"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS serah isu abang Khai kepada pihak polis

N Faizal Ghazali

PAS menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan percubaan rentas negeri yang membabitkan anggota parlimennya, Khairuddin Aman Razali.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini parti itu tidak mempunyai maklumat lanjut.

"Kes masih dalam siasatan pihak berkuasa, parti tak dapat laporan daripada pihak berkuasa.

"Saya tangguhkan ulasan dan serah kepada pihak polis," katanya pada sidang media ketika di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Khairuddin yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Rehat Rawat (R&R) Perasing, Kemaman.

Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu, namun berkata siasatan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Dev Kumar ketika dihubungi pula mengesahkan bahawa siasatan sedang dilakukan.

Bagaimanapun anggota Parlimen Kuala Nerus itu menafikan dakwaan dia ditahan di SJR Perasing dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang memfitnah termasuk mengaitkannya mempunyai hubungannya dengan seorang selebriti wanita. 

Sementara itu Takiyuddin secara umumnya berkata, PAS adalah parti yang akur kepada undang-undang.

"Apabila dikatakan sesiapa sahaja pemimpin ahli dikatakan lakukan kesalahan kita serah kepada pihak berkuasa.

"Orang yang dituduh itu punyai hak bela diri, prinsip undang-undang seseorang tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah," katanya yang juga menteri di jabatan perdana menteri (Parlimen dan Undang-undnag).

Tiada ulasan: