"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Dijemput pun saya tak akan hadir, sekarang pun sudah dimusuhi'

Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@bh.com.my

Dari kiri: Zahari Kechik (Jeli), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
KUALA LUMPUR: "Dijemput pun saya tidak akan hadir. Sekarang pun sudah dimusuhi." Demikian penegasan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang mengesahkan beliau tiada menerima undangan menghadiri Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu, BH memetik sumber rapat dengan Pejabat Ketua Pembangkang, melaporkan enam Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak menghadiri konvensyen berkenaan.

Selain Suhaili, lima lagi Ahli Parlimen daripada BERSATU itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Di samping itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini, turut tidak hadir.

Ketika dihubungi BH, Suhaili, Syed Abu Hussin, Dr Zulkafperi dan Zahari mengesahkan mereka tiada menerima jemputan untuk menghadiri konvensyen hari ini.

Sementara itu, Dr Zulkafperi bagaimanapun sebaliknya mengaku beliau akan hadir sekiranya dijemput ke konvensyen berkenaan.

"Maaf, saya tidak diundang langsung. Kalau ada, insya-Allah saya akan hadir sebagai ahli BERSATU yang kekal setia," katanya.

Pada Sabtu minggu lalu, Perhimpunan Agung Khas BERSATU meluluskan pindaan perlembagaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan BERSATU itu diluluskan selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan parti yang hadir pada perhimpunan terbabit yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: