"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Bahu tertusuk besi selepas terjatuh dari pelantar

BuletinTV3 
Mangsa yang parah tertusuk besi di bahu diturunkan anggota bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.- Foto: JBPM
DUNGUN: Seorang lelaki cedera parah tertusuk besi di bahu kanannya selepas terjatuh dari sebuah pelantar ketika sedang memotong besi di kawasan Perindustrian Paka, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, mangsa yang berusia 34 tahun itu terpaksa diturunkan anggota bomba selepas tergantung pada ketinggian 84 meter.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya dikatakan sedang melakukan kerja-kerja memotong besi di tingkat tujuh sebuah stesen janakuasa yang telah ditamatkan operasinya.

Ketika sedang melakukan kerja terbabit, mangsa dikatakan tersandung sebatang besi sebelum terjatuh.

Bagaimanapun mangsa tidak jatuh ke tanah berikutan dia memakai abah-abah keselamatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rizuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.51 petang.

“Mangsa dapat dibawa turun dari pelantar jam 6.10 petang dan kami segera membalut luka pada bahu mangsa bagi menghentikan pendarahan.

“Pasukan perubatan dipanggil ke tempat kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan,” katanya.

Peguam minta RM1 juta, keluarga tak mampu - Penyanyi dikir barat terus ditahan di Narathiwat

Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my

NARATHIWAT: Penyanyi dikir barat Malaysia yang ditangkap bersama lima lagi rakyat Malaysia kerana disyaki memiliki 6,000 pil pada 1 November, mendakwa dua peguam Thai menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kesnya dengan bayaran 10 juta baht (lebih RM1 juta) setiap seorang.

Artis itu berkata dia ditawarkan oleh kedua-dua peguam itu pada bulan lalu.

Namun, katanya, keluarganya menolak tawaran berkenaan.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga dua peguam dari sini (Thailand) menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kes saya, tetapi setiap seorang meminta saya membayar 10 juta baht (lebih RM1 juta).

"Keluarga saya tidak mampu untuk membayar yuran itu dan menolak tawaran mereka dengan baik.

"Saya sedar ramai yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan saya, tetapi keluarga saya tidak mampu untuk membayarnya," katanya semasa lawatan media Malaysia di penjara daerah Narathiwat semalam.

Wanita berusia 29 tahun yang berasal dari Kelantan itu berkata keluarganya kini sedang mempertimbangkan untuk mengupah peguam lain, juga dari Thailand.

"Keluarga saya kini sedang mengumpulkan wang untuk membayar peguam," kata ibu kepada dua orang anak itu.

Ditanya mengenai kunjungan terakhir yang diterima, dia berkata keluarganya dari Kelantan melawatnya Khamis lalu.

"Keluarga saya dibenarkan melawat seminggu selepas saya dihantar ke penjara ini pada 4 November apabila Mahkamah Narathiwat melanjutkan perintah tahanan selama 84 hari.

"Sejak itu, mereka datang melawat setiap Khamis untuk melihat keadaan saya," katanya.

Dia berkata dia dan dua rakannya menerima layanan yang baik semasa berada di penjara.

"Saya ingin katakan berita mengenai penjara Narathiwat yang tular di media sosial tidak benar.

"Banduan Malaysia di sini dilayan sama seperti banduan lain.

"Saya dan rakan-rakan saya berada dalam keadaan baik di sini. Sebagai umat Islam, kami bebas untuk melaksanakan kewajipan kami.

"Selain melakukan solat harian, kami juga dibenarkan melakukan solat khas setiap hari," katanya.

Dia berharap peminatnya tidak mempercayai semua berita buruk yang tular mengenai dirinya dan berharap mereka akan menerima dirinya kembali dalam industri hiburan.

"Saya berharap akan ada keajaiban yang berlaku kepada saya," katanya.

Semasa lawatan selama 20 minit itu, dia ditemani oleh dua rakannya yang ditangkap bersamanya bersama tiga lelaki Malaysia lain, termasuk suaminya.

Sementara itu, rakan-rakannya berharap ahli keluarga dan rakan-rakan mereka akan terus berdoa untuk keselamatan mereka.

"Kami berharap ahli keluarga kami akan terus berdoa untuk kami supaya Allah melindungi kami," katanya.

Mereka turut mendakwa ditawarkan bayaran yang sama seperti penyanyi itu tetapi mereka juga menolaknya.

Mereka bersetuju untuk menerima perkhidmatan guaman percuma yang ditawarkan oleh kerajaan Thailand.

Pada 1 November, artis Malaysia dan lima rakyat Malaysia yang lain ditangkap kerana disyaki memiliki 6,000 pil di sebuah hotel di bandar Sungai Golok.

Susulan penangkapan mereka, mahkamah Narathiwat memberikan polis perintah tahanan lanjut selama 84 hari terhadap enam individu itu.

Penyanyi itu dikenali ramai kerana lagu hit popularnya 'Cinta Setandan Pisang' atau 'Bea Soba Bea'.

Peniaga pakaian diberkas disyaki cabul pelanggan

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
SUSPEK diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka untuk mendapatkan permohonan reman. Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!
ALOR GAJAH – Seorang peniaga pakaian ditahan selepas disyaki mencabul seorang pelanggan wanita yang membeli pakaian di butik miliknya di Masjid Tanah di sini, minggu lalu.

Suspek lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.15 malam di pejabat Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu berusia 27 tahun pada 13 Disember lalu mendakwa telah dicabul suspek sewaktu membeli pakaian di kedai milik terbabit.

“Lelaki berkenaan datang menghimpit pengadu yang sedang memilih pakaian membuatkan wanita itu menjarakkan diri kerana berasa tidak selesa.

“Setelah selesai membuat pembayaran, suspek tiba-tiba bertindak mengusap kepala pengadu. Pengadu berasa terkejut lalu melarikan diri dan pulang ke rumah sebelum memberitahu kejadian kepada suaminya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Md. Nazri, saringan ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Suspek juga membuat laporan polis bagi menafikan insiden berkenaan selain mendapati gambar dirinya dan kedai telah tular di Facebook. Suspek direman dua hari sehingga 19 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Resit hina Islam, polis Johor buka siasatan

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis Johor membuka kertas siasatan susulan gambar tular resit pembelian makanan segera yang didakwa mengandungi perkataan menghina Islam.

Ketuanya Datuk M Kumar berkata, resit bertarikh 19 dan 20 Disember itu membabitkan pembelian makanan di restoran makanan segera di Kluang, Batu Pahat dan Muar yang dipercayai dibuat individu sama.

Katanya, sebelum itu pihaknya menerima laporan berhubung kes itu yang membolehkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk mengesan suspek.

"Tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perlakuan yang boleh mengganggu keharmonian, keselamatan dan menyentuh sensitiviti beragama di negara ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Lelaki hilang lebih seminggu ditemukan meninggal dunia dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kehilangan seorang lelaki berusia 55 tahun di Kuantan sejak 13 Dis lepas terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam kenderaannya di kawasan parkir sebuah restoran di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

Sinar Harian melaporkan, mayat Safri Mohd Ali ditemukan oleh orang awam dalam keadaan separuh tertunduk di tempat duduk pemandu Perodua Viva tersebut yang didapati berada di lokasi sama selama lebih seminggu.

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pengadu yang menghidu bau busuk dari dalam kenderaan itu mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalamnya.

“Pasukan penyiasat yang tiba di lokasi mendapati mayat berada dalam keadaan membengkak, dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenazah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Kad pengenalan, telefon bimbit dan beg galas milik Safri turut ditemukan di dalam kenderaan tersebut.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarganya.

Terdahulu, Safri dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah pada kira-kira 8 pagi 13 Dis lepas dengan memandu sebuah Perodua Viva untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kampung Kurnia di Kuantan.

Adiknya kemudian melaporkan kehilangannya pada keesokan harinya di IPD Kuantan.