"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita Kemboja maut dihempap pokok ketika berniaga

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
Mangsa maut dihempap pokok tumbang. FOTO Ihsan Polis
Mangsa maut dihempap pokok tumbang. FOTO Ihsan Polis
Chukai: Seorang wanita maut dihempap pokok dalam kejadian ketika hujan lebat di Pantai Penunjuk Kijal, dekat sini, petang tadi.

Mangsa, Saleha Ashaari, 54, warga Kemboja yang berstatus penduduk tetap berasal dari Kampung Titian Berayun Kijal, disahkan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.15 petang. dan mangsa disahkan meninggal akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang berniaga di bawah payung sebelum hujan lebat.

"Ketika sedang berniaga di bawah payung itu, secara tiba-tiba sebatang pokok berdekatan tempat mangsa berniaga tumbang dan menghempap mangsa.

"Anggota bomba terpaksa dipanggil ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah pokok terbabit dan disahkan meninggal oleh pasukan perubatan," katanya

Hanyan berkata, selain itu, kejadian hujan lebat dan angin kencang itu turut menyebabkan beberapa pokok di lokasi kejadian tumbang menghempap beberapa buah kenderaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya.

Dengan gaya ‘gangster’ ahli GISBH masuk mahkamah

SITI NUR ZAWANI

Pagi tadi seorang anggota kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dituduh di mahkamah atas dakwaan mengugut jenayah bekas ahli jemaah yang keluar daripada organisasi itu.

Individu yang memiliki tiga isteri dan 10 anak itu didakwa melakukan kerja-kerja ‘memburu’ dan mengugut mana-mana ahli yang keluar organisasi.

Di mahkamah, tertuduh berusia 39 tahun didakwa menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita berusia 25 tahun dengan ugutan, ‘kita tunggu … kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga’.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya

Dalam pada itu, klip video berdurasi enam saat ketika tertuduh hadir ke mahkamah menjadi perhatian media.

Tertuduh yang dilihat mengenakan ‘hoodie’, memakai topi, mask, serta bercermin mata hitam, berjalan seorang diri menuju ke bilik mahkamah sambil kedua tangannya di dalam poket baju.

Gaya berjalan yang dikatakan seperti “gangster” itu menjadi bualan pengguna media sosial.

Ramai menyatakan rasa kurang senang kerana tertuduh sepertinya angkuh dan tidak insaf dengan apa yang berlaku.

“Terpaling gangster ke tu tangan masuk kocek?”. Demikian antara komen ditinggalkan pengguna.

Dalam perkembangan lain, identiti individu tersebut yang juga RPU dalam organisasi iaitu singkatan bagi Remaja Pembela Ummah, didedahkan laman Facebook Scam No One.

Menurut pendedahan tersebut, individu yang dikenali sebagai Tuan Reza didakwa menjalankan kerja memukul bekas ahli, melakukan penganiayaan seperti membocorkan tayar dan merosakkan cermin kereta ahli yang keluar organisasi.

Kes amang seksual murid dan cabul guru, pengerusi sekolah agama mengaku tak bersalah

Bernama

Seorang pengerusi pusat pengajian al-Quran swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun sejak Mac hingga Ogos lepas.

Tertuduh Mohd Hafidz Eshak, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu masing-masing di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar dan di pusat pengajian berkenaan di Port Dickson sekitar tiga petang hingga 11 malam antara awal Mac hingga 28 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan bersama syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa dan saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah. 

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh merupakan pengerusi sekolah swasta yang beroperasi daripada dana orang ramai dan bantuan Bailtulmal.

“Ini bermaksud ia bukan satu institusi membuat keuntungan tetapi meminta ehsan masyarakat dan pihak berkuasa agama negeri,” katanya sambil menjelaskan kes berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kes eksploitasi kanak-kanak di rumah amal yang dikaitkan dengan sebuah syarikat kumpulan perniagaan bumiputera.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh menganggu saksi serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 29 Okt depan untuk serahan dokumen dan laporan perubatan.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Port Dickson, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang guru praktikal wanita berusia 19 tahun di pusat pengajian sama pada 6.40 petang, 18 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Majistret Uthman Abd Ghani menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Okt ini.

-Bernama

Dua pelancong warga China maut, kereta dihempap pokok, runtuhan bangunan

Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my
 Dua mangsa warga China dipercayai bapa dan anak perempuan maut dihempap pokok dan runtuhan bangunan di Perarakan Mansion, Lebuh Gereja. FOTO MIKAIL ONG
Dua mangsa warga China dipercayai bapa dan anak perempuan maut dihempap pokok dan runtuhan bangunan di Perarakan Mansion, Lebuh Gereja. FOTO MIKAIL ONG
Georgetown: Dua pelancong warga China disahkan meninggal dunia selepas kereta yang diletakkan di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan dihempap pokok tumbang dan bongkah runtuhan bangunan dalam kejadian di Lebuh Gereja di sini, hari ini.

Mangsa seorang lelaki dan wanita dipercayai mempunyai pertalian bapa dan anak masing-masing berusia 50-an dan 30-an hanya dapat dikeluarkan pada jam 5.15 petang iaitu selepas kira-kira tiga jam insiden itu dilaporkan berlaku.


Ketua Operasi yang juga Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Muhammad Syafiq Noor Azman, berkata pihaknya berdepan cabaran dan detik sukar mengeluarkan mangsa berikutan tempat kejadian yang sempit dan mempunyai ruang terhad untuk membawa masuk jentera serta kren.

"Kita juga berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan kita tidak menolak kemungkinan ribut atau angin kencang yang melanda Pulau Pinang sejak kebelakangan ini menjadi punca pokok itu tumbang namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Maklumat awal yang diterima ialah mangsa baru sahaja masuk ke dalam kereta itu selepas keluar dari premis terbabit dan pemerhatian mendapati pokok sebesar kira-kira tiga pemeluk itu melekat pada bangunan setinggi dua tingkat tersebut.

"Jadi apabila pokok itu tumbang, ia membawa bersama runtuhan bongkah konkrit dan menghempap tiga kereta yang diparkir di lokasi kejadian manakala dua lagi kenderaan tiada mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat wanita malang itu ditemukan berada dalam keadaan tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah hadapan manakala mangsa lelaki duduk di kerusi belakang.

"Susulan itu, kita dengan kerjasama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melakukan kerja-kerja pemotongan pokok itu sebelum menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan pokok dan sisa runtuhan itu sepenuhnya.

"Operasi ini membabitkan seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dan Jalan Perak dengan bantuan keseluruhan dari 40 petugas termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Difahamkan pemandu kereta yang dinaiki dua beranak itu tidak dapat dikesan dan belum diketahui sama ada dia warga tempatan atau pelancong China selepas dia dikatakan berjaya keluar dari kenderaan tersebut.

Isteri tak tahan sejuk minta cerai suami suka pasang ‘aircond’

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan wanita itu memfailkan perceraian di Mahkamah Agama Kandangan di wilayah Kalimantan Selatan. - TikTok
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia mengundang kecaman pengguna media sosial selepas memfailkan perceraian kerana suaminya kerap memasang penyaman udara semasa tidur, lapor portal berita Suara.com semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @yyaaa0807, wanita itu ditemani rakannya di Mahkamah Agama, Kandangan, wilayah Kalimantan Selatan untuk memfailkan perceraian.

“Rakan saya mahu bercerai gara-gara suaminya gemar memasang ‘aircond’ sebelum tidur dan dia tidak boleh tidur tanpa penyaman udara,” demikian menurut keterangan vide tersebut. 

Perbuatan itu tidak dapat diterima oleh si isteri, menyebabkan wanita tersebut nekad untuk bercerai. 

Rakaman itu meraih lebih 375,000 tontonan dan menimbulkan kekecohan di ruangan komen. 

“Belilah selimut yang tebal!” marah seorang netizen. 

“Sangat kelakar,” sindir netizen lain. – AGENSI

Warga asing ditahan bersama 30 anak buaya, 14 kura-kura lebih RM1.8 juta

FMT Reporters

Harga jualan seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000, manakala kura-kura Indian Eyed RM1,350 seekor.
Anak buaya julung-julung dan kura-kura Indian Eyed yang dirampas semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan haiwan liar dengan penahanan seorang warga asing bersama 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura Indian Eyed dianggarkan lebih RM1.8 juta semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Mohd Yusoff Mamat, berkata tangkapan dilakukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesis hidupan liar terkawal itu dari sebuah negara di Asia Selatan menggunakan laluan udara ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes sedemikian jarang berlaku di Malaysia dan spesis haiwan cuba diseludup itu mempunyai nilai sangat tinggi di pasaran gelap.

“Harga jualan seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000, manakala kura-kura Indian Eyed RM1,350 seekor.

Hidupan liar tersebut dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit dan akan dipindahkan ke negara lain, katanya sambil menambah lelaki itu disyaki ada kaitan sindiket penyeludupan haiwan liar bergiat aktif di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, 135 serbuan dijalankan di seluruh negara dengan 384 tangkapan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan dan bersubsidi serta hidupan liar sejak 1 Jan hingga semalam yang nilai rampasan keseluruhan melebihi RM420 juta.

Pengkhianatan tahap tenat: RM248,443 disorok bawah katil pegawai imigresen Gred KP19

Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menunjukkan barang kes yang dirampas ketika sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM. FOTO Aswadi Alias
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menunjukkan barang kes yang dirampas ketika sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM. FOTO Aswadi Alias
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan penemuan wang tunai hampir RM800,000 di kediaman dua pegawai imigresen bergred rendah dalam serbuan membabitkan sindiket 'counter setting'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam beberapa serbuan itu, pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang.

Katanya, wang tunai sebanyak RM248,443 pula ditemui di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di di kediamannya di Melaka.

"Jumlah wang tunai itu adalah sebahagian daripada RM1.49 juta wang tunai yang disita terhadap penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket 'counter setting'.

"Sepanjang operasi ini, SPRM turut menyita wang tunai sebanyak AS$9,900 (RM41,990) serta 5,470 Bath (RM696)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 turut disita daripada pegawai imigresen Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Katanya, sepanjang operasi terbabit, pihaknya menyita 22 unit kenderaan membabitkan sembilan kereta dan 13 motosikal.

"Turut disita ialah lebih 75 barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang selain 12 jam tangan pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata, SPRM turut membekukan sebanyak 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta.

Dalam pada itu, Azam mendedahkan modus operandi 'counter setting' adalah sindiket mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi media sosial lain.

Katanya, ejen akan menghubungi pegawai imigresen menerusi aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan tarikh yang sesuai membolehkan kumpulan warga asing datang ke Malaysia sebagai pelancong.

Pegawai Imigresen kemudiannya akan memberi 'green light' (lampu hijau) jika tarikh berkenaan sesuai.

"Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai imigresen terbabit.

"Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor 'kaunter khas' yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia," katanya.

Isteri minta cerai sebab suami mandi sekali sebulan

KOSMO!

NEW DELHI  –  Seorang isteri memfailkan perceraian selepas 40 hari berkahwin kerana suaminya jarang mandi dalam kejadian di bandar Agra, India, lapor portal berita Hindustan Times semalam.

Menurut portal berita India Today, lelaki itu hanya mandi sekali atau dua kali sebulan.

Ini menyebabkan dia mengalami masalah bau badan yang tidak dapat diterima oleh isterinya. 

Selama 40 hari selepas berkahwin, wanita itu memutuskan untuk bercerai dengan suaminya.

Keluarga wanita itu memfailkan aduan gangguan perkahwinan dengan polis dan memohon perceraian, kata seorang kaunselor pusat keluarga. 

Si isteri  pulang ke rumah ibu bapa berikutan pertengkaran dengan suaminya. 

Si suami akhirnya mengalah dan bersetuju untuk memperbaiki kebersihan diri. 

Wanita itu bagaimanapun tidak mahu lagi hidup bersama lelaki tersebut, demikian menurut India Today. – AGENSI

Ahli Parlimen PAS pertahan kenyataan ‘DAP komunis’

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Kepala Batas Mastura Muhammad tegas mempertahankan kenyataan kontroversinya, yang mengaitkan beberapa pemimpin DAP dengan seorang bekas pemimpin komunis, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak adil untuk semua orang berprasangka buruk hanya berdasarkan petikan tiga minit klip video yang mengaitkan Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, dan Teresa Kok dengan mendiang Chin Peng, kerana sepatutnya mendengar ucapannya secara penuh untuk mendapat konteks sebenar.

Klip video berdurasi tiga minit itu menjadi asas saman difailkan terhadapnya oleh pemimpin DAP.

Mastura berkata, dakwaannya itu dibuat berdasarkan buku panduan BN Comms yang membuat penyelidikan mendalam, diterbitkan Barisan Nasional untuk pemimpin partinya menjelang pilihan raya umum ke-15.

Dalam perjuangan Islam, kita disuruh mengenali musuh kita. Apa yang diperkatakan itu dimaksudkan untuk audiens tertutup, bagi membangkitkan semangat sayap wanita muda PAS, katanya ketika memberi keterangan untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi.

Wanita muda ini mesti dimaklumkan mengenai ideologi DAP. Jika kita tidak mengingatkan mereka mengenai ideologi itu, mereka mungkin menyangka (ideologi berkenaan) okay, katanya menjawab soalan peguam S N Nair.

Disoal apa diketahuinya mengenai komunisme, Masturan berkata secara asasnya ia bermaksud kesamarataan untuk semua bangsa, tiada lagi status Bumiputera, dan penggunaan satu bahasa kebangsaan tunggal.

Katanya, komunisme dibawa Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng memberi kesan buruk terhadap negara ini pada awalnya.

Mastura mendakwa ideologi tertentu membawa kepada penyingkiran Singapura dari Malaysia, berdasarkan kajiannya terhadap Parti Tindakan Rakyat dan Deklarasi Setapak DAP.

Bagaimanapun, katanya komen beliau menyebut Lim Kuan Yew selain bahawa Kok adalah isteri Kit Siang disebabkan tersasul.

Mastura turut tidak bersetuju dengan dakwaan Nair bahawa ucapannya bertujuan mewujudkan permusuhan terhadap DAP serta pemimpinnya, atau membayangkan mereka sebagai anti-Islam.

Saya mempunyai banyak bukti daripada internet bagi menyokong dakwaan saya, tetapi selepas kes ini dibawa terhadap saya, semuanya diturunkan. Saya percaya pada kajian BN Comms, katanya.

Ombak setinggi empat meter badai Teluk Kumbar

NOOR HASLIZA NUSI
Nelayan di Teluk Kumbar kini dalam mood bersedia susulan kejadian air pasang besar berlaku sejak tengah hari tadi.
BALIK PULAU – Nelayan di daerah Barat Daya negeri ini kini dalam ‘mood’ berjaga-jaga ekoran kejadian air pasang besar yang berlaku di kawasan pantai Teluk Kumbar di sini sehingga berlarutan ke petang ini.

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail berkata, keadaan laut ketika musim angin Barat Daya sangat membimbangkan dan kemungkinan dijangka berlarutan sehingga esok.

Menurutnya, kira-kira seramai 200 nelayan kini berada dalam keadaan bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku berikutan keadaan ombak yang besar sejak petang tadi.

“Fenomena air pasang besar menyebabkan ada pondok nelayan dan tembok penghadang dilaporkan rosak, jalan diselaputi dengan selut dan sampan terbalik. Ketika ini, semua nelayan dengan 100 buah sampan tidak keluar ke laut dan kami kini berjaga-jaga sepanjang tempoh 24 jam ini.

“Malah, keadaan di tepi laut sangat bahaya, ombak besar naik hampir setinggi empat meter. Harap tiada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, sebanyak tujuh buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sejak pagi tadi susulan kejadian banjir di beberapa kawasan perumahan di tiga daerah di Seberang Perai.

Mengikut laporan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang pada pukul 5 petang tadi, tiga PPS telah dibuka Seberang Perai Utara (SPU) sejak pukul 3 petang tadi, dua di Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua lagi Seberang Perai Tengah.

Sebanyak 44 mangsa terdiri sembilan keluarga masing-masing kini ditempatkan di Sekolah Penanti di Kubang Semang dan Dewan Bukit Teh manakala 33 mangsa lagi dipindahkan ke Dewan Sungai Bakap dan Dewan MPKK Sanglang.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuatkuasa sehingga Khamis ini. – KOSMO! ONLINE

Nasib baik calon PN dalam PRU15 lepas ini tak menang

Tular bekas calon PN disokong lebih 17,000 pengundi goyang pinggul

Harapandaily

Tular klip video memaparkan idola penyokong pembangkang atau walaun berjoget dan goyang pinggul dalam satu konsert rock.

Lelaki mirip bekas calon Perikatan Nasional (PN) berkenaan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu.

Individu menyerupai Ayahanda Cik Ton, 50, yang dulu terbabit dalam budaya gangster sebelum dikatakan berhijrah dilihat gembira sambil menari memutarkan kedua-dua tangan.

Jika semasa berkempen tahun lalu dia berkopiah, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Cekal Taqwa Malaysia (ACT) dalam rakaman video tersebut tampil ala rockers.

Pemilik nama sebenar Fazil Mohamad Dali yang juga ‘kaki’ gymnasium itu dilihat berseluar tight paras betis dilapisi seluar pendek.

Dalam keputusan PRN Selangor lalu, Ayahanda Cik Ton yang mewakili Bersatu mendapat 17,287 undi daripada keseluruhan 70,776 pemilih dalam pertandingan empat penjuru.

Dia yang dilaporkan mempunyai 15 anak itu kalah kepada calon Pakatan Harapan (PH) dari AMANAH, Izham Hashim yang meraih 27,878 undi.
Ayahanda Cik Ton
Susulan tularnya aksi ‘cucuk langit’ itu, rata-rata warganet bersyukur Ayahanda Cik Ton tidak menang pada PRN lalu.

“Bayangkan kalau dia menang hari tu…

“Gelinya! Idola walaun-walaun ni. Takpa, sat lagi lobai akan keluarkan dalil nak memghalalkan cara.

“Tokoh Kepimpinan Perikatan Nasional.

“Calon dari puak lebai. 17,000 pengundi Pandan Indah undi dia.

“Fuhh… masa jadi calon berkopiah bagai…,” demikian antara komentar netizen.


Kelantan: Masalah air, 34 tahun pun tak berkesudahan….

Harapandaily

Ketua Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengkritik calon PN Mahkota Haizan Jaafar dengan menyatakan PN sepatutnya fokus dalam mengotakan janji pilihanraya bukannya menilai prestasi kerajaan Johor.

Menurutnya, meskipun sudah tiga dekad menjadi kerajaan, Pas dan PN gagal menyelesaikan masalah asas seperti bekalan air bersih dan masalah perparitan.

“PN ada empat negeri tetapi ia masih belum menyelesaikan masalah Kelantan selepas 34 tahun.

Jangan cakap pasal mitigasi banjir bila isu bekalan air dan parit pun masih belum selesai,” kata beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umni Ketika berkempen untuk calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Haizan yang mengkritik kejadian banjir di Kampung Bentong yang tidak berkesudahan meskipun ada usaha dari pihak kerajaan negeri.

Jazlan turut mengkritik PN kerana tidak mengotakan janji pilihan raya, seperti projek terminal bas yang tidak siap di Kota Bharu.

“(Janji dalam) Manifesto selepas manifesto. Kalau kamu nak kempen, buat betul-betul. Rakyat sedar janji kosong ini.

PRK Mahkota pada 28 Sept adalah di antara calon PN dan BN.

Kes culik lelaki di PPR ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah

NUZULSHAM SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menculik seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras tahun lalu.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohammad Izzul Haikal Zainodin, 35, Zairen Idzwan Mohd Haslin, 33, dan Hoezniezam Hamzah, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang telah dituduh, didakwa menculik atau melarikan seorang lelaki berusia 27 dengan niat mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah PPR Cheras di sini, pukul 7.30 malam pada 3 September 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.

Hakim Siti Shakirah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Ini jawapan Ketua Polis Negara kepada Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, 'Kenapa polis perlu bincang dengan penjenayah?'

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis tiada keperluan untuk melakukan perbincangan dengan mana-mana pihak yang disyaki terbabit jenayah termasuklah dalam siasatan berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berbuat sedemikian kerana sebarang perlakuan jenayah perlu segera disiasat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang mendakwa tiada sebarang perbincangan diadakan bersama pihaknya sebelum tindakan serbuan oleh polis pada 11 September lalu.

Razarudin berkata prosedur siasatan PDRM adalah untuk mengumpul bukti supaya siasatan dapat dilengkapkan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan bukannya berbincang dengan pihak yang disyaki.

"Adakah kalau kita (polis) menyiasat dan kita nak bincang, bagaimana pula dengan bukti kita?

"Kalau macam itu sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?" katanya dalam sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, tiada perbincangan akan diadakan berikutan siasatan dijalankan menjurus kepada Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau turut meyakinkan siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Kita minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi berkaitan siasatan kes ini. Kita tahu macam-macam yang diperkatakan di media sosial dan ada yang mempertikaikan tindakan polis.

"Biarlah mereka hendak bercakap apa sahaja tetapi mereka tidak tahu apa yang berlaku di dalam, hanya pihak yang menjalankan siasatan sahaja tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya

Razarudin menegaskan segala butiran yang didedahkan pihaknya adalah dapatan daripada hasil siasatan dijalankan pihaknya dan agensi-agensi yang berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pihak di luar itu tidak menyiasat tetapi hanya mendengar cakap-cakap orang sahaja... dia mengambil kira dulunya (GISBH) baik.

"Saya cakap 'betul', di atas mungkin baik... nampak penderma tetapi di bawah menjadi hamba, itu yang kita (polis) nampak, ia hasil siasatan kita. Di atas seolah-olah nampak sangat 'noble' (mulia) tetapi di bawah, perhambaan berlaku... itu yang berlaku, itu yang kita siasat," katanya.

Selain PDRM, katanya, Op Global turut disertai pelbagai agensi termasuk KKM, JKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia.

Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Komunikasj dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Razarudin berkata, ia bagi memastikan siasatan adalah menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk kesalahan mengikut Akta Pendidikan dan Akta Pusat Jagaan.

Terdahulu, Nasiruddin menerusi kenyataan video mempersoalkan tindakan polis menyerbu dan menahan kesemua 392 penghuni dari 20 rumah amal kendalian syarikatnya menerusi serbuan Op Global pada 11 September lalu, tanpa mengadakan perbincangan terlebih dulu.

Video upacara keagamaan di tokong berlatar belakang bunyi selawat

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Butterworth: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang individu memuat naik video di aplikasi TikTok menggunakan runut bunyi berselawat yang memaparkan upacara keagamaan di sebuah tokong di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis mengesan video berdurasi 20 saat berkenaan dimuat naik di aplikasi Tiktok oleh penama 'AhChong60' pada 11.30 pagi hari ini.

"Video itu memaparkan upacara di dalam sebuah tokong yang berlatar belakangkan runut bunyi selawat Nabi.

"Berikutan itu, kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibuka bagi menyiasat kes berkenaan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Berdasarkan semakan di TikTok, video tular berdurasi 20 saat itu sudah diturunkan daripada aplikasi berkenaan.

Kes sembunyi mayat bayi dalam mesin basuh sebelum tanam, pengasuh didenda RM10,000

FMT Reporters

Majistret dalam penghakimannya berkata, tindakan tertuduh tidak wajar dan boleh menjadi barah yang membunuh keharmonian masyarakat.
Yuni Widya Sari di Mahkamah Majistret Kangar pada 15 Feb lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Kangar mendenda seorang warga Indonesia RM10,000 kerana menyembunyikan mayat bayi lelakinya dalam mesin basuh sebelum menanamnya.

Yuni Widya Sari, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di depan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Majistret memerintahkan wanita itu dipenjara 15 bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Nurshahida dalam penghakiman yang dimuat naik ke sistem kehakiman dan diperoleh media hari ini berkata, tertuduh melakukan kesalahan bertentangan sosial dan agama.

Menurutnya, tindakan tertuduh tidak wajar dan boleh menjadi barah yang membunuh keharmonian masyarakat, justeru mahkamah memandang berat kesalahan dilakukannya.

“Mahkamah meneliti fakta kes, tertuduh panik selepas mendapati bayi lelaki yang dilahirkan tidak bergerak.

Dia kemudian membalut dan menyimpan bayi itu dalam mesin basuh sebelum mengebumikan mayat berkenaan keesokannya, katanya menurut Sinar Harian.

Berdasarkan rayuan dikemukakan, beliau berkata, tertuduh jelas mencapai usia matang dan mempunyai pemikiran waras, selain memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui tidak berfikir panjang semasa bertindak demikian.

Nurshahida berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman munasabah supaya tertuduh sedar dan insaf atas perbuatannya serta mempertimbangkan dia ke Malaysia untuk menyara keluarga di Indonesia.

“Di sini, dia tiada tempat bergantung menyebabkannya hilang pertimbangan semasa melakukan kesalahan berkenaan.

Walaupun begitu, mahkamah masih mempertimbangkan tindakan tersebut tidak wajar, jadi hukuman denda dikenakan munasabah dan setimpal bagi memberikan kesedaran kepadanya.

Pengasuh dari Medan, Indonesia itu mengaku bersalah 11 Jan lalu atas tuduhan itu. Dia didakwa menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat seorang bayi lelaki dilahirkan di sebuah rumah di Kangar pada 6.30 pagi 21 Dis 2023.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 3 Jan lalu, media melaporkan seorang guru menemui mayat bayi cukup sifat dibungkus kain putih selepas menghidu bau busuk dekat rumahnya. Hasil siasatan mendapati bayi itu masih bertali pusat, ditanam di kawasan terbuka dan tidak berpagar.

Mayat pengawal keselamatan ditemukan dalam but kereta

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my

SABAK BERNAM: Mayat seorang pengawal keselamatan ditemukan dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta, berkata pihaknya menerima panggilan daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) jam 6.04 petang.

Beliau berkata, anggota polis memaklumkan terjumpa kereta Proton Saga BLM hitam yang mencurigakan diparkir di tepi jalan.

"Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam but kereta.

"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 43 tahun bekerja di daerah ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di lokasi mengesahkan terdapat unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu kesalahan bunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32242222," katanya.

Politik: Penyokong bersilat, pemimpin istirahat

Ronasina

Semasa melihat foto mesra dua pemimpin kerajaan yang berbeza parti, saya dilatari kebingitan suara Mat Reform dan Din Katak yang bersilat tak berkesudahan.

Ekoran kecoh isu Khairy Jamaluddin membuat jenaka di stesen radio Hotfm ‘Saya ulang! Hari ini menang esok kita makan ramai-ramai’, terjadilah peperangan di medsos antara penyokong PMX dengan penyokong pembangkang sehingga melarat kepada tindakan mahu boikot stesen radio tersebut oleh penyokong PMX. Tidak sekadar di medsos, perdebatan juga berlaku di antara kawan saya yang masing-masing berada di kem PMX dan juga yang berada di kem pembangkang.

Sebagai Ronasina, saya tidak memihak mana-mana secara membuta-tuli. Kalau betul, saya kata betul dan kalau saya rasa salah, saya cakap. Dalam hal ini saya hanya menjadi pengadil sahaja pada babak-babak perdebatan mereka.

Itulah yang berlaku hujung minggu lalu di sebuah kedai kopi apabila Mat Reform penyokong kerajaan manakala Din Katak penyokong pembangkang duduk semeja bersama saya. Istilah warganet ialah ‘walanon’ untuk penyokong PMX dan ‘walaun’ untuk penyokong pembangkang, atau lebih tepat ‘walaun’ adalah gelaran untuk totok PAS.

Biadab betul KJ buat lawak kutuk PMX tu. Samalah dengan budak-budak deejay yang tumpang sama gelak besar. Sangat biadab! Sebab rancangan mereka ini didengar oleh jutaan rakyat Malaysia pada waktu pagi. Mat Reform memulakan hujah.

Eh! Kau yang kata sebelum ni celoteh pagi kebanyakan stesen radio kita semua entah apa-apa. Sendiri buat lawak sendiri ketawa dan langsung tak bermanfaat. Kau pun ada dengar juga ke? balas Din Katak.

Aku tak dengarlah tapi isu ini besar dan platform ini tak sesuai. Menyindir PM adalah melanggar prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Mat Reform menguatkan hujah sampai terketap-ketap gigi.

Din Katak tak mahu mengalah. Dulu pernah ada juga sebuah program realiti TV lawak, seorang artis lelaki menggayakan watak isteri seorang perdana menteri. Ingat? Sebab masa tu kau tak sokong PM tu, bukan main seronok lagi kau menengoknya.

Mat Reform mengangguk laju sambil membalas, …dan teruk dia kena, kan? Nyaris pelawak tu dikenakan hukuman. Ha, tengok! Sebab itulah kali ini bila orang perlekehkan PMX, kita perlu boikot stesen radio tu.

Maknanya kau orang pun samalah, tiada beza dengan dulu. Pantang kena kritik, nak gam. Nak boikot. balas Din Katak. Tapi selama ni cakap nak buat perubahan. Re-for-ma-si!

Saya melihat Mat Reform terdiam sekejap sambil meneguk liur. Bera muka dia melihat Din Katak menjulang tangan mengejek slogan reformasi. Melihatkan dia sudah mula mengetap-ngetap gigi, saya segera masuk daun supaya debat tak menjadi lebih panas.

Di negara-negara lain, memerli atau membuat jenaka kepada pemimpin negara itu biasa. Aku rasa, PMX pun tak ada masalah dalam hal ini. Dia dah kena macam-macam, masuk penjara, turun-naik mahkamah, kena tumbuk semua tu takkanlah kena sindir macam ni pun dia nak ‘koyak’? Yang koyaknya engkorang, penyokong taksub. Aku ingat Abuya je ada pentaksub. Korang pun sama, kata saya.

Kau sebelahkan si Din ke? Mat Reform mula mempersoalkan pendirian saya. Tapi saya tiada masalah menyokong mana-mana berdasarkan pemahaman saya. Lagipun, teh halia yang saya minum, saya bayar sendiri, bukan Mat Reform dan bukan Din Katak. Bagaimanapun, kedua mereka sedikit tersentak apabila saya sentuh bab bukan Abuya sahaja ada pentaksub. Macam terkena getah nangka saja lagak mereka tetapi saya malas memanjangkan bab itu.

Kau pun nak ikut ‘walaun’? jegil Mat Reform kepada saya.

Tak. Tapi dulu kau yang selalu melaungkan kebebasan bersuara. Kau jugalah yang pernah menjerit agar media harus beri peluang sama rata kepada dua pihak supaya rakyat dididik dan mampu menilai siapa lebih baik. Inilah masanya, kata saya.

Din Katak menarik nafas lega. Kerjanya untuk berhujah menjadi mudah sebab saya seakan mengambil alih tugasnya. Mat Reform seakan tak puas hati dan hendak membuka mulut tetapi lekas saya pintas.

“Dulu kita ada pelawak Yusof Chong. Dia selalu buat jenaka di stesen TV kerajaan, menggayakan watak pemimpin kerajaan seperti Mahathir, Samy Vellu, dan Mohamed Rahmat. Dia menggayakan Mahathir sambil mengucapkan baris kata popular Mahathir. Dia pakai spek mata yang ada hidung besar tu. Tak sensitif ke?

Kata-kata Tok Mat pun dia ajuk siap dengan gayanya sekali dia tiru dan paling mengundang gelak besar rakyat ialah apabila dia ucapkan kata-kata Samy Vellu. Masa itu tidak ada yang rasa tersinggung dan marah. Lawak ‘saya ulammm!’ ini jika diletakkan pada zaman itupun aku rasa tidak ada masalah. Hari ini, entah kenapa kita makin sensitif. Tak boleh langsung usik sehelai bulu roma pemimpin pujaan mereka. Makin teruk! Era ini adalah era ‘memacaikan’ diri.

Huh! Ini kali memang saya bubuh betul-betul. Tak kasi chance punya. Mat Reform kelihatan kurang selesa. Dia menggaru-garu perutnya.

Din Katak mengambil peluang ini untuk membalun Mat Reform. Dulu konon mengaku teruk kena libas FRU, kena sembur asid. Menjerit minta kebebasan bersuara dan meraikan perbezaan pendapat. Hari ini hati sudah jadi hati tisu. Baru kena perli dah koyak sampai nak tutup periuk nasi deejay lain. Sampai nak boikot stesen radio. Kelakar! Saya ulammm. Kelakar!

Kau cakap orang tapi kau pun sama juga! saya acu muncung hujah ke arah Din Katak.

Sama apa? Aku okey apa! sanggah Din Katak.

“Yang kau nak boikot M Nasir bulan lepas tu kenapa? Sebab PMX hadir kat konsert dia dan M Nasir serta penonton nyanyi lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ sempena hari jadi PMX? Pasal itupun kau dah tak minat M Nasir? Apa teruk benar kau ni?

Reti ke engkau bezakan antara pemimpin parti politik dengan pemimpin negara dalam sesebuah acara? Engkau nak berpolitik kepartian engkau punya pasal. Apasal nak babitkan orang lain sampai nak boikot? serang saya.

Din Katak tersandar seperti kena tembak. Barangkali dia tak sedar yang dia juga ada perangai boikot-memboikot ini tapi bila saya tembak, baru dia perasan. Mat Reform yang tadi terperonyok sedikit pulih. Mungkin dia menyangka dia sahaja taksub. Ternyata Din Katak pun sama.

Tetapi kedua mereka tidak berhenti di situ malah terus bertekak dan berdebat menegakkan benang masing-masing. Saya sudah malas dan tidak lagi menumpukan perhatian kepada mereka.

Saya membelek telefon pintar dan terusik lucu apabila melihat foto menteri besar Selangor dan menteri besar Kedah sama-sama duduk melepak makan-makan dan minum-minum. Agak kelakar kerana semasa melihat foto mesra kedua pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti itu, saya dilatari kebingitan suara Mat Reform dan Din Katak yang terus berdebat dan bersilat tak berkesudahan.

Entah faedah apalah yang mereka dapat.
- malaysiakini 

Lelaki mengamuk tidak dapat dua ketul ayam goreng

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan lelaki itu mengamuk selepas pekerja restoran berkenaan menolak permintaannya. - Instagram
JAKARTA – Perbuatan seorang lelaki yang mengamuk di sebuah restoran makanan segera kerana tidak diberikan ayam goreng mengundang kecaman orang ramai, lapor stesen penyiaran Metro TV semalam. 

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @fakta.jakarta, lelaki itu berdiri di kaunter dan meminta seorang pekerja untuk memberinya dua ketul ayam goreng. 

Gara-gara permintaannya ditolak, dia kemudian mengamuk dan berpura-pura mahu memukul pekerja tersebut. 

Ketua Polis Jatisampurna, Iptu Didik Maryanto berkata,  kejadian berlaku sekitar pukul 4.10 petang (waktu tempatan) pada 8 September lalu. 

“Suspek turut mengugut dan menyerang mangsa dengan kata-kata yang kesat kerana tidak diberikan dua ketul ayam goreng.

“Meskipun mangsa tidak membuat laporan  polis, kami tetap berusaha untuk mencari suspek,” tambah Didik. – AGENSI

Faiz Fadzil: Isu judi jadi alat politik tapi jenayah berleluasa di negeri PAS

Malaysiakini 

PAS tidak berpijak pada realiti apabila mencabar kerajaan pusat untuk mengharamkan pusat perjudian sedangkan berdiam diri ketika berada dalam kerajaan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil, berkata malah ketika PAS dalam kerajaan cabutan khas loteri juga meningkat daripada 8 kepada 22.

"Sememangnya judi haram di sisi agama Islam, dan sebab itu kerajaan mengharamkan semua bentuk perjudian ke atas orang Islam.

"Tetapi PAS lupa bahawa judi bukan faktor tunggal berlakunya gejala jenayah dan penyakit sosial. PAS hanya menggunakan judi sebagai alat politik untuk menunjukkan parti itu berjuang Islam, sedangkan jenayah lain terus berleluasa di negeri tadbir PAS atau SG4 tanpa perkara ini dibangkitkan di dalam muktamar PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, kepimpinan PAS menyatakan komitmen untuk menutup premis perjudian termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highland sekiranya parti itu berjaya menawan Pahang pada PRU ke-16.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Andansura Rabu berkata, perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Dalam aspek itu kita perlu melihat kepada lunas undang-undang, kalau kita ada kuasa di peringkat negeri, kalau kita boleh buat, kita akan buat.

“Contohnya (kasino) di Genting Highland kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat.

“Tetapi (kalau) dalam mana-mana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita, kita akan melihat perkara-perkara yang mendatangkan keburukan kepada rakyat kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di Kerdau, Temerloh.

Sementara itu, Faiz turut mempersoalkan PAS adakah jenayah selain judi tidak dianggap sebagai kesalahan syarie.

"Ironinya, negeri tadbir PAS atau SG4 adalah antara yang tercorot dalam konteks banduan sabitan, kes jenayah, keganasan rumah tangga dan tangkapan kes dadah.

"Data Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa kes jenayah keseluruhan pada tahun 2022 di Kedah melonjak lebih 22 peratus dan di Kelantan hampir 10 peratus.

“Kadar ini adalah tertinggi di Semenanjung Malaysia di mana majoriti negeri mencatatkan penurunan kes jenayah. Kes di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing berkurang hampir 13 peratus dan 10 peratus pada tahun sama.

"Dalam konteks jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun dan sebagainya, Kedah mendahului carta di Semenanjung Malaysia dengan peningkatan kes sebanyak 22 peratus pada tahun 2022," katanya lagi.

Tambah Faiz lagi berdasarkan statistik bilangan banduan sabitan tahun 2022 berbanding populasi, empat daripada lima negeri teratas adalah dipimpin oleh PAS.

Jelas Faiz, hakikatnya PAS telah gagal mengawal selia kualiti pemimpin dan peningkatan kes jenayah dan penyakit sosial ini melambangkan kelemahan pemimpin PAS mentadbir SG4 dengan baik.

Jem teruk, ada yang tidur ditepi jalan seorang meninggal sesak nafas

Tidur atas jalan sebab jem teruk, seorang meninggal dunia

KOSMO
Kenderaan memenuhi jalan di sekitar Puncak, Bogor. - Detik Jabar
JAKARTA – Seorang wanita meninggal dunia selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk di Bogor, wilayah Jawa Barat berikutan cuti hujung minggu yang panjang, lapor laman berita Radar Depok semalam.

Cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul menyebabkan orang ramai mengambil peluang untuk mengunjungi kawasan pergunungan popular di Bogor, Puncak.

Kesesakan lalu lintas dilaporkan berterusan sejak kelmarin sehingga petang semalam.

Di laluan Agropelancongan Gunung Mas, bunyi hon silih berganti ketika beribu-ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan teruk sehingga kenderaan tidak dapat bergerak sama sekali.

Ada dalam kalangan pemandu yang bergerak pada arah melawan arus sekali gus memburukkan lagi situasi kesesakan.

Sebilangan pengguna jalan raya terpaksa berkhemah dan tidur di tepi jalan ekoran kesesakan yang tidak reda.

Sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan), seorang wanita berusia 56 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas kerana terperangkap dalam kesesakan tersebut.

Dia dibawa turun dari bas yang dinaiki serta dikejarkan ke masjid terdekat untuk dirawat, namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Mangsa menghidap asma dan darah tinggi. Mayatnya sudah dihantar kepada keluarganya,” kata Ketua Polis Trafik Bogor, Asisten Komisioner Rizky Guntama.

Berdasarkan data Unit Trafik Polis Bogor, terdapat 130,172 kenderaan keluar masuk ke Puncak selama tiga hari yang bermula dari 14 hingga 16 September (semalam). – AGENSI 

Lelaki meninggal dunia tunggu ambulans empat jam

KOSMO
Jumlah kakitangan yang terhad menyebabkan tiada bantuan sehingga pukul 6 pagi (waktu tempatan). - NCA News Wire
CANBERRA – Seorang lelaki di Surrey Hills, barat Melbourne meninggal dunia selepas menunggu ambulans selama empat jam untuk membawanya ke hospital, lapor saluran berita News.com.au semalam. 

Setiausaha Kesatuan Ambulans negeri Victoria, Danny Hill berkata, mangsa berusia 69 tahun itu dilaporkan terjatuh dan menjerit meminta tolong di rumahnya sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) kelmarin. 

Jiran mangsa yang terdengar jeritan itu segera menghubungi ambulans, namun jumlah kakitangan yang terhad menyebabkan tiada bantuan sehingga pukul 6 pagi (waktu tempatan). 

“Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya paramedik tiba di sana lebih awal,” kata Hill. 

Kira-kira 50 kru ambulans berada di luar talian pada malam kejadian disebabkan ramai yang mengambil cuti sakit.

“Hanya terdapat 90 daripada 120 kru biasa yang bekerja syif malam di seluruh negeri Victoria pada malam itu,” tambahnya. – AGENSI

Mike Tyson mencetuskan kebimbangan lagi

Agensi
MIKE Tyson. FOTO Kevin Jairaj-Imagn Images
MIKE Tyson. FOTO Kevin Jairaj-Imagn Images
Los Angeles: Mike Tyson mencetuskan kebimbangan apabila mengakui bahawa dia kini 'bergelut untuk berjalan' selepas berakhir sesi latihan.

Tyson sedang bersiap sedia untuk kembali ke gelanggang di usia 58 tahun menentang Jake Paul pada 15 November depan dalam pertarungan profesional yang sah sepenuhnya.

Petinju veteran itu sebelum ini terpaksa menangguhkan pertarungan pada tarikh asal kerana masalah kesihatan, malah ramai pihak bimbang dengan penampilan semula petinju legenda itu.

Dalam satu temubual baharu, kenyataan terbaharu Tyson menambahkan resah peminat, walaupun dia mengakui sedang menjalani latihan penuh sebagai persediaan pertembungan dengan Paul.

Dia memberitahu USA Today Sports: "Sekarang ini sukar untuk berjalan. Tetapi dua bulan lagi saya akan berada dalam keadaan bersedia.

"Saya akan buat apa sahaja yang boleh bagi membantu meningkatkan prestasi diri saya."

Ini bukan kali pertama Tyson membuat pengakuan kerana sebelum dia pernah menyatakan badannya terasa sakit sebelum pertembungan dengan Paul terpaksa ditunda.

Tyson sudah berlatih secara serius sebelum tarikh pertarungannya dengan Paul, Julai lalu, tetap masalah ulser perut memaksanya meminta menangguhkan perlawanan itu.

Dia kemudian kembali sepenuhnya menjalani latihan dengan memuat naik rakaman video pendek, namun ia masih lagi gagal meyakinkan peminatnya.

Pertarungan 15 November ini akan menjadi penampilan kompetitif pertama Tyson sejak tahun 2005, di mana dia tewas kepada Kevin McBride dan akhirnya terpaksa bersara.

Bakal calon PM selamba pakai baju produk haram

Harapandaily

Disebut-sebut bakal calon Perdana Menteri (PM) dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selamba memakai baju yang mempromosi rokok elektronik atau vape yang sudah diputuskan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Naib Presiden Pas berkenaan mengenakan baju yang dilaporkan menjadi penaja utama Himpunan RXZ Members 6.0 baru-baru ini.

Logo syarikat vape tersebut terpampang di lengan baju berwarna hitam yang dipakai Menteri Besar Terengganu itu.

Menurut Public Health Malaysia, program yang berlangsung selama dua hari bermula 13 September itu melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana membenarkan syarikat vape menjadi penaja utama.

Ahmad Samsuri turut berkongsikan aksinya menunggang motosikal jenis RXZ di media sosial.

Semakan mendapati jenama rokok elektronik mengandungi nikotin yang boleh mengakibatkan ketagihan itu dikeluarkan syarikat dari China dengan pelbagai rasa buah-buahan.

Himpunan yang dilaporkan menarik lebih 60,000 peserta dari seluruh negara itu turut meragut tiga nyawa peserta manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan masing-masing satu kes di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Untuk rekod, pengharaman penggunaan vape itu berdasarkan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 21 Disember 2015.

Kelantan: Lelaki menyamar polis peras ugut penyeludup ditahan

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kereta yang digunakan suspek berusia 31 tahun dengan menggunakan modus operandi menyamar anggota polis dan memeras ugut penyeludup. - Foto NSTP/ Ihsan PGA
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kereta yang digunakan suspek berusia 31 tahun dengan menggunakan modus operandi menyamar anggota polis dan memeras ugut penyeludup. - Foto NSTP/ Ihsan PGA
KOTA BHARU: Seorang pemuda dikesan menggunakan taktik licik dengan menyamar sebagai anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan akan memeras ugut kumpulan penyeludup minyak bersubsidi di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat.

Suspek berusia 31 tahun itu dikatakan akan menahan penyeludup terbabit dan meminta imbuhan daripada penyeludup sekiranya mereka tidak mahu ditangkap.

Bagaimanapun, perbuatan pemuda terbabit terbongkar apabila ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 11 pagi kelmarin di sebuah rumah di Taman Sri Neting, Tumpat.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang disyaki bergerak sendirian menyamar sebagai anggota PGA berada dalam rumah berkenaan sebelum ditahan.

"Kita turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha di rumah terbabit dan sebuah kereta di rumah berlainan yang disyaki turut digunakan suspek.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM15,000. Saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methampetamine," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyamaran dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.

Tindakan penguatkuasaan yang sesuai akan diambil terhadap GISBH

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Pengerusi Maiwp Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, pihaknya mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) [Akta 505].

"Bidang kuasa itu adalah untuk membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan semua perkara berhubungan agama Islam di Wilayah Persekutuan kecuali perkara menyentuh hukum syarak dan pentadbiran kehakiman syariah.

"Aktiviti dijalankan GISBH dikaitkan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Al-Aqram yang pernah difatwakan sebagai amalan bercanggah akidah Islam melalui penyiaran fatwa dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Mei 2007.

"Dalam hal ini, Maiwp bekerjasama dengan Jawi mengenai tindakan penguatkuasaan sesuai boleh dikenakan terhadap GISBH selaras peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] atau perundangan lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Maiwp sentiasa komited untuk bertindak dan sedia membantu agensi kerajaan persekutuan dan negeri dalam menangani isu membabitkan GISBH.

Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Razarudin dipetik berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit.

Susulan kes itu, katanya, seramai 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.

Berdasarkan maklumat serta siasatan dilakukan, pihak polis mengesyaki GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Menurutnya, modus operandi GISBH berdasarkan risikan dan kenyataan mangsa mendapati mangsa diajar, dididik untuk meliwat seterusnya diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Katanya, terdapat juga kanak-kanak yang didera menggunakan objek seperti sudu yang panas sebagai bentuk hukuman apabila anak-kanak terbabit melakukan kesilapan.

Mangsa maut dalam apartmen ditikam 20 kali

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
BAHAGIAN luar rumah mangsa yang dilekatkan dengan pita polis.
BAHAGIAN luar rumah mangsa yang dilekatkan dengan pita polis.
Petaling Jaya: Lelaki yang ditemui mati di sebuah unit apartmen di Bandar Sri Damansara di sini, hari ini, mempunyai 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, mangsa berusia 36 tahun ditemui tidak bernyawa selepas jirannya mendakwa terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh dari rumah mangsa.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1 pagi hari ini daripada orang awam yang bimbang terjadi sesuatu ke atas mangsa selepas mendengar pergaduhan dengan orang tidak dapat dipastikan.

"Pergaduhan itu dipercayai berlaku kira-kira 11 malam Ahad (semalam) dan pengadu membuat laporan selepas tidak melihat jirannya keluar selepas kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrulnizam berkata, siasatan awal mendapati mangsa maut akibat luka tikaman di rusuk kiri sebanyak lima kali, malah dia juga ditikam enam kali di kepala serta sembilan kali di kedua-dua pergelangan tangan.

Katanya, mangsa bekerja sebagai pereka dalaman sambilan itu dipercayai tinggal sendirian di unit berkenaan yang dibelinya tahun lalu.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kita tidak menolak kemungkinan kes ini adalah pecah rumah hingga menyebabkan kematian. Barangan milik mangsa seperti beg duit, telefon bimbit disyaki telah dicuri," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan hari ini di sebuah apartmen di sini yang dipercayai mati akibat ditikam berulang kali.

Suami ikut ajaran sesat paksa mengemis, tidur dengan ‘mahaguru’

KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang wanita hidup terseksa apabila dipaksa untuk mengemis oleh suaminya sendiri yang dikatakan mengamalkan ajaran sesat.

Menurut perkongsian seorang Pengamal Undang-undang Syariah, Hazwani Zainal di TikTok, perkara itu dikongsikan sendiri oleh seorang wanita yang bertanya bolehkah dia menuntut cerai daripada suaminya itu.

Wanita tersebut memaklumkan, suaminya juga sudah tidak menunaikan solat kerana mendakwa telah dinaikkan taraf oleh ‘mahaguru’ dan boleh sembahnyang hanya dengan niat.

“Puasa pun dia kata tak wajib sebab ‘level’ dia dah sampai tahap wali.

“Bukan itu sahaja, saya dan anak perempuan berusia 8 tahun pernah dipaksa untuk meniduri mahaguru itu bagi tujuan menghapuskan dosa. Tetapi, saya lawan suami dan kami dikurung dalam bilil gelap dengan kaki dirantai,” katanya.

Kata wanita itu lagi, dia juga tidak diberi nafkah zahir sejak suaminya terlibat dengan ajaran sesat itu kira-kira tiga tahun lalu.

“Suami juga suruh saya dan anak kutip derma di pasar malam. Tapi duit itu dia ambil dan beri pada mahaguru, kami hanya dapat RM20 untuk makan.

“Kalau tidak kutip derma, saya akan dipukul hingga lebam-lebam,” katanya.

Katanya, tidak lama kemudian dia dan anaknya ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana mengemis sebelum tinggal bersama bapa saudaranya sehingga kini.

“Mungkin takdir Allah SWT nak selamatkan saya. Saya tinggal dengan bapa saudara sebab mak ayah sudah meninggal dunia dan saya merupakan anak tunggal.

“Saya nak cerai sangat puan sebab risaukan keselamatan anak. Saya dan anak sedang jalani pemulihan akidah di sebuah pejabat agama,” katanya.

Difahamkan, situasi wanita terbabit membolehkan dirinya untuk menuntut fasakh kerana berlaku penganiayaan kepada diri wanita terbabit. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut dipercayai ditikam perompak, mayat ditemukan selepas dua hari

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
BAHAGIAN luar rumah mangsa yang dilekatkan dengan pita polis.
BAHAGIAN luar rumah mangsa yang dilekatkan dengan pita polis.
Petaling Jaya: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat ditikam berulang kali oleh individu disyaki cuba merompak rumahnya di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, di sini, baru-baru ini.

Menurut sumber, mangsa dipercayai berusia 30-an dikatakan bergelut dengan suspek terbabit berdasarkan keterangan jiran yang terdengar jeritan daripada arah rumah mangsa.

"Ada jiran menyatakan terdengar jeritan daripada arah rumah mangsa tetapi jiran tidak menyangkakan sebarang perkara buruk berlaku.

"Selepas mangsa tidak kelihatan selama dua hari, baru orang awam meminta bantuan pihak bomba untuk memecahkan pintu rumah dan menemui lelaki itu," katanya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat.

Tinjauan Harian Metro di sekitar premis lima tingkat terbabit mendapati apartmen itu dikawal oleh pengawal keselamatan di setiap pintu masuk.

Pengawal keselamatan juga dilihat kerap melakukan rondaan di dalam kawasan apartmen terbabit.

Salah seorang jiran yang ditemui memaklumkan melihat anggota polis berada di kediaman mangsa dan membawa mayat keluar dari premis itu pagi tadi namun mendakwa tidak mengetahui butiran sebenar apa yang berlaku.

Polis China siasat kes gigi manusia ditemukan dalam kuih bulan

Agensi
GIGI ditemukan di dalam kuih bulan. FOTO HIASAN
GIGI ditemukan di dalam kuih bulan. FOTO HIASAN
Beijing: Sebuah pasar raya milik Amerika Syarikat di China, disiasat pihak berkuasa selepas pelanggan menemukan gigi manusia dalam kuih bulan.

Seorang wanita berkongsi video Douyin yang menunjukkan gigi dalam kuih bulan berisi daging bernilai 30 yuan (kira-kira RM18).

Kuih itu dibeli di Sam's Club, Changzhou di wilayah Jiangsu, timur China, lapor Star Video pada 5 September lalu.

Wanita itu berkata, dia melaporkan penemuan itu kepada polis selepas yakin gigi itu bukan milik mana-mana ahli keluarganya.

Seorang kakitangan di Sam's Club di Changzhou berkata, syarikat itu sedang menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu, jurucakap pengilang kuih bulan, Liu memberitahu Hongxing News, mustahil untuk mencampurkan gigi dalam isi daging.

"Semua daging akan melalui proses pencincangan dan diperiksa mesin sinar-X yang mampu mengesan serpihan tulang.

"Insiden macam ini tidak pernah berlaku sejak lebih sedekad," katanya.

Jabatan kerajaan berkaitan berkata, pihaknya juga sedang menyiasat kes itu.

Insiden membabitkan isu keselamatan makanan di Sam's Club bukan kali pertama. Pada 2022, seorang wanita dari wilayah Fujian, tenggara China melaporkan bapa saudaranya menemukan tiga gigi manusia tiruan dalam Swiss Roll yang dibeli daripada rangkaian kedai itu, mengakibatkan dia patah gigi apabila menggigitnya.

Walaupun kedai itu memberi jaminan mereka akan menyiasat, namun tiada keputusan dikongsikan.

Pada 2022, Sam's Club di Nanjing berdepan denda 30,000 yuan (kira-kira RM18,185) kerana menjual strawberi berkulat dan lokasinya di Beijing Shunyi didenda 65,000 yuan (kira-kira RM39,400) kerana menjual susu tepung tamat tempoh.

Sam's Club, yang memasuki China pada tahun 1996, didenda lebih 20 kali kerana pengiklanan palsu dan isu keselamatan makanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jenama ini mempunyai 49 cawangan di seluruh China.

Peniaga jual jus buah campur air kencing

KOSMO
Polis menemui sebuah bekas berisi urin di gerai suspek. - NDTV
NEW DELHI – Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan di India kerana menjual jus buah yang dicampur dengan air kencing kepada pelanggan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Penolong Pesuruhjaya Polis, Ankur Vihar Bhaskar berkata, penahanan itu dibuat berikutan aduan orang ramai bahawa mereka menyajikan minuman campuran jus dan urin kepada pelanggan. 

“Suspek dikenal pasti sebagai Aamir. Selepas mendapat maklumat, polis segera melakukan pemeriksaan di gerainya dan menemui bekas berisi urin.

Polis juga menyoal siasat ke atas pemilik kedai berhubung bekas tersebut, namun jawapan yang diberikan tidak memuaskan. 

“Seorang remaja turut ditahan dan tindakan lanjut sedang diambil,” tambah Ankur. – AGENSI

Bapa ‘kantoi’ kerana hubungan songsang anak

KOSMO!

Rahsia bapa Adli berbini dua terbongkar akibat hubungan songsang dua anak lelakinya. 

PADA pandangan keluarganya, pemuda itu seorang anak lelaki yang sempurna, menjaga agama, maruah serta peribadi, selain memiliki kerjaya yang bagus.

Namun, di sebalik semua itu, dia menyimpan satu rahsia yang jika diketahui mencalarkan semua pandangan baik terhadapnya.

Adli (bukan nama sebenar) sebenarnya sudah jauh menyimpang dari landasan terutama soal hati dan perasaannya selain mempunyai pasangan hubungan sejenis.

Perkara itu dirahsiakan dengan rapi daripada pengetahuan keluarga, malah rakan-rakan kerana itu dianggap sesuatu yang amat menyimpang daripada imej yang dipamerkan.

Menurutnya, perasaan itu sudah wujud sejak zaman remaja iaitu semasa belajar di asrama dan segalanya bermula selepas dia mempunyai seorang abang angkat.

“Masa zaman asrama, saya ada ramai abang angkat, tetapi ada seorang yang sangat prihatin, kami rapat hingga tidur dan mandi bersama setiap hari.

“Dari situ bermulanya perasaan sukakan lelaki, walaupun saya tidak lembut tetapi hati dan perasaan ini sukar untuk menyukai wanita,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, apabila menginjak dewasa, ke universiti hingga bekerja, dia juga pernah menjalani beberapa perhubungan dengan beberapa lelaki, namun ada satu perkenalan yang telah membuka rahsia lebih besar apabila ia melibatkan bapanya sendiri.

Kongsi Adli, ia berlaku semasa dia berkenalan dengan seorang lelaki yang lebih muda iaitu Reza (bukan nama sebenar) semasa sudah bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Reza ketika itu merupakan pelajar pelatih yang menjalani latihan industri di tempat Adli bekerja dan dia juga penyelia pemuda itu.

Dari perkenalan tersebut, berputik rasa suka kerana Reza mempunyai rupa paras yang kacak, tambahan pula mereka saling menyukai antara satu sama lain.

Selepas mereka berpacaran, Adli mengajak Reza tinggal bersama kerana selepas tamat latihan industri, Reza mahu mencari kerja sambilan.

Walaupun sudah berpacaran, Adli tidak pernah bertanyakan tentang keluarga Reza walaupun keluarga Reza sebenarnya hanya menetap di Seremban, Negeri Sembilan, manakala keluarganya di Melaka.

Adli dan Reza berpasangan sebelum mengetahui bahawa mereka sebenarnya dua beradik tiri. – 
“Saya ada juga bercerita tentang keluarga saya termasuk bercerita tentang ayah yang saya sifatkan sebagai seorang yang penyayang meskipun tegas.

“Reza turut berkongsi tentang keluarga tetapi sebaliknya kurang bercerita tentang bapanya kerana katanya bapa jarang pulang ke rumah,” ujarnya.

Namun begitu, hal tersebut tidaklah dianggap penting kerana apa yang mereka fokuskan adalah kehidupan mereka yang tinggal bersama.

Hingga pada suatu hari, Reza mengajak Adli pulang ke kampungnya untuk pertama kali kerana keluarganya ada mengadakan kenduri tahlil arwah.

Ujar Adli lagi, ketika berada di rumah keluarga Reza, dia diperkenalkan sebagai teman serumah kepada ibu Reza sahaja kerana ketika itu bapanya belum lagi pulang.

Selepas beberapa jam, terdengar bunyi kereta di luar rumah dan Adli memberitahu bahawa bapanya sudah sampai.

“Ketika itu, saya di dapur membantu rewang masak untuk kenduri, namun begitu mendengar suara bapa Reza memberi salam, saya tersentak kerana suara itu seperti tidak asing.

“Apabila saya ke hadapan, alangkah terkejutnya kerana lelaki yang juga merupakan bapa Reza itu adalah bapa kandung saya sendiri. Selama ini, walaupun menyedari miliki nama bapa serupa tetapi saya tidak menduga apapun kerana nama bapa kami nama lazim yang digunakan ramai orang,” ujarnya.

Suasana ketika itu menjadi sedikit kekok kerana Adli tidak pernah tahu bapanya ada isteri lain, malah lebih mengejutkan mengetahui Reza yang merupakan pasangannya itu sebenarnya adik sebapa.

Dalam situasi itu, Adli amat bingung. Dia ditemui bapanya selepas tamat majlis tahlil. Bapanya mahu menjelaskan situasi sebenar kepadanya di hadapan Reza dan ibunya.

Namun, bapanya meminta kepadanya supaya merahsiakan perkara itu daripada ibu kerana hal ini akan menyebabkan pergaduhan yang besar.

Adli bersetuju dengan hal itu kerana dia juga tidak mahu hubungan ibu bapanya terjejas, namun dia pada masa sama bingung dengan situasinya bersama Reza yang sudah terlanjur berhubungan sejenis.

Tetapi pada akhirnya mereka membuat keputusan untuk memutuskan hubungan terlarang tersebut dan Adli juga masih tinggal bersama Reza tetapi sebatas hubungan abang dan adik.

Adli mengakui, dia dan Reza kini cuba berubah untuk tidak lagi terjebak hubungan sejenis dan mula mendekatkan diri dengan Allah SWT serta menghadiri usrah agama.

Wanita makan kucing hidup-hidup

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan Allexis Ferrell ditahan polis selepas menghancurkan kepala kucing dan memakannya. - Jabatan Polis Canton
CANTON, OHIO – Seorang wanita ditahan dengan helaian bulu kucing berada pada bibir dan darah di tangannya, di sebuah kawasan perumahan di Canton, Ohio, lapor akhbar Metro UK semalam. 

Rakaman yang dikongsikan oleh polis tempatan memaparkan suspek bernama Allexis Ferrell, 27, menghancurkan kepala kucing sebelum memakannya pada 16 Ogos lalu. 

Kejadian berlaku di sebuah pekan yang terletak kira-kira 276.8 kilometer dari Springfield, di mana bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa bahawa pendatang Haiti ‘memakan haiwan peliharaan’ semasa debat presiden baru-baru ini. 

“Pegawai menyaksikan Ferrell menghancurkan kepala kucing itu dengan kaki sebelum memakannya,” kata polis. 

Dia kini ditahan di Penjara Daerah Stark atas kesalahan melakukan kekejaman terhadap haiwan. 

Ferrel menamatkan pengajian dari Sekolah Tinggi Canton McKinley pada 2015 dan mempunyai sejarah jenayah termasuk mengambil kokain, menerima harta curi dan membahayakan kanak-kanak.

“Suspek dalam kes ini bukan pendatang Haiti. Dia ialah penduduk Canton sejak kecil,” kata jurucakap polis Canton, Dennis Garren.

Suspek dibenarkan diikat jamin sebanyak AS$100,000 (RM430,200) dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 15 Oktober ini. – AGENSI

Doktor didakwa bunuh diri akibat buli, polis tolak unsur jenayah

S Vinothaa

Polis Lahad Datu menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah berhubung kematian seorang pakar patologi di hospital daerah itu, Dr Tay Tien Yaa, yang didakwa membunuh diri kerana menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan dibuat ahli keluarga mangsa, tetapi polis belum dapat menentukan punca kejadian tersebut.

"Tetapi daripada siasatan kami, tiada unsur jenayah buat masa ini," kata Dzulbaharin seperti dilaporkan oleh The Star.

Dia menambah pihaknya akan menyerahkan isu dakwaan buli itu kepada Kementerian Kesihatan.

Menurut makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tay Tien meninggal dunia pada 29 Ogos.

Adiknya, yang menggunakan nama YS Tay di Facebook, dalam satu hantaran semalam mendakwa Tay Tien yang melapor diri di hospital Lahad Datu pada Feb lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Dia berkata, kakaknya yang baru berkahwin dijanjikan oleh pihak pengurusan akan dipindahkan kembali ke Semenanjung untuk bersama suaminya selepas dua tahun perkhidmatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, kakaknya, Wenya Tay, mengesahkan kematian Tay Tien dan adiknya telah membuat hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut kerana siasatan polis masih berjalan.

Janji ambil tindakan tegas

Kematian Tay Tien berlaku di tengah-tengah aduan tentang keadaan kerja yang teruk dan perbuatan buli terhadap kakitangan kesihatan di hospital kerajaan di Sabah oleh pegawai yang lebih senior.

Dilaporkan doktor mengalami penderaan lisan dan fizikal di hospital, termasuk cemuhan, cercaan perkauman dan ancaman dengan objek tajam kerana tidak mengikut arahan.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berikrar tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai atasan.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata isu buli di sektor kesihatan awam terus berlarutan dan semakin buruk walaupun satu pasukan petugas telah ditubuhkan pada 2022 untuk menyiasat dan menangani masalah ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kalwinder Singh Khaira, menuntut kementerian mengambil tindakan lebih tegas terhadap sesiapa yang didapati melindungi pembuli.

Dalam kenyataan pada Jumaat lalu, dia menggesa siasatan menyeluruh yang membawa kepada tindakan tegas terhadap pembuli sambil mengalu-alukan komitmen kementerian untuk tidak bertolak ansur dengan kes buli.

Dia juga menyatakan bahawa MMA telah menyerahkan satu kes buli kepada kementerian, yang kini dalam siasatan.

Kementerian kesihatan dan MMA mempunyai saluran untuk kakitangan kesihatan membuat aduan namun buli dalam sektor kesihatan awam dan swasta masih berterusan.

Pengamal perubatan boleh melaporkan insiden melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) kementerian atau platform Bantuan Doktor MMA untuk melaporkan kes buli.

Pada Oktober lalu, kementerian kesihatan membuat janji yang sama untuk menangani buli di tempat kerja selepas satu kaji selidik terhadap pengamal perubatan kerajaan dan swasta mendedahkan 30 hingga 40 peratus telah mengalami kejadian buli semasa bertugas.

Sekiranya anda merasa tertekan atau mempunyai kecenderungan membunuh diri, atau mengenali seseorang yang berdepan situasi itu, sila hubungi talian bantuan berikut:

Talian Kasih

Hotline: 15999

The Befrienders

Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Hotline: 03-42657995