"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Ustaz, Tuan Guru dan Maulana mungkin jadi gelaran tidak bernilai?

DR HK

Saya agak musykil melihat banyaknya gelaran tuan guru, murabbi, maulana, sheikh, pelbagai laqab sekarang kepada tenaga pengajar muda.

Adakah ia diberikan oleh anak-anak murid dan pengikut sosok berkenaan dengan kerelaannya atau pun tidak?

Ada sesetengahnya itu saya kenal latar belakang pengajian, prestasi akademik dan keilmuan, ketrampilan peribadi mereka. Sama ada mereka memang dari latar pengajian Islam formal atau pun celup beberapa bulan di pusat-pusat pengajian agama tidak formal.

Tidak salah untuk sesiapa meningkatkan kefahaman agama tetapi tidaklah mudah untuk diangkat menjadi marajik dengan pelbagai gelaran yang pada hakikatnya tidak sesuai dengan kadar diri.

Setiap gelaran ada sejarah, nilai dan kemuliaannya tersendiri. Dalam kalangan Syafi’iyyah, gelaran al-Imam hanya dirujuk pada Imam al-Haramain al-Juwayni, al-Ustaz hanya dipakai bagi Abu Hamid al-Isfarayini, al-Sheikh hanya bagi Abu Ishak Ibrahim al-Syirazi, al-Qadi bagi al-Husain dan Abu Abu Tayyib, Shaykhain hanya Imam al-Rafi’i dan Imam Nawawi dan seumpamanya. Bukan senang-senang dipakai gelar tersebut.

Kisah menarik kenapa Imam al-Syirazi pengarang al-Muhazzab, al-Tabsirah, al-Luma’ dan syarhul luma’ mesti disebut gelaran al-Shaykh padanya.

Ini kerana ia adalah panggilan Rasulullah SAW “Ya Shaikh” dalam mimpi Imam tersebut kepadanya. Mimpi itu sohor dalam kalangan ulama sezamannya.

Mereka iktiraf keabsahan mimpi walau pun bukan wahyu kerana ketaqwaan al-Syirazi suatu hal yang tidak dipertikaikan. Beliau faqir miskin dan tidak pernah mengerjakan haji sepanjang hayat kerana tidak berwang. Tidak mempunyai pakaian yang cantik lengkap.

Kalau sebelum ini, orang kenamaan berlumba untuk membeli anugerah Dato’, Datuk, Dato’ Seri, Tan Sri untuk mengekalkan pengaruh dalam masyarakat.

Keghairahan itu berjangkit pula pada golongan agamawan yang zahirnya suka diangkat dengan gelaran-gelaran yang belum wajar dimilikinya. Jangan terpesona dengan jubah dan serban yg dipakai. Ia bukan syarat menjadi ustaz dan tok guru.

Ada orang bukan asal ustaz, suka dirinya dipanggil ustaz. Ada yang ustaz tapi suka dipanggil maulana, tuan guru, murabbi dan lain². Mungkin tidak suka, tapi dia membiarkan tanpa menafikan panggilan itu.

Saya bukan iri hati, dengki pada mereka. Tapi hal demikian merosakkan hirearki keilmuan dalam masyarakat apabila “ramainya ustaz dan tuan guru” yang memberikan macam² pandangan dan “fatwa”. Juga tidak berasa hati orang tidak memanggil saya TG atau maulana. Tapi masalahnya saya tahu tahap keilmuan sebenar mereka. Malah guru² hebat kami pun tidak diangkat setinggi itu.

Selalu dalam majlis ilmu samada formal atau tidak, saya akan minta panggil saja saya Dr kerana itu memang gelaran akademik yg saya layak perolehinya sampai mati. Atau panggil saja ustaz kerana saya memang dari latar pengajian syariah formal dari 4 Thanawi sampai ke PhD.

Tapi realitinya saya kurang gemar dipanggil ustaz kerana tiada beza saya dengan “ustaz-ustaz” generik di pasaran. Lulusan bahasa Arab pun dipanggil ustaz. Buka maahad tahfiz pun dipanggil ustaz. Simpan janggut pakai kopiah pun dipanggil ustaz.

Dengan label ustaz secara murahan ini, saya dan kawan² lain termasuk guru² kami yang berkelayakan akan disetarafkan dengan orang² ini pada mata masyarakat. Itu amat tidak sihat.

Saya perhatikan semua gelaran seperi Ir, Ar, Ts, Sr, akauntan dikawal oleh badan profesional masing². Graduan engineering bukan otomatik layak disebut engineer.

Bila kerja engineer bukan boleh sesuka hati letak pula kat namanya Ir. Kena lulus examnya dulu. Tapi semua itu tidak berlaku pada pengajian Islam yang berbagai cabang ilmunya. Belajar hadis pun ustaz.

Belajar tajwid pun ustaz. Belajar tasawuf pun ustaz. Ada yang kerja tukang kebun tapi menyertai parti Islam juga dipanggil ustaz.

Yang bahayanya bila dipanggil ustaz ialah orang akan anggap serba tahu tentang Islam termasuk hukum syarak. Lebih mudarat apabila, yang dipanggil ustaz ini cuba menjawab persoalan besar yang bukan bidang takahssusnya.

Orang awam tidak tahu hal ini. Hanya dia yg tahu. Namun seperti biasa, mana boleh ‘ustaz’ kata tidak tahu, jatuhlah reputasinya.

Jika kita meletakkan gelaran keilmuan hormat itu pada tempatnya, masyarakat awam akan tahu merujuk kepada ahli yg sebenar dalam bidang takhassusnya. Begitu juga dapat dikurangkan ajaran² sumbang, pelik dan tidak releven dalam kalangan awam.

Memang agama hak semua org Islam tetapi ia mempunyai ahlinya, bukan semua org layak berbicara.

Lama dah saya perhati dan ingin menyuarakan hal ini. Jika keadaan ini berkekalan, gelaran ustaz akan menjadi suatu yang tidak lagi ‘bernilai’!

Tiada ulasan: