"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lapan lelaki dituduh sertai perhimpunan haram, belasah seorang individu

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
AKKASKUMAR dilihat keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas dijatuhi hukuman denda RM2,000 susulan pengakuan salahnya menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
AKKASKUMAR dilihat keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas dijatuhi hukuman denda RM2,000 susulan pengakuan salahnya menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Sungai Siput: Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu.

Tiga daripada mereka iaitu K Lengeswaran, 22, S Thinakaren, 22, dan M Akkaskumar, 24, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Manakala pengakuan tidak bersalah dibuat lima tertuduh yang lain iaitu S Guna Segaran, 21, K Logen, 21, A Ignisrao, M Nagaraj, 22, dan R Naresh, 23, sejurus pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelapan-lapan mereka dituduh secara bersama menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki iaitu V Arvind Ranair, 28, di mana semasa perhimpunan itu semua ahli atau lebih daripada seorang ahli memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, di sini, antara jam 9.30 malam hingga 11.15 malam, 11 Mac lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki menaiki motosikal yang membuat kekecohan sehingga cedera hingga memerlukan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput.

Ketika mitigasi hukuman, tiga orang kena tuduh (OKT) yang mengaku bersalah mohon denda minimum dikenakan dengan mengambil kira pelbagai sebab antaranya bekerja hanya sebagai pembantu di pusat cuci kenderaan dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.

Vitthiyeswary bagaimanapun memohon hukuman maksimum dikenakan, mengambil kira kadar kecederaan dialami mangsa hingga memerlukan jahitan di bahagian kepala, jari dan belakang badan dengan ketika ditemui, mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Manakala bagi lima OKT yang mengaku tidak bersalah, Majistret membenarkan mereka masing-masing dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk untuk lantikan peguam.

OKT yang mengaku bersalah dilihat membayar denda yang dikenakan.

Tiada ulasan: