"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita maut dihempap pokok getah

Bernama

TANAH MERAH: Seorang penoreh getah meninggal dunia dipercayai dihempap sebatang pokok getah di Kampung Air Sejuk, Kelewek, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Zainuddin Md Yusuf berkata, warga Thailand Anisa Latif, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian disedari apabila suaminya mendapati mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak awal pagi untuk menoreh getah.

“Suaminya keluar mencari dan menjumpai mangsa di tempatnya menoreh getah dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dengan terdapat darah keluar daripada mulut dan hidung.

“Setelah itu, suami mangsa telah menghubungi pihak hospital dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati ada sebatang kayu pohon getah yang telah reput berada di kawasan mangsa terbaring.

“Polis tidak menolak kemungkinan batang kayu tersebut telah tumbang dan menimpa mangsa. Pada masa sama, suami mangsa telah mengalihnya dari kedudukan asal ke tepi jalan.

“Tiada sesiapapun di lokasi pada hari kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Tanah merah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Tiada ulasan: