Hanya Pas layak pegang Exco Agama
SITI NUR ZAWANI MISCON
Setiausaha Politik Pesuruhjaya Pas Perak, Fairuz Hafiizh Othman tidak bersetuju sekiranya kerajaan Perak di bawah Menteri Besar baharu menukar portfolio yang sudah disandang ahli parti itu.
Beliau berkata, adalah kerja bodoh dan jahat untuk menukar portfolio yang telah berjalan dengan baik selama hampir setahun, lebih-lebih lagi portfolio pendidikan dan Agama yang sudah dipegang oleh Pas.
Menurutnya, adalah mustahil untuk mengubah portfolio agama kerana hanya seorang wakil Pas yang memiliki latar belakang agama.
“Menyerahkan portfolio agama kepada bukan ahlinya adalah satu pengkhianatan dan kerja jahat.
“Ia adalah kebinasaan apabila tidak di serahkan kepada ahlinya. Ini yang disebut Rasullullah SAW. Saya tak fikir ada Exco lain yang sanggup memikul amanah tersebut sedangkan ada ahlinya dalam kalangan mereka,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Pada masa sama, Fairuz berkata Exco terpaksa memerlukan lebih banyak masa untuk mengenal pasti bidang baru mereka sekiranya portfolio sedia ada ketika ini ditukar.
Sementara itu beliau berkata, jika Menteri Besar ikhlas memberi khidmat dan tidak berselindung disebalik agenda lain untuk kepentingan diri dan kelompok, sepatutnya tiada perubahan portfolio sebagaimana tiadanya perubahan Exco.
Bagaimanapun jika ianya berlaku kata Fairuz, kesepakatan antara komponen parti yang membentuk kerajaan di negeri itu pasti akan dilanda curiga sesama mereka.
“Rakyat juga pastinya hilang kepercayaan terhadap janji yang dibuat Umno iaitu hanya langkah menukar Menteri Besar,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan