"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana reaksi Pas, penyokong PN jika Mujahid masih menteri?

RAYUSA

Tulisan ini tidak bertujuan terus menghukum dan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. Sementelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary pada 20 Disember lalu, berkata pihaknya akan memanggil Illi Najwa Saddique apabila wanita itu pulang ke Malaysia nanti.

Kata Marzuk, kerajaan masih menunggu maklumat rasmi dari Jabatan Agama Islam Johor mengenai status agama Najwa.

Najwa berkahwin dengan kapten pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar, di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab, India pada 16 Disember lalu.

Namun demikian, berdasarkan maklumat awal, tambah Marzuki, Manpreet, 28, telah memeluk Islam meskipun Najwa, 27, tidak membuat permohonan untuk berkahwin di luar negara.

Saya teringat pada seorang rakan penulis yang sentiasa mahu ‘menang’ jika berbual/berbahas dengannya mengenai sesuatu isu, terutama politik.

Dalam ruangan komen akaun Facebook seorang rakan penulis yang lain kira-kira dua tahun lalu, dia membidas saya agar tidak berfikiran binari mengenai sesuatu isu politik.

Sebelum menulis pada ruangan komen terhadap satu hantaran rakan penulis yang lain itu, saya tidak tahu apakah pemikiran binari (saya bukan profesor serba tahu yang tahu semua perkara).

Walau bagaimanapun, berdasarkan komennya yang panjang lebar itu, dia meminta saya agar tidak menyangka buruk pada pihak yang bukan sehaluan dalam politik.

Dalam ruangan komen itu, saya mengatakan tentu penyokong kerajaan akan menyokong apa sahaja yang kerajaan buat, tetapi menentang jika pembangkang melakukan perkara serupa.

Sebenarnya, saya tidak peduli pun jika tahu apa itu pemikiran binari, kerana sangkaan saya bukan sekadar telahan, tetapi memang kenyataan.

Perubahan kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN) membuktikannya. Pelbagai isu ditimbulkan bersama-sama tuduhan, dan cercaan ketika PH memerintah.

Beberapa menteri PH dikritik hebat, seperti Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama), Lim Guan Eng (mantan Menteri Kewangan), dan Dr Maszlee Malik (mantan Menteri Pendidikan).

Mujahid, Ahli Parlimen Parit Buntar dari AMANAH yang paling banyak dikecam, terutama oleh para pemimpin Pas. Beliau kerap diganggu dengan pelbagai isu yang dipanaskan, seolah-olah tidak menjalankan tugas.

Namun begitu, setelah PN berkuasa, semua yang dihebohkan berkaitan dengan Mujahid senyap sepi. Isu LGBT, murtad, gelagat Nur Sajat di Mekah, Tabung Haji, dan kempen beli barangan Muslim hilang entah ke mana. Isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim juga senyap sunyi.

Ada warga internet yang nakal, tetapi kreatif mengusik dengan membuat poster di media sosial memaparkan isu-isu yang disebutkan tadi, akan ‘bangkit dari kubur’ jika PH kembali berkuasa.

Walaupun berjenaka, tetapi ada seriusnya mereka membuat jangkaan itu ketika ura-ura Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Mengenai isu Najwa berkahwin dengan Manpreet mengikut upacara keagamaan masyarakat Sikh ini, warga internet bertanya setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan pandangan.

Mereka bertanya bagaimanakah reaksi Pas dan penyokong PN jika Mujahid yang berkata/bertindak sebagaimana yang Zulkifli katakan/lakukan.

Dapat diagak bahawa Mujahid akan dikecam siang malam, dan dituduh mengikut telunjuk DAP!

Pada 21 Disember lalu, Zulkifli mengingatkan bahawa Islam menuntut umatnya agar mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum membuat sebarang pandangan, dan tanggapan.

Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial, kata mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, merupakan maklumat sekunder dan tertier yang mungkin sahih, atau sebaliknya.

Dalam satu kenyataannya, Zulkifli berpendapat, Najwa serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku, termasuk perkara terkait dengan status agamanya, dan Manpreet.

Tambah senator itu, tindakan mempolitikkan isu sensitiviti agama merupakan perbuatan yang tidak matang, malah merugikan agama.

Soalnya, mengapa apabila terjadi semasa kerajaan PN, ia jangan dipolitikkan, tetapi ketika PH berkuasa, terang-terangan ia dijadikan isu politik?

Adakah pemimpin dan penyokong Pas membuat penyelidikan/penyiasatan terlebih dahulu untuk kepastian sebelum menghentam Mujahid, dan PH?

Kalau ahli keluarga Najwa tahu, mengapa majlis perkahwinan itu masih boleh berlaku?

Difahamkan, Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di Malaysia dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan, dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.

Menerusi video yang tular, Manpreet mengenakan sut perkahwinan Punjabi lengkap berserban, manakala Najwa berpakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan. Najwa dianggap telah dibaptis mengikut Sikh.

Adakah rakaman video itu palsu atau dipinda? Siapakah yang rajin dan terlalu banyak masa untuk sengaja mengada-adakan isu tersebut jika ia hasil pindaan atau superimposed?

Motifnya juga diragui dan tiada faedah kerana ibu saudara Najwa, Datuk Wira Halimah Mohamed Saddique, Menteri Perpaduan Negara bukan siapa-siapa untuk disabotaj, apatah lagi dia sendiri tidak dikenali.

Dakwaan mengatakan Manpreet sudah memeluk Islam juga amat diragui. Selain tiada bukti yang meyakinkan, ia juga tidak masuk akal.

Sebagai ahli sukan yang terkenal di India, sebuah negara yang sangat memusuhi Islam, tindakan Manpreet memeluk Islam tentu mencetuskan rusuhan besar! Akan tetapi, tidak terdengar langsung berita kekacauan sedemikian di India.

Perkahwinan antara pasangan Muslim dengan bukan Muslim dilarang berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Adakah keluarga Najwa tidak mengetahuinya, atau bertanya kepada pihak yang tahu?

Pasangan bukan Muslim perlu memeluk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pasangannya yang Muslim.

Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan untuknya hendaklah dikemuka kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

Perkahwinan sedemikian juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Perkahwinan silang agama tidak dibenarkan dalam perundangan Malaysia.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu beragama Islam.

Seperkara lagi yang boleh dikaitkan dengan dakwaan pemikiran binari ini ialah penganjuran Miss/Mrs Plus Malaysia 2020 (MPWM2020).

Pas mendesak agar MPWM2020 pada 2 Januari depan itu dibatalkan, dan menyifatkannya sebagai ‘program berunsur kemaksiatan’, ada unsur ‘hedonisme’, serta boleh merosakkan masyarakat.

Pada 19 Disember lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia atau Yadim pimpinan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ahli Majlis Syura Ulamak Pas-Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat) juga membantah pertandingan itu (dan akan menghantar memorandum bantahan kepada penganjur, serta pihak berkuasa tempatan).

Bagi Pas, MPWM2020 tidak harus dianjurkan di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Walau bagaimanapun, mengapa Pemuda Pas dalam pertemuan dengan penganjur acara ratu cantik untuk wanita berbadan besar itu hanya meminta penukaran nama?

Menurut Pengarah Eksekutif Nasional MPWM2020, Ziinine AS Britshi, Pemuda PAS mencadangkan penukaran nama kerana terdapat fatwa mengharamkan orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Kata Ziinine, cadangan itu dikemuka atas alasan MPWM 2020 turut menampilkan 10 finalis beragama Islam – empat Miss Plus, dan enam Mrs Plus.

Oleh kerana umat Islam di negara ini diharamkan menyertai sebarang pertandingan ratu cantik, penganjur MPWM2020, tambahnya, perlu merujuk pihak berwajib bagi menyelesaikan isu berbangkit sebelum berlangsungnya acara kemuncak awal Januari 2021.

Tambah Ziinine, Pemuda Pas juga sedang cuba mengaturkan pertemuan penganjur dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam masa terdekat.

Mereka disarankan menggunakan nama seperti Malaysia Plus World Icon, berbanding Miss atau Mrs Plus. Jika tidak, MPWM2020 mungkin terpaksa menggugurkan finalis yang beragama Islam.

KPWKM diketuai Datuk Seri Rina Mohd Harun, ahli Parlimen Titiwangsa-Bersatu, dan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli Parlimen Rantau Panjang-Pas.

Dalam pertemuan kira-kira tiga jam di sebuah hotel di Putrajaya pada 23 Disember lalu itu, MPWM2020 diwakili Suraya Godwinson, manakala Pemuda Pas diketuai Setiausaha Pemudanya, Akram Ikrami Taib Azamudden.

Selepas pertemuan dengan KPWKM, mungkin MPWM2020 akan diteruskan, tetapi selepas namanya ditukar.

Penganjur MPWM2020 sebelum ini mempertahan acara tersebut bertujuan meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan, serta keyakinan wanita bersaiz besar.

MPWM2020 juga tidak akan melibatkan pertunjukan bikini atau pakaian renang, mahupun menumpukan kepada hal yang remeh-temeh.

Dalam video yang disiarkan di media sosial Harakahdaily, Akram mengatakan Pemuda Pas turut mencadangkan penganjur merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tegas Akram, Pas sentiasa melayan wanita secara sama rata tidak kira bangsa, agama, dan gender.

Daripada ribuan calon yang menyertai uji bakat pada 27 Oktober lalu, 24 terpilih menjadi finalis untuk dua kategori berbeza. Namun begitu, dua daripadanya menarik diri.

Pemenang akan mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat bagi pertandingan Miss Plus World Finals 2020-2021 pada peringkat antarabangsa.

Tambah Ziinine, MPWM2020 memerlukan penyertaan berbilang bangsa dan agama, kerana ia acara yang menjurus ke arah kemanusiaan, persaudaraan, dan memperkasakan wanita.

Mereka, katanya lagi, berjuang untuk semua wanita negara ini yang bersaiz besar termasuk mereka yang Muslim untuk mempunyai peluang sama adil.

Warga internet sekali lagi bertanya, bagaimana kalau MPWM2020 ini semasa Kerajaan PH dan Mujahid. Sudah tentu apa sahaja kenyataan, dan tindakan Mujahid akan ditempelak.

Setelah berkuasa, mengapa hanya sekadar mampu melakukan yang sedikit, iaitu meminta tukar nama pertandingan?

Selain warga internet, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga menuntut Zulkifli memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai isu sindiket penipuan daging halal yang dibongkar oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Menurut Salahuddin, setakat ini senator berkenaan masih ‘menikus’ walaupun kementeriannya bertanggungjawab dalam hal berkaitan sijil halal.

Jakim yang berada dalam bidang kuasa Zulkifli merupakan agensi bertanggungjawab mengurus status halal haram makanan di negara ini.

Tegas mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, kewujudan sindiket terbabit jelas menimbulkan keraguan mengenai tahap integriti agensi terbabit dalam pembangunan industri halal negara.

Kegiatan kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging – antaranya kanggaru dan kuda yang tidak berstatus halal – untuk dijual sebagai daging halal hangat diperkata sejak akhir-akhir ini.

Pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan kerana bersekongkol dengan kartel berkenaan, termasuk wang dan khidmat seks.

Pada bulan lalu, Parlimen diberitahu bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyiasat kes kartel berkenaan yang berlaku di Senai, Johor.

Bukan mahu berfikiran binari, tetapi bayangkan kalau Mujahid yang diam membisu.

Tambah Salahuddin, satu lagi pihak yang perlu memberi penjelasan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai pihak yang mengelola urusan mengeluarkan permit, lesen dan perakuan barangan import seperti di Johor. Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee jangan membisu seribu bahasa.

Ahli Parlimen Pulai itu juga mendesak pihak berkuasa menyiasat sedalam-dalamnya kegiatan rasuah, dan salah laku yang menyebabkan kartel terbabit boleh beroperasi sebelum mereka dikenakan hukuman setimpal.

Pada masa sama, tambah Salahuddin, kerajaan perlu mengambil serius kes keselamatan makanan dengan memperhalus, memantau dan menilai garis panduan kemasukan makanan untuk memastikan setiap produk berkaitan yang dipasarkan selamat.

PN usah hanya mendakwa sebagai kerajaan Melayu Islam, tetapi tunjukkan kesungguhan menjaga kebajikan, dan kepentingan Muslim. Jangan biarkan slogan Melayu Islam hanya tinggal sebagai retorik untuk memperdaya masyakarat, dan meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaikan menjawab kritikan, Zulkifli pada 26 Disember lalu memberitahu bahawa kerajaan akan menambah baik piawaian halal, terutamanya membabitkan daging dan produk daging yang diimport.

Tambah Zulkifli, menerusi Bahagian Pengurusan Halal Jakim, bagaimana negara pengeksport memperoleh pensijilan halal ke atas semua produk yang hendak dieksport ke negara ini, serta memeriksa cara mereka berurusan perlu dilihat semula dari semasa ke semasa.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin terus didesak agar mendedahkan siapakah dalang sebenarnya dalam isu panas ini.

Sementara itu, Salahuddin mencabar mantan PM, Dato’ Sri Najib Tun Razak menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes kartel daging import.

Ini selepas Najib mengatakan isu berkenaan tidak pernah timbul di sepanjang tempoh beliau menjadi PM. Kenyataan Najib itu seolah-olah mendakwa Kerajaan PH membiarkan kes tersebut semasa berkuasa selama 22 bulan dahulu.

Tiada ulasan: