Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang, dekat Jitra, pada 11.30 pagi, Sabtu lalu.
Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.
"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.
"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di Jitra hari ini.
Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.
"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab. Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.
Dia berkata, dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.
"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam. Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata, beliau menerima laporan tentang kejadian itu.
"Kita sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya.
-Bernama-
1 ulasan:
Tak semua polis jahat kat mesia ni,tapi majoriti nya banyak yg macam sial,babi,haramjadah... ya lah bak kata orng .....ganster cum penyamun ada lesen......
Catat Ulasan