"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cecair vape tidak dikawal umpama bom jangka, kata pemerhati

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Chen (bukan nama sebenar) memesan kapsul nikotin dari China dengan harga runcit yang murah untuk ditambahkan ke dalam cecair vape.

Beliau mengupah pekerja asing untuk mencampurkan nikotin bersama cecair berperasa bagi memenuhi permintaan perokok.

“Saya agak-agak berapa banyak yang perlu ditambah. Kita mempunyai sukatan sendiri. Setakat ini, tidak ada aduan daripada pembeli kami dan mereka berpuas hati dengan produk kami,” katanya kepada FMT, tetapi mahu identitinya dirahsiakan.

Katanya, beliau menyedari bahaya penggunaan nikotin yang tidak terkawal, malah kuantiti yang melebihi jumlah dibenarkan boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah, mempengaruhi denyutan jantung dan menyebabkan arteri tersumbat yang boleh mengakibatkan serangan jantung.

“Tetapi disebabkan ramuannya tidak dikawal, saya akan meneruskan operasi saya,” katanya yang menambah jumlah “pengeluar cecair vape baharu” yang kini semakin meningkat bagi memenuhi permintaan.

Chen mula menceburkan diri dalam perniagaan ini lima tahun lepas dan beroperasi dari sebuah lot kedai satu tingkat di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, dan perniagaannya berkembang maju.

Bagaimanapun, pemerhati industri tembakau memberi amaran kepada Putrajaya mengenai industri yang tidak dikawal itu dan kesan bahan perasa serta dos nikotin yang tidak terkawal.

Mereka berpendapat, dengan mengawal sektor ini kerajaan berpotensi memperoleh pendapatan duti eksais hingga RM300 juta pada tahun pertama jika e-cecair dimasukkan sebagai sebahagian daripada industri tembakau, yang ketika ini bernilai RM2.27 bilion setiap tahun.

Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia Adzwan Ab Manas berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 1.12 juta penghisap vape di seluruh negara.

“Apa yang membimbangkan ialah tidak ada peraturan tentang apakah yang boleh atau tidak boleh digunakan sebagai bahan perasa,” katanya yang turut mengingatkan ia seperti bom jangka.

“Ini membolehkan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan bahan terlarang dan dianggap berbahaya di negara maju, termasuk di Kesatuan Eropah.

“Bahan-bahan tersebut dilarang kerana kesan karsinogenik, mutagenik atau reprotoksik,” katanya kepada FMT.

Bahan karsinogenik boleh menyebabkan barah, manakala mutagenik mengakibatkan perubahan DNA, sementara reprotoksin adalah bahan kimia yang mengganggu kesuburan lelaki dan wanita.

Adzwan berkata, perokok beralih daripada rokok kepada vape kerana menganggap ia lebih sihat, tetapi industri yang tidak dikawal tetap tidak selamat.

Adzwan menganggarkan lebih 90% cecair vape yang dibeli pengguna di Malaysia mengandungi nikotin dan hampir tiada permintaan untuk cecair vape bukan nikotin, bahkan penjualan cecair vape nikotin haram berjumlah sekitar RM2 bilion setiap tahun.

Beliau berkata, ketika ini nikotin adalah racun berjadual di bawah Akta Racun 1952 dan produk yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi atau doktor berlesen yang direka untuk membantu perokok berhenti merokok.

UK melarang sebarang bahan yang membahayakan kesihatan manusia dalam bentuk panas atau tidak dipanaskan, vitamin atau bahan tambahan lain yang kononnya memberi kesan manfaat kesihatan.

Negara itu juga melarang penggunaan kafein atau taurin, sebatian perangsang berbahaya lain dalam produk vape.

Presiden Persatuan E-Liquid Brewers Malaysia Zack Arifin, berkata disebabkan itu piawaian e-liquid perlu dilaksanakan sebagai syarat wajib bagi pengeluar.

Zack berkata, setiap produk baharu harus didaftarkan untuk diluluskan sebelum dijual di pasaran terbuka kerana beberapa bahan berpotensi membahayakan jika melebihi tahap piawaian yang diluluskan.

Katanya, sebagai contoh, menurut Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja menghirup diacetyl, iaitu sebatian perasa yang digunakan dalam vape, dikaitkan dengan kerosakan paru-paru yang tidak dapat dipulihkan dalam kalangan pekerja kilang.

Tambah beliau, penghisap vape di negara ini sangat memerlukan undang-undang untuk melindungi mereka daripada bahan kimia berbahaya dalam cecair vape bagi mengelakkan kesan jangka panjang.

Beliau mengusulkan agar Putrajaya membuat undang-undang yang serupa dengan undang-undang di UK, menyenaraikan daftar bahan terlarang dan membuat kerangka menyusun semula industri, yang melibatkan pengilang, pengimport, pengedar, pemborong dan peruncit.

31 Mei adalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia dan tema tahun ini adalah “Komitmen untuk Berhenti”.

Ia dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 1987 untuk menangani krisis tembakau global, penyakit dan kematian yang disebabkan oleh tembakau.

Tiada ulasan: