"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Faiz Na’aman: Tapi adakala kita harus hijrah, jawapannya kepada Hassan Karim

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Bekas ahli majlis pemimpin tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman yang memohon untuk menyertai PKR baru-baru ini menyifatkan teguran wakil rakyat parti itu, Hassan Karim, sebagai ‘rasional’.

“Teguran Hassan tersebut ada rasional. Jika saya berada di tempatnya pun mungkin saya akan menasihati kepimpinan parti,” katanya kepada FMT.

“Namun kita tidak boleh pukul rata atau buat sangkaan mudah dalam hal ini kerana tidak semua watak yang hendak menyertai PKR sama latar belakangnya.”

Semalam, Hassan berkata bekas pemimpin parti lain yang mahu sertai PKR perlu ditapis dan disemak terlebih dahulu latar belakang mereka.

Beliau mengalu-alukan pemimpin besar untuk menyertai PKR dengan syarat mereka jujur menerima dasar dan cita-cita PKR.

Hassan mengulas kenyataan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail yang menjangkakan lebih ramai bekas pemimpin daripada Perikatan Nasional akan menyertai PKR.

Faiz menyatakan keyakinan akan kebijaksanaan pengurusan tertinggi PKR dalam mempertimbangkan permohonannya.

“Adakalanya seseorang itu terpaksa berhijrah wadah setelah menimba pengalaman dan melihat kepincangan saf kepimpinan terdahulu yang terkeluar daripada prinsip asal perjuangan untuk menentang korupsi, mempromosi semangat kebangsaan untuk semua warganegara, serta melawan ekstremisme pihak yang menggunakan sentimen 3R (raja, kaum, dan agama) untuk menghalalkan matlamat politik.”

Faiz mengumumkan hasrat untuk menyertai PKR pada awal minggu lalu, selepas meninggalkan Bersatu pada Ogos.

Beliau berkata sejak keluar Bersatu, beliau secara terbuka menyatakan sokongan kepada PKR, Pakatan Harapan, dan pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik sebelum ini kecuali Bersatu,” katanya.

Tiada ulasan: