"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Walau banjir besar ragut nyawa, menteri hadiri majlis tari-menari

FAZLI RADZI

Wajah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri yang terpampang di pentas majlis tari-menari di Eastin Hotel Kuala Lumpur berlaku ketika ribuan rakyat terjejas akibat banjir besar akhir tahun ini.

Gambar Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong itu turut tertera pada kad Majlis Ramah Mesra Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tular di media sosial.

Turut dikongsikan orang ramai ialah klip video berdurasi lapan saat menyaksikan majlis menari yang berlangsung malam semalam dengan diakhiri tepukan dan sorakan meriah.

Aiman Athirah Al Jundi

Mengulas perkara tersebut, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Al Jundi mempersoal di mana kepekaan Nancy ketika pihak kerajaan dilihat bermasalah dalam pengurusan banjir besar.

“Sebagai anggota Menteri Kabinet daripada kalangan wanita yang patutnya punya jiwa lebih halus dan empati lebih tinggi, tidakkah Nancy punya keutamaan yang lebih untuk mengejutkan PM (Perdana Menteri) dan anggota-anggota pentadbiran yang lena berdengkur?” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berpendapat Kabinet gagal memberi keutamaan membantu rakyat jelata yang masih bertarung nyawa dan sugul duka bukan kepalang atas segala kehilangan dan kemusnahan yang baharu dilalui.

Ahli Dewan Negara berkenaan turut mempersoal rasa kemanusiaan Nancy dan semua pihak terlibat dalam penganjuran majlis yang dilihat gagal mematuhi penjarakan fizikal seperti kerap diingatkan Kementerian Kesihatan itu.

“Tidakkah punya sekelumit perasaan duka terhadap peristiwa banjir besar yang meragut puluhan nyawa rakyat, warga emas, OKU, bahkan bayi yang jatuh dan mati lemas semasa operasi bantuan itu berupaya mengetuk fitrah seorang ibu Nancy?

“Di mana keutamaan dan perasaan kalian ini?!” tegas Athirah.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pemimpin yang tidak menghormati perasaan rakyat yang menjadi mangsa bencana banjir besar tidak terpilih pada pilihan raya umum nanti.

“Semoga Allah jauhkan rakyat daripada kamu, dan Allah cabut kekuasaan yang kamu miliki, hiduplah kamu dalam dunia keseronokan kamu sendiri,” katanya lagi.

Program dengan aksi menari rancak ini berlangsung ketika angka korban bah besar semakin meningkat dengan ada yang masih hilang.

Tiada ulasan: