"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lompat parti bawa untung jangka pendek, sakit jangka panjang buat PN, kata penganalisis

Faye Kwan

PETALING JAYA: Selepas Dr Xavier Jayakumar menjadi Ahli Parlimen terbaru meletak jawatan dari partinya untuk menyokong kerajaan, seorang penganalisis politik percaya tindakan lompat parti hanya akan memberikan kestabilan jangka pendek untuk Perikatan Nasional., 

Pemerhati politik dan bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, beberapa Ahli Parlimen tambahan tidak akan memanfaatkan pakatan itu pada pilihan raya akan datang kerana kini ia perlu menyusun pembahagian kerusi dengan wakil tambahannya.

Beliau menjangka keadaan akan mewujudkan “kemelut” dalam kalangan parti komponen PN, termasuk pertelingkahan berhubung kerusi tertentu.

“Apabila (Ahli Parlimen terbabit) memenangi kerusi pada pilihan raya lalu, ia bukan sekadar berdasarkan populariti individu, tetapi juga parti diwakili.

“Jadi untuk jangka panjang ini sebenarnya boleh menjadi kekurangan buat PN,” katanya kepada FMT.

Katanya, tidak mengejutkan jika lebih ramai Ahli Parlimen bertukar arah atas alasan membantu kerajaan mengurus pandemik Covid-19.

“Xavier tidak akan menjadi Ahli Parlimen terakhir yang keluar parti untuk menyokong PN.”

Semalam, Xavier mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden dan ahli PKR sekali gus berkata, beliau akan terus berkhidmat untuk kawasan Parlimen Kuala Langat yang diwakilinya, selain menyokong kerajaan sebagai Ahli Parlimen bebas.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Tebrau Steven Choong meninggalkan PKR dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata, tindakan Xavier itu akan menjejaskan kekuatan PKR di Parlimen PKR dan juga usaha presidennya Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

“Ia menampakkan kemungkinan beliau tidak dapat menjamin partinya sendiri akan bertahan, apatah lagi untuk muncul sebagai pakatan pemerintah,” katanya.

Oh berkata, tidak mungkin mereka yang melompat parti akan dipilih semula ke kerusi Parlimen yang dimenangi mereka di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, memandangkan usul undi tidak percaya tidak akan dibuat pada masa ini, kerajaan sedia ada akan terus berkuasa sekarang.

James Chin dari Asia Institute, University of Tasmania berkata, peletakan jawatan Xavier akan mematahkan semangat PKR sebagai sebuah parti kerana terdapat kemungkinan lebih ramai ahlinya akan bertukar arah selepas ditawarkan insentif untuk melompat parti.

Menurut Chin, desas-desus turut menyebut bahawa dua lagi Ahli Parlimen pembangkang mungkin meninggalkan parti mereka untuk menyokong Muhyiddin.

Tambahnya, kemungkinan besar PRU15 bukanlah sebahagian daripada rancangan Muhyiddin untuk masa terdekat.

Beliau berkata, ini kerana perkara paling penting bagi perdana menteri itu kini adalah memperkukuh kerajaan pimpinannya dan “bertahan” dalam persidangan Parlimen, yang mungkin akan diadakan selepas perintah darurat tamat.”

Tiada ulasan: