"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu kartel daging: Kecelakaan, kesialan yang tak wajar dimaafkan

Faiz Zainudin

SHAH ALAM: Syarikat dan individu yang menjadi dalang kartel menyeludup daging import selama lebih 40 tahun dari negara sumber tidak sah, diragui status halal serta kualitinya tidak boleh dimaafkan.

Justeru Presiden PKR Anwar Ibrahim mendesak kerajaan bertindak segera dan mengambil tindakan keras kepada mereka yang terlibat kerana sanggup menggunakan agama untuk menipu status sijil halal.

“Saya fikir tidak wajar umat Islam dan rakyat memaafkan kecelakaan, kesialan ini dan (kerajaan) harus ada tekad politik untuk segera memberi jawapan dan menumpu orang-orang yang menggunakan agama.

“Ini kesalahan keras, menggunakan agama di samping itu meracuni rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan perbuatan mengimport daging haram sebagai hina dan keji.

Beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam

Malaysia (JAKIM) mengambil tanggungjawab memandangkan pihak itu terlibat secara lansung dalam melulukan status halal.

“Ini isu halal bukan soal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sahaja, yang bagi cop halal itu JAKIM, jadi harus sama-sama bertanggungjawab,” katanya.

Baru-baru ini media mendedahkan wujudnya kartel dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti penyeludupan daging selama lebih 40 tahun.

Daging diragui status halal itu diimport dari negara yang tidak mencapai standard ditetapkan oleh kerajaan, tetapi kemudian dicampurkan dengan daging halal dan dipasarkan kepada orang ramai.

Tiada ulasan: