"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin mahu jaga air muka

Hishamuddin Aun

Belum pun lama. Hanya empat hari selepas Bersatu meminda perlembagaannya 2 Mac lalu, Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Dengan pindaan itu dihasratkan Muhyiddin Yassin hanya untuk dua tujuan – mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat kepada parti serta menghalang usaha perdana menteri “membeli” Ahli Parlimennya – tindakan Rashid harus satu tamparan hebat kepada presiden Bersatu itu.

Tambahan, tindakan berkenaan seolah-olah mencabar Bersatu di sebalik pindaan perlembagaannya belum berkuat kuasa kerana masih menantikan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Selain itu, ia mungkin memperlekehkan pindaan itu yang diyakini Rashid hanya sia-sia kerana ia tidak akan dikuatkuasakan secara retrospektif (ke belakang) melainkan ia bermaksud kepada ahli-ahlinya yang ‘bertukar angin’ selepas pindaan itu diluluskan.

Tidak cukup dengan itu, bekas Ketua Bersatu Selangor itu turut mendakwa masalah dalaman serta rasa terpinggir menyebabkannya membuat keputusan menyokong kepimpinan Amirudin, lebih-lebih lagi dengan dakwaan beliau tidak dipedulikan serta tidak lagi relevan kepada parti – sama seperti pendirian enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini. Di mata mereka, Bersatu hanya parti yang mementingkan pimpinan tertingginya.

Berselang cuma tiga hari selepas Rashid beralih sokongan yang turut didorong oleh dakwaannya bahawa Bersatu Selangor dikuasai kartel dipimpin individu ‘baru sehari dua’ menyertai parti itu, Muhyiddin harus berdepan 220 daripada 292 wakil rakyat PN dalam Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2024 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Ketujuh-tujuh wakil rakyat yang beralih sokongan setakat ini semuanya daripada Bersatu dan tiada satu pun daripada PAS.

Apa agaknya yang dirasakan Muhyiddin terhadap Presiden PAS Hadi Awang yang hadir ke konvensyen itu sekali pun berkerusi roda disebabkan masalah kesihatan? Mungkin segan, mungkin juga kerdil. Kebetulan hanya sehari sebelum itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menasihatkan Bersatu supaya mencontohi kaedah PAS mentarbiah calon-calon wakil rakyat parti itu dalam memahami hakikat perjuangan parti kerana Allah sekali gus tidak mengkhianati kepercayaan rakyat. Dengan PAS tampil parti tunggal terbesar di Dewan Rakyat dengan 43 kerusi dalam PRU15 – meningkat daripada 18 kerusi dalam PRU14 – tentunya ada satu atau petunjuk yang boleh diambilnya.

Daripada 220 wakil rakyat PN di konvensyen itu pula, harus ramai yang mentelaah bahasa tubuh Muhyiddin yang sebelum itu dilihat amat berkeyakinan bahawa pindaan perlembagaan adalah ‘ubat’ bagi memulihkan parti itu daripada penyakit ada wakil rakyatnya yang memberi sokongan kepada lawan. Mereka sekurang-kurangnya mahu mendengar apa reaksinya terhadap tindakan terbaru Abdul Rashid yang seolah-olah melempar dokumen pindaan perlembagaan yang diluluskan sebulat suara oleh 1,956 perwakilan pada perhimpunan agung khas 2 Mac lalu terhadap presidennya itu.

Sebaliknya, Muhyiddin mencabar Anwar dan wakil rakyat Bersatu yang menyokong kerajaan mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi memberi laluan kepada PRK supaya mandat dikembalikan kepada rakyat. PRK di kerusi berkenaan, tambahnya, akan mengukur sejauh mana rakyat menerima pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Anwar.

Muhyiddin pun tahu ia hanya retorik yang diulang-ulang. Kalau tujuh wakil rakyat berkenaan mahu mengosongkan kerusi masing-masing, mereka sudah melakukannya dari awal – tanpa perlu menunggu pindaan perlembagaan, tanpa menanti kelulusan RoS, tanpa bercadang turun naik mahkamah untuk mencabar keputusan yang menyusul, lebih-lebih lagi tanpa perlu dicabar pengerusi PN itu atau sesiapa yang lain.

Cabarannya itu juga dirasakan kosong dan hambar ketika tujuh wakil rakyat terbabit tiada dalam dewan persidangan kerana tidak diberi jemputan atas alasan tiada keperluan untuk menghantar jemputan kepada mereka yang mengkhianati parti. “Kita sudah anggap wakil rakyat di tujuh kerusi itu sudah mati, kita nak tunggu tarikh pilihan raya sahaja. Mereka tali barut dijemput buat apa,” kata Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris ketika ditemui media di konvensyen itu.

“Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Selangor kosong. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat membuat perhitungan,” kata Muhyiddin lagi kepada Anwar. Untuk menambah perisa kepada cabarannya, Muhyiddin turut mendakwa rakyat telah hilang keyakinan terhadap kerajaan PH-BN yang didakwanya gagal menunaikan janji ketika menjadi pembangkang di samping gagal mentadbir negara dengan baik.

Dakwaan Muhyiddin itu tiada merit lagi berikutan kegagalan pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Anwar selaku perdana menteri apabila Dewan Rakyat mula bersidang 26 Feb lalu. Tidak sekadar menunjukkan pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menumbangkan kerajaan perpaduan, malah ia turut mengeyakan pandangan bahawa mereka hanya terus memainkan propaganda untuk menipu penyokong mereka sendiri supaya supaya jangan hilang semangat.

Dan apabila Muhyiddin ‘mencari’, maka Muhyiddin akan ‘mendapat’.

Anwar, dalam menempelak cabaran Muhyiddin yang mahu kekosongan diisytiharkan di tujuh kerusi yang mana wakil rakyatnya beralih sokongan, berkata keputusan bukan di tangannya, sebaliknya terpulang kepada wakil rakyat berkenaan.

“Terpulang kepada Ahli Parlimenlah, kenapa tanya saya,” kata perdana menteri yang memulangkan paku buah keras dengan dakwaan bahawa orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu, dan menambah Muhyiddin tentu faham situasi semasa. “Dia yang pakar bagi ‘lompat’ dan ‘scheme of things’ itu dia patut jawab,” katanya selepas melawat ibu pejabat polis di Seberang Perai Central pada hari yang sama dengan Konvensyen Wakil Rakyat PN itu.

Ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, kerajaan PN memohon perisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong konon untuk membendung wabak Covid 19 apabila sebahagian Ahli Parlimen Umno mahu mengalih sokongan kepada Anwar yang ketika itu ketua pembangkang pada hujung 2020. Proklamasi Darurat diperkenankan berkuat kuasa pada 12 Jan 2021 dan tamat pada Ogos tahun yang sama. Selepas darurat tamat, Muhyiddin digulingkan oleh rakan kerjasamanya untuk diganti dengan Ismail Sabri Yaakob.

Kesudahannya, dengan 20 resolusi yang disepakati dalam Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN 2024 itu, Muhyiddin berharap tidak lagi timbul isu khianat dalam kalangan wakil rakyatnya – satu kenyataan sekadar untuk menjaga air mukanya.

“Harapan kita begitu kerana yang hadir semua hari ini menunjukkan komitmen. Banyak yang datang jumpa saya dari Selangor tadi (kata) bukan saya (terlibat sokong Menteri Besar Selangor), bukan kata mereka tidak mengaitkan kedudukan mereka selepas apa yang dilakukan oleh Adun Selat Klang.

“Di peringkat Parlimen pun tidak ada cerita (isu). (Saya) Nampak kedudukan kita masih kukuh dan kita sudah meluluskan pindaan perlembagaan,” katanya.

Namun, seperti peralihan sokongan Abdul Rashid itu, Muhyiddin sebenarnya sudah kerap menerima kejutan hingga beberapa lagi pun tidak akan memberi banyak perbezaan.

Tiada ulasan: