"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Mana hukum hudud yang menakutkan anda?" - Tanya TGNA kepada bukab Islam

G Manimaran

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Sementara Pakatan Rakyat malam tadi memutuskan pihaknya memerlukan konsensus dalam isu hukum hudud, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meneruskan usahanya meyakinkan bukan Islam dengan memberi jaminan undang-undang itu akan dilaksanakan dengan “telus” dan hanya membabitkan Kelantan buat masa sekarang.


Dalam mesej terbaru disiarkan menerusi laman sosial Facebook awal pagi ini, Nik Aziz (gambar) berkata, beliau mahu memahami kebimbangan bukan Islam dengan jelas dan menyediakan sebanyak maklumat yang boleh demi menjelaskan kerisauan mereka.

“Saudara-saudari bukan Islam, boleh saya tahu bahagian mana hukum hudud yang menakutkan anda?” kata beliau dalam mesej yang disampaikan kira-kira lima jam selepas kepimpinan Pakatan Rakyat mengumumkan pendirian mereka di Kuala Lumpur.

“Saya berharap anda tidak takut dengan hudud hanya disebabkan salah faham, salah persepsi atau disebabkan anda tidak tahu atau tidak pasti,” kata beliau lagi.

Mursyidul Am PAS ini menulis lagi, “saya memberi jaminan bahawa pelaksanaan hudud adalah telus kepada bukan Islam dan hanya terlebih dahulu dilaksanakan di Kelantan.”

Oleh itu tambah beliau, “sila berikan maklum balas.”

“Dan, saya mahu memahami kebimbangan anda dengan jelas dan menyediakan sebanyak jawapan yang boleh untuk mengatasi kebimbangan anda,” kata beliau lagi.

Mesej seumpama itu merupakan yang keempat dalam tempoh seminggu ini.

Dalam mesej semalam, Nik Aziz memberi “jaminan” undang-undang hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Katanya, undang-undang itu yang diusahakan sejak 17 tahun lalu untuk dilaksanakan di Kelantan hanya meliputi masyarakat Islam.

Pada 24 September lalu, Nik Aziz meminta bukan Muslim memberi pandangan jujur sama ada mereka akan bersetuju jika undang-undang itu dilaksanakan.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan berusaha untuk melaksanakan undang-undang ini sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994 ketika pentadbiran Dr Mahathir.

Isu itu berkembang semula sebagai kontroversi minggu lalu Nik Aziz menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan satu kenyataan minggu lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi ia tidak dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Malam tadi, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud, yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu, tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sidang media tengah malam tadi bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua ketiga-tiga parti dalam perikatan itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

Bagaimanapun dalam mesej pagi ini, Nik Aziz tidak menyentuh keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat malam tadi.

1 ulasan:

tungkaran hati.blogspot berkata...

Isu Hudud: Akhirnya kebenaran terpancar jua...!
Perjuangan PAS sememangnya tersasar jauh!
Keberanian PAS hancur dalam PR terutamanya bila berhadapan dengan DAP! Segala keputusan mesyuarah dalam PR mestilah mengikut kehendak DAP!
Mana wajah kepimpinan PAS? sedangkan penyokong dan pengundi PAS mahukan PAS yang gagah dan berani dan bukannya sebagai pengecut dalam gabungan PR.
Berjuanglah kerana Islam dan negaramu bukannya setakat slogan menawan Putrajaya sahaja...!