"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penahanan bekas Setiausaha Politik ada kaitan dengan kartel daging import?

BORHAN AHMAD

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan siasatan dan penahanan terhadap bekas Setiausaha Politik beliau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada kaitan dengan kartel daging import.

“Saya tidak tolak kemungkinan itu,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline mengulas berita angin Ahmad Sabki Yusof adalah antara mangsa kartel daging import itu.

Sabki telah ditahan selama empat hari oleh SPRM namun beliau dilepaskan kemudiannya tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Sabki dilaporkan berkata, tangkapan terhadap beliau dibuat oleh SPRM selepas menerima laporan dari kakitangan kementerian tempat beliau bertugas.

Sabki adalah antara pegawai Salahuddin yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan usaha Salahuddin ketika itu bagi menghidupkan semula industri daging tempatan.

Namun, tentangan yang diterima dari kartel daging import ini sangat kuat sehingga mana-mana pihak yang berusaha ke arah itu akan mendapat pelbagai halangan dan masalah.

Di hari pertama dilantik sebagai menteri pada Mei 2018, Salahuddin, Timbalan Presiden AMANAH itu berjanji akan menghidupkan semula Nasional Fidlot Corporation (NFC) yang pernah diusahakan oleh keluarga bekas menteri Umno, Datuk Seri Sharizat Jalil.

Namun, sehingga tempoh tugasnya tamat pada Februari tahun 2020, usaha itu tidak berjaya dibuat. 

“Sebahagian besar masalahnya adalah isu undang-undang apabila NFC terlibat dengan pelbagai dakwaan menyebabkan usaha kita untuk mengambil alihnya tidak berjaya sehingga akhir tugasan saya,” kata Salahuddin yang mengakui kewujudan kartel itu.

Kata Salahuddin, beliau pernah membawa isu kartel daging import itu ke mesyuarat Majlis Fizikal Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri untuk ditangani.

Namun begitu, selain menghidupkan semula NFC, Salahuddin telah berjaya membuat beberapa inisiatif untuk memajukan industri daging tempatan.

Antaranya menambah bilangan pengimport daging dari hanya tujuh kepada 12 syarikat bagi mengelakkan monopoli dan meningkatkan pertandingan sihat.

Kementerian juga telah melancarkan program Rezeki Tani di mana melalui program ini petani akan diberikan 10 ekor lembu untuk di ternak. 

Selain itu, Agro Bank dan Kementerian telah menubuhkan satu dana ternakan bernilai RM100,000 untuk memberikan pinjaman kepada penternak yang berminat untuk menceburkan diri atau mengembangkan lagi penternakan mereka.

“Saya yakin walaupun kerajaan PH telah jatuh tetapi usaha-usaha ini akan diteruskan kerana ia telah diluluskan di peringkat kementerian saya dahulu,” kata Salahuddin.

Tiada ulasan: