"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hantar anak ke balai polis kerana tak siapkan kerja sekolah

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
MUHAMMAD  Syauqi Hazim Suhami dibawa ke balai polis oleh ibunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. FOTO Ihsan Nor Syuhada Mohd Zahri
MUHAMMAD Syauqi Hazim Suhami dibawa ke balai polis oleh ibunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. FOTO Ihsan Nor Syuhada Mohd Zahri
Melaka: Demi memberi pengajaran, Nor Syuhada Mohd Zahri sanggup ke balai polis kononnya untuk membuat aduan mengenai sikap anak bongsunya, Muhammad Syauqi Hazim Suhaimi yang tidak menyiapkan kerja sekolah.

Kisah itu dikongsikan Nor Syuhada, 42, di TikTok dan tanpa disangka mendapat perhatian walaupun niatnya hanya mahu berkongsi cerita dan gambar mencuit hati anaknya sewaktu pertemuan dengan anggota polis bertugas.

Bercerita lanjut, Nor Syuhada berkata, idea membawa anaknya ke balai polis tercetus secara spontan ketika dalam perjalanan ke rumah selepas mengambil anaknya di sekolah.

Katanya, kehadirannya ke sekolah sebelum itu adalah kerana dipanggil guru yang mengadu perihal Muhammad Syauqi Hazim, 11, atau nama manjanya Syauqi.

"Saya terima kiriman WhatApp daripada cikgu sekolah ketika mesyuarat dan diberitahu anak tak bawa buku serta tak siapkan kerja sekolah.

"Jadi tanpa membuang masa, saya terus ke sekolah selepas mesyuarat dan waktu perjumpaan di kantin, anak menangis apabila saya dengan cikgu mengusik kononnya nak hantarnya ke sekolah Henry Gurney.

"Dalam kereta, saya nampak Syauqi (nama panggilan anak) termenung. Disebabkan tak nak nampak macam main-main, saya terus bawanya ke balai polis dan anggota bertugas faham.

"Jadi dia pun 'berlakon' bila jumpa Syauqi sehingga anak sedar kesalahannya selepas diberi peringatan mengenai akibat buruk kalau tak siapkan kerja sekolah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sejak kejadian itu, Nor Syuhada nampak perubahan sikap anaknya yang lebih rajin menyiapkan kerja sekolah.

Nor Syuhada turut memuat naik aplikasi saman sebagai taktik memastikan Muhammad Syauqi Hazim takut jika tidak menyiapkan kerja sekolah dan mengikut arahan.

"Sebelum ini, saya memang pantau anak termasuk kerja sekolahnya terutama apabila dia leka bermain telefon bimbit di rumah.

"Jika sibuk, saya minta abangnya periksa beg sekolahnya dan tak ada buku tulis.

" Saya pun guru sekolah pendidikan khas jadi hairan juga bila anak kata tak ada kerja sekolah langsung dan tak mungkin cikgu simpan buku anak.

"Jadi, bila dapat aduan daripada guru, saya fikir apa dilakukan itu pendekatan terbaik bagi mendidik anak sementara dia masih muda," katanya.

Nor Syuhada mengakui ada segelintir netizen yang tidak bersetuju dengan pendekatannya terhadap anak selepas berkongsi hantaran di TikTok.

"Ada juga kata saya kongsi kerana nak publisiti murahan. Saya tak marah kerana itu pandangan mereka dan masing-masing ada cara mendidik anak.

"Bagi saya, anak ibarat kain putih dan sebagai ibu, saya yang perlu mencorakkannya.

"Alhamdulillah, saya sendiri nampak perubahan pada anak dan sebelum ini berinya telefon bimbit pun untuk pembelajaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sebab manjakan tapi keperluan ketika itu," katanya.

Tiada ulasan: