"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

(Gambar) Wanita ini menjadi tenang apabila makan batu

NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
TERESA dan anaknya, Kelsey Bayne, 22, menikmati makan malam mereka.
PELBAGAI cara dilakukan dalam meluahkan rasa tekanan, marah, sedih dan gembira. Berbeza pula bagi Teresa Widener, 45, yang berasal dari Bedford, Virginia, Amerika Syarikat apabila dia memilih untuk meluahkan rasa yang terpendam dengan memakan batu.

Menurutnya, semakin dia berasa gelisah, semakin banyak batu akan dimakannya. Dia boleh memakan batu sebanyak 1.3 kilogram (kg) dalam seminggu atau lebih daripada 1,360kg sepanjang hidupnya.

"Saya mula memakan batu sejak 20 tahun lalu jika berdepan situasi sedih atau melalui hari yang buruk dengan mengambil segenggam kerikil dan batu-batu yang disimpan di dalam sebuah almari khusus.

"Biasanya saya akan mengutip batu yang lebih lembut dan rapuh ketika berjalan-jalan kerana bukan semua batu boleh dimakan. Untuk menikmati kesedapan batu itu, saya terlebih dulu akan memecahkannya menggunakan tukul besi," terangnya.

Tenang

Teresa kemudian akan memakan batu-batu itu secara perlahan-lahan dengan gigi di sebelah kiri kerana menurutnya, gigi di bahagian itu lebih kuat berbanding gigi lain. Dia juga mengaku tidak pernah berdepan masalah kesihatan yang serius akibat tabiat pemakanannya itu. Hanya sekali-sekala dia sakit perut tetapi jarang membuang air besar.

"Makan batu membuatkan saya berasa tenang. Kuantiti yang diambil pula bergantung pada perasaan saya ketika itu. Untuk itu, saya rasa lebih baik jika ada batu di rumah.

"Saya suka kerana ia juga memiliki bau tanah. Kadangkala saya tidak membasuh batu-batu yang dikutip di tepi jalan kerana mahukan aroma tanah yang terbit daripada batu itu," ujar Teresa kepada akhbar Dailymail.

Jelas Teresa, amalan memakan batu membantunya merawat kekurangan zat besi yang disebabkan penyakit anemia yang dihidapnya.

Walaupun berasa tenang dengan tabiat peliknya itu, hidup Teresa yang memakan batu berubah selepas dia berkahwin dengan Jim Widener. Suaminya itu membantunya meninggalkan kebiasaan yang dilakukan sejak bertahun lamanya itu.

Ujar Teresa, pada awal perkenalan, suaminya juga terkejut melihat tabiat pelik Teresa yang gemar memakan batu tetapi perasaan cinta mendorong suaminya itu untuk membantu Teresa melupakan tabiat pemakanannya yang berbeza daripada manusia biasa itu.

Zat besi

Menurut pakar psikologi klinikal dari Amerika Syarikat, Dr. Jordana Mansbacher, Teresa menghidap sejenis penyakit yang digelar sebagai pica. Ia membuatkan pesakit menjadi obses memakan benda-benda yang tidak seharusnya dijadikan bahan makanan.

"Pica biasanya terjadi kepada kanak-kanak, wanita yang hamil dan orang dewasa. Penghidap akan memakan benda yang tidak masuk akal seperti logam, kertas tandas, kain, kertas, kayu dan kulit.

"Punca kepada penyakit ini belum diketahui tetapi berdasarkan penyelidikan awal, ia berkait rapat dengan faktor kekurangan zat besi dan anemia yang boleh mencetuskan keinginan luar biasa. Penggunaan ubat-ubatan hanya diperlukan sekiranya penghidap mengalami gangguan atau disahkan mempunyai penyakit mental," jelas Mansbacher.

Tambahnya, wanita hamil biasanya mengalami anemia kerana nutrien yang mereka ambil disalurkan terus kepada bayi di dalam kandungan. Situasi itu menyebabkan mereka cenderung mengambil makanan yang kaya dengan zat besi.

Mansbacher menyifatkan amalan memakan batu atau tanah sebagai tidak sihat kerana ia boleh menyebabkan si pemakan dijangkiti kuman. Batu juga boleh merosakkan tisu dalam badan sekali gus mengakibatkan pendarahan.

"Haiwan seperti serigala dan penyu juga memakan batu untuk membantu penghadaman tetapi ia jarang berlaku pada manusia.

"Saya cadangkan Teresa menjalani ujian darah bagi menentukan sama ada dia mempunyai masalah kekurangan mineral atau vitamin tertentu. Sekiranya ada, dia perlu segera mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar," tuturnya.  

1 ulasan:

hangit berkata...

mohon bertukar link tuan