FMT Reporters
PETALING JAYA: Naib Presiden AMANAH Mujahid Yusof Rawa berkata, Amanah setia berada di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim dalam mempertahankan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, sekarang bukanlah masa untuk saling memberi tekanan, sebaliknya perlu berganding bahu dan membantu Anwar meneruskan perjuangan gabungan pembangkang itu.
“Masa ini bukan untuk memberi tekanan, masa ini adalah untuk menyokong, membantu berganding bahu sehingga keputusan bersama sampai di penghujungnya.
“Saya yakin kita bersama kepimpinan Anwar Ibrahim di dalam keluarga besar ini bukan kerana namanya Anwar Ibrahim, tetapi kita bersama kerana agenda besar yang beliau pertahankan, dipenjara kerananya dan menderita kerana beriltizam dengannya,” katanya.
Mujahid berkata, parti itu selesa dan yakin bahawa dasar prinsip “Rahmatan Lil Alamin” (RLA) adalah seiring dengan agenda reformasi yang diinstitusikan oleh Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Ahli setiap parti harus jelas perjalanan ini dan tak perlu tergesa-gesa menekan kepimpinan parti masing-masing dengan meletakkan tarikh dan usaha tertentu sebagai tanda kegagalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa PH berada di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, ramai ahli PPBM gagal memahami agenda besar itu sehingga membawa kepada pembelotan.
“Pembelotan mereka adalah terhadap agenda besar dan erti kesetiaan. Mereka memilih untuk khianat, bukan kita menghalau mereka,” katanya merujuk kepada langkah Presiden PPBM Muhyiddin Yassin keluar PH sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan pimpinan Mahathir pada Mac tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan