Malaysiakini
Jika Dr Mahathir Mohamad mendakwa boleh menarik orang Melayu menyokong pembangkang, maka kenapa undi Melayu tidak menyokong calon pilihan bekas perdana menteri itu di kerusi majoriti Melayu, DUN Slim?
Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman mengajukan persoalan ini dalam gesaannya supaya Pakatan Harapan "tidak boleh terperangkap dalam idea gabungan besar pembangkang sedangkan Mahathir tidak bersedia untuk memberikan kerjasama."
"Kegagalan beliau untuk mempengaruhi undi Melayu pada pilihan raya kecil Slim memberi isyarat bahawa beliau sudah ditolak rakyat kerana komposisi kerusi tersebut diwakili oleh 75 peratus Melayu," katanya pada satu kenyataan.
Parti Pejuang Tanah Air yang belum didaftarkan oleh Mahathir meletakkan Amir Khusyairi Mohd Tanusi sebagai calon bebas semasa PRK Slim pada 29 Ogos tahun lalu menentang Mohd Zaidi Aziz dari BN.
Amir, yang disokong oleh Mahathir, memperoleh 13.69 peratus undi berbanding 84.53 peratus undi diraih Mohd Zaidi. Calon bebas Santharasekaran Subramanaim hanya memperoleh 1.78 peratus undi.
Sebaliknya, PH yang diwakili oleh Bersatu memperoleh 33.08 peratus undi di Slim semasa pilihan raya 2018.
Bagaimanapun, BN memperolehi 44.83 peratus undi manakala PAS mendapat 22.09 peratus undi.
Dr Mahathir, yang mengasaskan Bersatu tetapi kemudian disingkirkan, telah mendakwa PH akan kehilangan sokongan orang Melayu jika mengetepikan dirinya dan sekutunya.
Amanah telah mendesak gabungan besar dalam pembangkang yang merangkumi parti Pejuang pimpinan Mahathir.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam dipetik The Star berkata partinya merancang untuk membincangkan perkara itu bulan ini.
Bagaimanapun, PKR, rakan gabungan PH menunjukkan parti itu kurang berminat dengan cadangan gabungan besar tersebut.
Menurut Syed Badli, parti-parti komponen PH seharusnya merangka strategi untuk bergerak kehadapan tanpa Mahatahir yang disifatkannya sebagai "membawa bebanan lampau."
"Ahli-ahli parlimen pembangkang yang masih mahu bersama Tun Mahathir wajar diketepikan kerana pengaruh buruk beliau boleh mencacatkan agenda PH untuk mengembalikan mandat rakyat," tegas Syed Badli.
Pemimpin AMK negeri itu turut berkata Mahathir juga berterusan mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim.
"Serangan terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau gagal untuk mengenepikan perbezaan politik dan masih terkandas dalam pemikiran sempit permusuhan masa lalu.
"Kenyataan terbaru itu menunjukkan beliau sudah tidak lagi relevan untuk terus berada dalam arus politik semasa dan PH seharusnya bergerak ke hadapan tanpa diganggu kelibat Mahathir," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan