"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wacana merdeka (Jabatan Sejarah Universiti Malaya) catat sejarah kerana Mat Sabu

Ahmad Lutfi Othman
Cuba bayangkan sambutan terhadap Wacana Merdeka, anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 13 September lalu, sekiranya tidak dibantu kontroversi ucapan  Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Mungkin program sehari di Dewan Kuliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) itu akan mengulangi kelaziman aktiviti akademik lain, yang selalunya menyaksikan lebih banyak kerusi yang kosong.





Namun wacana "Menghargai Perjuangan Kemerdekaan" (temanya seakan klise dan gagal memikat imiginasi) kelihatan cukup segar dan berjaya mencuri perhatian, hinggakan program berkenaan dapat dimulakan mengikut tentatif program, sekitar jam 8.30 pagi, dan dewan pula penuh dengan peserta.

(Dr Redzuan bersama Ahmad Lutfi selepas sesi pertama wacana.)

Saya sendiri, yang dimaklumkan tentang majlis berkenaan, dua hari sebelum itu oleh seorang teman, Faisal Tehrani, terpaksa menempuh kesesakan jalan raya (sesuatu yang saya cuba elak selepas menjalani bypass CABG dan diserang strok) untuk sampai awal ke UM.

Dekan FSSS, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan pakar sejarah, Prof Dr Mohamad Abu Bakar, pada sesi pertama wacana turut mengakui "faktor Mat Sabu", yang dikira menyebabkan wacana mendapat sambutan baik.

Ya, sesuatu yang agak luar biasa apabila wacana berkaitan sejarah, subjek tentang masa lampau yang selama ini mungkin dianggap membosan, telah menimbulkan polemik berpanjangan, yang dirancakkan oleh penglibatan pelbagai pihak. Tiba-tiba sahaja begitu ramai orang bercakap tentang masa silam dan berbicara seolah-olah tokoh sejarah!

Dari sisi lain, hanya dengan penglibatan orang politik seperti Mat Sabu barulah sesuatu isu itu berjaya "dimartabatkan" sebagai agenda nasional.

Terima kasih Mat Sabu, yang namanya disebut beberapa kali dalam wacana tersebut, disusuli tepukan. Meskipun terpaksa meniti garis kontroversi, dilempar dengan pelbagai ugutan, kecaman dan ancaman fizikal, beliau berjaya mengetengahkan isu sejarah kemerdekaan, untuk didebatkan secara terbuka. Banyak perkara yang tersimpan kini mula dibongkar.

Dr Redzuan mengakui, mutakhir ini, sama ada di majlis-majlis rumah terbuka Aidilfitri atau kenduri, juga melalui panggilan telefon dan pertanyaan SMS, beliau tidak menang tangan untuk menjawab isu berkaitan sejarah kemerdekaan negara.

Namun, sebagai seorang ahli akademik, yang terikat dengan pelbagai peraturan dan sekatan, persoalan itu sukar dijawab dengan baik oleh Dr Redzuan. Saya sendiri pun  tidak mudah untuk mendapat reaksi beliau. (Ruginya warga Malaysia yang tidak dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para sarjana dan golongan intelektualnya, terutama dalam bidang "sensitif dan kritikal").

Apa pun, menarik sekali ungkapan Prof Mohamad Abu Bakar, bahawa selama ini  yang seringkali sukar diteka adalah masa depan tetapi kini, yang payah ditembak adalah masa lampau (unpredictable past).

Dalam interbiunya bersama Harakah (terbitan 23-25 September), yang turut diedarkan kepada peserta wacana, beliau merumuskan: "Sejarah Malaysia akan berpotensi mengalami transformasi lagi sekiranya suluhan kritis dibuat terhadap tokoh-tokoh yang selama ini diidolakan, atau pejuang yang selama ini terbenam dalam lipatan sejarah dicungkil dan dinobatkan sebagai wira. Inilah yang sedang berlaku sehingga tercetusnya kontroversi di sekitar Bukit Kepong."

Dr Redzuan, seperti lazimnya, membentangkan pengaruh Timur Tengah dalam membangkitkan kesedaran sosial dan politik di kalangan orang Melayu. Beliau menyanggah pandangan yang cuba memisahkan gelombang kebangkitan menentang Malayan Union pada 1946 dengan peranan pemimpin agama, yang berpusat di madrasah, yang merupakan jaringan paling berkesan menyebarkan kesedaran ini.

Sesungguhnya perjuangan menentang penjajah tidak pernah putus sejak 1511 sehinggalah 1957.

"Gambaran yang diberi seolah-olah Datuk Onn Jaafar seorang pemimpin nasional yang secara tiba-tiba muncul dan popular di kalangan orang Melayu," katanya. Datuk Onn tentunya memerlukan jaringan dan pandekatan yang melibatkan massa, yang ketika itu dikuasai ulamak, terutama yang mendirikan madrasah.

(Selain penubuhan madrasah yang berkembang pesat, Dr Redzuan turut menekankan soal penerbitan akhbar sebagai instrumen membangkitkan kesedaran bangsa,  terutama Al-Imam (1906-1908), yang diasaskan oleh Syed Syeikh Al-Hadi bersama Syeikh Tahir Jalaludin).

Beliau sepakat dengan Mohamad Abu Bakar, yang mengaitkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan permainan bola sepak. Ternyata mereka mahu pengiktirafan diberikan kepada semua pihak yang terbabit.

"Malangnya, sumbangan pejuang-pejuang (agamawan) ini terkadang tidak disebut, seperti juga pemain bolasepak,  siapa yang menjaring gol sahaja yang didewa-dewakan, sedangkan pemain lain turut bertungkus-lumus untuk memenangkan pertandingan," kata Dr Redzuan.

"Kebetulan penyumbat gol adalah Umno," ujar Mohamad Abu Bakar. Malanglah, katanya, bagi pemain lain, yang tidak menjaringkan gol, apatah lagi buat penjaga gol seperti Apek (penjaga gol pasukan kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat), disambut gelak-ketawa peserta.

Dr Redzuan yang membuat kajian peringkat PhD mengenai peranan dan pengaruh Timur Tengah kepada masyarakat Melayu turut menyentuh mengenai kesedaran  pelajar Melayu di Mesir tentang kemerdekaan, pada awal abad ke-20, yang ditampilkan dalam akhbar Ittihad (1913), Neracha dan Seruan Azhar (1925).

Dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu; Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, dicatatkan: "Isu tentang betapa perlunya Tanah Melayu ... membebaskan diri daripada penjajahan juga ditekankan secara khusus oleh Seruan Azhar dalam keluaran bulan Oktober 1927. Dalam keluaran ini, keperluan menjadi sebuah negara merdeka ditekankan kerana dengan hidup merdeka bangsa dapat hidup bebas dan negara berkembang dengan maju."

Dr Redzuan turut menarik perhatian peserta wacana apabila mendedahkan bahawa pada waktu pelajar Melayu di Mesir pada 1920-an ghairah berbicara soal membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah,  sekelompok pelajar Melayu  di London, seperti  disebutkan dalam Memoir Tunku Abdul Rahman,  masih berfoya-foya di kelab malam di sana!

Lebih menarik apabila di akhir pembentangannya beliau menunjukkan gambar mayat Tok Janggut, yang digantung dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas oleh British.

"Cuba perhatikan gambar mayat Tok Janggut, yang diarak di seluruh Kota Bharu, tetapi jangan tumpu kepada Tok Janggut sahaja, perhatikan di sebelahnya, yang juga orang Melayu memakai songkok, ini adalah polis yang berkhidmat di zaman British," kata Dr Redzuan sinis.

Ucapan penutupnya itu disambut tepukan bergemuruh. Tidak pasti apakah yang tergambar dalam fikiran sebahagian besar peserta ketika itu; mungkinkah minda mereka segera merujuk kepada kes serangan di balai polis Bukit Kepong, seperti ditimbulkan Mat Sabu dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasik Gelugor, 21 Ogos lalu.





Saya kira ramai peserta menghadiri wacana itu bagi mendapatkan penjelasan tentang persoalan semasa, termasuk mengenai dakwaan bahawa negara kita tidak pernah dijajah British. Dan bagi saya jawapan Dr Ahmad Kamal Ariffin Muhd Rus, pensyarah Jabatan Sejarah UM, yang membentangkan kertas kerja bertajuk Status Negara-Negeri Melayu pada Era Pentadbiran British, mampu memecahkan kebuntuan.
(Dr Ahmad Kamal (kiri) membentangkan hujah, sambil diperhatikan Prof Mohamad Abu Bakar)
"Hampir mustahil untuk mendakwa kita tidak dijajah British," tegasnya, menjawab soalan. Beliau turut mengemukakan hujah yang selalu digunakan, iaitu Artikel 6, Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874) bahawa segala nasihat yang diberikan Residen British hendaklah diambil tindakan oleh Sultan kecuali yang menyentuh soal agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Kedudukan tersebut diperkukuhkan dalam Artikel 10 yang menyebut bahawa pungutan dan kawalan terhadap hasil pendapatan serta pentadbiran negeri hendaklah ditadbir dengan nasihat Residen.

"Dari segi undang-undang, kedudukan Negeri-Negeri Melayu (NM) pada era pentadbiran British sememangnya bertarafkan Negeri Lindungan. Namun begitu, dalam amalan, keseluruhan perjalanan pentadbiran dalaman NNM sememangnya dikuasai pihak British. Ini bermakna, disebabkan penguasaan itu, pada realitinya NNM sememangnya dijajah," kertas kerjanya dipetik.

"Meskipun terdapat perjanjian bagi membolehkan pihak British seolah-olah diberi izin oleh pihak yang berdaulat untuk menjalankan pentadbiran, namun dalam banyak hal kandungan perjanjian tersebut memberi ruang kepada pegawai British berperanan sebagai pemerintah de facto.

"Kawalan British terhadap dua elemen pemerintahan yang terpenting, iaitu kewangan dan undang-undang, dilakukan dengan seni muslihat yang paling licik. Malah pada 1909, Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pernah dilucutkan kedaulatan baginda terhadap undang-undang dengan kaedah yang sengaja ditaksakan biarkan disedari ia merupakan satu kesalahan," tegasnya.

Dr Ahmad Kamal juga menekankan bagaimana Residen British yang menguasai kawalan dan pengurusan kewangan Negeri-Negeri Melayu mesti mendapat kelulusan gabenor di Singapura ketika menyediakan belanjawan tahunan NNM.

"Malah Residen British diarahkan untuk tidak membentangkan draf belanjawan kepada pemerintah Melayu. Residen Douglas (Selangor) diberi amaran keras apabila mengajukan draf belanjawan kepada gabenor dengan cop mohor sultan. Douglas diingatkan beliau tidak berkhidmat di bawah cop mohor Raja-Raja Melayu," ujarnya.

Ya... seperti kesimpulan Mohamad Abu Bakar: "Apakah orang Melayu akan mengatakan mereka dijajah hanya selepas dikenakan tindakan ganas dan buas?"

Apakah jika penjajahan itu dilakukan dalam bentuk halus dan licik, walaupun kesannya cukup sengsara dan pedih, maka kita dikira masih bebas dan merdeka? Tetapi, kalau tidak dijajah, mengapa ada gerakan kemerdekaan dan ada pula bapa kemerdekaan?

Tiada ulasan: