"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

32 aktivis politik dilarang mengajar di masjid, surau Selangor

FMT Reporters

SHAH ALAM: Tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada 32 aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Dis ini.

Perkara itu diputuskan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.

Pengerusi MAIS, Abdul Aziz Yusof, berkata Sultan Sharafuddin tidak perkenan tauliah mengajar itu diberikan kepada mana-mana aktivis politik bagi menjaga kesucian agama Islam di Selangor.

Katanya, baginda bimbang ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan parti politik yang akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam.

“Selaras dengan titah itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah yang dikeluarkan kepada pemegang tauliah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Aziz bagaimanapun berkata, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan ajaran agama Islam.

“Namun, dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan. Pengecualian itu selaras titah Sultan Selangor.”

Katanya, mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Mereka yang bertindak mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam merupakan kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Tiada ulasan: