"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM3.8 bilion hasil penipuan dipindah ke luar negara

Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.8 bilion wang disyaki hasil kegiatan penipuan dipindah ke luar negara hujung tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf.

Katanya, dana itu dikesan disalurkan keluar dari Malaysia ke 43 negara melalui 15 syarikat perdagangan berdaftar ditubuhkan semata-mata untuk tujuan transaksi kewangan.

“Ini amaun yang sangat besar, itulah amaun kerugian melibatkan warganegara dan rakyat Malaysia.

“Transaksi ini melibatkan 15 syarikat perdagangan berdaftar di Malaysia dan wang tersebut disyaki adalah hasil kegiatan penipuan,” katanya ketika melancarkan portal Semakmule 2.0 di pusat beli-belah Midvalley.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit digunakan oleh sindiket penipuan untuk membuka akaun bank bagi tujuan menyalurkan wang hasil penipuan.

“Polis mendapati wujud trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan untuk dijadikan ‘keldai akaun’. Taktik ini menjadi pilihan kerana ia membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan amaun lebih besar,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket kemudian adalah menutup syarikat tersebut sebaik sahaja transaksi berjaya dilaksanakan.

“Jadi, selain akaun keldai individu, kini wujud pula akaun keldai syarikat yang memberi ancaman kewangan lebih besar kerana transaksi yang bertopengkan syarikat melibatkan jumlah wang yang boleh mencecah bilion ringgit.

“Hampir 90% syarikat itu ditutup selepas transaksi berjaya,” katanya.

Penipuan ‘online’ meningkat

Ramli berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini jenayah penipuan dalam talian mencatatkan peningkatan amat signifikan iaitu daripada 17,668 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023 iaitu sebanyak 95.2%.

Melalui Semakmule, beliau berkata setakat ini sejumlah 193,000 akaun dalam pangkalan data boleh diperiksa kesahihannya manakala sebanyak 1.9 juta carian positif berjaya dilakukan.

Manakala melalui Semakmule 2.0, modul yang menyenaraikan syarikat disyaki terlibat kegiatan jenayah komersial turut ditambah.

“Ini bermakna dapat halang pengguna memindahkan wang tersebut ke akaun diarahkan ‘scammer’, itulah keberkesanannya dan kita harap lebih meluas penggunaannya,” katanya.

Portal Semakmule dibangunkan pada 2018 untuk memberi kemudahan kepada masyarakat membuat semakan bagi pencegahan kes jenayah penipuan dalam talian.

Tak siasat syarikat suami artis

Sementara itu, Ramli berkata polis tidak menjalankan siasatan terhadap syarikat milik suami artis Heliza Helmi.

“Polis mengambil maklum berkenaan tindakan pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyenaraikan Mahadi Badrul Zaman dan syarikat AUF MBZ Consortium PLT dalam senarai peringatan pelabur.

“Setakat ini polis tidak menjalankan siasatan terhadap penama atau syarikat miliknya,” katanya.

Sehubungan itu katanya, bakal pelabur perlu lebih berhati-hati sebelum membuat pelaburan.

“SC menyatakan syarikat itu beroperasi tanpa lesen…SC lebih mengetahui, itu bawah bidang mereka. Pelaburan tiada berlesen, bakal pelabur kena tahu implikasi syarikat tidak berlesen,” katanya.

Tiada ulasan: