"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tee Keat: Soi Lek tidak harus jadi calon BN ekoran skandal seks

http://peraktoday.com/wp/wp-content/uploads/2010/12/csl.jpg
KUALA LUMPUR: Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata penggantinya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bukan seorang “calon yang boleh menang” kerana skandal seks 2007 melibatkan bekas menteri kesihatan itu akan menjadi liabiliti besar bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13.

Dr Chua, yang menewaskan Ong pada pemilihan ekoran krisis dalam parti 18 bulan yang lalu, tidak mengesahkan sama ada akan bertanding meskipun minggu ini mengumumkan beberapa pemimpin tidak akan diturunkan pada pilihan raya umum kali ini.
Khabar angin tersebar sejak Februari lalu bahawa Ong juga akan digugurkan daripada bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.

Kata Ong, skandal seks Dr Chua akan terus menghantui presiden MCA dan juga BN.

“Adakah beliau calon yang boleh menang? Saya tidak melihat rakyat Malaysia boleh terima beliau.

“Memang beliau mahu bertanding. Beliau berkata lima bahagian mahu beliau bertanding dan ramai termasuk diri beliau akan berkata bahawa salah laku atau tindakan tidak bermoral bukan alasan untuk menafikan beliau hak untuk bertanding,” katanya lagi.

Kata Ong, jika Dr Chua bertanding ia akan menjadi ujian asid berhubung nilai diri seseorang.

Dr Chua melepaskan jawatannya menteri kesihatan selepas mengaku bahawa beliau adalah lelaki yang terlibat dalam skandal video seks yang melibatkan teman wanitanya.

Tetapi dia kembali semula untuk memenangi jawatan timbalan presiden, selepas dua pemimpin atasan MCA melepaskan jawatan mereka.

Parti itu seterusnya memecat Dr Chua pada Ogos 2009 berhubung skandal seks beliau, mencetuskan desakan agar diadakan perhimpunan tergempar ─ membawa kepada undi tidak percaya ke atas Ong.

Dr Chua menjadi presiden MCA pada Mac 2010 pada pemilihan baru. Beliau menewaskan Ong dan bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.

MCA akan mengadakan perhimpunan agung hujung minggu ini.

Walaupun telah melalui perubahan tiga presiden dalam jangka masa yang singkat, MCA didakwa semakin hilang penyokong daripada kalangan kaum Cina dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan sejak selepas pilihan raya umum ke-12.

Sesetengah pengkaji berpendapat bahawa hanya 18 peratus pengundi Cina mengundi BN pada pilihan raya kecil Tenang yang diadakan awal tahun ini.

The Malaysian Insider juga telah dimaklumkan oleh parti komponen teras BN, Umno bahawa mereka tidak mengharapkan lebih daripada 30 peratus sokongan daripada kaum itu pada pilihan raya umum ke-13.
-detikdaily-

Tiada ulasan: