"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cerita perempuan dari NBJ

A KADIR JASIN

1. Saya mengikuti bahas media sosial dan arus perdana mengenai perempuan Malaysia yang namanya memberi gambaran dia Muslim, berkahwin dengan seorang ahli sukan India beragama Sikh. Perkahwinan itu dilaporkan berlaku di negeri Punjab, India, mengikut tradisi agama Sikh.

2. Setelah lebih seminggu heboh di sosial media bumi Malaya ini, barulah pemerintah dan pihak berkuasa agama kata, mereka akan siasat latar belakang agama perempuan bernama Illi Najwa Saddique itu. Dalam adat resam kontemporari Melayu Malaya, nama macam itu secara automatik dikaitkan dengan Islam.

3. Bagi kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional pula, biasalah kalau mereka lambat sikit dalam hal-hal macam ini. Tapi kalau pasal gaji besar, elaun tinggi, kereta mewah dan kontrak rundingan terus mereka lebih pantas daripada Speedy Gonzales.

4. Berbalik kepada cerita berkenaan perempuan dari Negeri Bangsa Johor (NBJ) itu, maaflah kalau saya kata, saya tak berapa “excited” sangat. Mula-mula sekali, perempuan NBJ itu bukan kanak-kanak bawah umur dalam jagaan ibu bapa. Dia sudah besar panjang.

5. Lojiknya, kalau dia dilahirkan Muslim, tentulah ibu bapa dia dan sistem pendidikan Tanah Melayu ini sudah ajar dia asas-asas agama Islam. Jadi kalau dia pilih untuk tidak amalkan ajaran Islam, kita nak kata apa?

6. Lebih baiklah kita fikir tentang kebajikan orang bukan Islam yang masuk Islam di negara kita ini. Banyak orang macam itu yang mungkin terlepas daripada pandangan kita atau belum dapat perhatian yang secukupnya.

7. Tak guna kita berbangga-bangga dan bersuka-ria dengan bilangan saja kalau akidah dan amalan tak ke mana. Cakap berapi-api demi agama, bangsa dan negara tapi rasuah, mencuri dan merompak harta negara berlaku secara berleluasa.

8. Masjid banyak. Surau jangan kira lagi. Yang berjemaah boleh kata ramai juga. Tapi tengoklah orang bangsa mana dan agama apa yang hari-hari pakai kemeja-T Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, duduk dalam kandang orang kena tuduh atau disumbat ke dalam penjara?

9. Cakap tentang kesaksamaan dan balasan dunia serta akhirat. Tapi yang dari tepi jalan akan masuk penjara manakala yang dari kelas dewa-dewa akan bagi berbagai-bagai alasan untuk dilepaskan.

10. Berkenaan Punjabi ini, mereka adalah satu etnik di benua kecil India.Mereka tinggal di India dan Pakistan. Dianggarkan ada 145 juta orang keturunan Punjabi di dunia – 104 juta di Pakistan, 33 juta di India dan selebihnya bercempera di merata dunia. Di negara kita bilangan mereka kecil tapi sangat berjaya. Majoriti orang Punjabi beragama Islam manakala selebihnya beragama Sikh. Yang agama Hindu dan Kristian pun ada.

Mohon maaf. Terima kasih.

Tiada ulasan: