"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hubungan Najib dan adiknya, Nazir berkocak?

SHIRZAD LIFEBOAT
SEJAK sebuah tulisan berjudul ‘Mengingati Ayahanda Saya, Tun Razak’ sebagaimana dalam harian Sinar Harian atau versi Bahasa Inggeris, ‘Remembering My Father, Tun Razak sebagaimana dalam harian The Star (keduaduanya edisi 14 Januari 2014) oleh Nazir, adik Perdana Menteri Najib Razak, sempena memperingati Tun Abdul Razak yang telah 38 tahun kembali ke rahmatullah, hubungan Pengerusi Kumpulan CIMB itu dengan abang beliau serta keluarga dilaporkan agak berkocak.
Tidaklah dapat disahkan sama ada laporan itu hanya spekulasi atau sebaliknya. Dan jika ia bukan satu spekulasi, maka tidak juga dapat disahkah sekiranya ia hanya ‘ribut dalam secawan teh’ atau gelegakan gelora yang bakal mencetuskan perang saudara.
Dan sekiranya Najib tidak begitu berkenan dengan apa yang ditulis oleh adiknya mengenai Allahyarham bapa mereka, maka tidaklah sesukar mana untuk memahaminya.

Sebenarnya Nazir hanya merakamkan kembali apa yang pernah ditulis oleh penulis rencana, buku dan biografi mengenai Tun Razak. Perihal seperti: “Ayahanda saya memberitahu dengan jelas bahawa walaupun Seri Taman adalah kediaman rasmi kami, ia sebenarnya hak negara; bermakna, hak rakyat… Apa sahaja yang dibelanjakan untuk rumah itu adalah daripada tabung negara dan beliau tidak akan membenarkan negara menampung perbelanjaan bagi sesuatu yang tidak penting seperti kolam renang. “Apa akan rakyat fikir nanti?” tengking beliau,” adalah kisah yang telah dibukukan sebelumnya.

Dalam tulisan itu, Nazir juga menekankan prinsip ayahandanya, ‘Rakyat Diutamakan’. Dan atas sebab yang hanya diketahui oleh penulis tetapi rasanya sedia difahami dan dimaklumi ramai, Nazir menutup rencananya dengan pepatah Malayu, “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan,” yang bermaksud “apabila kita tersesat, pulanglah ke tempat asal.”

Tidak mustahil, niat Nazir ikhlas dalam menyiarkan kembali apa yang pernah didokumentasikan oleh, misalnya William Shaw dalam ‘Tun Razak: His Life and Times’. Rasanya tak ramai daripada kalangan generasi baru yang tahu kewujudan sebuah biografi seperti ini dan apatah lagi membacanya. Kempen membaca anjuran kerajaan Umno-BN pun sejak dulu sehingga terbaru (banyak tahun dulu) setakat kempen aje. Tak pernah ada promosi buku dan sebagainya.

Pelik, kata Umno sayangkan pemimpin, kata Tun Razak seorang legenda, kenapa tak diterbitkan semula buku Shaw itu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Atau diupah sahaja seorang atau sekumpulan penulis untuk menghasilkan biografi rasmi Perdana Menteri kedua itu. Mustahil parti tersebut tidak memiliki dana untuk tujuan tersebut.

Atau apakah sekiranya biografi seperti itu diterjemahkan atau diedarkan secara luas maka masyarakat daripada pelbagai generasi baru akan mendapati betapa perbezaan prestasi penyandang jawatan Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Razak jika dibandingkan dengan Tun Razak ibarat langit dengan bumi.

Oleh itu tak salahlah sekiranya Nazir menulis sedikit tentang ayahandanya. Tapi yang menjadi tak kena kepada Najib ialah apabila sumbangan Tun Razak kepada rakyat selaku Perdana Menteri diperingatkan semula, ia amat bertentangan dengan apa yang telah dilakukan dan tidak dilakukan oleh Najib sebagai Perdana Menteri.

Nazir mengingatkan kita Tun Razak ‘mengutamakan rakyat’.

Hampir semua rakyat yang sempat dipimpin oleh beliau tahu ‘mengutamakan rakyat’ bukannya slogan kosong seperti ‘rakyat didahulukan’. Sebaliknya ia adalah prinsip dan pegangan beliau. Maknanya, Tun Razak ‘walks the talks’ atau mengotakan janji dan cakap-cakapnya.

Jika penulisan tentang beliau dipopular dan diedarkan kepada umum, ramai dapat melihat foto atau membaca bagaimana Tun Razak berbasikal, membonceng motosikal, berjalan kaki berkilometer di tengah panas atau malah turut sama berendam dalam kolam ikan air tawar. Ramai akan tahu bagaimana beliau melarang isterinya menaiki kapal terbang untuk ke Kota Bharu kerana tidak ada peruntukan untuk itu. Malah apabila ditawarkan oleh pemegang peruntukan kerajaan, Tun Razak menolaknya dan membiarkan isterinya menaiki kereta dengan perbelanjaan sendiri.

Walaupun Tun Rahah adalah anak perempuan kepada Tan Sri Noah Omar, seorang tokoh politik terkemuka Johor di zamannya dan pernah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat (dan bukannya daripada asal yang tak tahu entah dari mana atau dari kalangan orang biasa-biasa), dia sentiasa bersikap merendah diri. Tentu ada masih ingat gambar Tun Rahah menumbuk sambal dalam lesong sebagaimana tersiar dalam sebuah penerbitan di mana ketika itu Tun Razak sudah pun berjawatan tinggi dalam kerajaan dan Umno. Seperti suaminya, dia tidak menjadi seperti si kudung mendapat cincin.

Pepatah Melayu menyebut bapa borek anak rintik dan idiom Inggeris pula ‘like father like son’.

Dan biasanya apabila si anak mewarisi kerjaya dan jawatan bapanya, maka si anak akan menjadi jauh lebih baik, lebih bijak, lebih berkebolehan dan lebih berkemampuan malahan juga lebih popular.

Namun hal ini tidak berlaku kepada Najib. Jangan kata segala-galanya bersabit dengan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya lebih baik daripada ketika Tun Razak menyandang jawatan tersebut, atau setidaktidaknya menyamai prestasi bapanya, atau paling tidak pun adalah 10 peratus sebagai sagu hati bagi menunjukkan dia dari benih yang baik, sebaliknya segala tindakan dan keputusan kerajaan untuk rakyat yang dilakukan oleh Najib sama sekali bertentangan dengan Tun Razak.

Tidak begitu mustahil rencana tulisan Nazir adalah rencana biasa memperingati seorang tokoh politik terkemuka tanah air yang juga merupakan ayahandanya. Namun, memandangkan keadaan Najib kian tidak popular di kalangan rakyat termasuk pengundi BN dan penyokong serta ahli Umno sendiri, maka kebaikan Tun Razak adalah kerugian buat beliau.

Justeru ia memperkukuhkan lagi segala andaian dan spekulasi betapa hari-hari Najib selaku Perdana Menteri sudah boleh dibilang dengan jari.

Tiada ulasan: