BORHAN AHMAD
Kadudukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini berikutan keputusannya mahu bekerjasama dengan bekas mentornya Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru, namun kemudiannya ditolak oleh pimpinan parti.
Tamparan hebat diterima Zahid selepas menulis surat bersama Datuk Seri Najib Razak kepada Yang Dipertuan Agong menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
“No Anwar dan no DAP” telah menjadi polisi kepada Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang membincangkan surat Zahid dan Najib itu.
Beliau dikatakan tersepit antara kembalinya populariti bekas presiden Datuk Seri Najib Razak dan intergriti timbalannya yang bersih Datuk Seri Mohamad Hassan.
Ekoran itu, tekanan mula dikenakan ke atas bekas timbalan perdana menteri itu agar berundur.
Bekas pengacara TV3, Datuk Dhalan Maamor menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan satu kain rentang menuntut Zahid berundur.
“Perlakuan siapa? Apa tujuan? Wajarkan Datuk Seri Zahid seorang pemimpin nombor wahid dalam Umno diperlakukan begini?” tanya Dhalan, bekas Setiausaha Politik menteri dari DAP, Anthony Loke itu.
Namun, kata Dhalan, tidak penting siapa yang naikan banner menolak Datuk Seri Zahid tetapi kenapa ia muncul secara tiba tiba. Itu lebih difikirkan.
“Saya merasakan ia tidak terlalu penting dan luar biasa “serangan” sebegini kerana ia kejadian biasa dalam politik.
“Sudah pasti penyokong Datuk Seri Zahid akan bangun mempertahankannya dan tak kurang musuh politik akan mengiyakannya selain bertepuk sorak,” kata Dhalan.
Beliau bertanya, apakah kejadian ini juga sebagai penanda akan berlaku perubahan apabila tiba masa pemilihan parti yang semakin dekat.
Semuanya serba mungkin, katanya bahkan, strategi ini boleh menimbulkan banyak spekulasi samada ia datang dari luar atau dalam parti.
Ia adalah “perbuatan” politik yang memang mempunyai tujuan, katanya.
Samada tujuannya memberi amaran kepada Datuk Seri Zahid oleh sahabat “sepermainan” atau daripada musuh yang sudah faham akan “permainan”.
“Saya penuh yakin “game” mula bertukar dan akan terus bertukar dari hari ke hari samada cara atau bentuk politik baru sesuai dengan keadaan masakini,” katanya.
Bagi beliau, apa yang berlaku dalam politik negara mutakhir ini meletakkan Zahid buntu mencari penyelesaian.
“Ke kiri penuh onak, ke kanan penuh duri.
“Beliau seolah tersepit namun kehidupan dan “nyawa” politiknya harus dipertahankan walaupun ramai yang bertanggapan Zahid seperti hampir lemas,” kata Dhalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan