"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR Sarawak goyah lagi, Larry Sng timbang keluar parti

Goh Pei Pei

KUCHING: PKR Sarawak bertambah goyah susulan pengumuman Ahli Parlimen Julau Larry Sng bahawa beliau mungkin terus keluar daripada parti itu setelah meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak pagi tadi.

Sng akan menemui presiden parti Anwar Ibrahim sebelum membuat keputusan muktamad bersabit keahliannya dalam parti itu.

Beliau berkata keputusannya meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak sudah dimaklumkan kepada Anwar menerusi pesanan teks.

Sng enggan mengatakan kenapa beliau menimbang untuk terus keluar PKR tetapi menegaskan “saya akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Anwar dalam beberapa hari,” sebelum membuat keputusan sama ada terus bersama PKR.

Beliau menafikan tindakannya berundur sebagai pengerusi PKR Sarawak adalah kerana pertikaian dalaman Pakatan Harapan bersabit pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri itu pada tahun hadapan.

Sng berkata pengagihan kerusi antara parti komponen PH berjalan lancar dan dijangka selesai tidak lama lagi.

“Perletakan jawatan saya tidak ada kaitan dengan rundingan pengagihan kerusi atau mengenai niat DAP untuk bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB). Malah saya menyokong PH untuk bekerjasama dengan PSB,” beliau memberitahu FMT.

Mei lalu, PKR Sarawak goyah apabila bekas pengerusinya Baru Bian menyertai PSB kerana tidak sehaluan dengan Anwar dan pimpinan PKR negeri. 

Sng berundur sebagai pengerusi PKR Sarawak kerana yakin parti itu boleh mencapai prestasi lebih baik jika diterajui oleh pemimpin keturunan Dayak.

“Kaum Dayak tidak diwakili dengan secukupnya dalam kepimpinan tertinggi di dalam kerajaan dan parti pembangkang sungguhpun mereka merupakan kaum majoriti di Sarawak,” kata beliau.

“Justeru saya mahukan kepimpinan PKR Sarawak diterajui pemimpin Dayak dan saya akan mencadangkan beberapa nama kepada Anwar,” tambah beliau.

Pengunduran Sng sebagai pengerusi PKR Sarawak dijangka menjejaskan persiapan dan perpaduan parti dalam menghadapi PRN negeri sebelum Jun depan.

Beliau dilantik pengerusi PKR Sarawak Mac lalu, menggantikan Baru yang juga bekas menteri kerja raya.

Sng sebelum ini dilaporkan berkata PKR akan bertanding di 44 kerusi DUN pada PRN Sarawak, manakala DAP bersaing di 26 kerusi dan Amanah, 12.

Tiada ulasan: