"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti kena jawab dakwaan Hadi terhadap Raja-raja Melayu

BORHAN AHMAD

Para mufti di seluruh negara dicadangkan agar menjelaskan kepada orang ramai tentang dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Raja-raja Melayu mementingkan dunia.

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Sofi Wahab berkata, cadangan itu dibuat untuk membolehkan mereka membuat komen dan menjelaskan dakwaan Haji Hadi ini.

“Saya ingin mencadangkan kepada mufti-mufti negeri di seluruh negara menjawab tuduhan Haji Hadi yang bagi saya ia satu tuduhan yang sangat biadab dan keji kerana menuduh raja-raja Melayu mementingkan dunia.

“Dia berkata begitu ketika dia menulis komen berkaitan dengan kes Nik Elin yang memfaikkan permohonan untuk membatalkan 16 enakmen syariah Kelantan,” kata Sofi.

Menurutnya, petisyen dan keputusan Mahkamah Persekutuan ini telah menimbulkan kemarahan Haji Hadi dan Pas.

“Mereka spin isu ini seolah-olah mahkamah syariah hendak dihapuskan, kerajaan perpaduan tidak mempertahankan mahkamah syariah dan sebagainya,” kata Sofi, bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka dalam satu klip video beliau hari ini.

Di sebalik dakwaan ini, katanya, kerajaan perpaduan telah awal-awal lagi telah menubuhkan Jawatankuasa Kompetensi Dun bagi mengatasi masalah ini supaya ia tidak berulang.

Cadangan ini pula, katanya, akan dipersembahkan kepada Majlis Kebangsaan Agama Islam (MKI) yang diketuai oleh Sultan Selangor sebelum dipersembahkan kepada Raja-raja Melayu.

(Sultan Selangor dalam kenyataannya telah memaklumkan beliau tidak bersedia untuk menjadi Pengerusi MKI lagi apabila tempoh lantikan beliau sebelum ini tamat)

“Kerajaan Perpaduan telah awal-awal lagi proaktif dalam isu ini berbanding kerajaan Abah Kau yang membiarkan petisyen tersebut sehingga menteri agamanya, Idris Ahmad mengatakan ia tidak tahu mengenainya,” kata beliau merujuk kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang dikenali sebagai Abah Kau.

Bagi Sofi, para mufti perlu membuat komen dan menjelaskan isu ini dengan memberikan pandangan terhadap tuduhan yang dikemukakan oleh Haji Hadi itu.

“Kita melihat pengerusi MKI yang juga Sultan Selangor sejak awal-awal lagi telah mengambil cadangan yang dibincangkan oleh JK yang ditubuhkan oleh kerajaan perpaduan dan mengangkatnya kepada Raja-raja Melayu.

“Cadangan ini pula tidak ada objektif lain melainkan untuk mempertahankan Mahkamah Syariah dan mengangkat kedaulatan Mahkamah Syariah itu sendiri tetapi Haji Hadi pusing cerita dan membuat tohmahan seolah-olah Raja-raja Melayu ini mementingkan dunia.

“Sebab itu mufti mesti bertegas dalam isu ini, keluarkan pandangan, dalil, nas dan sebagainya untuk membidas kenyataan Haji Hadi tersebut,” katanya.

Sofi juga berharap, polis menyampaikan segera kertas siasatan terhadap Haji Hadi kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita berharap Jabatan Peguam Negara segera mengambil tindakan dan mendakwa Haji Hadi secepat mungkin kerana sudah banyak kali dia membuat perkara seperti ini dan dia terus tanpa segan dan silu keluarkan kenyataan yang biadab dan boleh menimbulkan kegelisahan kepada masyarakat awam,” katanya.

Sultan Selangor sebelum ini telah menghantar warkah murka yang panjang (lima muka surat) kepada Haji Hadi melalui Pesuruhjaya Pas Selangor ekoran kenyataan Haji Hadi melalui tulisannya.

Baginda sangat murka dan sedih di atas dakwaan ahli Parlimen Marang itu.

Tiada ulasan: