"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ha ha ha Pemuda Pas sibuk main raba-raba ke?

BORHAN AHMAD

Laporan polis seorang wanita kononnya beliau diraba oleh seorang pemimpin Pemuda Pas yang juga bos beliau kini semakin panas dan sukar untuk dibenamkan begitu sahaja.

Bahkan, ia kini disebarkan dalam pelbagai bentuk dan dakwaan oleh seorang bekas pemimpin Pemuda Pas Selangor yang disingkirkan kerana perbezaan pendapat antara mereka.

Ketika seorang aktivis Pas menyebarkan poster baru pemimpin Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, beliau turut memberikan komen terhadap kepimpinan Pemuda Pas yang disifatkan gagal menguasai kepimpinan pelajar di universiti utama negara itu.

“Loohh… Pemuda yang sedang menikmati jawatan-jawatan di Pusat, di pejabat Presiden, mereka buat apa??

“Main guli ke?

“Atau main raba-raba?…. Hahhaa?” tulis Ahmad Hakimi Othman bekas pemimpin kanan Pemuda Pas Selangor.

Sebelum ini, Ahmad Hakimi juga mendedahkan satu laporan polis yang dibuat seorang wanita terhadap pemimpin Pemuda Pas berkenaan.

Namun usaha Hakimi itu tidak diendahkan oleh Pemuda Pas bahkan beliau diserang dengan pelbagai cara.

Seorang bekas pemimpin Pemuda Pas telah memuat naik satu poster Kabinet Kesatuan Mahasiswa Univeriti Malaya Sessi 2024/2025 di mana hanya dua orang sahaja antara mereka adalah Melayu manakala selebihnya adalah Cina.

“Tahniah UM. 3 org shj melayu, itu pun confirm boneka!

“Anak Melayu di UM barangkali dah mandul. Tak minat politik, suka berpoya-poya dan berliburan.

“Kalau masih tak ada kesedaran, itulah gambaran kerajaan Malaysia dimasa hadapan,” tulis Wan Asrul Afendi Muhammad dalam posting di facebooknya.

Skandal rasuah: Umno Sabah nafi dalang dedah kes Adun bincang rasuah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno Sabah menafikan dakwaan menjadi dalang di sebalik pendedahan skandal rasuah berkait lesen projek membabitkan beberapa Adun di negeri itu.

Ketua Umno Beaufort, Awang Aslee Lakat, berkata tindakan sesetengah pihak mengaitkan penglibatan Umno dalam pendedahan skandal itu tidak wajar.

Katanya, ia adalah sekadar perkongsian biasa dan tidak menyentuh mana-mana pihak sekiranya ada mana-mana ahli Umno berkongsi mengenai pendedahan itu yang dilaporkan sebuah portal berita.

“Justeru, kenapa ada pihak mengaitkan Umno sebagai dalang kepada isu rasuah ini,” katanya dalam kenyataan, menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, jika dakwaan rasuah itu benar, ia seharusnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh.

“Jika benar ia melibatkan pemimpin di negeri ini dan ada laporan dibuat, saya percaya pihak berkuasa akan menyiasat serta mengherat mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Jadi, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan memandang serius isu ini,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendedahkan rakaman audio mengaitkan beberapa Adun yang didakwa terlibat rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sebagai balasan untuk mendapatkan projek.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sedia memberi kerjasama khususnya kepada SPRM untuk menyiasat kes itu.

Sahamin Basir hilang sejak Jumaat ditemui maut

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

SEPANG – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak 8 November lalu terjawab apabila mangsa ditemui maut di laluan anak sungai di sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sahamin Basir, 76, ditemui kira-kira pukul 3.30 petang semalam di dalam anak sungai berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Jelutong Indah, Sungai Pelek, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan di lokasi penemuan dan pemeriksaan badan mendapati tiada unsur jenayah ditemui.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa telah
dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

“Kami ingin menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya menerima laporan polis mengenai kehilangan mangsa pada 8 November lalu oleh seorang wanita iaitu anak mangsa. – KOSMO! ONLINE

35 maut, pemandu sengaja rempuh orang ramai di stadium

KOSMO
Sebuah kereta polis tiba di Pusat Sukan Zhuhai sehari selepas serangan menggunakan kereta yang meragut puluhan nyawa. - Hector
BEIJING – Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam serangan menggunakan kereta di selatan China sekali gus menjadi tindakan keganasan awam paling maut di negara itu dalam beberapa dekad, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam. 

Seorang jurucakap polis tempatan berkata, suspek berusia 62 tahun yang dikenali sebagai Fan, dengan sengaja memandu keretanya dan merempuh sekumpulan individu yang sedang bersenam di sebuah stadium di bandar Zhuhai.

“Serangan serius dan kejam itu turut mencederakan 45 orang termasuk warga emas serta kanak-kanak.

“Siasatan awal mendapati bahawa suspek berasa tidak puas hati terhadap pengagihan aset selepas perceraian. 

“Dia ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian dan kini berada dalam keadaan koma akibat kecederaan yang dilakukan sendiri,” katanya. 

Serangan itu mendapat kritikan di seluruh China, manakala Presiden Xi Jinping berikrar bahawa suspek akan dikenakan ‘hukuman berat’. Beliau turut menggesa ‘usaha habis-habisan’ dilakukan untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.

Sementara itu, polis tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan suspek dicetuskan oleh pertikaian harta berikutan perceraiannya. 

“Dia masih dalam keadaan koma dan tidak disoal siasat,” kata polis. – AGENSI

Kelantan: Che Nor Qurratu Aini pergi kedai tak balik-balik

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Che Nor Qurratu Aini
KOTA BHARU – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari rumahnya untuk ke kedai runcit di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Che Nor Qurratu Aini Mohd. Zaidi,14, kira-kira pukul 1.15 tengah hari pada kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan maklumat ahli keluarga, remaja itu keluar dari rumah untuk pergi ke kedai runcit kira-kira pukul 5 petang pada 7 November lalu.

“Che Nor Qurratu Aini memakai baju blaus berwarna hitam semasa keluar dari rumahnya.

“Remaja itu berketinggian lebih kurang 150 sentimeter dengan berat badan dianggarkan 60 kilogram dan berkulit sawo matang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, usaha mengesan orang hilang berkenaan masih dijalankan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd. Azmey Mohd. Yunus di talian 017-343 0221 atau 09-775 2200. – KOSMO! ONLINE

Pesawat ditembak ketika menuju Haiti, pramugari cedera ringan

AFP
ANTARA pesawat milik Spirit Airlines. FOTO AFP
ANTARA pesawat milik Spirit Airlines. FOTO AFP
Port-au-Prince: Sebuah pesawat Spirit Airlines menuju ke ibu kota Haiti tembakan dengan seorang pramugari mengalami kecederaan ringan, kata syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) itu pada Isnin.

Penerbangan 951 dari Fort Lauderdale, Florida ke Port-au-Prince itu dilencongkan dan mendarat dengan selamat di negara jiran Republik Dominika, kata Spirit dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan di lapangan mendedahkan kerosakan pada pesawat itu "sepadan dengan (kesan) tembakan," tambahnya.

"Tiada kecederaan pada penumpang dilaporkan," kata syarikat penerbangan bajet itu, sambil menambah bahawa perkhidmatannya ke Haiti digantung sementara menunggu penilaian lanjut.

Ibu kota Haiti sebahagian besarnya dikawal oleh kumpulan yang berkuasa dan bersenjata lengkap.

Pesawat yang rosak itu dikeluarkan daripada perkhidmatan dan Spirit Airlines mengatur supaya penumpang dihantar ke Fort Lauderdale, semalam.

Lapangan terbang di Port-au-Prince menghentikan semua penerbangan komersial, lapor Miami Herald.

American Airlines juga mengumumkan ia menangguhkan perkhidmatan penerbangannya antara Miami dan ibu kota Haiti sehingga Khamis.

Insiden tembakan itu berlaku ketika negara itu bersedia untuk mengangkat sumpah jawatan perdana menteri baharu, di tengah-tengah perebutan kuasa baharu yang mengancam untuk menjerumuskan negara yang miskin dan dilanda krisis itu ke dalam huru-hara baharu.

Isteri panjat bonet kereta, halang suami lari dengan skandal

KOSMO!
Rakaman CCTV menunjukkan Bee berpaut pada bonet kereta suaminya. - Channel 7
BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Phatthalung bermati-matian berpaut pada kereta suaminya sejauh 6 kilometer sebelum dibelasah lelaki itu dan ditinggalkan di tepi jalan, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Tindakan itu dilakukan dalam usaha terdesak wanita berkenaan untuk menghalang si suami melarikan diri bersama perempuan simpanannya.

Dalam kejadian di jalan Aphai Borrirak, Bee, 48, mengalami kecederaan serius selepas terjatuh dari bonet kereta dan dibelasah suaminya.

Menurut Bee, dia mendapat tahu bahawa suaminya makan di sebuah bar bersama seorang wanita sebelum dia pergi ke situ untuk bersemuka dengan mereka. 

Selepas bertengkar, Bee cuba menghalang suaminya daripada meninggalkannya dengan berpaut pada bonet kereta.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan insiden itu berlaku ketika hujan.

Si suami tidak mengendahkan Bee dan terus memandu sejauh 6 kilometer sebelum dia memberhentikan kenderaannya.

Dia kemudian membelasah Bee di tepi jalan dan meninggalkan wanita itu.

Selepas polis tiba, Bee dihantar ke sebuah hospital untuk menerima rawatan dan dia dinasihatkan supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas suaminya. 

Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai sama ada Bee sudah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. – AGENSI 

Laporan SPRM dibuat terhadap bekas pegawai kanan syarikat perlombongan Sabah

Malaysiakini 

Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pegawai kanan sebuah syarikat perlombongan di Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa.

Sumber memberitahu FMT, dakwaan itu berkisar hubungan rapat bekas pegawai itu dengan seorang broker dari Semenanjung.

Sumber itu mendakwa hubungan itu bermula sejak pegawai itu bertugas di Jabatan Mineral dan Geosains.

Menurutnya, pakatan sulit antara mereka mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang memutuskan tidak memperbaharui kontrak pegawai tersebut, menjadikannya “sangat kecewa”.

“Penamatan kontrak juga membolehkan dilakukan siasatan yang mendapati pelanggaran tatakelola yang baik dan salah guna kuasa.

“Bagi melindungi diri mereka, bekas pegawai kanan dan broker berkenaan menggunakan taktik ugutan seperti rakaman video yang telah dirancang sejak awal.

“Mereka bekerjasama dengan parti politik tertentu untuk meneruskan agenda mereka, dan mereka juga cuba melindungi diri untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang pemberi maklumat dengan bertindak sebagai pemberi maklumat dengan tujuan melindungi jenayah mereka,” tambah sumber itu.

Sumber itu berkata Hajiji enggan tunduk dengan cubaan peras ugut berkenaan yang dikatakan bermula beberapa bulan lalu.

Walaupun tiada nama disebut, laporan itu dipercayai ada kaitan dengan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon dan pemberi maklumat yang mengancam untuk mendedahkan skandal rasuah membabitkan lapan Adun di negeri itu.

Awal hari ini, Malaysiakini menyiarkan video yang didedahkan oleh pemberi maklumat yang memaparkan Enggihon mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasanya dan memihak kepada kontraktor tertentu.

Polis lepaskan tembakan ke arah kereta suspek curi kabel

ASLIZA MUSA

GERIK – Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kanan kereta Perodua Axia yang dinaiki sekumpulan lelaki dipercayai terbabit kes mencuri kabel selepas pemandunya bertindak agresif cuba melanggar kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kenderaan itu mula diekori dari Kampung Padang Kunyit di sini selepas menerima maklumat berhubung aktiviti memotong kabel pada pukul 3.40 pagi.

Anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Gerik yang menaiki Proton Wira dan Unit Kereta Peronda (MPV) Honda City mengekori kereta itu sehingga ke Jalan Ulu Kenderong-Tanjung Kala.

“Polis mengarahkan suspek memberhentikan kereta, namun pemandunya bukan sahaja enggan, malah bertindak memecut. Sebuah kereta polis cuba memintas Perodua Axia tetapi suspek yang memandu secara berbahaya cuba melanggar kereta pasukan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, bagi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum tangkapan dibuat ke atas dua lelaki, namun dua lagi suspek dapat melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai satu peket plastik lutsinar disyaki syabu. Usaha mengesan dua suspek lain sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/379 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kecoh gambar tanpa pakaian atlet wanita di sekolah sukan disebarkan

KOSMO!
GAMBAR fail Sekolah Sukan Singapura. - Foto YouTube
SINGAPURA – Polis sedang menyiasat gambar bogel palsu pelajar perempuan Sekolah Sukan Singapura (SSP) yang dicipta dan disebarkan oleh rakan mereka yang lain, lapor portal berita asiaone hari ini.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan akhbar The Straits Times, pengetua sekolah tersebut, Ong Kim Soon berkata, SSP menyedari insiden melibatkan penciptaan dan perkongsian gambar palsu itu.

“Pihak sekolah tidak membenarkan tingkah laku berbahaya ini,” katanya, sambil menambah, pihaknya telah melancarkan siasatan dan membuat laporan polis.

Polis turut mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Seorang pembaca yang mengenal pasti dirinya sebagai keluarga kepada mangsa menghantar e-mel kepada akhbar tersebut tentang imej bogel palsu yang sedang diedarkan.

“Ramai ibu bapa pelajar perempuan yang terjejas di SSP membuat laporan polis mengenai gambar bogel palsu anak perempuan mereka yang dihasilkan oleh pelajar lelaki di sekolah itu,” tulis keluarga tersebut. – AGENSI

'Saya nampak tayar Ativa gilis badan Zaharif'

Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi menghadiri perbicaraan hari kelima kes bunuh yang dihadapinya. - NSTP/L MANIMARAN
Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi menghadiri perbicaraan hari kelima kes bunuh yang dihadapinya. - NSTP/L MANIMARAN
IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kereta Perodua Ativa yang dipandu pegawai kanan polis melanggar motosikal ditunggang seorang pelajar dari belakang sebelum menggilis badan mangsa, Disember tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-10 iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun berkata, dia melihat tayar kanan hadapan dan belakang Ativa menggilis antara perut dan dada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Saksi itu berkata, dia berada di bahu jalan tidak jauh dari lokasi kejadian bersama empat rakan lain untuk pulang selepas waktu sekolah.

"Saya melihat seorang senior sekolah saya yang dikenali sebagai Zaharif sedang rem (memulas pendikit) motosikalnya jenama Yamaha LC beberapa kali.

"Apabila Zaharif rem motosikalnya, saya dengar bunyi ekzos yang agak kuat. Saya tidak tahu kenapa atau apa tujuan dia rem motosikal.

"Tiba-tiba saya nampak kereta Ativa berhenti sebelah motosikal Zaharif. Semasa kereta Ativa berhenti, tidak lama selepas itu saya dengar motosikal Zaharif bergerak meninggalkan kereta Ativa itu.

"Tumpuan saya kembali kepada Zaharif selepas rakan-rakan saya melihat ke arah kawasan masjid (Masjid Muhammad Al-Fateh).

"Semasa itu saya nampak kereta Ativa mengekori motosikal Zaharif dari belakang," katanya ketika membacakan pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Saksi itu kemudian melihat motosikal Zaharif dan kereta Ativa bergerak melepasi bonggol jalan di kawasan masjid dalam keadaan kedua-dua kenderaan itu memecut.

Setibanya sebelum persimpangan Jalan Taman Jati 1-Jalan Pekeliling Meru Indah, katanya, Zaharif memperlahankan motosikalnya dan kelihatan lampu brek belakang motosikal menyala.

"Saya nampak kereta Ativa melanggar Zaharif dari belakang. Kereta Ativa tidak berhenti sebelum perlanggaran.

"Zaharif tercampak ke belakang dan terjatuh ke atas jalan. Saya lihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan kereta Ativa menggilis di bahagian antara perut dan dada Zaharif.

"Kedudukan Zaharif semasa digilis adalah bahagian kepala berada di bawah kereta. Saya juga melihat kereta terbabit terus berhenti di bahagian bahu jalan berhadapan sekolah," katanya.

Selepas melihat kejadian itu, saksi berkenaan bersama rakan bergergas ke arah mangsa untuk memberi bantuan.

Menurutnya, seorang lelaki turun dari Perodua Ativa dan dalam nada marah menyuruh mereka mengangkat Zaharif untuk dibawa ke balai polis.

Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju kerana risaukan keselamatan organ dalam mangsa.

"Selepas itu, saya mengutip barang-barang sekolah Zaharif seperti buku dan helmet (topi keledar) untuk dibawa ke tepi. Pada masa itu saya tak perasan Zaharif diangkat.

"Selepas mengutip dan bawa barangan Zaharif ke tepi, saya melihat Zaharif dalam keadaan separuh sedar dan tidak bermaya dibawa ke tepi oleh beberapa orang yang saya tidak pasti siapa kerana ramai orang di sana," katanya.

Saksi itu kemudian melihat Ativa berkenaan bergerak ke arah berdekatan Zaharif dan lelaki itu membuka pintu belakang kereta untuk membawa mangsa ke balai.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang berada di situ menghalang suspek berbuat demikian kerana lelaki itu mahu membawa mangsa ke balai dan bukannya hospital.

"Selepas itu, lelaki itu menutup pintu keretanya dan kembali melihat keadaan Zaharif sehinggalah kakak dan bapa Zaharif tiba di lokasi.

"Lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam kereta dan beredar," katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.

Pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam pemeriksaan utama dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu berkata, mangsa boleh mengawal motosikalnya ketika memperlahankan kenderaan itu sebelum tiba di simpang.

Apabila rakaman video memaparkan pergerakan dan perlanggaran antara Ativa dengan Yamaha LC mangsa ditunjukkan di mahkamah, saksi mengesahkan kedua-dua kenderaan dalam video terbabit sepadan dengan apa yang dilihat di lokasi kejadian.

Sementara itu, peguam M Athimulan memohon kebenaran mahkamah bagi pihak pembelaan ke lokasi kejadian sebelum memulakan prosiding pemeriksaan balas.

Ketika ditanya hakim mengenai jarak ke lokasi, peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid menyatakan 10 minit untuk pergi dan 10 minit untuk kembali ke mahkamah, tanpa mengambil kira masa untuk melawat tempat kejadian.

Membuat pertimbangan saksi remaja itu memberi keterangan sejak pagi dan waktu menghampiri 3.30 petang, hakim memutuskan untuk menyambung perbicaraan pada pagi esok.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Derita 18 tahun kerana kes 'jarum tertinggal' ketika bersalin

Agensi
SEORANG wakil daripada NGO pro-wanita di Thailand memegang filem X-ray yang memaparkan dengan jelas jarum itu. FOTO Yayasan Pavena
SEORANG wakil daripada NGO pro-wanita di Thailand memegang filem X-ray yang memaparkan dengan jelas jarum itu. FOTO Yayasan Pavena
Beijing: Seorang wanita Thailand, baru-baru ini, mengejutkan media sosial selepas mendedahkan jarum tertinggal di dalam alat kelaminnya semasa melahirkan anak 18 tahun lalu.

Ia menyebabkan kesakitan yang teruk sepanjang tahun-tahun itu dan ia masih tidak dapat dikeluarkan.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pendedahan itu dibuat pada 5 November di laman web rasmi Yayasan Pavena untuk Kanak-Kanak dan Wanita iaitu sebuah pertubuhan bukan keuntungan di Thailand yang bertujuan membantu mangsa penderaan, termasuk rogol, gangguan seksual dan perdagangan manusia.

Yayasan itu berkongsi bahawa pihaknya menerima surat daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang tinggal di Narathiwat, sebuah wilayah di selatan Thailand dengan namanya tidak didedahkan.

Wanita itu meminta bantuan mengenai kesilapan perubatan yang berlaku 18 tahun lalu ketika dia bersalin di sebuah hospital.

Semasa proses bersalin, kakitangan perubatan secara tidak sengaja menjatuhkan jarum ke dalam alat kelaminnya, namun gagal mengeluarkannya.

Bimbang mengenai pendarahan yang berlebihan, mereka memilih untuk menutup luka itu dan meninggalkan jarum di dalamnya.

Sejak itu, wanita itu mengalami sakit perut yang tidak tertanggung olehnya.

Dia tidak menyedari kejadian itu sehinggalah tahun lalu apabila pemeriksaan X-ray di sebuah hospital kerajaan mendedahkan jarum yang tersekat di dalam alat kelaminnya.

Walaupun dia kemudiannya dirujuk ke sebuah hospital di wilayah Songkhla untuk menjalani pembedahan. Bagaimanapun, prosedur itu ditangguhkan tiga kali disebabkan jarum berkenaan berpindah di bahagian lain di dalam tubuhnya.

Jarum itu masih belum dikeluarkan, memaksanya melawat hospital empat kali sebulan untuk pemeriksaan susulan bagi memantau keadaannya.

Walaupun kebanyakan kos perubatannya dilindungi oleh insurans, dia masih menghadapi tekanan kewangan signifikan daripada kos tambahan.

Ia seperti kos pengangkutan, yang tidak mampu ditanggung oleh keluarganya kerana mereka bergelut dengan masalah kewangan.

Perkara ini mendorongnya untuk meminta bantuan daripada Yayasan itu.

Setelah menerima permintaannya, yayasan itu bekerjasama dengan sebuah hospital awam tempatan untuk memastikan ketua kampung menemani wanita itu bagi mendapatkan rawatan komprehensif.

Mereka juga menghubungi pejabat keselamatan sosial tempatan untuk mengatur pengangkutan bagi lawatan hospitalnya dan berjanji terus memantaunya.

Butiran mengenai bila jarum itu boleh dikeluarkan dan tempoh rawatan perubatan yang diperlukan oleh wanita berkenaan bagaimanapun tidak didedahkan.

Maklum balas hospital terhadap insiden ini dan sebarang tindakan undang-undang yang mungkin diambil untuk tuntutan pampasan masih belum diperoleh.

Jangan pekakkan telinga: Lagi peringatan jangan jadikan masjid pentas politik, Sultan Pahang tegur siapa?

SITI NUR ZAWANI

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua penceramah agama dan pemegang tauliah negeri itu tidak menjadikan masjid sebagai pentas menyebarkan dakyah politik.

Baginda mahu masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

Baginda Al Sultan memberi peringatan tegas itu pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) hari ini.

“Hari ini juga saya ingin memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di Pahang agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.

“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah

“Dalam hal ini, alim ulama, asatizah dan penceramah harus menjadi contoh yang baik menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat,” titah baginda memetik Kosmo!.

Al Sultan Abdullah turut menyinggung perihal ajaran sesat yang boleh mencemari kesucian agama Islam, selain berpotensi memecahbelahkan perpaduan umat.

Baginda bertitah, penyimpangan akidah adalah ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia ibarat ‘api dalam sekam’ dan boleh marak tanpa disedari.

“Sesungguhnya nabi Muhamad telah diutuskan bagi membawa ajaran Islam yang sebenar.

“Namun dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan bermaharajalela menyebabkan umat mudah terjerumus dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng,”titahnya menurut laporan.

Dalam pada itu, baginda bertitah dalam isu ajaran agama sesat di negeri ini, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti serta pihak berkuasa terbabit perlu mengambil langkah proaktif yang mana pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada ajaran-ajaran yang menyesatkan.

Warga Bangladesh bergelar Datuk direman kemuka dokumen palsu RM1.1 juta

Harapandaily

Seorang warga Bangladesh yang bergelar Datuk direman enam hari selepas didakwa mengemukakan dokumen butiran palsu bernilai RM1.1 juta.

Suspek yang juga seorang pengarah syarikat didakwa memalsukan dokumen permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia.

Sumber berkata, suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

Permohonan reman sehingga 17 November dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.

“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000,” katanya.

Tayar kereta pecah digigit harimau

KOSMO

Seekor harimau menghampiri kereta pengunjung lalu menggigit tayarnya. - EBC Media
JAKARTA – Pemilik sebuah kenderaan mengalami detik cemas apabila tayar keretanya digigit oleh seekor harimau ketika mengunjungi sebuah taman safari di Bogor, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Detik hari ini.

Berdasarkan video tular di media sosial, beberapa buah kenderaan dilihat bergerak dalam kawasan Taman Safari Indonesia.

Ketika melalui zon harimau, sebuah kenderaan tiba-tiba berhenti walaupun peraturan taman safari itu melarang pengunjung memberhentikan kenderaan mereka.

Keadaan itu menyebabkan seekor harimau yang berlegar-legar di tepi jalan menghampiri kereta tersebut lalu menggigit tayar belakangnya.

Pemilik kenderaan tersebut kemudian tampil menunjukkan kesan gigitan itu, yang mengakibatkan tayarnya pecah.

Naib Presiden Media, Acara dan Digital Taman Safari Indonesia, Alexander Zulkarnain berkata, insiden itu berpunca daripada sikap pengunjung yang memberhentikan kenderaan.

“Ada pengunjung yang terpaksa berhenti kerana pemandu lain di hadapan menghentikan kenderaan walaupun sudah diingatkan agar tidak bertindak demikian.

“Mereka tidak mengendahkan peraturan sehingga menyebabkan berlakunya insiden harimau menggigit tayar salah seorang pengunjung,” katanya.

Jelas Alexander, semua pihak bernasib baik kerana harimau itu tidak menyerang pengunjung.

“Petugas kami sentiasa bersiap sedia dan proaktif untuk membantu pengunjung ketika berada di zon harimau,” ujarnya. – AGENSI 

Suri rumah dipenjara sebulan, denda RM2,500 kerana sebar ajaran sesat

BuletinTV3 
Noridayu dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM2,500 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini. – FOTO: NSTP
SEREMBAN: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM2,500 di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini atas pertuduhan mengajar dan bersubahat menyampaikan ajaran sesat iaitu Ajaran Cahaya, tahun lalu.

Tertuduh, Noridayu Hashim, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 59 tahun dan seorang lelaki berumur 65 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan menganjurkan dan menyatakan bahawa berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram adalah dibolehkan kerana Kumpulan Ajaran Cahaya adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 35 yang dibaca bersama Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

Pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah bersubahat dengan Idris Ami, 60, menyampaikan ajaran salah kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Kedua-dua kesalahan dilakukan dari September 2023 hingga Disember 2023 bertempat di sebuah rumah yang beralamat Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah.

Jika disabitkan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, Noridayu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia dan suami tidak mempunyai kerja tetap dan hanya menjana pendapatan dengan berniaga makanan.

Tertuduh juga memohon maaf atas kesilapannya dan mengakui sudah insaf atas perbuatan itu.

Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli mencadangkan kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang setimpal dan wajar dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Sementara itu, mengikut fakta kes, tertuduh menyatakan mahu melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu memeluk seorang lelaki berusia 65 tahun dalam satu perjumpaan, namun ditolak lelaki berkenaan sebelum tertuduh memaklumkan bahawa pengikut Ajaran Cahaya adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.

Media pada 4 Oktober lalu melaporkan mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

Ajaran yang dikenali sebagai Ajaran Cahaya didalangi seorang lelaki ini lebih banyak disebar menerusi media sosial, yang mana ahlinya di aplikasi Telegram mencecah 5,000 orang.

Seorang bergelar Datuk direman, disyaki kemuka dokumen palsu RM1 juta

FMT Reporters

Dokumen itu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Sumber berkata, dokumen itu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia

Katanya, suspek lelaki berusia sekitar 40-an yang juga warga Bangladesh ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

Menurutnya, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek dikemukakan tidak wujud.

“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000,” katanya.

Suspek direman enam hari hingga 17 Nov selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Skandal rasuah: Pendedah maklumat utus surat terbuka buat Agong

Malaysiakini 

Pendedah maklumat, yang mencuri perhatian dengan dakwaan skandal rasuah Sabah, merayu kepada  Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menyemak ‘bukti’ dimilikinya dan memutuskan sama ada dia patut diberikan perlindungan.

Dalam surat terbuka itu, ahli perniagaan itu buat kali pertama mengaku memberi rasuah kepada lapan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) itu.

“Patik dengan suci hati mengatakan dan bersumpah mengatakan patik tiada pilihan dalam keadaan tertekan dan terpaksa memberi rasuah kepada lapan orang YB tersebut, di mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC tersebut telah mengesahkan kepada patik bahawa lesen-lesen hanya akan dikeluarkan sekiranya terdapat YB di belakangnya dan bagi syarikat yang tiada YB di belakangnya walaupun mendapat scoring yang paling tinggi tidak akan dipertimbangkan untuk memperoleh lesen tersebut,” katanya dalam surat itu.

Dia juga memaklumkan terdapat video bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Ketua Menteri Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa.  

Katanya, video itu adalah bahan sampingan selain lapan rakaman lain berkaitan perbualan rasuah lapan lagi Adun.

“Patik bersumpah bahawa patik pada ketika itu terdesak dan tiada pilihan kerana patik telah mengeluarkan modal yang banyak bagi membuat persediaan menjalankan projek cari gali mineral tersebut dan telah berhutang dengan pelabur dan menemui jalan buntu apabila dimaklumkan tiada cara lain untuk mendapatkan lesen-lesen tersebut kecuali melalui rasuah kepada YB-YB ini,” katanya.

Dia juga memohon maaf kerana menyembuhkan identiti atas alasan keselamatan serta memaklumkan kepada media terlebih dahulu.

Katanya dia dengan suci hati telah cuba untuk membongkarkan kes ini melalui SPRM.

“Patik dengan rendah diri memohon maaf sekiranya surat patik mengganggu YAM Tuanku tetapi patik atas dasar darurat dan tiada pilihan selain daripada berhubung terus dengan YAM Tuanku memandangkan patik telah menerima ancaman bunuh yang mengugut patik akan dibunuh dalam masa 24 jam,” katanya.

Sabtu lalu, Malaysiakini mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang sebagai balasan untuk mendapatkan projek.

Pemberi maklumat itu cuba mendapatkan perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memnbongkar perkara itu.

Hari ini, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu namun mahu "pemberi rasuah" ditangkap terlebih dulu.

"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman),” katanya.

Di bawah salinan penuh surat kepada Agong itu.

Skandal rasuah: Lagi pendedahan – ‘Saya ketua menteri, kamu CEO’

RK Anand

Dalam perkembangan terbaru dakwaan skandal rasuah, seorang pemberi maklumat mengeluarkan video tambahan, di samping lapan video perbualan rasuah melibatkan lapan ahli politik.

Menurut pemberi maklumat itu, video itu dikeluarkan untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

"Saya mahu serahkan semua bukti kepada Tuanku. Saya tidak tahu bagaimana. Oleh itu, saya keluarkan video ini melalui media," katanya.

Video itu menunjukkan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Ketua Menteri Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa.  

Menurut pemberi maklumat, video itu dirakam pada 1 Okt dengan persetujuan Enggihon.

'Saya terpaksa letak anak dalam sangkar kerana perlu bekerja'

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
TIGA individu termasuk ibu kepada mangsa dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Jenayah 5 dan 12, Jalan Duta. FOTO Aswadi Alias
TIGA individu termasuk ibu kepada mangsa dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Jenayah 5 dan 12, Jalan Duta. FOTO Aswadi Alias
Kuala Lumpur: "Saya terpaksa letak anak dalam sangkar kerana perlu bekerja."

Demikian rayuan seorang ibu yang dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki kandungnya, Februari lalu.

Wanita berusia 20 tahun turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan sebaik selesai menjalani hukuman bermula hari ini.

Selain itu, Hakim Norina Zainal Abidin mengarahkan ibu muda itu dikenakan bon jaminan berkelakuan baik untuk tempoh lima tahun dengan RM10,000 tanpa cagaran.

Malah, mahkamah sama juga turut mengarahkan dua lagi rakan ibu mangsa iaitu Adibah Mohd Zaini, 35, dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25, dijatuhi hukuman sama selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersama-sama melakukan penganiayaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun enam bulan di mana perbuatan itu mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan 1/109F, Taman Danau Desa, di sini pada jam 1.40 tengah hari hingga 1.45 tengah hari, 23 Februari lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, sebelum Norina menjatuhkan hukuman, ketiga-ketiga tertuduh merayu supaya hanya hukuman denda kerana masing-masing sudah insaf dan mengakui kesalahan dilakukan.

Ibu mangsa dalam rayuannya meminta hukuman ringan atas alasan sudah menyesal dengan perbuatannya kerana terpaksa meletakkan anaknya dalam sangkar untuk bekerja.

Hakim: Kamu letak (sangkar) di mana?

Ibu mangsa: Di belakang dapur rumah Adibah.

Hakim: Kenapa (letak dalam sangkar)?

Ibu: Tiada siapa nak jaga, saya perlu pergi kerja.

Hakim: Kamu kerja dari jam berapa ke berapa?

Ibu: 3 petang sampai 10 malam.

Hakim: Apa hubungan kamu dengan mangsa?

Ibu: Anak kandung saya.

Hakim: Kenapa letak anak kamu dalam sangkar, tapi tidak bagi mak kamu jaga di Pulau Pinang? Kamu tiada jawapan?

Ibu: Tiada.

Hakim: Apa rancangan kamu terhadap anak selepas ini?

Ibu: Saya akan tinggal di Pulau Pinang selepas ini, ibu akan jaga jika saya bekerja.

Adibah dalam rayuannya turut memohon hanya hukuman denda dikenakan kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

"Saya mohon kurangkan hukuman hanya denda, tiada siapa yang menjaga mereka di rumah, suami saya bekerja.

"Saya tidak mahu masuk penjara dan menyesal dengan perbuatan ini, ini kali pertama dan terakhir saya melakukan kesalahan ini," katanya.

Nor Azlin Fatin juga dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung adik beradik 10 orang dan ada antara mereka masih kecil.

"Saya mengaku bersalah kerana bersubahat," katanya yang mengesahkan tinggal di rumah sama dengan Adibah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan mencadangkan hukuman pemenjaraan dikenakan ke atas ketiga-tiga mereka kerana perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menganiaya kanak-kanak berusia tidak sampai tiga tahun.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan pegawai penyiasat, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama menyebabkan penganiayaan terhadap mangsa dengan menendang dan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Adibah menendang kanak-kanak itu beberapa kali sambil dirakam Nor Azlin Fatin manakala ibu mangsa turut berada di tempat kejadian dan membenarkan kejadian itu.

Rakaman video menunjukkan Adibah menendang mangsa beberapa kali di hadapan dua tertuduh lain di rumah berkenaan, hasil pemeriksaan awal perubatan menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kening, perut, belakang badan, tangan dan kaki.

Tergamak bunuh, sorok ibu tiga tahun dalam peti ais

AZMI NORDIN
Peti ais dipercayai tempat mayat mangsa disorokkan dalam kejadian di Jalan Haji Abu 6, di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tergamak membunuh ibu sendiri dan menyimpan mayatnya di dalam peti ais sejak tiga tahun lalu dalam kejadian di Jalan Hujan Abu 6, di sini.

Difahamkan suspek lelaki berusia 50-an membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.

Mangsa yang mati dipercayai akibat dipukul itu meninggal dunia sebelum dibalut dengan tuala dan plastik dan diletakkan di dalam peti ais tersebut.

Suspek bagaimanapun membuat laporan polis hari ini dipercayai akibat kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.

Sejurus laporan polis dibuat sekitar pukul 9 pagi itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati terdapat sepasukan polis membuat kawalan di lokasi kejadian selain terdapat satu peti ais di luar premis tersebut dipercayai tempat mangsa disorokkan. -KOSMO! ONLINE.

Seorang penjaja di sebuah pasar ditahan miliki pistol, revolver

SAFINA RAMLI

GEORGE TOWN – Seorang penjaja di sebuah pasar ditahan polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini semalam selepas disyaki memiliki sepucuk pistol dan sepucuk revolver.

Difahamkan, suspek mendakwa tujuan memiliki senjata api adalah untuk pelindungan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, lelaki warga tempatan berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi semalam.

”Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah menyimpan senjata api di dalam but keretanya yang diletakkan di kawasan Paya Terubong, Ayer Itam.

“Pemeriksaan di dalam but kereta tersebut telah menjumpai sepucuk pistol, sepucuk revolver dan lapan butir peluru.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenarnya suspek memiliki senjata api tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek telah dibenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 November depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. -KOSMO! ONLINE

Kelantan: Remaja 15 tahun ditahan seludup 475kg beras

FMT Reporters
Beras seludup yang ditemui dalam kereta Proton Persona yang dipandu seorang remaja lelaki 15 tahun di Pasir Mas, Kelantan. (Gambar PGA)
PETALING JAYA: Seorang remaja berusia 15 tahun ditahan di Pasir Mas, Kelantan kerana disyaki menjadi penghantar beras seludup dari Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, remaja itu ditahan ketika memandu kereta Proton Persona di Simpangan Tiga Kampung Dangar pada 8 pagi semalam, lapor Sinar Harian.

Katanya, hasil pemeriksaan pada kereta yang dipandu remaja itu menemui beberapa bungkusan beras tanpa dokumen yang sah seberat kira-kira 475kg.

“Nilai rampasan kira-kira RM1,900 dan kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994,” katanya.

Dalam kes berasingan, pihak berkuasa juga merampas 48 peket gula bernilai kira-kira RM141.60 dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran yang ditemui di pangkalan haram Gergaji, Rantau Panjang, pada jam 7.30 malam.

“Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Semua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Skandal rasuah: Pemberi maklumat lapor polis dakwa diugut bunuh

Malaysiakini 

Pemberi maklumat skandal rasuah yang menarik perhatian ramai sejak beberapa hari lalu membuat laporan polis kerana mendakwa dia menerima ugutan bunuh.

Menurut laporan polis yang dibuat malam tadi, pemberi maklumat terbabit berkata dia menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor yang tidak dikenalinya.

Katanya, melalui panggilan selama kira-kira 16 saat itu, seorang lelaki mengugut - dalam bahasa Cina - mendakwa dia daripada kumpulan pembunuh upahan yang diarahkan untuk membunuh individu terbabit dalam tempoh 24 jam jika gagal menutup mulut.

"Dia berkata itu adalah amaran terakhir untuk saya.

“Pemanggil itu turut menghantar gambar pistol dan peluru serta gambar seorang lelaki yang ditembak dan terbaring di atas jalan.

“Saya sangat takut. Saya takut keselamatan diri saya dan keselamatan keluarga saya,” kata laporan itu yang dilihat Malaysiakini.

Pemberi maklumat terbabit turut menghantar imej yang diterimanya kepada Malaysiakini.

Foto lelaki yang ditembak itu ialah bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, yang maut dibunuh semasa berkempen menjelang pilihan raya negara itu pada 2022.

Berdasarkan ugutan itu, pemberi maklumat meminta Malaysiakini tidak menyebut balai polis mana laporan berkenaan dibuat kerana ia akan mendedahkan lokasinya.

Pemberi maklumat itu menjadi tajuk utama sejak Sabtu lalu selepas Malaysiakini melaporkan bahawa dia mendakwa mempunyai lapan video menunjukkan Adun berbincang mengenai wang.

Dia mendakwa bahawa ia adalah rasuah yang diberikan sebagai pertukaran untuk sokongan mereka untuk projek di negeri terbabit.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pemberi maklumat - melalui firma guaman Izwan Mazniza Kamil and Associates - menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta campur tangannya berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Sabtu lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menggesa pemberi maklumat membuat laporan tetapi menyatakan bahawa suruhanjaya itu tidak boleh memberikan jaminan hitam putih bahawa dia tidak akan disiasat atau didakwa tanpa maklumat terperinci.

Kata Azam, undang-undang menyatakan bahawa apabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi di bawah undang-undang.

Bagaimanapun perlindungan tersebut boleh terbatalkan jika individu berkenaan turut terbabit dalam kesalahan itu.

Tindakan tanpa fikir panjang: Mahasiswa Indonesia Merayu Mohon Maaf Hina Malaysia Selepas Netizen Bongkar Dia Belajar Di UTP

Aiman

Kecoh di media sosial apabila seorang mahasiswa asing dari Indonesia yang menuntut di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menjadi tumpuan selepas mencetuskan kontroversi dengan kenyataan yang dianggap menghina rakyat Malaysia.

Akaun media sosial X didakwa milik pelajar tersebut telah pun dipadam.

Uban Hilang, Keyakinan Kembali! Alpecin Grey Attack Muncul Sebagai Hero Rambut Anda
Difahamkan mahasiswa Indonesia di UTP ini memuat naik komen yang bersifat provokatif dan merendahkan budaya serta bangsa Malaysia.

Hal ini telah mencetuskan kemarahan netizen, khususnya di kalangan rakyat Malaysia.

Pada 4 November 2024, seorang pengguna media sosial bernama Ian (@LANZAINAL) membuat ciapan yang mengecam pelajar ini dan meminta bantuan warga UTP untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Ciapan ini mendapat perhatian meluas dengan lebih dari 760,000 tontonan serta ribuan ciapan balas dan tanda suka.

Ramai netizen Malaysia menganggap tindakan pelajar tersebut sebagai biadab dan tidak menghormati negara yang menjadi tempat beliau menimba ilmu.

Setelah menerima kecaman dan desakan agar tindakan tegas diambil, pelajar tersebut, yang identitinya terbonkar dan digelar dengan nama Rio Rezky Seleng, tampil memohon maaf secara terbuka pada 9 November 2024.

Melalui beberapa siri ciapan, beliau mengakui kesalahannya dan menyatakan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta semua pihak yang terkesan.

Beliau juga menyatakan harapannya agar permohonan maaf itu diterima dan berjanji untuk lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial pada masa hadapan.

Namun, tindakan Rio ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

Ada yang beranggapan permohonan maaf tersebut sekadar ‘damage control’ atau usaha untuk meredakan kemarahan umum, manakala ada juga yang menuntut UTP untuk mengambil tindakan disiplin bagi memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar lain supaya lebih menghormati budaya dan negara orang.

Namun nasi sudah jadi bubur, tindakan beliau yang tidak menghormati negara tempat beliau belajar telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

Melalui tangkap layar yang lain, difahamkan bahawa tindakan beliau telah dilaporkan kepada pihak UTP dan mereka menyeru agar pihak universiti mengambil tindakan tegas terhadap pelajar tersebut.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsi oleh pengguna di Facebook, pihak UTP telah memberi respons terhadap aduan itu.

Mereka memaklumkan sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Walaupun UTP belum mengeluarkan kenyataan rasmi, komitmen mereka untuk menyelesaikan isu ini mendapat reaksi positif daripada netizen.
-thevocket 

Kelucahan melampau: Trend aib donut susu ‘berayaq’ rupanya dah mula jadi ikutan budak

Trend aib donut susu ‘berayaq’ rupanya dah mula jadi ikutan budak

Harapandaily

Tular beberapa klip video seorang peniaga ‘donut susu’ yang popular di utara Semenanjung dilihat melakukan promosi berbaur kelucahan melampau.

Peniaga dan pengunjung antara lain dengan nada suara merengek menyebut berayaq (berair), cirit dengan aksi mata putih ke atas serentak melentikkan punggung.

Sebutan dan perbuatan terbabit disifatkan sebagai menormalisasikan aksi tidak senonoh dan melucah di khalayak awam.

Ia sekaligus dilihat sama sekali bertentangan dengan nilai agama Islam malah prinsip Kesopanan dan Kesusilaan seperti terangkum dalam Rukun Negara.

Semakan mendapati peniaga lelaki kontroversi terbabit turut membuka gerai di pesta makanan yang dinamakan Fantastic Food Fest di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Dia juga dijadualkan akan membuka gerai jualan donut sambil melucah di Taman Tasek Kamunting antara 27 November hingga 1 Disember nanti.

“Biar berayaq 1 Taiping,” antara kapsyen tertera pada hebahan di media sosial.

Walaupun dihujani kecaman, penjual donut susu itu menerusi satu siaran langsung di platform media sosialnya memberitahu tidak kisah jika ada yang memboikot jualannya.
Rata-rata berpendapat promosi yang ‘menunggang’ elemen lucah tidak patut jadi ikutan dan menasihatkan peniaga terbabit berhenti daripada meneruskan cara tersebut sebagai cara melariskan jualan.


Peniaga donut melucah bersama pembelinya di hadapan gerainya.
Orang ramai juga perlu menjauhi peniaga sedemikian yang secara halus menyemai nilai buruk dalam anggota masyarakat pelbagai lapisan umur.

Hal ini memandangkan, ada warganet yang memberitahu terkejut anaknya seawal usia empat tahun sudah terikut-ikut dengan sebutan dan aksi lucah itu.

Selain itu, kalangan guru sekolah juga meluahkan rasa bimbang apabila murid-murid mereka turut menyebut dan mengajuk ‘berayaq jet-jet’.

Malah, cara promosi penjual makanan berkenaan dikeji warganet kerana tergamak berbuat demikian di depan makanan dan rezeki.

“Orang yang beli pun takde otak, tak rasa geli ke makan donut berayaq cirit tu 🤢🤮,” tulis Ainol Maisara.

“Yang bodo mana laa pi support beli… Hairan aku dengan selera dan mentaliti orang zaman sekarang,” keluh Achmed Ariff Abdullah.

Macam-macam gila ada: Penumpang mengamuk mahu buka pintu pesawat

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan penumpang itu cuba membuka pintu keluar kecemasan sambil dikepung oleh kru penerbangan. - TikTok
BANGKOK – Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan seorang penumpang cuba membuka pintu kecemasan semasa penerbangan Korean Air KE658 berada di udara, lapor saluran berita New Zealand Herald semalam.

Kejadian berlaku di dalam pesawat jenis Airbus A330-300 yang sedang menuju ke Seoul, Korea Selatan dari Bangkok, Thailand. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @someone.around.5, penumpang lelaki itu dilihat memusingkan pemegang pintu secara berulang kali sebelum dia dikepung oleh beberapa kru penerbangan. 

Bahkan, dia sempat melakukan kekerasan dengan memukul salah seorang pramugari yang cuba menghalangnya. 

Menurut syarikat Korean Air, penumpang itu mengamuk selepas diminta untuk kembali ke tempat duduk asal.

“Selepas kru penerbangan meminta lelaki tersebut untuk kembali ke tempat duduknya, dia menunjukkan tindakan agresif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan pergerakan yang mengancam nyawa,” tambah syarikat itu. 

Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, manakala penumpang berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. – AGENSI

Ular sawa tunggu dalam semak berhampiran stesen MRT

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan anggota-anggota Lembaga Taman Negara (NParks) menangkap ular itu. - Facebook
SINGAPURA – Sebuah klip video tular memaparkan seekor ular sawa gergasi bersembunyi di dalam belukar berhampiran sebuah stesen Aliran Transit Massa (MRT) di Singapura, lapor portal berita Must Share News semalam. 

Kejadian berlaku di stesen MRT Paya Lebar pada 9 November lalu. 

Rakaman yang dikeluarkan oleh Penglihatan Hidupan Liar Singapura menunjukkan beberapa anggota Lembaga Taman Negara (NParks) menyelongkar semak menggunakan penyepit.

Reptilia itu berjaya ditemukan selepas kira-kira 40 saat. 

Lebih mengerikan apabila panjang ular sawa itu melebihi ketinggian manusia.

Netizen turut membuat spekulasi bahawa ular tersebut telah menelan ‘sesuatu’ kerana perutnya kelihatan buncit. 

Ular itu berjaya ditangkap dan dibawa ke Kumpulan Hidupan Liar Mandai untuk penilaian. – AGENSI

Kes polis langgar pelajar: Mangsa digilis antara perut dengan dada, kata saksi

FMT Reporters

Ketika digilis, bahagian kepala mangsa berada di bawah kereta, menurut saksi kanak-kanak itu.
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini diberitahu bahawa pelajar Tingkatan Lima yang dilanggar berhampiran SMK Jati, Ipoh, pada Disember tahun lepas, digilis di bahagian antara perut dan dada.

Seorang saksi kanak-kanak berkata, dia dan rakan-rakannya yang berada berhampiran lokasi kejadian melihat mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC tercampak ke belakang dan terjatuh ke atas jalan selepas dilanggar oleh sebuah Perodua Ativa.

Saksi berkata, dia melihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan Perodua Ativa itu mengilis bahagian antara perut dengan dada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Ketika digilis, bahagian kepala mangsa berada di bawah kereta, tambahnya.

“Setelah melihat kejadian itu, saya terus pergi ke arah Zaharif untuk memberi bantuan bersama rakan-rakan lain,” katanya sewaktu membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, lapor Bernama.

“Ketika saya berada berdekatan dengan Zaharif, tidak lama kemudian, seorang lelaki yang turun daripada kereta Ativa itu pergi berdekatan kami.”

Menurut saksi, lelaki tersebut mengatakan dalam nada marah bahawa Zaharif perlu diangkat untuk dibawa ke balai, namun saksi enggan berbuat demikian kerana bimbang kecederaan mangsa bertambah teruk.

Saksi berkata, sebelum pelanggaran berlaku, Muhammad Zaharif Affendi menekan rem motosikalnya beberapa kali dengan kuat, dan pada waktu itu, Perodua Ativa tersebut berhenti bersebelahan dengan motosikal mangsa.

Katanya, mangsa kemudian memecut meninggalkan kereta itu sebelum diekori oleh pemandunya sehingga tiba di kawasan sebuah masjid.

“Apabila saya nampak Zaharif dan kereta Ativa melepasi bonggol jalan yang terletak di kawasan masjid tersebut, mereka berdua memecut laju.

“Apabila sampai sebelum kawasan simpang, Zaharif memperlahankan motosikalnya dan saya nampak lampu brek belakang menyala.

“Seterusnya saya nampak kereta Ativa melanggar Zaharif dari arah belakang,” katanya menambah, kereta itu tidak berhenti sebelum pelanggaran berlaku.

Saksi ke-10 itu juga berkata, dia melihat Muhammad Zaharif Affendi dalam keadaan separuh sedar dan tidak bermaya dibawa ke tepi oleh beberapa orang yang tidak dikenali.

“Ketika itulah saya melihat kereta Ativa itu telah bergerak ke arah berdekatan dengan Zaharif dan lelaki itu telah membuka pintu belakang keretanya untuk membawa (mangsa) ke balai.

“Namun, orang yang berada di situ menghalangnya (daripada berbuat demikian) kerana risau lelaki itu mengatakan mahu membawa Zaharif ke balai, bukannya hospital,” katanya

Menurut saksi itu, selepas dihalang oleh orang ramai, lelaki terbabit menutup pintu keretanya dan kembali melihat keadaan Muhammad Zaharif Affendi sehinggalah kakak dan bapa mangsa tiba, sebelum lelaki itu beredar.

Mahkamah turut memanggil Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Ipoh Ridza’uddin Mohd Radzi sebagai saksi bagi mengesahkan berhubung jalan dan papan tanda di sekitar lokasi kejadian.

Ridza’uddin berkata, terdapat dua bonggol, empat papan tanda peringatan bonggol, dan kelajuan di sekitar kawasan itu adalah antara 30 hingga 40km/j.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Ketika pemeriksaan balas, Athimulan memohon kebenaran mahkamah untuk pihak pembelaan diizinkan pergi ke lokasi kejadian sebelum memulakan prosiding pemeriksaan balas.

Hakim kemudiannya menangguhkan prosiding dan perbicaraan bersambung esok.

Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis tahun lepas.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.

10 hari untuk mengaku, jika tidak wajah ditularkan

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan dua lelaki yang makan di restoran The Welsh House di Carmarthen. - Wales News Service
LONDON – Pemilik sebuah restoran di Wales, United Kingdom terpaksa berputih mata apabila dua pelanggan yang makan di premisnya melarikan diri tanpa membayar selepas menikmati pelbagai hidangan berharga £155 (RM880), lapor akhbar Metro UK semalam. 

Kejadian berlaku semasa pelancaran restoran The Welsh House di Carmarthen pada 25 Oktober lalu. 

Menurut pemiliknya, dua lelaki itu memesan menu stik fillet berharga lebih daripada £30 (RM170) setiap satu, makanan laut, beberapa botol wain serta kopi. 

“Dua pelanggan tersebut diberikan masa selama 10 hari untuk membuat pembayaran atau mereka akan dinamakan dan dimalukan secara terbuka,” katanya. 

Seorang jurucakap berkata: “Pasukan kami menyediakan hidangan tempatan Wales dengan baik dan melayan pelanggan di Carmarthen.

“Malangnya, dua lelaki itu makan di restoran sebelum meninggalkan premis tanpa membayar bil mereka.

“Kami berkongsikan mengenai kejadian itu di media sosial kerana kami benar-benar berharap ia adalah satu kesilapan dan mereka akan tampil ke hadapan untuk menjelaskan hutang,” tambahnya. 

Pemilik restoran telah membuat laporan kepada Polis Dyfed-Powys dan siasatan sedang giat dilakukan. – AGENSI

Suami isteri didakwa perdagang 3 wanita ke Yaman

Bernama

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga tuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan ke Yaman sejak Mei tahun lepas.

Mohd Azfar Abd Ghafar, 37, dan Khadijah Yusoff, 31, didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia antara 19 hingga 38 tahun bagi maksud eksploitasi di sebuah rumah tidak bernombor di Tarim, Yaman antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lepas.

Tuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan kes melibatkan tiga mangsa warga tempatan.

“Sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan,” katanya.

Peguam Adnan Seman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan keluarga mereka tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.

“Saya mohon supaya anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan kes.

8 pelajar sekolah agama swasta dituduh cederakan 3 pelajar

Bernama

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di asrama sebuah sekolah agamar swasta di Rembau pada 16 Okt lepas.
Lapan pelajar sebuah sekolah agama swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga pelajar lain.
KUALA PILAH: Lapan pelajar sebuah sekolah agama swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga pelajar lain di Rembau, bulan lepas.

Empat daripada pelajar berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, manakala seorang lagi berusia 16 tahun mengaku bersalah.

Dua pelajar berusia 17 tahun pula mengaku bersalah atas kesalahan mencederakan seorang pelajar lain berusia 15 tahun.

Seorang lagi tertuduh yang berusia 17 tahun, mengaku salah atas pertuduhan sama terhadap pelajar lelaki lain berusia 15 tahun.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan mereka pada 16 Okt lepas antara lebih kurang 1 pagi hingga 5.30 petang di asrama sebuah sekolah agamar swasta di Rembau.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainuddin manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing termasuk dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norfazrin Jamal.

Majistret Saiful Sayoti kemudian membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan akhlak.

Ibu, 2 rakan tendang anak dipenjara 14 hari

Ho Kit Yen

Nur Adriana Mysara Nazri, Adibah Zaini dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman turut dikenakan denda RM10,000 selepas selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Tiga wanita itu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mendera seorang kanak-kanak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang ibu muda dan dua rakannya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mendera seorang kanak-kanak.

Nur Adriana Mysara Nazri, 20, bersama Adibah Zaini, 35, dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainal Abidin.

Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Danau Desa, Setapak, pada 23 Feb.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun ke atas ketiga-tiga tertuduh dan memerintahkan mereka menjalankan khidmat masyarakat selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut fakta kes, polis dimaklumkan mengenai satu video tular yang menunjukkan Adibah menendang anak Adriana.

Kanak-kanak lelaki yang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur itu didapati mengalami kecederaan di perut, kening, anggota badan dan belakang.

Siasatan lanjut mendapati Adibah telah menendang budak itu manakala Azlin merakam kejadian itu. Adriana tidak berusaha untuk menghalang mereka.

Semasa prosiding, ketiga-tiga mereka, yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.

Adibah berkata dia kesal dengan tindakannya itu, berjanji untuk tidak mengulanginya, manakala Azlin memberi alasan dia adalah penyara tunggal keluarga.

Adriana berkata dia terpaksa mengurung anaknya ‘dalam sangkar’ di rumah Adibah ketika pergi bekerja.

Hakim turut mempersoalkan tindakan Adriana untuk meninggalkan anaknya dalam keadaan sedemikian dan bukannya dengan nenek sebelah ibunya di Pulau Pinang.

Adriana tidak menjawab, hanya memberi jaminan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapannya.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka, dengan alasan Adriana kurang rasa menyesal terhadap perbuatannya.

Mangsa disahkan maut akibat tercampak keluar dari kereta

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Seri Iskandar: Penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang maut dalam nahas di Jalan Teknologi 1, di sini malam tadi disahkan terkorban akibat tercampak keluar dari kereta Perodua Bezza dipandu rakannya.

Mangsa maut dikenali sebagai Mohammad Najib Mohd Adin, 19, yang juga penuntut Tahun 1 Jurusan Kejuruteraan Kimia yang duduk di penumpang belakang kanan, manakala tiga lagi rakan seusianya cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, dalam 8 malam itu, Perodua Bezza yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu berpusing melanggar penghadang jalan.

Menurutnya, kereta terbabit bergolek beberapa kali sebelum terbabas di tepi jalan di laluan bertentangan.

"Ketika kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan dari UTP menuju ke arah Pusat Perniagaan Seri Iskandar.

"Pemandu kereta parah, penumpang hadapan dan penumpang belakang kiri cedera ringan, manakala penumpang belakang kanan maut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat di talian 014-6790829 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Cinta ditolak punca Siti Zulaila, bapa dibunuh

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
MANGSA bunuh Zulkifli (kiri) dan anaknya Siti Zulaila. FOTO NSTP
MANGSA bunuh Zulkifli (kiri) dan anaknya Siti Zulaila. FOTO NSTP
Georgetown: Polis mengesahkan kejadian pembunuhan seorang wanita dan bapanya di Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini, Khamis lalu berpunca daripada 'cinta ditolak'.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan mendapati suspek yang juga lelaki tempatan berusia 32 tahun itu menaruh perasaan terhadap mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa yang berusia 30 tahun tidak berminat dengan suspek.

"Sebelum kejadian suspek juga dikatakan melakukan ugutan bunuh terhadap keluarga mangsa di kediaman mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kita masih menunggu laporan ujian darah bagi menentukan sama ada suspek terbabit atau tidak dengan pengambilan dadah.

"Status ujian dadah suspek juga masih belum disahkan kerana kita masih menunggu laporan ujian darah," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kejadian menimpa Siti Zulaila Zulkifli dan bapanya Zulkifli Ibrahim maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki di pangsapuri berkenaan.

Suspek yang turut bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali kemudian dikejar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.

Lelaki berkenaan kemudian ditahan dan direman selama tujuh hari sehingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, sekurang-kurangnya enam kesan tikaman dikesan pada mayat kedua-dua mangsa.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan bersama dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong pada 10 malam Jumaat lalu.