"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis dipanggil kerana pemetik api disangka bom tangan

KOSMO!
ANGGOTA polis menyuluh pemilik api yang mempunyai bentuk seperti bom tangan. - Foto Khaosod
BANGKOK – Ketegangan berlaku di pantai Phuket apabila penduduk tempatan melaporkan melihat objek menyerupai  bom tangan di tempat duduk belakang sebuah teksi, lapor portal berita Thaiger hari ini.

Namun, mereka kemudian mendapati ia adalah pemetik api yang menyerupai grenad.

Anggota-anggota dari Balai Polis Patong menerima panggilan pada pukul 1.30 petang (waktu tempatan) semalam daripada seorang penduduk yang prihatin tentang objek mencurigakan di dalam teksi berhampiran Pantai Kalim, Phuket. 

Mereka pun bergegas ke tempat kejadian.

Memerhati melalui tingkap kenderaan, anggota-anggota polis mengenal pasti objek yang kelihatan seperti bom tangan berada di sebelah kiri tempat duduk belakang. 

Seorang pegawai polis, Chalermchai menggunakan lampu suluh untuk melihat dengan lebih dekat dan kemudian yakin ia bukan bahan letupan

Objek itu dikenal pasti sebagai pemetik api yang direka bentuk seperti bom tangan.

“Saya menggunakan lampu suluh untuk memastikan ia bukan bom tangan sebenar sebelum memutuskan untuk mengendalikannya. Ia sangat melegakan apabila mendapati ia hanya pemetik api,” ujarnya. – AGENSI

Lelaki muka berdarah berkeliaran sambil pegang parang adalah mangsa kemalangan

BERNAMA

Kepala Batas: Polis menjelaskan kejadian seorang lelaki dengan mukanya cedera berdarah sambil memegang parang dan berkeliaran di kawasan Bertam di sini pada 6 Oktober lalu, ialah pemandu sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada 4.17 petang, 6 Oktober dan lelaki berkenaan telah menyerah diri pada hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan menaiki sebuah kereta dari Alor Star, Kedah ke Subang, Selangor sebelum melanggar dua kenderaan lain sehingga menyebabkan keretanya (suspek) terbabas ke dalam longkang.

"Lelaki itu telah bertindak melarikan diri ke kawasan Bertam sambil membawa sebilah parang yang diambil dari keretanya kerana bimbang dipersalahkan sebagai punca kemalangan terbabit berlaku.

"Kejadian itu mempunyai kaitan dengan laporan polis berhubung kemalangan di KM 120 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan Hakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu membawa senjata berbahaya di tempat awam.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mensensasikan kes itu sehingga mengganggu ketenteraman awam dan pihak polis juga meminta kerjasama saksi yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Irwan Shah Sumardi menerusi talian 04-5762222 (sambungan 227) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan seorang lelaki memegang parang berkeliaran di Bertam sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Suami tamatkan riwayat isteri kerana minta cerai

KOSMO!

JAKARTA – Seorang suami menunjukkan cebisan daging isterinya selepas dia disyaki membunuh mangsa kerana meminta cerai dalam kejadian di Paser, Kalimantan, lapor portal berita DIO TV.COM kelmarin.

Sebelum pembunuhan itu, berlaku pertengkaran kerana si isteri mengajak suaminya berpisah, menyebabkan suspek menjadi marah

Susulan itu, si suami yang dikenali sebagai A akhirnya memutuskan untuk mengambil sebilah parang dan membunuh isterinya di rumah mereka, baru-baru ini.

Pegawai polis tempatan, Helmi S. Saputro berkata, lelaki itu membawa cebisan daging isterinya ke sebuah perusahaan yang disaksikan oleh orang ramai.

Menurutnya, tidak lama kemudian si suami pengsan yang mendorong penduduk membuat laporan kepada polis.

Suspek kini ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan. – AGENSI

Tunjuk jari tengah punca berbalah tepi jalan

AZMI NORDIN
Tangkap layar video tular pergaduhan dua individu selepas salah seorang disyaki menunjukkan isyarat jari tengah di Kajang, semalam.
KUALA LUMPUR – Salah seorang pemandu kenderaan menunjukkan isyarat jari tengah menjadi punca pergaduhan dua individu di tepi jalan, di sini, semalam.’

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 3.19 petang itu membabitkan pemandu lori dan pemandu kereta jenis Honda.

Katanya, pemandu lori berusia 40 tahun telah tampil membuat laporan mengenai kejadian yang berlaku bagi tujuan perlindungan diri.

“Dalam kejadian ini, salah seorang pemandu kenderaan tersebut telah menunjukkan isyarat jari tengah semasa memandu.

“Tindakan itu membuatkan kedua-dua pemandu berhenti dan turun dari kenderaan lalu berlaku tolak menolak antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tiada kecederaan berlaku semasa pertengkaran itu berlaku dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Tambah Naazron, kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908 bagi membantu siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.