Farouk A. Peru
Sekali lagi, aktiviti skodeng oleh penguatkuasa agama membawa padah.
Kali ini, seorang pegawai polis mati apabila terjun dari tingkat 4 sebuah bangunan di Pandan Perdana, Cheras, ketika cuba melarikan diri daripada pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menceroboh masuk ke dalam flat wanita yang dipercayai kekasihnya.
Selepas mereka “dibenarkan” masuk (perlu diingat, mereka ini selalunya memekik di pintu sehingga tuan punya rumah terpaksa membuka pintu), mereka mendapati tingkap terbuka, yang digunakan lelaki itu melarikan diri tetapi jatuh terbaring di atas jalan.
Apakah harga yang dibayarnya sesuatu yang boleh diterima? Ini bukan kos wang ringgit tetapi kos sebuah nyawa yang tidak boleh dikembalikan.
Bagaimana kalau pegawai polis itu anak kepada ibu bapa yang mengharapkan untuk menampung mereka? Jika dia berumahtangga, balu dan anaknya akan turut terkesan.
Kenapa pegawai agama kita masih meneruskan aktiviti skodeng?
Bagi penyokong aktiviti ini, ia menjaga keluhuran agama Islam. Benarkah Islam akan terhina jika umatnya melakukan kesalahan seperti ini? Pemikiran ini amat merbahaya kerana kita mengelirukan perkara yang abstrak dengan perkara yang konkrit.
Poin saya, kadang-kadang respon kitalah yang memberi efek yang tidak kita ingini.
Berbalik kepada kes khalwat di atas, dasar kerajaan terhadap masalah ini ialah dengan mengadakan skuad skodeng. Tetapi setelah berdekad menangani masalah ini dengan kaedah itu, adakah ia berjaya diselesaikan? Tidak sama sekali.
Masih banyak pasangan ditangkap and entah berapa lagi yang tidak dikesan. Mereka hanya akan mencari tempat yang tidak boleh dicerobohi oleh pegawai agama.
Apakah penyelesaian terhadap masalah ini?
Mungkin kita perlu memikirkan kembali budaya perkahwinan di kalangan umat Melayu. Sebenarya masalah ini bukan sahaja di kalangan Melayu tetapi juga di kalangan umat Islam Asia Selatan dan juga di Timur Tengah.
Perkahwinan adalah projek yang menelan belanja tinggi. Di Malaysia, kos hantaran sahaja menelan belanja berpuluh ribu ringgit. Ini belum termasuk kos majlis perkahwinan itu sendiri.
Yang menghairankan, walaupun identiti Islam kita semakin menebal, namun dalam bab ini, kita tidak mengikut sunnah langsung. Malah, Rasulullah mengahwinkan anaknya Fatima dengan maskahwin yang amat sederhana jika dibandingkan dengan perkahwinan orang sekarang!
Inilah budaya yang perlu difikirkan semula. Mungkin pasangan boleh berkahwin dahulu tanpa mengadakan majlis dan hanya mengadakan majlis selepas mereka sudah mendapat kerja tetap dan mengumpul wang yang mencukupi.
Sebenarnya, keperluan hidup seperti rumah, kereta dan pakaian untuk ke ofis pun lebih penting daripada mengadakan majlis, terutama majlis yang keterlaluan. Ada yang berhutang demi menampung kos majlis ini.
Perlu juga diteliti falsafah kita berkenaan dengan perhubungan di antara pasangan. Sememangnya budaya Melayu tidak mengamalkan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tetapi tidak berapa lama dulu, komunikasi di antara remaja lelaki dan wanita bukanlah satu perkara yang terlarang.
Sekarang ini, kita sering disajikan “nasihat” di media sosial yang wanita yang melihat lelaki dan timbul keinginan semulajadi terhadap mereka telah mengaut dosa besar, dan akan diazab dengan api neraka kelak. Ugutan hukuman yang amat berlebihan ini hanya akan memberi tekanan perasaan yang berlebihan kepada orang muda.
Masalah paling besar ialah sikap pasukan skodeng itu sendiri. Jika kita tatapi video di Youtube, kita boleh perhatikan bagaimana mereka memberi salam lalu dengan bongkak bertanya kepada pasangan yang berkenaan jika mereka berkahwin atau tidak.
Mereka nampak mabuk kuasa, suka melihat pasangan dalam ketakutan. Kenapa tidak boleh memberi salam dengan baik lalu meredakan hati pasangan berkenaan? Adakah mereka mencontohi Nabi Muhammad di sini?
Peristiwa tragedi telah berlaku. Seorang lagi hilang nyawa akibat sikap yang diambil pasukan skodeng. Kita perlu memikirkan semula pendekatan kita terhadap masalah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan