"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis cari pemilik akaun Twitter mantouyeoja

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Subang Jaya: Polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter @mantouyeoja yang memuat naik hantaran mendakwa anggota polis melakukan pemerasan terhadap kakak sepupunya ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, bagaimanapun semakan mendapati hantaran berkenaan sudah dipadam individu terbabit.

"Individu berkenaan didapati memuat naik tiga gambar tangkap layar memaparkan perbualan melalui aplikasi WhatsApp bersama kakak sepupunya yang didakwa diperas oleh anggota polis.

"Wanita berkenaan kononnya mendakwa ada diperas ugut selepas gagal mengemukakan surat kebenaran merentas daerah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Khalid berkata, kakak sepupu individu berkenaan turut mendakwa tindakan itu sudah menjadi amalan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas.

"Sehingga kini, masih belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh kakak sepupu individu berkenaan bagi mengesahkan kejadian terbabit.

"Susulan itu, satu laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Twitter @mantouyeoja dan kami menyeru individu terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang gambar tangkap layar berkenaan atau memberi komen yang boleh menyentuh atau mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

"Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998. Hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika disabit kesalahan.

"Pihak polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terbabit dalam aktiviti sedemikian.

"Pemantauan secara berterusan dan konsisten akan terus dilakukan di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Tiada ulasan: