"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasi lemak tercalon sebagai makanan warisan dunia

Ercy Gracella Ajos
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nasi lemak mendapat tempat di persada antarabangsa apabila tercalon dalam senarai calon pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Warisan Dunia, bagi tahun ini.

Antara warisan tempatan lain yang tersenarai sebagai calon layak diiktiraf Warisan Dunia, termasuk Gua Taman Negara Niah di Sarawak dan Kebaya Malaysia.

Dengan kejayaan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tahun ini ialah tahun yang cukup bermakna bagi negara dan bakal dianggap sebagai "Tahun Warisan."

Beliau berkata berikutan penyenaraian itu, 2024 akan dianggap sebagai Tahun Warisan yang mempunyai kepentingan besar bagi Malaysia.

"Antaranya (warisan tersenarai) ialah Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak, dinamakan sebagai calon yang layak mendapat pengiktirafan Warisan Dunia.

"Sementara itu, 'Kebaya Malaysia' yang diaplikasikan bersama negara jiran Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand juga telah dicalonkan sebagai calon Warisan Budaya Tidak Ketara Unesco, mewakili budaya kemanusiaan.

"Pencalonan Budaya Sarapan Pagi Malaysia termasuk Nasi Lemak juga merupakan usaha kementerian untuk memastikan hidangan tradisional rakyat diiktiraf sebagai Makanan Warisan Kebangsaan Malaysia dan tidak akan dituntut oleh negara lain," katanya dalam teks ucapan sempena Malam Apresiasi Media Motac 2024 di Petaling Jaya, semalam.

Majlis penghargaan itu disertai oleh lebih 10 kumpulan media tempatan termasuk Kumpulan Media Prima Berhad, New Straits Times Press (NSTP), Bernama, Star Media Group Berhad, Astro, RTM, dan Sin Chew Daily.

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman mewakili Media Prima menerima sijil penghargaan daripada menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Tiong menyatakan harapan untuk mencapai lebih banyak pencapaian melalui pelbagai program dan inisiatif yang akan dijalankan pada tahun ini dengan bantuan media.

"Ini termasuk Tahun Melawat Melaka 2024, Forum Pelancongan Asean 2025, Hari Pelancongan Sedunia, Persidangan Pelancongan Sedunia 2025, dan paling penting, Melawat Malaysia 2026.

"Saya berharap media akan terus menjadi rakan strategik kami dalam mempromosikan dan meningkatkan program pelancongan dan kebudayaan, serta memartabatkan industri pelancongan Malaysia ke peringkat global.

"Kerjasama erat anda adalah penting, terutamanya dalam memacu kempen Melawat Malaysia 2026 akan datang.

"Dengan bantuan dan sokongan daripada pihak media, kami percaya bersama-sama dapat mencapai matlamat lebih besar dalam mempamerkan keindahan dan keunikan destinasi pelancongan negara kita kepada dunia," katanya.

Tiada ulasan: