"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi utus surat junjung kasih pada Sultan Selangor

Malaysiakini 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini dikatakan mengutus warkah "menjunjung kasih" kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkembangan itu berlaku lima hari selepas Sultan Sharafuddin membuat teguran kepada Abdul Hadi kerana mengeluarkan kenyataan dianggap menghina raja-raja Melayu.

Baginda juga menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan ahli parlimen Marang berkenaan kerana memecah-belahkan umat Islam dengan mengaitkan raja-raja dengan sikap yang didakwanya perlu membawa wawasan kepada kehidupan akhirat, bukannya mengejar kepentingan dunia semata-mata

Tindakan Abdul Hadi kepada Istana Selangor itu dimaklumkan melalui kenyataan di media sosial. Menurut Pejabat Presiden PAS, surat Abdul Hadi dihantar kepada Sultan Selangor melalui setiausaha sulit baginda semalam.

Bagaimanapun tiada perincian lanjut berhubung kandungan warkah berkenaan.

"Adalah dimaklumkan bahawa suatu warkah menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor telah diutus dan diserahkan kepada Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit Baginda Tuanku bertarikh 4 Mac 2024," tulis pejabat presiden PAS.

Untuk rekod polis hari ini hadir di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi merakam keterangan Abdul Hadi berhubung kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini.

Polis juga memaklumkan Abdul Hadi disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada 20 Feb lalu Abdul Hadi - melalui catatannya di media sosial - mengingatkan semua umat Islam termasuk raja-raja supaya menjaga akidah dan meminta mereka turut memikirkan kehidupan di akhirat dan bukan hanya kepentingan duniawi.

Laporan polis wakil istana

Tulisan itu Abdul Hadi itu dipercayai sebagai tindak balas PAS kepada Sultan Sharafuddin yang bertitah meminta semua pihak bertenang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan beberapa peruntukan enakmen dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Pada 29 Feb, Sultan Selangor mengeluarkan teguran terhadap Abdul Hadi, antara lain mengatakan peringatan ahli politik tersebut sebagai "tidak beradab".

Baginda bertitah, Abdul Hadi akan memahami mesej sebenar di sebalik kenyataannya yang menyeru agar semua pihak bertenang sekiranya membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Feb lalu.

Untuk rekod teguran dan rasa kurang senang pihak istana ke atas PAS bukanlah sesuatu yang baru.

Pada Julai tahun lalu Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis terhadap salah seorang pemimpin kanan PAS kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina pihak istana.

Ia melibatkan ceramah Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat merangkap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, di Selayang.

Dalam program ceramah itu, Sanusi membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah - merujuk kepada dirinya sendiri - dengan Selangor dan mengaitkan proses itu dengan pihak istana kedua-dua negeri.

Dalam ucapan sama, dia juga melabel Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebagai ahli politik cokia.

Tiada ulasan: