"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Ustaz Budak’ didakwa cium pipi, cabul lelaki

MALAYSIA DATELINE 

Seorang ustaz yang juga pengurus madrasah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel minggu lalu.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, yang lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Budak’ bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pertuduhan terhadap penceramah Pas itu dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Menurut pertuduhan, ‘Ustaz Budak’ didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi mangsa pada jam 1.15 pagi, 16 Disember lalu di sebuah bilik hotel dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh yang juga pengusaha madrasah di Machang perlu menguruskan 150 pelajar.

“Pendapatan tertuduh hanya RM2,500 hingga RM3,000 sahaja selain perlu menanggung ibu yang merupakan orang kurang upaya dan enam adik-beradik dengan ada yang masih bersekolah,” dipetik Bernama.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 21 Januari depan untuk serahan dokumen.

Minggu lalu, polis menahan seorang guru agama berusia 32 tahun di sebuah madrasah di Machang yang dituduh mencium pipi dan mengesel kemaluan di paha seorang ahli perniagaan lelaki berusia 30 tahun di sebuah hotel di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Untuk rekod, Ustaz Budak yang merupakan bekas pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Madrasah Syamsul Maarif, Pulai Chondong, Machang dikatakan mula berceramah di masjid sejak berumur belasan tahun.

Penceramah yang dikenali dengan suara nyaring itu difahamkan pernah menyambung pengajian di Yaman.

Kerap berceramah di pentas Pas dengan lantang menyerang Umno, Ustaz Budak pernah menggemparkan negara apabila didakwa menyamakan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Bagaimanapun, dia kemudiannya menafikan dakwaan tersebut. Ustaz Budak menjelaskan ceramahnya itu mengaitkan kepimpinan dan pemerintahan Mursyidul Am Pas berkenaan sebagai mencontohi Rasulullah.

Tiada ulasan: