"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembangkang hanya tolak 'kluster mahkamah', kata Salahuddin

B Nantha Kumar

Kenyataan bersama lima pemimpin kanan parti pembangkang hari ini bahawa mereka menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada pemimpin-pemimpin Umno yang mempunyai kes di mahkamah.

Justeru, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, parti-parti pembangkang masih berbincang dengan pemimpin Umno yang lain.

"Maksud tolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' hanya merujuk kepada 'kluster mahkamah' sahaja.

"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin Umno yang lain," katanya kepada Malaysiakini. 

Salahuddin yang juga adalah ahli parlimen Pulai berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan bahawa Pakatan harapan menolak kerjasama dengan pihak 'kleptokrat' tengah hari tadi.

Terdahulu, lima pemimpin kanan parti pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk mereka sebagai “kleptokrat”.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengadakan sidang media, yang antaranya mengumumkan dia tidak menafikan kemungkinan wujud kerjasama dengan Umno.

“Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat,” kata lima pemimpin pembangkang.

Selain Salahuddin, kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Wira Parti Warisan Sabah Mohd Azis Jamman, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

Semalam, Anwar menyifatkan masih terlalu awal untuk mengatakan wujud persefahaman antara PKR dengan Umno tetapi pada masa sama mengakui ada perbincangan dibuat.

"Kami nak pembangkang menolak 'kluster mahkamah'.

"Tapi, tidak ada masalah dengan pemimpin Umno yang lain.

"Malah, boleh mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin yang tidak ada kes selepas PRU 15 untuk wujudkan satu kerajaan yang kuat demi kepentingan rakyat.," katanya lagi.

Terma 'kluster mahkamah ini digunakan di kalangan ahli politik merujuk kepada ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes di mahkamah.

Antara mereka, adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Mereka ini didakwa lantang mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tiada ulasan: