi dari tingkat 24 pangsapuri

BHarianonline 

SEOUL: Seorang wanita berusia 40-an dijatuhi hukuman 15 tahun penjara kerana membunuh anak saudaranya yang berusia 11 bulan dengan mencampaknya dari pangsapuri tingkat 24.

Mahkamah Daegu yang mengendalikan kes ini, mendapati wanita itu bersalah atas tuduhan membunuh bayi dan memerintahkan hukuman penjara 15 tahun serta lima tahun dalam pemantauan.

"Mangsa mati dalam kesakitan, tidak dapat mengekspresikan dirinya dan ibunya akan hidup dalam trauma dengan parut emosi," menurut kenyataan mahkamah.

Wanita itu disabitkan hukuman kerana membunuh bayi pada 8 Mei lalu iaitu pada Hari Ibu di Korea Selatan, di sebuah pangsapuri tempat tinggal adik lelaki dan isterinya di Dalseo-gu, Daegu.

Siasatan mendedahkan bahawa wanita itu mengendong bayi berkenaan selepas meminta izin daripada ibu bayi berkenaan dan ketika ibu bayi keluar sebentar dari bilik, defendan mengunci pintu dan mencampak bayi dari balkoni.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa defendan mempunyai sejarah penyakit mental, termasuk gangguan personaliti antisosial dan kemurungan, yang menyebabkan dia dirawat di hospital.

Setelah keluar dari hospital, masalahnya semakin teruk dan menganggap bahawa keluarganya akan membunuh bayi itu, yang mendorongnya melakukan jenayah itu.

Pendakwaan sebelum ini meminta hukuman 20 tahun, pemantauan elektronik selama 10 tahun dan lima tahun pemantauan kelakuan dengan alasan bahawa jenayah itu dirancang terlebih dulu. - AGENSI

Suami isteri, ibu dan anak dicekup curi kabel awal pagi

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Antara barangan yang dirampas polis daripada suspek.
SHAH ALAM – Kegiatan sepasang suami isteri dan dua beranak mencuri kabel pada awal pagi tidak berpanjangan apabila mereka dicekup bersama seorang lagi individu semalam.

Tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 24 hingga 47 tahun itu diberkas di Kawasan Perindustrian Hicom Glenmarie di sini kira-kira pukul 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, perkara itu disedari sewaktu anggota Balai Polis Bukit Jelutong membuat rondaan cegah jenayah di lokasi tersebut.

Anggota polis mengesan dua buah kereta dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah kabel milik Telekom Malaysia (TM) dipercayai dicuri dan peralatan memotong kabel.

“Dua daripada suspek yang ditahan merupakan pasangan suami isteri, manakala dua lagi suspek adalah ibu dan anak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Iqbal, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori dan operator kilang. Semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah selain dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek direman antara dua dan tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki buta, anak dihalau keluarga lepas tukar agama

NUR HIDAYAH MOHD. BOZID
Gambar yang dimuat naik oleh Lembaga Zakat Selangor
PETALING JAYA – Seorang lelaki yang buta sebelah mata akibat strok mendakwa dia dihalau dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang selepas tindakannya memeluk Islam diketahui ahli keluarganya.

Selain lelaki itu, turut diarah berbuat demikian adalah anaknya yang berusia 12 tahun.

Perkara itu didedahkan Skuad Saidina Umar (SSU) Lembaga Zakat Selangor ketika menyantuni mangsa yang baru sebulan bergelar mualaf.

“Dia juga menghidap masalah bengkak perut yang menyukarkannya mencari pekerjaan tetap kerana pergerakannya terbatas.

“Namun kecekalannya sangat kami kagumi, walau dengan kekurangan sebegitu dia masih kuat mencari rezeki bekerja di kedai mencuci kereta dan mengambil upah memasang wayar elektrik secara kecil-kecilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lembaga Zakat Selangor memaklumkan semua pakaian milik lelaki itu dirosakkan sebelum didakwa dihalau keluar dari rumah.

“Alhamdulillah pihak Zakat Selangor meluluskan sumbangan saguhati pengislaman kepadanya selain bantuan kecemasan tunai bagi kegunaan harian.

“Pihak kami bersyukur kerana ada insan yang baik hati menjelaskan satu bulan sewaan bilik buatnya di samping mendapatkan pekerjaan berhampiran bilik sewanya itu,” ujarnya.

Perkongsian itu turut mengingatkan umat Islam untuk terus saling membantu dan menyampaikan maklumat kepada pihak berwajib dalam usaha menyantuni para mustahiq.

Sebagai tanggungjawab bersama, inisiatif ini diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menjalankan kewajipan sosial dalam membantu mereka yang memerlukan. – KOSMO! ONLINE

Wanita maut terhidu asap kebakaran

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut akibat terhidu asap berlebihan manakala dua lagi cedera dalam kebakaran di sebuah unit rumah pangsapuri di Palm Spring Condo, Damansara, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hasnol Hadi Mohamed Roslan, berkata panggilan kecemasan diterima pada 8.39 pagi berhubung kejadian dan seramai 21 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara serta Petaling Jaya dan Sungai Buloh bersama tujuh jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

“Mangsa yang maut ialah seorang wanita berumur 31 tahun manakala dua lagi yang cedera lelaki dan wanita masing-masing berumur 29 dan 24 tahun.

Pegawai perubatan mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat hidu asap kebakaran. Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan sebuah kotak suis yang berada di sebuah unit di tingkat 14, apartmen 15 tingkat berkenaan.

Penduduk terkejut rumah ‘ditelan’ Sungai Ketil

NORLIA RAMLI
HAMINAH (dua dari kiri) melihat sebahagian rumahnya yang runtuh akibat hakisan tebing Sungai Ketil di Tanjung Pari di Baling baru-baru ini.
BALING – Seorang mangsa banjir terkejut apabila bilik tidur dan dapur rumah kakaknya roboh ‘ditelan’ Sungai Ketil dalam banjir kilat di Kampung Batu 60, Tanjung Pari, baru-baru ini.

Khatijah Ngah, 59, berkata, rumah kakak sulungnya, Haminah Ngah, 66, berada di tebing Sungai Ketil yang jaraknya kira-kira dua meter sahaja.

“Dua kali banjir yang berlaku sebelum ini telah menghakis tebing sungai di tepi rumah kakak. Hakisan itu berlaku sedikit demi sedikit apabila air sungai deras dan hujan lebat turun setiap hari.

“Ketika banjir pada 8 Oktober lalu, saya dan anak-anak serta cucu berpindah ke rumah jiran di seberang jalan, kemudian dalam pukul 7 pagi saya pulang ke rumah setelah banjir surut,” kata­nya di sini semalam.

Katanya, sebelum kejadian runtuhan itu, dia melihat tiang rumah kakaknya telah tergantung dan tebing sungai telah terhakis sedikit demi sedikit.

“Tiba-tiba sebahagian rumah terus runtuh ke dalam sungai. Saya tidak berani masuk ke dalam rumah itu untuk menyelamatkan barang-barang menyebabkan ada antaranya telah hanyut bersama air sungai yang deras.

“Sebelum kejadian itu, hujan lebat sekitar pukul 8 malam tanpa henti menyebabkan paras air sungai naik mendadak. Kemudian kira-kira pukul 2 pagi air sungai mula menerpa masuk ke dalam rumahnya hingga ke paras pinggang,” katanya.

Ujarnya, dia dan anak-anak cuba mengemas dan menyelamat barang-barang yang hampir ditenggelami air tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana air menerpa masuk terlalu laju.

“Saya mohon pihak berwajib lakukan sesuatu untuk mengelakkan tebing sungai itu terus runtuh, saya bimbang jika tidak diambil tindakan segera, hakisan ini akan merebak ke kawasan rumah saya dan sebuah lagi rumah berhampiran yang jaraknya kira-kira 20 meter,” katanya.

Sementara itu, anak Haminah, Mohd. Nazri Che Neh, 48, berkata, rumah ibunya itu telah di­sewakan kepada sepasang suami isteri yang bekerja di kawasan pembalakan.

“Nasib baik mereka tiada di rumah ketika kejadian kerana masih berada kawasan pembalakan. Sebelum kejadian, seminggu lalu air sungai telah menghakis tebing rumah, hanya lebih kurang dua meter dari tiang rumah dan dua batang pokok yang agak besar yang menahan tebing sungai telah tumbang.

“Mungkin sebab itu, air su­ngai yang deras dan banyak telah menyebabkan hakisan tebing menjadi semakin serius,” katanya.

Katanya, punca banjir kali ini bermula di Kampung Teluk Rambung apabila berlakunya kepala air yang agak serius dan terus merebak ke kawasan itu.

Ujarnya, mungkin dua pokok yang terbalik merentangi sungai ini telah menyebabkan hakisan berlaku. -KOSMO! ONLINE

Polis: 4 pelajar tahfiz mungkin mangsa seksual, dera

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis berkata empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah yang dilaporkan hilang dan ditemui semula, dipercayai menjadi mangsa dera dan seksual susulan kesan kecederaan pada badan mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata selepas ditemui di Bangi Khamis lalu, empat remaja berusia 13 hingga 14 tahun itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur kelmarin atas persetujuan keluarga untuk menjalani pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal menemui kesan kecederaan dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat tahfiz itu.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat dakwaan remaja terbabit menjadi mangsa seksual.

“Hasil keterangan awal, mereka mendakwa melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz dan tidak menolak turut menjadi mangsa buli.

“Mereka juga mendakwa didera selepas kita menemui kesan lebam pada badan mereka dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengumpul keterangan kukuh.

Kita sudah merakam keterangan pihak pengurusan tahfiz bagi membantu siasatan. Siasatan juga mendapati mereka belajar di situ tidak sampai setahun, katanya menurut Harian Metro selepas program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, media melaporkan empat pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu, ditemui orang awam sedang berjalan di sekitar kawasan Kampung Bangi pada 11.58 malam Khamis lalu.

ASP, 6 polis disyaki terbabit peras ugut, cabul wanita ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat asisten superintendan (ASP) dan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Cheras ditahan kerana disyaki terbabit kes pemerasan serta cabul semalam.

Polis turut menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes didakwa berlaku di sebuah kondominium di Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata seorang wanita 22 tahun membuat laporan 7 Okt lalu mendakwa diperas ugut untuk menyerahkan wang dan dicabul 1 Okt lalu.

Selepas menerima laporan mangsa, beliau berkata, polis menahan tiga lelaki, sebelum mereka direman tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Susulan itu, kita menahan tujuh orang, iaitu seorang pegawai berpangkat ASP dan enam anggota, termasuk seorang anggota wanita berusia 30 hingga 50-an semalam, katanya menurut Harian Metro pada program Hari Sukan Negara Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, tujuh individu itu direman tiga hari hingga 14 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 dan 354 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, belum ada rampasan setakat ini dan pihaknya sedang menyiasat dakwaan wang dibayar melalui pemindahan dalam talian.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menyiasat sebab pengadu lewat membuat laporan.

Terdahulu, tular di Telegram dakwaan seorang wanita menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di kondominium Cheras.

Wanita itu didakwa diugut sekumpulan anggota polis sebanyak RM150,000 yang dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemui dadah dalam pemilikannya.

Mangsa dibebaskan selepas seorang lelaki membantu membayar RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala dengan kadar faedah.

Kecoh rupa-rupanya ‘walaun’ yang sertai larian LGBT di Johor?

Harapandaily

Minggu lalu tular satu program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Johor yang didakwa mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT).

Program itu menimbulkan kekecohan apabila peserta larian berpakaian tidak senonoh dan mencolok mata, termasuklah peserta lelaki.

Perkara tersebut mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri itu.

Bagaimanapun tentera siber pembangkang terus memainkan isu tersebut, menuding jari kepada kerajaan negeri dan menyalahkan pimpinan Perdana Menteri.

Tidak kurang juga DAP dipersalahkan.

Namun, sejak kelmarin Harapan Daily melihat beberapa hantaran di Facebook mendakwa salah seorang peserta larian itu adalah Pengerusi Parti Gerakan Kemaman, Chang Soon Tiew yang juga rakan baik Pas.

Beberapa gambar dimuat naik pengguna menunjukkan persamaan wajah seorang peserta yang mengenakan pakaian mencolok mata dengan Chang. 

Ia sekaligus mengesahkan bahawa individu itu adalah pengerusi Gerakan Kemaman.

Chang pernah beberapa kali berceramah atas satu pentas bersama dengan Pas.

Kali terakhir dia mengemaskini laman Facebook adalah pada Julai lalu. 

Seorang pengguna meninggalkan komen di Facebook Chang, menyertakan tangkap layar gambar pemimpin Gerakan itu pada program larian terbabit.

Setakat ini masih belum ada penjelasan dari Gerakan mahupun Perikatan Nasional sendiri berkenaan isu tersebut.

Lelaki hidu seluar dalam wanita di jemuran dicekup polis

KOSMO!
SEORANG lelaki yang menghidu selau dalam Wanita akhirnya ditangkap polis. - Foto The Pattaya News
BANGKOK – Seorang lelaki yang menghidu seluar dalam wanita yang disidai di luar sebuah  apartmen di Pattaya akhirnya ditangkap, lapor portal berita The Pattaya News hari ini.

Lelaki itu diberkas selepas saudara-maranya memberi maklumat kepada polis. 

Suspek  juga bukan warga asing seperti yang dilaporkan pada awalnya.

Polis menahan suspek yang hanya dikenali sebagai Rungtawan itu di kediamannya di kawasan Naklua. Dia berusia 21 tahun.

Penahanan itu susulan maklumat saudara mara suspek bahawa dia ialah individu yang menghidu seluar dalam wanita seperti dilaporkan secara meluas oleh media tempatan.

Menurut polis, Rungtawan mengaku melakukan jenayah itu dengan alasan teruja berbuat demikian. 

Bagaimanapun, Rungtawan menafikan mempunyai niat jahat terhadap pemiliknya.

Suspek  kemudian dibawa ke tempat kejadian untuk melakonkan semula dan menunjukkan lokasi jenayah. 

Polis mengarahkannya  memohon maaf kepada mangsa turut hadir semasa lakonan tersebut. – AGENSI

Bekas isteri muda cekik isteri tua

KOSMO!
RAKAMAN CCTV menunjukkan WL memakai pakaian hitam Ketika memasuki rumah Sukardi. - Foto Serambinews.com
JAKARTA  – Seorang isteri tua ditemui meninggal dunia disyaki akibat dicekik oleh bekas isteri muda di rumahnya di Lhokseumawe, Aceh kerana sakit hati, lapor portal berita Kompas.com kelmarin.

Jenazah Laksmiwati ditemukan oleh suaminya, Dr. Sukardi  malam Isnin lalu.

Polis yang melakukan siasatan, mendapati terdapat tali plastik hitam yang dipercayai digunakan dalam jenayah itu.

Rakaman kamera televisyen tertutup (CCTV) menunjukkan bekas isteri mudanya yang dikenali sebagai WL, 36, memasuki pekarangan rumah Sukardi pada pukul 3 petang (waktu tempatan).

Suspek  ditahan polis pada keesokan harinya.

Pegawai polis tempatan, Yudha Prastya berkata, WL ialah bekas isteri Sukardi. 

Ketika disoal siasat, WL mengaku membunuh Laksmiwati kerana sakit hati setelah dia dipaksa bercerai dengan Sukardi. 

“Dari hasil soal siasat, WL mengaku perbuatannya. Ia menjelaskan bahwa motif pembunuhan tersebut didorong oleh rasa sakit hati terhadap mangsa setelah pernikahan dengan suami mangsa diketahui dan dipaksa bercerai,” kata Yudha. – AGENSI

Warga emas ditemukan rentung depan rumah terbakar

NORFARHIZA MOHD ATAR
ANGGOTA bomba membantu memadamkan kebakaran di Jalan Sungai Lui, Kampung Sungai Lui di Raub malam semalam.
RAUB – Seorang warga emas rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Sungai Lui, Kampung Sungai Lui di sini malam tadi.

Mayat mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 70-an itu ditemukan rentung di hadapan rumah dipercayai cuba melarikan diri sewaktu kebakaran tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub, Khairul Anuar Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.16 malam sebelum 11 anggota dari BBP Raub dan Sungai Koyan dikejarkan ke lokasi bersama dua buah jentera.

“Sebaik tiba, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan rumah kayu yang terbakar 100 peratus. Seorang warga emas disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Seorang maut, 2 selamat, bangunan runtuh di Melaka

BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka giat melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang buruh binaan warga asing yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Bukit Senjuang, hari ini. FOTO BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka giat melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang buruh binaan warga asing yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Bukit Senjuang, hari ini. FOTO BERNAMA
Melaka: Seorang pekerja warga asing maut manakala dua lagi selamat dalam insiden bangunan runtuh di Jalan Bukit Senjuang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata dalam insiden pada 6 petang itu, lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22, ditemukan maut dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit.

"Mangsa ditemukan di celah runtuhan pada 9.55 malam namun hanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 12.16 tengah malam tadi.

"Mangsa yang selamat, Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, kedua-duanya warga Pakistan, mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh termasuk leher, bahu dan kepala.

"Mereka masing-masing dikeluarkan dari runtuhan pada 6.40 petang dan 8.45 malam ini.

"Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri R Saiful Iswandy R Hassan pula berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 6.18 petang dan seramai 81 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu dan Melaka Tengah termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat (35 orang) tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan yang melibatkan struktur bangunan satu tingkat berukuran 18.3 meter x 24.4 meter persegi yang masih dalam pembinaan," katanya.

Samseng jalanan dicekup gilis kaki jurulatih kapal

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar kejadian di Jalan Persiaran Kayangan, di sini baru-baru ini.
SHAH ALAM – Berang dihalang semasa memasuki susur jalan membuatkan seorang penjual komponen kenderaan bertindak luar batas sehingga menggilis kaki seorang jurulatih kapal laut di Jalan Persiaran Kayangan, di sini baru-baru ini.

Aksi samseng suspek berusia 26 tahun membawa padah apabila ditahan kira-kira pukul 5. 30 petang di Meru, Klang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kes buli jalanan berlaku kira-kira pukul 9.45 malam pada Ahad lalu ketika mangsa bersama isteri dan anak perempuannya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta jenis Volkswagen.

Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu suspek yang dipandu secara melulu terus menghimpit kereta dipandu mangsa berusia 46 tahun.

“Suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di belakang kereta mangsa sebelum mengetuk cermin tingkap sebelah pemandu.

“Suspek juga cuba menarik anak kunci kereta semasa mangsa membuka pintu, namun tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, insiden itu kemudiannya berlarutan dengan pertengkaran mulut selepas mangsa keluar daripada kenderaannya.

Tambahnya, suspek kemudiannya masuk semula ke keretanya dan cuba melanggar mangsa dengan kali pertama berjaya dielak jurulatih tersebut.

“Bagaimanapun, kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanan mangsa digilis dengan tayar kereta suspek yang kemudiannya memecut laju melarikan diri.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami retak kecil di kaki kanan dan telah menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” ujarnya.

Kata Mohd. Iqbal , siasatan mendapati motif kejadian tersebut disebabkan suspek tidak berpuas hati keretanya dihalang oleh kenderaan mangsa semasa hendak memasuki susur kiri dari arah Bulatan Kayangan Seksyen 10 menghala ke Seksyen 7 di sini.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun positif dadah jenis Benzo.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tentera Israel rampas ibu pejabat UNRWA di Baitulmaqdis

BERNAMA-WAM

Gaza: Tentera Israel mengumumkan perampasan tanah ibu pejabat utama Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk membina 1,440 unit perumahan.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), keputusan itu berikutan kelulusan draf rang undang-undang oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Knesset Israel yang bertujuan untuk memutuskan hubungan antara Israel dan UNRWA.

Rang undang-undang itu yang dijangka dibacakan buat kali kedua dan ketiga minggu hadapan adalah sebahagian daripada siri rang undang-undang yang dicadangkan oleh beberapa ahli Knesset untuk menyekat aktiviti agensi berkenaan.

Menurut rang undang-undang itu, perjanjian 1967 yang membenarkan UNRWA beroperasi di Israel akan dibatalkan, dan dengan itu aktiviti agensi berkenaan akan dihentikan serta sebarang hubungan antara pegawai Israel dan kakitangannya akan dilarang.

Rang undang-undang itu juga memperuntukkan bahawa visa diplomatik tidak akan diberikan kepada kakitangan UNRWA.

Wanita bertudung berjoget sambil minum arak

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan wanita-wanita itu berjoget sambil memegang botol minuman keras. - Instagram
JAKARTA – Perbuatan sekumpulan wanita di Jeneponto, wilayah Sulawesi Selatan yang berjoget sambil menikmati minuman beralkohol mengundang kecaman orang ramai, lapor saluran berita Abata News. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @beritasatu, wanita-wanita yang mengenakan tudung itu dilihat berjoget sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan. 

Bahkan, ada antara mereka sempat menunjukkan cawan serta botol minuman keras ke arah kamera sambil tersenyum.

Mereka berbuat demikian seolah-olah bangga dengan perbuatan tersebut. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 4.9 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Fungsi pakai tudung untuk apa?” sindir seorang netizen. 

“Yang penting auratnya ditutup,” sindir netizen lain. – AGENSI

Wanita tipu diculik, minta wang tebusan mahu langsai hutang along

BERNAMA

Melaka: Seorang wanita sanggup menipu keluarga dengan mendakwa dia diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM70,000 kerana terdesak untuk menyelesaikan hutangnya dengan 'along'.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata wanita berusia 55 tahun itu ditahan polis kira-kira 3.30 pagi tadi semasa dia ditemui di surau stesen pam minyak di Taman Sri Maharani, Muar Johor.

"Kehilangan wanita itu dilaporkan anak lelakinya berusia 22 tahun selepas dia menerima pesanan mesej daripada nombor telefon mangsa yang memaklumkan ibunya dilarikan selain meminta wang sebanyak RM70,000.

"Sebelum itu pada 11.15 pagi semalam, wanita itu meminta anaknya menghantar dia ke pasar raya di Peringgit dan kemudian keluar dari kereta kerana mahu membayar bil telefon tetapi dia didapati hilang selepas lebih sejam setengah anaknya mencari di kawasan sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata hasil siasatan wanita itu mengaku kejadian 'dilarikan' orang adalah palsu dan berbuat demikian kerana terpaksa berikutan perlu melangsaikan hutang kira-kira RM15,000 yang dipinjam daripada sepuluh along.

Beliau berkata wanita itu mengaku menaiki bas dari Melaka Sentral ke Muar tetapi disebabkan tidak mempunyai wang terpaksa menjadikan surau di stesen minyak itu sebagai penginapan sementara.

"Wanita itu juga mengaku segala penulisan mesej dalam aplikasi WhatsApp itu ditaip oleh dirinya dan polis turut merampas dua telefon untuk siasatan lanjut.

"Dia ditahan reman enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Wanita Russia mabuk, halang lalu lintas ditahan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Wanita warga Russia ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas dalam kejadian di Setia Alam, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
Wanita warga Russia ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas dalam kejadian di Setia Alam, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
SHAH ALAM: Polis menahan seorang wanita warga Russia yang berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13, Setia Alam, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata wanita gelandangan berusia 32 tahun itu juga didapati tiada pengenalan diri.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan jam 4.50 petang kelmarin berhubung kejadian itu dan anggota unit kereta peronda bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati wanita itu bersama seekor anjing miliknya berada dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif sebelum ditahan.

"Pemeriksaan mendapati wanita itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini. Dia datang ke Malaysia sejak empat tahun lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik COVID-19, selain tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis THC dan dia direman 14 hari sehingga 22 Oktober ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh di talian 017-5453234," katanya.

60 kereta rosak akibat dari lubang ini

Lubang jalan ‘makan’ 60 kereta

KOSMO!
Keadaan lubang jalan yang teruk. - Polis Lebuhraya Barat Laut
LONDON  – Satu lubang jalan besar di laluan paling sibuk di United Kingdom (UK)  mengakibatkan 60  kereta rosak dalam masa  beberapa hari sahaja,  dengan pemilik kenderaan terpaksa menanggung kerugian, lapor akhbar Daily Star semalam.

Lebih 20 kereta rosak  pada 27 September lalu akibat termasuk ke dalam lubang besar itu  di laluan M4.

Dalam kebanyakan insiden, pemilik terpaksa meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan kerana rosak.

Seorang mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dua tayar kereta Mercedes EQA miliknya meletup. Kos untuk menukar  tayar dan pembaikan lain mencecah £320 (RM1,800) untuk setiap tayar.

Beberapa hari selepas itu, lubang besar sama telah merosakkan hampir 40 kereta dan menyebabkan pemiliknya terkandas di tepi jalan.

Menurut pihak berkuasa jalan raya UK, pihaknya tidak menawarkan pampasan secara automatik kepada pemandu tetapi membenarkan mereka membuat ‘tuntutan merah’ jika kenderaan rosak atau mengalami kecederaan  di salah satu jalannya. – AGENSI

Askar tembak pekerja binaan di sekolah

KOSMO
Suspek (dalam bulatan) diberkas oleh polis. - KomChadLuek/Channel 8
BANGKOK – Seorang askar di Thailand menembak seorang pekerja pembinaan sebuah sekolah di rantau Isaan hanya kerana dia pernah bertengkar dengan rakan mangsa, lapor laman berita Thaiger semalam.

Kejadian berlaku kelmarin di daerah Mueang dalam wilayah Chaiyaphum, dan tiada kecederaan melibatkan pelajar serta guru.

Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Teeradon, 24, sedang memasang tingkap apabila dia tiba-tiba ditembak.

Guru dan pelajar dengan segera berlari menyelamatkan diri sejurus terdengar bunyi tembakan tersebut.

Sebaik tiba, polis mengenal pasti suspek sebagai Sarjan Palangrath, 35, yang dilaporkan baru pulang dari berkhidmat di wilayah-wilayah selatan Thai.

Polis menghadapi kesukaran memberkas suspek disebabkan kemahiran terlatih yang dimilikinya serta pengalaman meluas askar tersebut yang ditempatkan di zon konflik.

Ia membuatkan polis terpaksa meminta bantuan nenek suspek bagi memujuknya menyerah diri, namun gagal.

Selepas 20 anggota tambahan dikerahkan, suspek akhirnya berjaya ditangkap setelah dia mengurung diri di dalam rumah.

Ketika disoal siasat, suspek mengaku dia tidak mengenali mangsa. Namun, suspek menjelaskan bahawa dia pernah bertengkar dengan rakan mangsa.

Menurut pegawai, suspek memberikan maklumat yang mengelirukan semasa disoal siasat, justeru, polis percaya bahawa dia menembak mangsa ketika berada di bawah pengaruh dadah.

Suspek selain itu mengaku bahawa dia bertengkar dengan isterinya serta berasa tertekan dengan masalah keluarga dan pekerjaan.

Suspek masih disiasat, namun polis belum menjelaskan pertuduhan yang akan dikenakan ke atas lelaki itu. – AGENSI

Warga asing ditahan berkelakuan tak senonoh, halang lalu lintas

FMT Reporters

Wanita berusia 32 tahun itu dikenal pasti sebagai gelandangan yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong empat tahun lepas, menurut polis.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan aksi seorang wanita warga asing menghalang lalu lintas dan berkelakuan kurang sopan di sekitar kawasan Setia Alam.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita warga asing yang disyaki bertindak berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Setia Alam dua hari lepas, seperti yang tular di media sosial.

Ujian air kencing mendapati wanita berusia 32 tahun itu positif dadah jenis THC, menurut Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam lebih kurang 4.50 petang berhubung kelakuan seorang wanita warga asing di Jalan Setia Perdana, Seksyen U13.

Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati wanita itu bersama seekor anjing miliknya berada dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan, katanya, lapor Bernama.

Mohd Iqbal berkata, wanita itu yang dikenal pasti masuk ke Malaysia empat tahun lepas sebagai pelancong.

Bagaimanapun, setelah gagal pulang ke negara asalnya akibat wabak Covid-19 dan tidak mempunyai wang simpanan yang cukup, dia menjadi gelandangan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.

Anjing peliharaannya telah diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam untuk tindakan lanjut, katanya.

Wanita yang didapati tidak mempunyai rekod jenayah itu direman selama 14 hari bermula dua hari lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan aksi wanita itu yang bertindak menghalang lalu lintas dan berkelakuan kurang sopan di sekitar kawasan Setia Alam.

Polis buru suspek dera, paksa kanak-kanak lakukan seks oral

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan suspek disyaki melakukan amang seksual dan mencederakan tiga kanak-kanak selepas menerima laporan berkaitan hari ini.

Ketua Polis Klang Utara Vijaya Rao Samachulu berkata polis menerima laporan daripada pengadu yang telah menyelamatkan kanak-kanak dipercayai didera itu.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa kerap dipukul suspek dengan menggunakan tangan dan tali pinggang kerana enggan makan makanan basi serta tidak mahu membuat kerja rumah.

Mangsa juga dipaksa melakukan seks oral ke atas suspek. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Keselamatan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi mengelirukan, katanya.

Lelaki guna burung merpati rompak 50 kediaman

KOSMO

NEW DELHI – Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas didakwa menggunakan burung merpati untuk merompak lebih 50 buah rumah di bandar Bengaluru, lapor akhbar  Times of India semalam. 

Polis berkata, suspek yang dikenali sebagai Manjunath, memasang kamera pengintip pada burung-burung merpati peliharaannya. 

“Dia akan membawa seekor atau dua merpati untuk mencari kediaman khususnya apartmen bertingkat yang mempunyai kawalan keselamatan longgar. 

“Burung-burung itu akan terbang dan hinggap di atas bumbung atau balkoni, sejurus selepas ia dilepaskan oleh suspek. 

“Jika seseorang menyoalnya, suspek berkata bahawa dia sedang menangkap burung merpatinya,” kata polis. 

Manjunath didakwa memecah masuk kediaman dengan menggunakan batang besi dan mencuri pelbagai barangan berharga seperti barang kemas, emas dan wang tunai. 

Pihak berkuasa turut merampas kira-kira 475 gram emas bernilai 3 juta rupee (RM153,215) dan sebuah skuter. 

“Penahanan Manjunath melegakan penduduk di kawasan kejiranan itu. Dia akan berdepan hukuman berat dan setimpal,” tambah polis. – AGENSI 

Ibu, anak disyaki berpakat larikan barang kemas

FMT Reporters

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan dua utas gelang tangan emas, dalam kejadian di Alor Gajah.

PETALING JAYA: Seorang pesara guru dipercayai berkomplot dengan anak perempuannya dan teman lelaki untuk menjual barang kemas lebih RM50,000 yang dilarikan di sekitar Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Alor Gajah, Azrul Mohamad, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 61 hingga 26 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis Selangor pada 5 Oktober lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak Julai lalu membabitkan tujuh kes di tiga negeri terbabit.

“Modus operandi mereka ialah suspek wanita berusia 26 tahun menyamar sebagai pelanggan dengan memakai cermin mata hitam sebelum melarikan barang kemas.

“Kekasihnya pula menunggu di dalam kereta dan warga emas itu akan menjual hasil barang kemas dilarikan anaknya.

Pasangan kekasih itu mengaku melakukan jenayah tiga kedai emas di daerah ini iaitu di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang selain Selangor dan Negeri Sembilan, katanya ketika dihubungi, menurut Sinar Harian.

Menurutnya, semua suspek telah direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan dua utas gelang tangan emas, dalam kejadian di Alor Gajah.

Remaja lelaki dipukul guru menang saman RM90,000

ISKANDAR SHAH MOHAMED

Mohd. Amirul (baju putih) bersama isteri dan anaknya ketika dihadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!
SHAH ALAM – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menang dalam tuntutan saman selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas gurunya supaya membayar ganti rugi berjumlah RM90,000.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan guru sekolah berkenaan memukul remaja tersebut yang ketika itu berusia lapan tahun dengan menggunakan penyapu sehingga menerima lima jahitan di kepala pada tahun 2019.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan saman yang dikemukakan remaja itu terhadap tiga pihak termasuk guru besar sekolah sama dan kerajaan Malaysia.

Remaja itu selaku plaintif diwakili bapanya, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41, memfailkan saman terhadap bekas guru wanita berusia 60 tahun yang dinamakan sebagai defendan pertama.

Hazizah dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti semua hujahan, keterangan dan keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen Selayang yang menolak tuntutan saman itu sebelum ini.

“Mahkamah berpendapat bahawa tindakan defendan menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mengikuti arahan dianggap tidak dialu-alukan pada era ini. Insiden kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah. Ia diharap menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi,” katanya.

Menurut Hakim Hazizah, mahkamah turut mengambil kira faktor rekod disiplin plaintif di sekolah tersebut.

“Pihak sekolah sepatutnya menggunakan kaedah untuk menanganinya. Insiden itu lebih kepada pertikaian antara orang dewasa dan kanak-kanak. Rekod disiplin itu tidak relevan mengenai tingkah laku plaintif ketika yang hanya murid tahun dua ketika kejadian,” katanya.

Tambah Hakim Hazizah, keterangan saksi iaitu pegawai penyiasat turut hanya dianggap sebagai keterangan ‘dengar cakap’ mengenai insiden itu.

“Justeru, mahkamah ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan defendan pertama diarah membayar ganti rugi am RM15,000 selain RM70,000 bagi ganti rugi teladan serta RM5,000 untuk kos rayuan. Mahkamah turut memutuskan defendan dua dan tiga tidak bertanggungan alih terhadap perbuatan defendan pertama,” katanya.

Mengikut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan ketika mahu kembali ke tempat duduknya di dalam kelas, secara tiba-tiba guru itu memukul kepalanya dengan penyapu pada pukul 3 petang, 18 Oktober 2019.

Plaintif mendakwa dia mengalami kecederaan dan pendarahan yang banyak menyebabkan defendan menarik mangsa ke meja guru dan menekan kepalanya dengan tisu basah bagi menghentikan pendarahan. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak sebelum ibu bapanya dihubungi bagi memaklumkan kejadian itu.

Mangsa menerima lima jahitan. Susulan itu bapa plaintif membuat laporan polis pada pukul 6.45 petang hari sama dan memohon penjelasan guru itu yang kemudian mengatakan mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduknya ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Alasan itu disifatkan sebagai tidak munasabah, bercanggah undang-undang dan tidak berperikemanusiaan, selain mangsa mendakwa ketiga-ketiga defendan cuai dan menuntut ganti rugi am, khas, teladan serta teruk serta permohonan maaf secara bertulis. – KOSMO! ONLINE

Rasuah pegawai imigresen, pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000

FMT Reporters

Warga Bangladesh, Rezaul Shajahan Ali, 37, didakwa memberi suapan RM10,000 kepada pegawai imigresen sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan.

PETALING JAYA: Seorang pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku salah memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai imigresen.

Tertuduh yang juga warga Bangladesh, Rezaul Shajahan Ali, 37, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit, lapor Berita Harian

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa memberi suapan RM10,000 kepada pegawai imigresen di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Persiaran Meru Utama, di sini, pada 3.30 petang, 12 September lalu.

Suapan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 13 pekerja tertuduh yang tinggal di Malaysia tanpa pas sah dan melebihi tempoh dibenarkan.

Kumpulan pekerja berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Akta 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sharul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Adnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dua lelaki ditahan kes simbah cat di kereta

FADZIL ZAINOL

IPOH – Polis Daerah Manjung telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kejadian tiga kereta disimbah cat di Taman Muhibah, Sitiawan pada 29 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam kejadian tersebut tiga kenderaan iaitu Proton X70, Proton Persona dan Nissan Almera telah disimbah cat berwarna merah oleh individu yang tidak pasti.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut juga terdapat notis ditinggalkaan oleh suspek mengandungi gambar kad pengenalan satu lelaki  dengan tulisan ‘Second time is burn!!’.

“Pengadu bimbang keselamatan keluarga dan terus membuat laporan polis untuk siasatan. Pengadu menafikan penglibatan dalam pinjaman wang tidak berlesen dan tidak bermusuh dengan sesiapa,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Azizi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum pemenjaraan tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Tambahnya, siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 29 September lalu lebih kurang pukul 3.55 pagi, dengan suspek dua lelaki disyaki berbangsa Cina menaiki kenderaan Myvi warna putih telah melemparkan cat dan meninggalkan sehelai notis sebelum beredar. – KOSMO! ONLINE

Tidur di jejantas, letak tilam sangkut baju macam rumah

KOSMO!
Keadaan jejantas yang dijadikan sebagai tempat tidur oleh warga asing.
SUBANG – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan dengan menyita barangan warga asing yang menjadikan jejantas sebagai tempat tidur.

MBSJ dalam hantaran di Facebook berkata, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada orang awam.

Menerusi foto yang dimuat naik, kelihatan ruang atas jejantas itu dipenuhi dengan tilam serta pakaian yang disangkut pada penghadang.

“Kita telah menyita semua barangan dan menjalankan pembersihan di lokasi,” katanya hari ini.

Sebarang aduan kepada MBSJ boleh disalurkan melalui laman web https://www.mbsj.gov.my/ms/saluran-aduan atau hubungi Jabatan Penguatkuasaan melalui WhatsApp di talian 019-220 7823. – KOSMO! ONLINE

Pemangku Sultan Johor beritahu walau kalau xpuas hati sila pindah tempat lain


'Jika kurang senang, tidak puas hati demi agenda peribadi, politik, anda dipersilakan pindah' - Tunku Mahkota Ismail
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan adalah kehendak rakyat negeri ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bertitah penukaran cuti hujung minggu itu juga bakal membawa kesan ekonomi yang positif, seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di Johor.

Titah baginda, namun masih ada beberapa negeri yang masih kekal bercuti pada Jumaat dan Sabtu.

"Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.

"Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya.

"Dengan izin dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pandangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu," titah baginda di akaun Facebook, malam ini.

Isnin lalu, cuti hujung minggu di Johor dilaporkan akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail, dalam kenyataan di Facebook dilaporkan bertitah, baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

Menteri Agama minta JAKIM sedia laporan video tular kumpulan pelajar didakwa puja guru agama

BERNAMA

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menyediakan laporan berhubung video seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata JAKIM juga perlu membawa perkara itu kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam negeri terbabit iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.

"Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

'Kami hairan air datang dari mana...'
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau.

Mohd Na'im turut meminta agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melipatgandakan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat berkait asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah.

Susulan itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerusi kenyataan petang ini, memaklumkan pihaknya telah menyiapkan laporan lengkap mengenai isu berkenaan.

Bagi mencari penyelesaian terhadap isu itu secara tuntas, katanya, JAKIM telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah selaku pihak autoriti agama di negeri Kedah untuk tindakan susulan.

"JAKIM berharap dengan pemakluman ini dapat meredakan isu terbabit dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkait kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya.

Mengenai video tular itu, beliau berkata, ia menunjukkan sekumpulan pelajar dalam satu majlis sedang mengalunkan qasidah di hadapan guru mereka yang didakwa mengandungi bait ayat dalam bahasa Arab memuji guru mereka secara keterlaluan.

"Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta," katanya.

Dimana 4 murid tahfiz Datuk Keramat ini berada?

Harapandaily
Empat murid di Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat dilaporkan hilang selepas tiga hari tidak pulang ke pusat tahfiz berkenaan, sejak 7 Oktober lalu.

Keempat-empat murid dari pusat tahfiz di ibu negara itu berumur antara 10 hingga 12 tahun.

Mereka disedari tidak pulang ke pusat tahfiz yang pernah mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar dalam kebakaran dahsyat pada 2017 itu pada jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata mengikut laporan, empat murid terbabit keluar dari pusat tahfiz itu dan tidak pulang.

“Setakat ini, mereka belum ditemui,” katanya, memetik BH hari ini.

Terdahulu, tular rayuan Rasidi Othman yang merupakan ayah kepada salah seorang murid tahfiz terbabit untuk mengesan keberadaan anaknya, Muhammad Abdul Razak.

“Sekiranya dapat maklumat, mohon kerjasama untuk hubungi saya di nombor 018-6669863 (Rasidi Othman),” katanya dalam satu kenyataan yang tersebar sejak malam tadi.

Lebai Malang ( Ezam Muhamad Noor )

Mohd Sayuti Omar 

LEBAI MALANG

Dengarlah saya belebelan Ezam Muhamad Noor tentang cerita dia masuk Pas. Biasalah orang baru menyertai Pas akan dipuja puji dan salawat tentang ketinggian darjat Pas sebagai sebuah parti politik.

Apa diratib dan ditahlil oleh orang masuk Pas seperti Annuar Musa, Shahidan Kassim dan lain lain sama makrab dan makribnya.

Cuma beza sikit dengan Ezam dia bedal bekas bossnya Anwar Ibrahim yang dulu dia puja dan puji melangit. Pengagungan Ezam hari ini berpindah daripada Anwar kepada Tok Dor Hadi. Disini menampakan kurang bijak Ezam.

Tidaklah saya nak komen banyak mengenai Ezam ini sebab saya juga mengenali siapa dia Ezam ini yang mungkin banyak orang tidak mengetahui tentangnya. Saya kenal dia dengan Szmin Ali kacam saya kenal jering dengan petai.

Bagi saya sdr Ezam adalah individu yang tidak bernasib baik dan menjadi Lebai Malang persis juga Azmin Ali.

Apapun selamat bersama Pas kepada Ezam semoga sepas ini Pas jadi parti terakhir buat Ezam dan Pas akan rainya untuk mengambilnya jadi calon. Trims.

Pegawai kanan polis bersekedudukan dengan wanita ditahan JIPS

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan polis ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman ketika bersama seorang wanita yang tidak mempunyai ikatan sah dengan dirinya di sebuah kediaman di Cheras di sini semalam.

Penahanan pegawai kanan yang bertugas di Perak itu dilakukan cawangan Risikan Operasi JIPS, Bukit Aman kira-kira 1.40 pagi.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan oleh JIPS.

"Saya sahkan pegawai berkenaan ditahan bersama wanita yang tiada ikatan sah dengan dirinya.

"Tangkapan itu dibuat selepas kita (JIPS) menerima maklumat adanya aktiviti bersekedudukan berlaku membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Rakan serumah disyaki bunuh warga Bangladesh

Bernama

IPOH: Lelaki warga Bangladesh ditemukan maut disyaki dibunuh rakan senegara dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Taman Lagenda Fasa 3, Teluk Intan.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian menimpa mangsa berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pekerja kontrak itu sekitar 5 pagi tadi.

“Mangsa ditemukan terlentang dalam semak di belakang rumah kongsi tersebut dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dada dengan kesan kecederaan pada leher dipercayai akibat penggunaan senjata yang tidak dikenal pasti.

Berdasarkan keterangan, kehilangan mangsa disedari apabila rakannya mahu mengajak mangsa untuk bersolat sekitar 8.30 malam semalam, katanya pada sidang media di IPK Perak.

Beliau berkata, polis menahan tiga rakan mangsa berusia 32 hingga 39 tahun yang mendiami rumah kongsi itu untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Setakat ini kita merampas tiga telefon bimbit milik suspek dan usaha mengesan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat, katanya.

Sindiket curi
Selain itu, beliau berkata pihaknya berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun yang disyaki anggota sindiket kes curi barang dalam kenderaan yang aktif di sekitar Manjung sejak sebulan lalu.

Azizi berkata penangkapan ketiga-tiga individu berkenaan telah menyelesaikan 15 kes dan mereka disiasat di bawah Seksyen 379, 411, 414, 427 dan 447 Kanun Keseksaan.

Polis juga katanya, memberkas dua lelaki dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat terhadap tiga kenderaan dalam kejadian di Taman Muhibah, Sitiawan pada 29 Sept.

Beliau berkata, suspek berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan di lokasi berasingan iaitu di Alor Setar dan Sabak Bernam pada 8 dan 9 Okt bersama barang kes.

Pengadu memberitahu suspek kemungkinan tersalah menyasarkan rumah kerana dia tidak pernah terlibat dalam pinjaman wang tidak berlesen atau bermusuh dengan sesiapa, katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Lelaki pecah masuk rumah, curi seluar dalam

KOSMO!

BANGKOK – Seorang wanita berusia 25 tahun di Pattaya, Thailand mendakwa bahawa seorang lelaki menyelinap masuk ke dalam pangsapurinya untuk mencuri dan menghidu seluar dalam, lapor laman berita The Pattaya News semalam.

Menurut wanita tersebut, dia menjadi mangsa lelaki itu yang menghidu seluar dalam yang digantung pada penyidai pakaian. 

Wanita dikenali sebagai A itu menunjukkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai bukti kepada wartawan.

Ujarnya, kejadian itu berlaku pada lewat malam Ahad lalu dan dia telah memfailkan laporan dengan polis Banglamung.

Tambah mangsa lagi, dia melihat seorang lelaki berumur kira-kira 20 hingga 30 tahun, berkulit cerah dan berpakaian sukan, mengintai di sekitar apartmennya sebelum menuju ke bilik saudara perempuannya. 

Dia kemudian mengambil beberapa helai seluar dalam dan mencium baunya. 

Terkejut dengan perbuatan lelaki itu, A menjerit kepadanya dan bertanya apa yang dilakukan. 

Lelaki itu panik lalu melemparkan seluar dalam dan menjerit: “Saya mengembalikannya, wanita cantik!”

Suspek kemudian sebelum melarikan diri apabila penghuni lain muncul. – AGENSI

Misteri motosikal bergerak di atas jalan raya tanpa penunggang terungkai

AZMI NORDIN
Tangkap layar video tular motosikal tanpa penunggang di Lebuh Raya Persekutuan menghala Shah Alam, Petaling Jaya, baru-baru ini.
PETALING JAYA – Kejadian misteri motosikal tanpa penunggang di Lebuh Raya Persekutuan menghala Shah Alam, di sini, terungkai apabila didapati berlaku kemalangan antara dua buah motosikal di lokasi berhampiran.

Kemalangan itu dikesan berlaku lorong motosikal sebelum salah satu kenderaan secara tiba-tiba memasuki jalan utama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi 39 saat tular di media sosial memaparkan kejadian itu.

Katanya, dalam video itu, sebuah motosikal jenis Modenas GT 128 telah berjalan tanpa penunggang di laluan utama.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan terjatuh dari motosikal yang ditunggang sebelum motosikal bergerak masuk ke laluan utama di lokasi kemalangan.

“Kejadian itu telah dirakam kamera papan pemuka (dash cam) sebuah kereta yang melalui laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, melalui rakaman dash cam pemandu kereta tersebut, penunggang motosikal yang terlibat kemalangan berjaya dikesan.

“Mangsa akan hadir membuat laporan polis pada hari ini. Dimaklumkan bahawa mangsa mengalami kecederaan di tangan dan di belakang badan,” katanya.

Tegas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A.Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE.

Sarang pelacur warga asing, 58 ditahan ditahan imigresen

Bernama

Serbuan ke atas rumah kedai terbiar itu menyaksikan 28 lelaki dan 30 wanita warga Bangladesh, India, Indonesia, dan Pakistan diberkas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata sarang pelacuran itu disyaki aktif lebih dua tahun. (Gambar Facebook Imigresen)
PELABUHAN KLANG: Imigresen menggempur sarang pelacuran warga asing di kawasan rumah kedai terbiar di Jalan Kem, dipercayai aktif lebih dua tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata dalam operasi dua jam itu, seramai 60 warga asing diperiksa dengan 58 daripada mereka ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 30 wanita melibatkan warga Bangladesh, India, Indonesia, dan Pakistan, berumur 24 hingga 60 tahun.

“Berdasarkan maklumat awam kita telah menjalankan risikan di sini kira-kira dua hingga tiga bulan dan telah mengenal pasti terdapat kehadiran warga asing yang tinggi bagi melakukan aktiviti tidak bermoral.

Pemeriksaan kita mendapati kawasan rumah kedai usang ini dijadikan bilik untuk mereka menetap dengan kadar sewaan kira-kira RM400 ke RM500 sebulan, katanya ketika ditemui pemberita.

Jafri berkata, semua ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas, Johor untuk siasatan lanjut.

Tinjauan ketika operasi mendapati persekitaran dalaman premis itu kusam dan berbau kerana ketiadaan pengudaraan yang baik, selain dipenuhi kondom dan minyak pelincir.

Pemimpin PAS jenis bodoh sombong ahli akademik tegur tak mahu terima

Tajuddin: Saya tegur PAS sebagai orang Islam, bukan ahli akademik

Malaysiakini 

Ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi menjelaskan bahawa dia menegur PAS sebagai orang Islam yang bertanggungjawab dan bukannya sebagai ahli akademik.

“Saya bercakap sebagai orang Islam yang menjunjung tinggi tradisi dan nilai Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada Malaysiakini.

“Sebagai orang Islam, saya bertanggungjawab untuk mengingatkan umat Islam yang bercita-cita menjadi pemimpin dalam tradisi mereka yang mengingatkan Khalifah Umar Al Khattab di masjid tentang jubah panjangnya,” katanya.

Profesor seni bina itu mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mengingatkannya supaya fokus kepada bidang pengkhususan ilmiahnya, bukan menyimpang ke bidang lain yang menuntut kepakaran berbeza kerana ia jelas menampakkan kedangkalan pandangannya.

Ini susulan ulasan Tajuddin yang menyifatkan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh sebagai "anak kucing" walaupun liar berbanding dengan PAS yang ibarat  seekor "harimau" yang mampu merobek negara ini dengan jenama Islam politiknya jika tidak dibendung.

Tajuddin berkata dia juga mematuhi tradisi Khalifah Abu Bakar, yang memaklumkan orang ramai agar  tidak mengikutinya jika dia menyimpang daripada al-Quran dan sunnah.

“Allah saksi saya, sebagai orang Islam, saya hanya mengingatkan pemimpin Islam untuk melayan semua orang dengan maruah, adil dan terhormat,” katanya.

Tajuddin, yang berkata bidasan daripada Takiyuddin itu tidak mengejutkan, menambah walaupun dirinya menghormati pandangan pemimpin PAS itu, namun dia  tidak bersetuju dengannya.

“Dia mendakwa saya cuba mengalihkan perhatian daripada masalah dalam Pakatan Harapan kerana perselisihan faham antara (Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad) Akmal (Saleh) dan (naib pengerusi DAP Teresa (Kok).

“Itu jauh dari betul. Isu yang saya bangkitkan adalah relevan dan mencerminkan jika PAS layak memerintah, apatah lagi di negara berbilang kaum dan agama.

“Bagi saya, menghamburkan kata-kata yang menghina dan memperlekehkan mencerminkan jiwa seseorang,” katanya.

Mengenai contoh ahli parlimen Perikatan Nasional membaca doa Qunut Nazilah di Parlimen selepas seorang ahli parlimen gabungan itu digantung, Tajuddin menegaskan bahawa ia bukanlah episod yang tidak penting.

“Saya ulang sekali lagi. Ia sangat serius,” tambahnya.

Susulan insiden pada Julai lalu itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Qunut Nazilah tidak sepatutnya dibacakan untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama masyarakat Islam.

Menegaskan bahawa mentadbir dianggap sebagai tanggungjawab yang berat dalam Islam, Tajuddin memetik contoh lain yang membabitkan Khalifah Umar Al Khattab untuk menekankan perkara itu.

“Khalifah itu mengambil keputusan untuk memikul seguni gandum ke rumah seorang wanita miskin kerana dia berasa bertanggungjawab terhadap pengabaian terhadap keluarga wanita itu.

"Jika PAS dan Takiyuddin mahu memerintah Malaysia, mereka harus melihat kepada tradisi Islam mereka sendiri untuk menghormati maruah semua manusia," tambahnya.

Polis tahan lelaki terbabit kes buli jalanan, gilis mangsa

Malaysiakini 

Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes buli jalanan yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Suspek berusia 26 tahun, yang bekerja sebagai penjual komponen kenderaan, ditahan pada 5.30 petang semalam di Meru, Klang dan polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian pada 9.45 malam, Sabtu lepas suspek dipercayai memandu secara melulu serta menghimpit sebuah kenderaan yang dinaiki lelaki tempatan bersama isteri serta seorang anak perempuan di kawasan Bulatan Kayangan, Seksyen 10 di Shah Alam.

Beliau berkata kedua-dua kenderaan kemudiannya berhenti di tepi jalan berhampiran hentian bas berdekatan sebelum suspek datang ke arah kenderaan mangsa dan cuba menarik kunci kereta semasa mangsa membuka pintu namun tidak berjaya. 

“Berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa sebelum suspek masuk semula ke dalam kereta dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali.

“Cubaan pertama dielak mangsa namun kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh dan kaki kanannya digilis tayar kereta sebelum suspek memecut melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa berumur 49 itu mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam.

Mohd Iqbal berkata mangsa yang bekerja sebagai jurulatih kapal laut telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 10.28 malam hari yang sama.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan  suspek mendakwa kenderaannya dihalang oleh kereta dipandu mangsa semasa hendak ke susur kiri dari arah Bulatan Kayangan Seksyen 10 menghala ke Seksyen 7. 

Mohd Iqbal berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis Benzo.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah ASP Md Anuar Md Amilah ditalian 019-2255597 bagi membantu siasatan.

Sanggup jadi isteri sementara demi duit, wanita kahwini hampir 15 pelancong asing

MALAYSIADATELINE

Kemiskinan menjadi punca ramai memilih jalan pintas untuk mendapatkan duit meskipun sedar ia adalah salah.

Banyak wanita muda daripada keluarga miskin yang tinggal di kawasan luar bandar Indonesia sanggup menjadi isteri sementara demi menerima hantaran berupa wang tunai.

Menurut South China Morning Post, pelancong berkahwin dengan penduduk tempatan di kawasan pelancongan Puncak telah menjadi satu trend

Agensi tempatan didakwa mengatur perkahwinan itu antara pelancong lelaki dengan wanita tempatan.

Selepas majlis perkahwinan yang ringkas, wanita terbabit akan mengendalikan tugas rumah tangga termasuk memenuhi nafsu sebelum lelaki itu menceraikannya.

Menerusi satu pendedahan dengan Los Angeles Times, seorang wanita dikenali sebagai Cahaya memaklumkan dia telah berkahwin lebih daripada 15 kali.

Malah dia memaklumkan kesemua ‘suaminya’ adalah pelancong dari Timur Tengah. Suami sementara pertamanya adalah seorang pelancong berusia 50-an dari Arab Saudi.

Lelaki itu membayar harga pengantin perempuan US$850 (RM3,641), tetapi selepas ejen dan orang yang melangsungkan perkahwinan itu mengambil bahagian mereka, dia hanya dapat separuh sahaja.

Lima hari selepas perkahwinan, lelaki itu terbang pulang ke rumah dan mereka ‘bercerai’. Cahaya berkata dia boleh memperoleh antara US$300 (RM1,285) dan US$500 (RM2,142) setiap perkahwinan

Segala duit diterima digunakan untuk membayar sewa dan menjaga datuk dan neneknya yang sakit.

Seorang lagi wanita bernama Nisa berkata dia telah berkahwin sekurang-kurangnya 20 kali dan telah berjaya berhenti daripada perniagaan itu.

Nisa bertemu dengan seorang lelaki Indonesia yang bekerja di pejabat imigresen dan mereka berkahwin empat tahun lalu dan mempunyai dua anak lelaki.

Dia berkata dia tidak akan kembali ke kehidupan sebelumnya.

Pengaturan sedemikian dipanggil nikah mut’ah dan dikatakan sebagai sebahagian daripada budaya Islam Syiah.

Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama, termasuk kebanyakan fahaman Syiah Islam, menganggap amalan itu sama sekali tidak boleh diterima.

Nikah mut’ah juga tidak diiktiraf oleh undang-undang Indonesia, kerana ia bercanggah dengan tujuan asas perkahwinan, ia sepatutnya mewujudkan hubungan keluarga yang stabil dan jangka panjang.

Pelanggaran undang-undang perkahwinan Indonesia boleh menyebabkan denda, penjara, dan kesan kepada sosial atau agama.