"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih baik Umno bertanding solo, atas tiket BN

ZAKARIA MUSA

Kerjasama politik Bersatu-Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional nampak gaya sukar dipertahankan lagi. Besar kemungkinan hayatnya bakal berakhir sebelum Parlimen dibubarkan lagi.

Manakala satu lagi sekutunya, Pas, dilihat lebih cenderung kepada Bersatu, yang kini memegang tampuk kuasa. Namun Pas difahamkan cuba menjadi pendamai sengketa Bersatu-Umno ini, meskipun lebih awal memetrai persefahaman dalam Muafakat Nasional.

Pas juga terdedah kepada dua fraksi sehingga dilaporkan ada rancangan untuk mengetepikan presidennya, Abdul Hadi Awang yang dikatakan sering membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada parti. Ini tabiat lama Hadi yang telah menyebabkan Pas terbahagi dua, sehingga melahirkan Parti Amanah Negara.

Keretakan dalam Umno tidak lagi boleh disembunyikan. Mulanya terbentuk “kluster mahkamah” dan “kluster menteri” yang mempunyai sikap berbeda terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin. Gerakan itu sudah berkembang ke akar umbi, ditambah parah dengan kelemahan ketara presidennya, Zahid Hamidi untuk mengawal parti.

Tidak mustahil sengketa dalam Umno itu dimarakkan lagi oleh tangan-tangan ghaib dalam Bersatu khususnya mempengaruhi proses pemilihan parti. Sudah timbul khabar angin kemungkinan Najib Razak dan Zahid berdepan hukuman penjara yang seterusnya memudahkan pengaruh mereka berdua dalam Umno diminimumkan.

Hanya kepemimpinan Bersatu nampak tidak goyah. Di samping Muhyiddin, pengaruh Azmin Ali sedang dibina dalam parti; tidak mustahil menyediakannya ke posisi lebih strategik, misalnya timbalan presiden. Umum mengetahui Azmin adalah perancang sebenar “drama yang dipentaskan” sejak Langkah Sheraton lagi. Begitu juga dengan episod “lompat katak” beberapa ahli Parlimen PKR mutakhir ini.

Lanskap politik tanahair nampak seimbang. Jika Perikaran Nasional kelihatan goyah, saingan terdekatnya, Pakatan Harapan juga terdedah kepada risiko keretakan. Seawal runtuhnya kerajaan PH pada hujung Februari 2020, faktor Dr Mahathir Mohamad menjadi bualan hangat yang merobek kesatuan. PH bukan sahaja kehilangan Bersatu dan geng Azmin, tetapi juga Warisan serta penyokong Mahathir. Maknanya ia semakin mengecil.

Apabila Anwar melakukan rundingan dengan pelbagai pihak untuk memartabatkan kembali mandat rakyat dalam PRU14, masalah timbul berkaitan sokongan daripada Umno, khususnya daripada “kluster mahkamah”. Difahamkan Najib dan Zahid turut menyokong Anwar membentuk kerajaan baharu. Khabarnya di peringkat awal sokongan ahli-ahli Parlimen Umno itu mencukupi untuk memperolehi “cukup bilang” bersama dukungan PH, walaupun tanpa penyokong-penyokong Mahathir. Seolah-olah Umno secara en bloc menyokong Anwar; dan ini sukar dipastikan kesahihannya disebabkan impak Covid-19.

Di kala sokongan ahli-ahli Parlimen Umno sendiri sukar disahkan, sikap sekutu PKR dalam PH, iaitu AMANAH dan DAP sendiri menjadi tanda tanya. Seteru bersama — Bersatu — tidak memungkinkan PH-Umno melupakan semua perbedaan mereka terutama berkaitan prinsip dan moral perjuangan. AMANAH dan DAP dilihat sukar untuk merangkulkan Umno dalam satu persefahaman politik yang baharu menjelang PRU15.

Berdasarkan kenyataan beberapa pimpinan utama AMANAH, parti itu dilihat keberatan untuk bersama Umno secara en bloc, khususnya “kluster mahkamah”. Di pihak Umno pula, tiada penegasan yang jelas; ia lebih cenderung untuk bertanding dalam blok tersendiri, iaitu Barisan Nasional, selain terus berusaha merapati Pas, sekutunya dalam Muafakat Nasional.

Sementara DAP mungkin dianggap tidak akan bersaing dalam konstituensi yang sama dengan Umno, dan menyebabkan persefahaman politik lebih mudah terjalin, tetapi daripada segi prinsip dan asas perjuangan, ruang untuk bekerjasama itu lebih sempit. Para penyokong DAP pula dijangka lebih kritikal dan akan menolak cadangan itu jika ada. Maknanya, Anwar berdepan laluan sukar jika membabitkan Umno, kecuali sekadar individu tertentu.

Sebenarnya sebelum Langkah Sheraton, Umno yakin untuk merampas balik Puterajaya, hanya dengan kerjasama Pas. Banyak kalangan pimpinan parti melihat penggabungan Umno untuk membentuk kerajaan pintu belakang Muhyiddin-Azmin itu satu kesilapan strategi. Sudahlah Umno dibuli oleh Bersatu dalam agihan jawatan, kesatuan dalam parti turut dirobek dengan dahsyat. Melalui “scheme of things”, Muhyiddin kini mencaturkan barisan kepemimpinan baharu Umno. Kes- kes mahkamah pemimpin kanan Umno menjadi senjata terbaik untuk melemahkan parti seteru terdekat Bersatu itu.

Ada penganalisis berpendapat, lebih baik Umno bertanding atas tiket BN. Lupakan juga Pas sekiranya persefahaman dalam Muafakat Nasional tidak dihormati lagi. Biarlah dicari titik- temu selepas keputusan PRU15. Banyak negara menyaksikan koalisi parti-parti lebih mudah terbentuk selepas rakyat mengundi. Mungkin itu pilihan terbaik buat Umno.

Tiada ulasan: