Shahbudin Husin
Bagi mereka yang mengikuti dan faham perjalanan politik Tun Mahathir Mohamad, rata-rata dapat merasakan perseteruannya dengan Anwar Ibrahim hanya akan berakhir apabila nyawa terpisah daripada jasadnya.
Selagi bernyawa, beliau dipercayai akan terus bermusuh, sedaya upaya menyekat atau setidak-tidaknya mengganggu kemaraan politik Presiden PKR itu.
Di sebalik Anwar diketahui memang sudah lama memaafkan Tun Mahathir, malah sedia menyambut huluran tangan bekas Perdana Menteri itu untuk berbaik dan seterusnya bekerjasama menjelang PRU 2018 lalu, hubungan baik mereka ternyata tidak bertahan lama.
Sebaik berkuasa semula, bibit-bibit ke arah “mengencing” Anwar sudah mula terlihat daripada gerak-geri, tingkah laku dan nadanya bersuara..
Tidak perlu dihuraikan panjang lebar bagaimana segalanya itu berlaku, tetapi yang nyata bukan daripada Anwar ia berpunca.
Mengimbas sebelum itu, selepas bersara pada 2003 dan kemudian keluar daripada persaraan untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi, meskipun ada permintaan agar beliau kembali semula ke dunia politik, Tun Mahathir dengan tegas menolak gesaan tersebut.
Alasannya, beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.
Begitu juga, ketika pentadbiran Najib Razak yang ditonjolkannya untuk menggantikan Tun Abdullah mula bermasalah, khususnya berkaitan karenah Rosmah Mansor, pembaziran, suka bermewah, merebaknya budaya “cash is king” dan seterusnya skandal 1MDB, di sebalik beliau mula melakukan serangan dan kritikan, Tun Mahathir tetap menolak gesaan untuk bertanding semula.
Beberapa kali permintaan itu diajukan kepadanya, tetapi jawapannya tetap sama iaitu beliau telah menjadi Perdana Menteri selama 22 sebelum itu.
Hanya apabila skandal 1MDB semakin meresahkan rakyat, Najib semakin ditolak dan terlihat kemungkinan PH ada peluang meraih kemenangan, barulah beliau memulakan langkah berubahnya.
Bermula dengan Deklarasi Rakyat, mendekati pemimpin-pemimpin PH, bertemu Anwar di mahkamah, menubuhkan Bersatu, menawarkan diri mengetuai PH, bertanding dalam PRU15 dan menuntut perlunya Bersatu diberi kerusi majoriti untuk ditandingi.
Walaupun mungkin berubahnya perdirian beliau itu kerana ingin menjatuhkan Najib, tetapi ia juga tentu disebabkan untuk menghalang kemaraan Anwar.
Tun Mahathir tidak mustahil dapat merasakan peluang PH untuk menang PRU14 sangat cerah kerana penolakan rakyat terhadap Najib atas isu 1MDB amat besar, maka jika beliau tidak berada dalam PH, ia pasti kemudiannya akan memberi laluan mudah untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
Selepas memegang jawatan Perdana Menteri, walau bersetuju dengan janji peralihan kuasa, nyata Tun Mahathir mula berdolak-dalik mengenainya, mula memecah-belahkan PKR melalui Azmin Ali, melemahkan PH secara halus dengan antaranya enggan menunaikan beberapa janji manifesto pilihanraya, membawa kumpulan penentang Anwar dalam UMNO untuk menyertai Bersatu dan macam-macam lagi.
Semuanya itu dilakukan dengan hanya satu tujuan – untuk menyekat Anwar menjadi Perdana Menteri.
Tindakan Tun Mahathir meletak jawatan tanpa berunding dengan PH adalah strateginya untuk kembali berkuasa tanpa terikat lagi dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar.
Walhal, sebelum Langkah Sheraton itu, bukan saja semua gerakan mengumpul sokongan untuk beliau terus menjadi Perdana Menteri melalui pembentukan kerajaan baru adalah dengan restu dan lampu hijaunya, malah pada petang hari Langkah Sheraton itu diadakan juga semua pemimpin parti yang menyokongnya mengadakan perjumpaan di kediamannya.
Tun Mahathir setuju dengan semua gerakan itu kerana ia bertujuan mengekalkannya sebagai Perdana Menteri sambil Anwar tidak lagi menjadi penggantinya.
Selepas meletak jawatan dan dilantik sebagai Perdana Menteri interim, beliau terus tampil dengan idea kerajaan perpaduan yang akan menjadikannya memiliki kuasa tanpa had dan berjaya mengenepikan Anwar sebagai penggantinya.
Mujur idea kerajaan perpaduan itu ditolak UMNO dan Pas kerana ia akan melibatkan DAP sama.
Selepas kegagalan itu, beliau terus cuba bersaing untuk menjadi Perdana Menteri, meski dalam tembual semua Ahli-Ahli Parlimen dengan Agong, beliau hanya mampu memperolehi undi paling sedikit sekali.
Bagi undian kali ketiga selepas itu, beliau terus mahu menjadi Perdana Menteri lagi dan meskipun Anwar sedia beralah dengan memberi sokongan kepadanya, Tun Mahathir tetap enggan melatakkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
Lihat, betapa pendendam dan busuk hatinya.
Begitu pun, semuanya sudah terlambat apabila Muhyiddin Yassin akhirnya, dengan disokong UMNO dan Pas, lebih dulu diyakini oleh Istana Negara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Dalam beberapa cubaan untuk blok pembangkang mengembalikan mandat rakyat seterusnya, Tun Mahathir kemudiannya tetap berkeras untuk dirinya dilantik semula sebagai Perdana Menteri.
Apabila namanya tidak dipersetujui dan beberapa rundingan dengan PH menemui kegagalan,!beliau selepas itu menonjolkan nama Shafie Apdal pula.
Maknanya, nama untuk memberi laluan dan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak sama sekali akan dilakukan oleh Tun Mahathir.
Kemudian, apabila setiap kali Anwar cuba berusaha untuk mengambil alih kuasa, pasti ada saja gerakan dan gangguan yang cuba dilakukannya, terakhir sehari sebelum pengundian bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 baru-baru ini di mana Tun Mahathir tampil dengan Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk memimpin negara secara percuma dan tanpa gaji.
Sekarang ini, di sebalik Anwar dipercayai akan terus berusaha mengembalikan mandat rakyat berdasarkan keyakinan PH terhadapnya, tiba-tiba muncul pula suatu gerakan lain ke arah mewujudkan semula PH Plus, perlunya dibentuk gabungan besar pembangkang, tetapi diselitkan syarat PH harus menukar penerajunya.
Tidak lain, semua ini adalah agenda untuk membawa semula Tun Mahathir menerajui blok pembangkang dan sekali lagi tujuan lainnya ialah bagi mengenepikan Anwar.
Dengan kemelut PN dan MN, UMNO dan Bersayu yang terus berpanjangan di mana pembahagian kerusi bakal menjadi masalah besar, pertandingan tiga penjuru – BN, PH dan PN – dalam PRU akan datang adalah sukar dielakkan.
Dalam hal ini, Tun Mahathir sedar peluang PH menang pilihanraya adalah cerah, kalau pun tidak secara bersendirian, mungkin dengan mewujudkan kerajaan campuran selepas itu.
Dalam erti kata lain, peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tetap ada dan terbuka.
Sebab itu, selain sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang, namun kemudian menarik balik keputusan itu, Tun Mahathir kini tidak lagi pernah menyebut soal persaraannya.
Disebabkan Anwar masih ada, beliau seolah-olah sudah lupa untuk bersara.
Percayalah, Tun Mahathir tidak akan berhenti berpolitik selagi Anwar ada, lebih-lebih jika ruang untuk Pengerusi PH itu menjadi Perdana Menteri sentiasa terbuka.
Harus juga jangan lupa, dalam sidang media bersama Ku Li baru-baru ini, Tun Mahathir turut menyatakan dirinya tidak perlu tunduk dan taat kepada Anwar, meskipun beliau berada di blok pembangkang.
Soalnya, adakah pihak tertentu dalam PH sendiri sekarang sudah buta, kalau pun tidak “gila”, sehingga mahu membuang masa bekerjasama semula dengan seseorang yang mempunyai ciri khianat dan dendam paling dahsyat seperti Itu?
Bukankah lebih baik dibiarkan beliau mereput begitu saja? (Shahbudindotcom 20/12/2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan