MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
ROMPIN: Bekas pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman atau Mohd Hakim Lokman tidak menolak kemungkinan menjadi calon Pas pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya diarahkan pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, Bob berkata, pemilihannya sebagai calon PRU itu bersyarat di mana beliau hanya akan bertanding jika Pas ketandusan calon di sesuatu kawasan hingga memaksanya memikul amanah tersebut.
Menurutnya, keputusan itu selaras dengan tuntutan fardu kifayah yang meminta perkara wajib dilakukan sebahagian masyarakat untuk menjaga kepentingan Umat Islam.
“Dalam hukum memang macam itu. Kalau sudah tiada orang, saya sanggup jadi calon kerana ia adalah satu kewajipan perlu dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian semasa Ceramah Umum di Markas Pas Kampung Mentara.
Bob berkata, beliau yakin kepimpinan Pas mempunyai lebih ramai calon layak berbanding dirinya yang terlalu kerdil dan belum layak menjadi calon parti itu.
“Saya dapati Pas mempunyai ramai pemimpin layak untuk diketengahkan menjadi calon PRU. Biarlah mereka dicalonkan kerana mereka lebih sesuai dan berkelayakan,” katanya.
Ditanya pandangannya mengenai sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) sebelum menjelangnya PRU13, Bob yakin terdapat peningkatan ketara pengundi menyokong parti itu.
Menurutnya, PR diramal berjaya menawan beberapa negeri lagi berdasarkan trend pengundi masa kini yang inginkan perubahan politik dalam negara.
“Kalau tidak menang semua pun, kami tak akan kalah semua. Saya lihat politik hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Sejak saya tiba di Pahang,
Johor dan tempat majoritinya Barisan Nasional (BN), sudah ada petanda betapa ramainya penyokong PR di negeri-negeri tersebut,” katanya.
1 ulasan:
Alhamdulillah. Begitulah perkataan seorang yg mempunyai akhlak agama. Tidak berebut untuk jawatan, ttp sanggup memikul tgjawab sekiranya keadaan memerlukan.
Catat Ulasan